Photobucket

Saturday, 25 February 2012

Nikmat dan Bala





Alhamdulillah kita masih dipertemukan untuk meneruskan perkongsian ilmuNya. Semoga setiap perjalanan hidup kita ini mendapat keredhaanNya. Perkongsian kali ini secara ringkas mengenai NIKMAT dan BALA. Setiap manusia tidak dapat lari daripada apa jua permasalahan hidup selagi bernyawa. Sama ada permasalahan itu menghasilkan nikmat ataupun mendatangkan bala semuanya mempunyai maksud yang tersirat di dalam yang tersurat. 

Sekiranya Allah swt telah menentukan seseorang hamba-Nya itu sampai kepada-Nya, sudah pasti si hamba itu akan sampai kepada-Nya. Hamba tadi akan dibawa menghadap Allah swt melalui dua cara.
 
Pertama adalah secara lemah-lembut. Diberi-Nya nikmat, dibukakan jalan untuk taat dan dipermudahkan perjalanannya hingga dia sampai kepada Allah swt. Orang begini sesuai untuk menerima pujukan. Ada pula orang yang tidak endah bila dipujuk. Cara kedua sesuai untuknya. Cara kedua adalah cara paksaan. Allah swt memutuskan apa sahaja yang mengikat hamba-Nya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan berjalan menuju kepada Allah swt kerana dia diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti harta, kekuasaan, perniagaan dan sebagainya. Selagi perkara-perkara itu mengikatnya selagi itulah dia tidak dapat berjalan kepada Allah swt.  Allah swt yang mengasihani hamba tadi, memutuskan semua ikatan tersebut dengan cara mendatangkan ujian bala kepadanya. Ujian bala memisahkan si hamba dari apa jua yang menjadi penghalang antaranya dengan Allah swt. Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia berputus asa dari apa yang telah terpisah daripadanya. Bila dia tidak berhajat lagi kepada makhluk, baharulah dia dibawa menghadap Allah swt. Dia sudah boleh berjalan menuju Allah swt kerana beban berat di atas bahunya sudah terbuang. Kakinya berasa ringan untuk melangkah, fikirannya tenang dan jiwanya tenteram. Hatinya dapat bermunajat kepada Allah swt dengan khusyuk kerana tidak ada lagi gangguan duniawi dan mata benda. Begitulah dua jalan yang disediakan oleh Allah swt untuk membawa hamba-hamba-Nya kepada-Nya. Allah swt berfirman:

”Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, samada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang”- Ar-Ra’d : 15
 
 Walau jalan mana pun yang ditempuh oleh seseorang hamba itu, Allah swt menantinya dengan keampunan, rahmat dan kasih sayang-Nya. Si hamba dibawa hampir dengan-Nya dan dikurniakan berbagai-bagai nikmat yang menggembirakan sehingga mereka tidak berasa rugi lantaran berpisah daripada kesenangan duniawi.
 
Ujian menjadi batu pengasah untuk menggilap iman seseorang. Ada orang diuji dengan rezeki, ditaburkan rezeki kepadanya atau disempitkan. Keluasan rezeki membentuk kesyukuran dan kesempitan membentuk kesabaran. Jiwa yang dicanai oleh kesyukuran dan kesabaran akan menimbulkan rasa penyerahan dan pergantungan yang kuat kepada Allah swt. Keluasan rezeki membuatnya mengenali Allah swt Yang Maha Baik, Maha Pemurah. Kesempitan rezeki membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Keras, Maha Perkasa. Pada kedua-duanya dia mengenali Allah swt yang menghalau takdir demi takdir dengan penuh hikmat kebijaksanaan.

Firman Allah bermaksud - “ dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian samada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman”- Ar Ruum : 37
 
Orang yang beriman dengan Allah swt dan takdir-Nya akan mendapat pimpinan-Nya. Allah swt berkuasa membalikkan hati-hati. Dipimpin-Nya hati orang yang beriman agar menghadap kepada-Nya. Orang yang dipimpin-Nya akan berasa mudah untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Kehalusan pimpinan-Nya itu membuat hamba mengenali kekuasaan-Nya pada membalikkan hati yang keras menjadi lembut dan yang malas beribadat menjadi rajin.

