Apakah tujuan Allah swt menjadikan manusia?
Firman Allah swt bermaksud “ Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia , melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku”.
Tujuan Allah menjadikan jin dan manusia itu bertujuan untuk mengabdikan diri (menyembah) kepadaNya. Mengabdikan itu merujuk kepada memperhambakan diri kepada Allah. Konsep hamba itu adalah dengan menjadikan diri kita sebagai kuli dan sebagai orang yang kena suruh ( orang suruhan). Apabila menjadi hamba, kuli dan orang suruhan, kita hendaklah patuh, taat, menyerah sepenuh diri, jiwa dan raga kepada Allah selaku majikan kita.
Sebelum mengerjakan ibadat, pengabdian atau sebelum solat, hendaklah kita mengabdikan diri kita ke dalam wajah Allah terlebih dahulu. Konsep mengenal diri dan menegnal Allah itu hendaklah terlebih dahulu dizahirkan dan diresapi ke dalam hati sebelum beribadat. Selepas proses mengenal Allah barulah boleh diikuti dan disusuli dengan perkara menyembah dan ibdah yang lain-lainnya.
“Awaluddin makrifatullah” – Awal-awal dalam agama adalah mengenal Allah.
Menyembah tanpa mengenal Allah itu seumpama pekerjaan ibadah agama-agama lain sedangkan tujuan dijadikan jin dan manusia adalah bertujuan supaya Allah dapat dikenal dan disembah. Sungguh pun begitu, Allah tidak dapat dikenal melalui mata, tidak dapat dibayang dengan akal dan tidak dapat digambarkan oleh kata-kata. Namun kita sebagai makhluk yang berakal harus mencari jalan untuk mengenal Allah. Mengenal Allah adalah merupakan perkara fardhu yang wajib dalam Islam. Allah tidak berhuruf dan tidak bersuara. Allah itu bukan benda (ain) yang boleh dibagai-bagaikan atau disifat-sifatkan. Allah bukan sesuatu yang boleh diandai-andaikan melalui akal. Sungguhpun demikian Allah itu akan dapat dilihat dan akan dapat dipandang melalui mata hati.
Ilmu makrifat bukan bertujuan untuk mengkaji atau bukan bertujuan mengenal zat Allah swt. Sepintar manapun akal, kita tidak sekali-kali dapat menjangkau Zat Allah swt. Zat Allah swt itu tidak boleh dikualiti atau dikuantiti dengan bilangan. Kedudukan Zat Allah itu tidak terhad, tidak terbatas, tidak terpisah oleh jarak dan tidak bercarai oleh sempadan masa. Allah itu dekat tidak bersentuhan manakala jauhNya pula tidak berantara. Kedudukan Allah itu teramat suci dan teramat tinggi, jauh lebih suci dan jauh lebih tinggi daripada khayalan akal.
Walaubagaimanapun Allah itu wajib dikenal oleh sekalian makhlukNya , apa lagi kita yang beragama Islam. Dengan ini marilah kita sama-sama memohon pertunjuk dan hidayahNya agar dibukakan pintu khasyaf di hati kita untuk mengenalNya. Perkara mengenal Allah itu hendaklah diambil perhatian yang sedalam-dalamnya oleh kita . Janganlah ianya dianggap mudah atau dipandang ringan.
Hadis qudsi bermaksud “ Aku Kanzan Mahfyyan (Tertutup dan Tersembunyi) . Aku ingin ditemui dan dikenali. Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali” .
Diantara tujuan Allah menzahirkan kita ke alam dunia ini adalah bertujuan untuk mengenalNya. Slepas perkara mengenal barulah boleh diikuti dengan perkara menyembah Allah. Sebelum perkara menyembah dikehendaki meletakkan diri kita dalam keadaan sentiasa ingin belajar dan ingin mendalami ilmu mengenal Allah. Andainya kita mati dalam waktu menuntut ilmu, insyaAllah amal kita akan diterima Allah sebagaimana orang yang mempunyai ilmu.
Kita dikehendaki berusaha dan berikhtiar mencari jalan bagi memiliki ilmu mengenal Allah. Tidak ada sesiapa di alam ini yang dapat mengetahui dan mengenal Allah dengan jalan mudah. Hanya jalan ilmu makrifat sahaja yang dapat membawa kita kepada mengenal Allah. Sungguh pun begitu dengan kebesaran dan kemuliaanNya, Allah telah membuka sedikit jalan dan ruang agar diriNya dapat dikenal oleh sekelian makhlukNya iaitu melalui jalan dan ruangan melihat kepada diri kita sendiri. Jalan dan ruangan yang sedikit itulah juga ianya menjadi hiasan isi perkongsian ilmu dalam blog ini.
Walaupun ilmu untuk mengenal Allah itu hanya sedikit, Allah telah membuka ruangan yang sedikit itu melalui diri kita supaya dengan itu diriNya dapat dikenal dan dilihat melaluinya. Untuk menterjemahkan wajah diriNya supaya dapat dikenal oleh sekalian makhluk, maka diciptanya diri kita yang memlauinya Allah akan dapat dikenal. Oleh itu dalam setiap apa perkara sekalipun ilmu mengenal Allah itu bukan sesuatu yang datang dari banyaknya ibadat atau bukan sesuatu yang datang melalui banyaknya amal. Amal dan ibadat boleh menyusul kemudian sesudah mengenal Allah. Mengenal Allah datangnya dari anugerah dan kurniaan Allah kepada sesiapa yang dikehendaki dari kalangan hamba-hambaNya yang tidak lupa berusaha dan yang tidak alpa berikhtiar menujuNya.
