APAKAH BENAR PERBUATAN KITA TELAH DIATUR, DIRANCANG DAN DITETAPKAN SEJAK AZALI?
Perkongsian kali ini Musafir Faqir cuba menyimpulkan perbahasan di dalam usrah mingguan yang lepas. Semoga penjelasan yang diberikan lebih membuka kefahaman kepada yang mencari cahayaNya. InsyaAllah.
Segala perjalanan semut di malam hari yang gelap, perjalanan ikan ditengah lautan dalam, bergugurannya dedaunan di hutan belantara dan merayapnya cacing dibawah tanah adalah ketetapan Allah sejak azali. Begitulah juga dengan perjalanan kehidupan makhluk termasuk diri kita. Sedari lahir sampai keliang lahad, sifat perbuatan kita dan sifat kelakuan kita adalah semuanya datang dari ketentuan Allah sejak azali.
Makhluk seluruhnya tidak berupaya dan tidak terdaya melakukan sesuatu, melainkan kelakuan dan perbuatan dari daya dan upaya Allah swt yang telah ditetapkan sejak dari azali lagi. Percayalah sesungguhnya semua itu adalah datangnya daripada Allah Maha Pencipta. Segala-galanya bergerak, segala yang berkelakuan sesungguhnya gerak dan kelakuan yang didatangkan dari ketetapan yang telah ditetapkan Allah sejak azali. Itulah dikatakan af’al Allah ( perbuatan Allah). Dengannya juga kita dikehendaki mengembalikan semula kepadaNya.
Firman Allah swt bermaksud ” Kalau Allah mengkehendaki tiada mereka itu berbunuh-bunuhan tetapi Allah memperbuat apa-apa yang dikehendaki” – Al Baqarah : 253
Firman Allah swt bermaksud ” Tidak ada sesuatu kesusahan ( atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi , dan tidak juga yang menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada di dalam Kitab ( pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikinan itu adalah mudah bagi Allah” – Al Hadid : 22
Firman Allah bermaksud ” Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan semesta alam” – At Ta’wir : 29
Allah telah memilih dan Allah juga telah menetapkan apa-apa yang akan berlaku dan apa-apa yang sudah berlaku. Dalam Allah membuat pemilihan dan mengatur ketetapan perjalanan hidup kita. Allah tidak bersandar kepada sesiapa dan Allah tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Dia sendiri yang membuat keputusan tanpa meminta bantuan dari sesiapa dan tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Allah tidak pilih kasih dalam menetapkan perbuatan hamba-hambaNya. Dia menetapkan sesuatu mengikut kehendak di dalam ilmuNya sendiri tanpa dipengaruhi dan tanpa bantuan dan pertolongan dari sesiapa.
Kita sebagai makhluk manusia tidak layak dan tidak berhak untuk bertanya atau menyoal bagaimana dan kenapa, terhadap ketetapan yang telah Allah tetapkan, sama ada perkara itu baik mahupun buruk. Kerana ketetapan yang Allah tentukan itu adalah yang paling adil dan saksama. Dari keterangan firman-firmanNya dan hadis mudah-mudahan memberikan kefahaman kepada kita bahwasanya segala gerak dan segala kelakuan di alam ini adalah sesungguhnya datangnya dari Allah Yang Maha Mengetahui Maha Pencipta Maha Penentu Maha Adil.
Firman Allah bermaksud ” Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa-apa yang diperbuatNya sedang merekalah yang ditanyai-Nya” – Al Anbiya : 23
Sama ada kelakuan buruk mahupun kelakuan baik, esungguhnya semua itu bukan kelakuan makhluk tetapi adalah gerak dan kelakuan dari ketetapan Allah swt. Kita ini hanyalah sebagai hamba suruhan, kuli, yang kena perintah, yang kena suruh dan yang kena diperhambakan. Kita ini sebagai hamba seharusnya patuh , taat, akur dan menurut sehaja apa-apa perintah dan apa-apa ketetapan Allah yang azali.
Firman Allah swt bermaksud” Sesungguhnya segal-galanya telah kami jadikan sesuai dengan takdir yang ditentukan sebelumnya”- Al Qamar : 49
Sekali pandang memang kita kan menyangka bahawa perbuatan yang kita lakukan itu adalah datangnya dari usaha dan ikhtiar dari diri kita sendiri tetapi bagi yang berhati basyirah, mereka memandang segala-galanya yang baik dan segala-galanya yang buruk itu adalah datangnya dari Allah swt.
Firman Allah swt bermaksud ” Katakanlah bahawa segala kebaikan dan keburukan itu adalah dari Allah” – An Nisa’ : 78
Dari keterangan ayat-ayat diatas, segala-galanya telah nyata bahawa segala perbuatan dan kelakuan kita yang berlaku di alam ini sama ada baik mahupun buruk adalah datangnya dari Allah yang telah dirancangkan, ditetapkan dan disusun atur menurut kehendak Allah sejak azali lagi. Apa-apa gerak yang berlaku di alam ini dan di atas diri kita ini adalah sesungguhnya dari kelakuan dan perbuatan Allah swt.
Sesudah kita sedar , faham dan mengerti dengan nyata maka hendaknya kita kembalikan dan serahkan semula segala perbuatan atau fe’el perangai yang berlaku atas diri kita dan pada sekalian alam itu adalah datangnya dari Allah swt dan sudah selayaknya pula dikembalikan semula kepada tuan yang empunya iaitu kepada Allah swt Yang Maha Pemcipta.
Kita sebagai hamba tidak punya perbuatan, tidak punya daya upaya, tidak punya kuasa atau kudrat melainkan semua tingkah laku perbuatan dan pergerakkan itu adalah daya upaya dan kudrat serta iradat yang datangnya dari ketetapan dan ketentuan Allah SWT Yang Maha Berkuasa.
Kefahaman tentang mentauhid perbuatan Allah ( punca segala ketentuan dan ketetapan ) ini adalah amat penting dalam kita merasai kemanisan apa yang dinamakan sebagai IBADAT, IKHLAS, SABAR ,TAWAKAL dan dan sebagainya yang termasuk dalam sifat-sifat MAHMUDAH. Kefahaman ini hanya dapat diterokai dengan makam TAJRID. Bagi mereka yang masih berada pada makam ASBAB mungkin amat jarang sekali dapat merasai kemanisan yang tersirat kecuali apabila segala usaha dan ikhtiar manusia itu tidak menghasilkan seperti yang dirancangkannya.
Kefahaman ini juga bukanlah tiket untuk melepaskan diri dari tanggungjawab sebagai seorang muslim. Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan dengan setiap apa yang dilakukan diatas muka bumi ini. Bersyukur kita kepada Allah swt kerana telah memilih kita untuk merasai nikmat yang paling besar di bumi ini iaitu nikamat IMAN dan ISLAM. Bersyukurlah kita kerana pada saat ini kita digerakkan oleh Allah untuk melakukan amal kebaikan dan bukannya kejahatan. Janganlah kita memandang hina orang yang jahil kerana mungkin dengan hidayahNya mereka itu akan lebih mulia dari kita ini. Jangan bangga diri dengan amalan yang telah kita kerjakan secara tersembunyi di dalam hati kerana itu merupakan ”penyakit hati” yang merosakkan hubungan kita dengan Allah swt.
Kefahaman di dalam memahami rahsia ilmu mengenal diri ini akan membuatkan seseorang itu lebih tawaduk dan lebih bersikap lemah lembut dengan seluruh makhluk yang ada di alam maya ini. ’Ala kulihal semuanya milik Allah swt.
---------------------------------------------------------------------------------------------------HTML Comment Box is loading comments...