Firman Allah swt bermaksud – “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.- At Taghaabun : 11 

Orang-orang yang beriman akan sentiasa diuji kerana ujian itu membawa berbagai-bagai ganjaran, nikmat dan kurniaan dari Allah swt. Kekuatan amal ibadat tidak berdaya mengangkat darjat seseorang hamba, lalu Allah swt hantarkan ujian dan melalui ujian itulah hamba-Nya dipersucikan dan diangkat darjatnya. Dalam melakukan yang demikian, Allah swt kenakan ujian kepada hamba-Nya melalui perkara-perkara yang hampir dengan hamba itu, seperti harta dan keluarga.

Firman Allah swt bermaksud – ”Sesungguhnya hartabenda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian; dan di sisi Allah jualah pahala yang besar”.- At Taghaabun : 15)

Ujian menjadi pengasing, mengasingkan hati yang beriman dengan hati yang kufur. Dalam medan ujian itu ramai manusia disesatkan oleh iblis kerana hati mereka diselimuti oleh keraguan. Orang yang beriman dapat bertahan menghadapi gelombang ujian itu, malah ujian menambahkan kekuatan iman. Keupayaan mengekalkan iman di dalam mengharungi lautan ujian membuat hamba menginsafi bahawa sebenarnya Allah jua yang memelihara imannya itu, bukan kekuatan dirinya.

Firman Allah swt bermaksud – “Dan sesungguhnya iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya dengan hasutannya). Dan sememangnya tiadalah bagi iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap suatu”.- Saba’ : 20-21

Hamba yang dipelihara oleh Allah swt itulah yang akan menemui kejayaan di dunia dan di akhirat.


ADAKAH KITA BERSYUKUR DENGAN NIKMAT (KURNIAAN-NYA)  ATAU KITA SELALU MENGELUH DENGAN MUSIBAH (BALA) ?.... 
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

Saturday, 18 February 2012

Zikrullah





Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana dengan izinNya kita masih dapat bersama-sama berkongsi ilmuNya ini. Ruang perkongsian ilmu ini diwujudkan semata-mata adalah untuk berkongsi ilmuNya bagi merawat ruang-ruang kosong di dalam hati kita ini. Bagi yang mencari cahayaNya pasti boleh merasakan kehadiran setiap ilmuNya ini di segenap ruang hatinya. InsyaAllah...pada perkongsian kali ini Musafir Faqir akan teruskan dengan sesuatu yang di namakan ZIKIR.

Firman Allah swt bermaksud ” Wahai orang-orang yang beriman , ingatlah serta sebutlah nama Alah dengan ingatn serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepada kamu; dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita ( kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang ( iman dari taat) ; dan adalah Dia sentiasa melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman ( di dunia dan di akhirat )”.– Al Ahzab : 41 -43

Firman Allah swt bermaksud ” Maka ingatlah kepadaKu nescaya Aku ingat kepadamu dan berterima kasihlah kepadaKua dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”.Al Baqarah : 152

 Hadis Nabi saw bermaksud ” Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam yang paling menyelamatkannya dari azab Allah melebihi dari Zikrullah”. – HR Iman Ahmad dari Mu’az  ra.