Tujuan Allah jadikan makhluk dan tujuan Allah menjadikan diri kita ini adalah supaya diriNya dapat dikenal. Mengenal Allah telah menjadi satu tujuan dan menjadi perkara pokok dalam kejadian setiap sesuatu, termasuklah kejadian diri kta manusia. Setelah kita tahu tujuan kita dijadikan, kenapa tidak berusaha mencari jalan kea rah itu?. Untuk menuju kea rah mengenal Allah, lihatlah kepada diri sendiri ( roh dan jasad ) dan renungilah ke dalam diri sedalam-dalamnya. Agar dengan cara itu Allah akan dapat dikenal disebaliknya.
Kaedah Allah memperkenal dan memperlihatkan diriNya kepada makhluk manusia itu adalah melalui penzahiran sifat-sifat wajahNya keatas diri kita. Wajah Allah itu terzahir pada sifat penglihatan, maka terleburlah sifat mata. Apabila wajah Allah terzahir pada sifat pendengaran, maka akan leburlah sifat telinga. Apabila wajah Allah itu terzahir pada keseluruhan sifat jasad diri kita, maka akan terbinasalah seluruh diri kita. Apabila wajah Allah itu terzahir atas sifat sekalian makhluk, maka akan lebur dan binasalah sekalian alam. Di situlah hanya wajah Allah yang kelihatan disegenap pelusuk pandangan kita.
Diciptakan diri kita ini adlah bertujuan supaya Allah dapat disembah. Maksud perkataan “sembah” bukan sahaja merujuk kepada perkara solat semata-mata tetapi lebih merujuk kepada ilmu mengenal Allah. Perkara mengenal Allah itu merupakan perkara asas di dalam Islam, manakala perkara ibadah seumpama ibadah solat dan yang lainnya adalah termasuk perkara yang datang kemudian sesudahnya. Pengertian sembah adalah merujuk kepada perkara mengenal Allah. Hanya setelah melalui ilmu mengenal diri dan melalui mengenal Allah sahaja yang membolehkan kita menyembah dan mengabdikan diri dengan sempurna dalam pekerjaan ibadah kepada Allah. Terutamanya dalam mengucap dua kalimah syahadah, ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Jika tidak mengenal Allah, kepada siapakah hendak kita tujukan ibadah kita itu ?
Pengabdian (menyembah) hanya akan terhasil setelah mengenal Allah, tanpa mengenal Allah pengabdian diri kepada Allah tidak akan terhasil. Setiap pengabdian atau menyembah hendaklah didahului dengan perkara mengenal Allah. Agar Allah itu dapat dilihat dan dapat dikenal makanya diperlihat dan dizahirkan sifat-sifat wajahNya atas diri kita, dari situ juga kita semua dapat melihat dan mengenal Allah melaluinya. Untuk itu marilah kita sama-sama melihat kepada diri kita sendiri agar Allah itu dapat dikenal melaluinya.
Bagi yang berpandangan jauh, tujuan diciptanya manusia itu adalah supaya dapat melihat pengzahiran wajah Allah atas sifat makhluk dan atas dirinya sendiri. Dengan cara melihat kepada diri sendiri, ianya membolehkan kita Nampak Allah, lihat Allah dan mengenal Allah dengan lebih nyata dan terang melaluinya. Untuk melihat dan memandang Allah, kita tidak perlu kepada syarat dan rukun yang lain, selain dari diri kita sendiri.
Dengan cara mengambil syarat dan rukun yang lain, selain dari diri sendiri sebenarnya lebih menjauhkan kita dari mengenal Allah. Segala syarat dan segala rukun itu, sebenarnya telah sedia ada pada diri kita masing-masing. Marilah kita sama-sama berusaha menuju kearahnya. Lihat, kaji , cari dan pandanglah ke dalam diri kita sendiri! . Bagi sesiapa yang berhajat untuk mengenal Allah, penglihatan dan pandangannya boleh terhasil secara terus dan secara langsung dengan hanya memandang kepada diri sendiri, itulah tujuan makhluk manusiadijadikan. Kita dapat memandang Allah dengan mata hatinya melalui diri kita sendiri tanpa syarat dan tanpa rukun. Segala syarat dan segala rukun untuk mengenal Allah itu, sesungguhnya telah sedia ada pada diri kita masing-masing. Yang sentiasa meliputi segala pandangan dan sentiasa meliputi segala penglihatan. Hanya orang buta mata hati sahaja, yang tidak nampak Allah meliputi dirinya.
Firman Allah swt bermaksud -
“Dan orang-orang yang bermujahadah (pada perjalanan) menuju Kami, nanti Kami akan menunjuki mereka jalan-jalan (yang menyampaikan mereka) kepada Kami.”
Surah Al-Ankabut : 69
Surah Al-Ankabut : 69
-------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...