Kita telah dinasihatkan supaya jangan meninggalkan zikir walaupun tidak hadir hati ketika berzikir. Begitu juga dengan ibadat dan amal kebaikan. Janganlah meninggalkan ibadat lantaran hati tidak khusyuk ketika beribadat dan jangan meninggalkan amal kebaikan lantaran hati belum ikhlas dalam melakukannya. Khusyuk dan ikhlas adalah sifat hati yang sempurna. Zikir, ibadat dan amal kebaikan adalah cara-cara untuk membentuk hati agar menjadi sempurna. Hati yang belum mencapai tahap kesempurnaan dikatakan hati itu berpenyakit. Jika penyakit itu dibiarkan, tidak diambil langkah mengubatinya, pada satu masa, hati itu mungkin boleh mati. Mati hati berbeza daripada mati tubuh badan. Orang yang mati tubuh badan ditanam di dalam tanah. Orang yang mati hatinya, tubuh badannya masih sihat dan dia masih berjalan ke sama ke mari di atas muka bumi ini.

Empat keadaan yang berkaitan dengan zikir:
1:  Tidak berzikir langsung.
2:  Berzikir dalam keadaan hati tidak ingat kepada Allah    s.w.t.
3:  Berzikir dengan disertai rasa kehadiran Allah s.w.t di dalam hati.
4:  Berzikir  dalam keadaan fana dari makhluk, lenyap segala sesuatu dari hati, hanya Allah s.w.t sahaja yang ada.
 
Bukanlah sukar bagi Allah s.w.t untuk mengubah suasana hati hamba-Nya yang berzikir dari suasana yang kurang baik kepada yang lebih baik hingga mencapai yang terbaik.
 Kerohanian manusia berada dalam beberapa darjat, maka suasana zikir juga berbeza-beza, mengikut darjat rohaninya. Darjat yang paling rendah adalah si raghib yang telah tenat dikuasai oleh syaitan dan dunia. Cahaya api syaitan dan fatamorgana dunia menutup hatinya sehingga dia tidak sedikit pun mengingati Allah s.w.t. Seruan, peringatan dan ayat-ayat Allah s.w.t tidak melekat pada hatinya. Inilah golongan Islam yang dijajah oleh sifat munafik. Golongan ini tidak berzikir langsung.
 
Golongan kedua berzikir dengan lidah tetapi hati tidak ikut berzikir. Lidah menyebut nama Allah s.w.t, tetapi ingatan tertuju kepada harta, pekerjaan, perempuan, hiburan dan lain-lain. Inilah golongan orang Islam yang awam. Mereka dinasihatkan supaya jangan meninggalkan zikir kerana dengan meninggalkan zikir mereka akan lebih dihanyutkan oleh kelalaian.. Tanpa zikir, syaitan akan lebih mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin hatinya dan dunia akan lebih kuat menutupinya Zikir pada peringkat ini berperanan sebagai ‘juru ingat’. Sebutan lidah menjadi teman yang mengingatkan hati yang lalai. Lidah dan hati berperanan seperti dua orang yang mempunyai minat yang berbeza. Seorang enggan mendengar sebutan nama Allah s.w.t, sementara yang seorang lagi memaksanya mendengar dia menyebut nama Allah s.w.t. Sahabat yang berzikir (lidah) mestilah memaksa bersungguh-sungguh agar temannya (hati) mendengar ucapannya. Di sini terjadilah peperangan di antara tenaga zikir dengan tenaga syaitan yang disokong oleh tenaga dunia yang cuba menghalang tenaga zikir dari memasuki hati.
 
Golongan yang ke tiga pula adalah mereka yang tenaga zikirnya sudah berjaya memecahkan dinding yang dibina oleh syaitan dan dunia. Ucapan zikir sudah boleh masuk ke dalam hati. Tenaga zikir bertindak menyucikan hati daripada karat-karat yang melekat padanya. Pada mulanya ucapan zikir masuk ke dalam hati sebagai sebutan nama-nama Allah swt. Setelah karat hati sudah hilang maka sebutan nama-nama Allah swt  akan disertai oleh rasa mesra yang mengandungi kelazatan. Pada peringkat ini zikir tidak lagi dibuat secara paksa. Hati akan berzikir tanpa menggunakan lidah. Sebutan nama-nama Allah swt  menghalakan hati kepada Empunya nama-nama, merasai sifat-sifat-Nya sebagaimana dinamakan.
 
Golongan ke empat ialah mereka yang telah sepenuhnya dikuasai oleh Haq atau hal ketuhanan. Mereka sudah keluar dari sempadan alam maujud dan masuk ke dalam hal yang tidak ada alam, yang ada hanya Allah swt. Tubuh kasar mereka masih berada di atas muka bumi, bersama-sama makhluk yang lain. Tetapi, kesedarannya terhadap dirinya dan makhluk sekaliannya sudah tidak ada, maka kewujudan sekalian yang maujud tidak sedikit pun mempengaruhi hatinya. Mereka karam dalam zikir dan yang dizikirkan. Mereka yang berada pada tahap ini telah terlepas dari ikatan manusiawi dan seterusnya mencapai penglihatan hakiki mata hati, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam perkongsian yang lepas.




Mereka yang mempunyai penglihatan hakiki mata hati ada dua jenis. Jenis pertama adalah yang mempunyai nama dan tabir penutup. Hijab nama (asma’) tidak terangkat lalu dia melihat di dalam hijab. Dia melihat Allah swt pada apa yang menghijabkannya. Zikirnya ialah nama yang padanya dia melihat Allah swt. Jenis kedua pula ialah yang berpisah dengan nama dan hijab, lalu dia melihat Allah swt dan merasakan ketenangan dengan penglihatan itu. Pada ketika itu tidak sepatah pun ucapan yang terucap olehnya dan tidak sepatah pun kalam yang terdengar padanya. Dia melihat nama itu tidak mempunyai kekuatan hukum apa pun selain-Nya. Bila nama dinafikan tibalah pada wusul (sampai). Bila tidak terlintas lagi nama tibalah pada ittisal (perhubungan). Nama yang tidak lagi terlintas disebabkan kuatnya tarikan dari yang dinamai. Makam ini dinamakan makam al-Buhut (kehairan-hairanan), kerana dia melihat Allah swt dalam kehairan-hairanan, tiada ucapan kecuali pandangan. Inilah makam terakhir di mana semua hati terhenti di situ. Ia adalah tingkatan tertinggi tentang kecintaan terhadap zat Ilahiat.
 
Pada tahap ini Nur-Nya memancar, menyinar, menjulang naik ke lubuk hati. Peringkat ini sudah tiada zikir dan tiada pula yang berzikir, hanyalah memandang bukan berzikir dan tiada berbalik kembali pandangannya. Inilah hal yang dikatakan faham dengan tiada huraian pemahamannya dan mencapai dengan tiada sesuatu pencapaiannya. Insan di dalam hal ini sudah tidak lagi memohon fatwa, tidak memohon perkenan, tidak meminta pertolongan dan ucapan juga tiada. Baginya setiap sesuatu adalah ilmu dan setiap ilmu adalah zikir. Inilah hamba yang telah benar-benar berjaya menghimpun semua makam dan martabat. Dia sudah melihat takdir-takdir dan melihat bagaimana Allah swt  menentukan  takdir demi takdir dan melihat bagaimana Allah swt  mengulangi takdir-takdir itu dengan berbagai-bagai cara yang dikehendaki-Nya kerana sesungguhnya Allah swt  sahaja yang memulakan penciptaan dan Dia juga yang mengulanginya. Penglihatannya tidak berbolak-balik lagi. Dia melihat Allah s.w.t di hadapan dan di belakang apa yang dilihatnya dan melihat Allah s.w.t dalam segala yang dilihatnya.
 
Apabila kerinduan terhadap Allah swt  telah menguasai hati seseorang hingga kepada tahap tiada ucapan yang boleh diucapkan maka keadaan itu dikatakan melihat Allah swt yang tiada sesuatu yang menyamai-Nya, sebagaimana firman-Nya:
”Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran)-Nya, dan Dia jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. - Asy-Syura : 11


JANGAN MENINGGALKAN ZIKIR LANTARAN ENGKAU BELUM SELALU INGAT KEPADA ALLAH S.W.T KETIKA BERZIKIR, SEBAB KELALAIAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T KETIKA TIDAK BERZIKIR LEBIH BAHAYA DARIPADA KELALAIAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T KETIKA KAMU BERZIKIR. SEMOGA ALLAH S.W.T MENAIKKAN DARJAT KAMU DARIPADA ZIKIR DENGAN KELALAIAN KEPADA ZIKIR YANG DISERTAI INGAT KEPADA ALLAH S.W.T, DAN MUDAH-MUDAHAN ALLAH S.W.T AKAN MENGANGKAT KAMU DARIPADA ZIKIR YANG BESERTA KEHADIRAN ALLAH S.W.T DI DALAM HATI KAMU KEPADA ZIKIR DI MANA LENYAPNYA SEGALA SESUATU SELAIN ALLAH S.W.T. HAL YANG DEMIKIAN ITU TIDAKLAH SUKAR BAGI ALLAH S.W.T.
------------------------------------------------------------------------------------------------- 
HTML Comment Box is loading comments...

Thursday, 16 February 2012

Terlerai Yang Tersimpul







APAKAH BENAR PERBUATAN KITA TELAH DIATUR, DIRANCANG DAN DITETAPKAN SEJAK AZALI?

Perkongsian kali ini Musafir Faqir cuba menyimpulkan perbahasan di dalam usrah mingguan yang lepas. Semoga penjelasan yang diberikan lebih membuka kefahaman kepada yang mencari cahayaNya. InsyaAllah.

Segala perjalanan semut di malam hari yang gelap, perjalanan ikan ditengah lautan dalam, bergugurannya dedaunan di hutan belantara dan merayapnya cacing dibawah tanah adalah ketetapan Allah sejak azali. Begitulah juga dengan perjalanan kehidupan makhluk termasuk diri kita. Sedari lahir sampai keliang lahad, sifat perbuatan kita dan sifat kelakuan kita adalah semuanya datang dari ketentuan Allah sejak azali.

Makhluk seluruhnya tidak berupaya dan tidak terdaya melakukan sesuatu, melainkan kelakuan dan perbuatan dari daya dan upaya Allah swt  yang telah ditetapkan sejak dari azali lagi. Percayalah sesungguhnya semua itu adalah datangnya daripada Allah Maha Pencipta. Segala-galanya bergerak, segala yang berkelakuan sesungguhnya gerak dan kelakuan yang didatangkan dari ketetapan yang telah ditetapkan Allah sejak azali. Itulah dikatakan af’al Allah ( perbuatan Allah). Dengannya juga kita dikehendaki mengembalikan semula kepadaNya.

Firman Allah swt bermaksud ” Kalau Allah mengkehendaki tiada mereka itu berbunuh-bunuhan tetapi Allah memperbuat apa-apa yang dikehendaki” – Al Baqarah : 253

Firman Allah swt bermaksud ” Tidak ada sesuatu kesusahan ( atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi , dan tidak juga yang menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada di dalam Kitab ( pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikinan itu adalah mudah bagi Allah” – Al Hadid : 22

Firman Allah bermaksud ” Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu kecuali dengan cara yang diatur oleh  Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan  semesta alam” – At Ta’wir : 29

Allah telah memilih dan Allah juga telah menetapkan apa-apa yang akan berlaku dan apa-apa yang sudah berlaku. Dalam Allah membuat pemilihan dan mengatur ketetapan perjalanan hidup kita. Allah tidak bersandar kepada sesiapa dan Allah tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Dia sendiri yang membuat keputusan tanpa meminta bantuan dari sesiapa dan tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Allah tidak pilih kasih dalam menetapkan perbuatan hamba-hambaNya. Dia menetapkan sesuatu mengikut kehendak di dalam ilmuNya sendiri tanpa dipengaruhi dan tanpa bantuan dan pertolongan dari sesiapa.

Kita sebagai makhluk manusia tidak layak dan tidak berhak untuk bertanya atau menyoal bagaimana dan kenapa, terhadap ketetapan yang telah Allah tetapkan, sama ada perkara itu baik mahupun buruk. Kerana ketetapan yang Allah tentukan itu adalah yang paling adil  dan saksama. Dari keterangan firman-firmanNya dan hadis mudah-mudahan memberikan kefahaman kepada kita bahwasanya segala gerak dan segala kelakuan di alam ini adalah sesungguhnya datangnya dari Allah Yang Maha Mengetahui Maha Pencipta Maha Penentu Maha Adil.

Firman Allah bermaksud ” Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa-apa yang diperbuatNya sedang merekalah yang ditanyai-Nya” – Al Anbiya : 23

Sama ada kelakuan buruk mahupun kelakuan baik, esungguhnya semua itu bukan kelakuan makhluk tetapi adalah gerak dan kelakuan dari ketetapan Allah swt. Kita ini hanyalah sebagai hamba suruhan, kuli, yang kena perintah, yang kena suruh dan yang kena diperhambakan. Kita ini sebagai hamba seharusnya patuh , taat, akur dan menurut sehaja apa-apa perintah dan apa-apa ketetapan Allah yang azali.

Firman Allah swt bermaksud” Sesungguhnya segal-galanya telah kami jadikan sesuai dengan takdir yang ditentukan sebelumnya”- Al Qamar : 49

Sekali pandang memang kita kan menyangka bahawa perbuatan yang kita lakukan itu adalah datangnya dari usaha dan ikhtiar dari diri kita sendiri tetapi bagi yang berhati basyirah, mereka memandang segala-galanya yang baik dan segala-galanya yang buruk itu adalah datangnya dari Allah swt.

Firman Allah swt bermaksud ” Katakanlah bahawa segala kebaikan dan keburukan itu adalah dari Allah” – An Nisa’ : 78

Dari keterangan ayat-ayat diatas, segala-galanya telah nyata bahawa segala perbuatan dan kelakuan kita yang berlaku di alam ini sama ada baik mahupun buruk adalah datangnya dari Allah yang telah dirancangkan, ditetapkan dan disusun atur menurut kehendak Allah sejak azali lagi. Apa-apa gerak yang berlaku di alam ini dan di atas diri kita ini adalah sesungguhnya dari kelakuan dan perbuatan Allah swt.

Sesudah kita sedar , faham dan mengerti dengan nyata maka hendaknya kita kembalikan dan serahkan semula segala perbuatan atau fe’el perangai yang berlaku atas diri kita dan pada sekalian alam itu adalah datangnya dari Allah swt dan sudah selayaknya pula dikembalikan semula kepada tuan yang empunya iaitu kepada Allah swt Yang Maha Pemcipta.

Kita sebagai hamba tidak punya perbuatan, tidak punya daya upaya, tidak punya kuasa atau kudrat melainkan semua tingkah laku perbuatan dan pergerakkan itu adalah daya upaya dan kudrat serta iradat yang datangnya dari ketetapan dan ketentuan Allah SWT Yang Maha Berkuasa.

Kefahaman tentang mentauhid perbuatan Allah ( punca segala ketentuan dan ketetapan ) ini adalah amat penting dalam kita merasai kemanisan apa yang dinamakan sebagai IBADAT, IKHLAS, SABAR ,TAWAKAL dan dan sebagainya yang termasuk dalam sifat-sifat MAHMUDAH. Kefahaman ini hanya dapat diterokai dengan makam TAJRID. Bagi mereka yang masih berada pada makam ASBAB  mungkin amat jarang sekali dapat merasai kemanisan yang tersirat kecuali apabila segala usaha dan ikhtiar manusia itu tidak menghasilkan seperti yang dirancangkannya.

Kefahaman ini juga bukanlah tiket untuk melepaskan diri dari tanggungjawab sebagai seorang muslim. Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan dengan setiap apa yang dilakukan diatas muka bumi ini. Bersyukur kita kepada Allah swt kerana telah memilih kita untuk merasai nikmat yang paling besar di bumi ini iaitu nikamat IMAN dan ISLAM. Bersyukurlah kita kerana pada saat ini kita digerakkan oleh Allah untuk melakukan amal kebaikan dan bukannya kejahatan. Janganlah kita memandang hina orang yang jahil kerana mungkin dengan hidayahNya mereka itu akan lebih mulia dari kita ini. Jangan bangga diri dengan amalan yang telah kita kerjakan secara tersembunyi di dalam hati kerana itu merupakan ”penyakit hati” yang merosakkan hubungan kita dengan Allah swt.

Kefahaman di dalam memahami rahsia ilmu mengenal diri ini akan membuatkan seseorang itu lebih tawaduk dan lebih bersikap lemah lembut dengan seluruh makhluk yang ada di alam maya ini. ’Ala kulihal semuanya milik Allah swt.
---------------------------------------------------------------------------------------------------


HTML Comment Box is loading comments...

Sunday, 12 February 2012

Amalan Yang Suci





Perkongsian kali  ini mengajak kita merenung kepada amal yang kita anggap kecil, remeh dan tidak penting. Amal yang demikian kita lakukan seketika kemudian terus melupakannya. Misalnya, ketika kita sedang memandu, seekor anak ayam melintasi jalan di hadapan, kita memperlahankan kereta sehingga anak ayam itu selamat menyeberang. Misal yang lain, seekor lalat terjatuh ke dalam minuman kita, lalu kita keluarkannya dan membiarkan ia terbang pergi. Peristiwa seperti itu dialami dalam beberapa saat sahaja, bersahaja, tidak menyentuh jiwa dan kemudian dilupakan buat selama-lamanya. Amal yang seperti itulah yang perlu direnungkan kerana begitulah bentuk amal yang diterima oleh Allah s.w.t. Amal yang demikian keluar dari kemanusiaan yang asli dan murni. Keaslian dan kemurnian itulah yang hendak dihidupkan dalam setiap amalan, walau bagaimana besar sekalipun amalan itu. Apalah bezanya menyelamatkan seorang manusia dengan seekor lalat yang sama-sama lemas di dalam air. Allah s.w.t yang mengizinkan dan menggerakkan kamu untuk menyelamatkan lalat yang lemas itu. Allah s.w.t juga yang mengizinkan dan menggerakkan kamu menyelamatkan manusia yang lemas. Siapakah kamu, di manakah  kamu, apakah kekuasaan kamu, apakah tindakan kamu dalam peristiwa-peristiwa tersebut? Adakah berbeza kamu yang menyelamatkan lalat itu dengan kamu yang menyelamatkan manusia itu? Sekiranya seseorang itu tidak ada keegoan atau ketaksuban terhadap dirinya sendiri dan hatinya tawadhuk kepada Allah s.w.t, maka dia akan melihat Allah s.w.t yang menyelamatkan lalat dan Dia juga yang menyelamatkan manusia itu. Ambillah iktibar dari amal yang kecil-kecil dan dipandang remeh dalam membentuk amal yang besar-besar dan dipandang penting, supaya kamu tidak melihat kepada amal ketika beramal.
 
Nilai sesuatu amal terletak pada ikhlas yang mengiringi amal tersebut dan ikhlas melepaskannya. Biasa terjadi seseorang itu ikhlas ketika berbuat kebaikan tetapi keikhlasan itu terusik kemudiannya. Kebanyakan manusia enggan melepaskan perbuatan baik yang telah mereka lakukan. Mereka suka mengingati dan menyebut kebaikan tersebut. Perbuatan demikian boleh membawa seseorang jatuh ke dalam samaah, iaitu menceritakan kebaikan supaya dirinya diperakui dan disanjung sebagai seorang yang baik. Samaah menjadi minyak yang memudahkan riak menyala. Apabila riak sudah menyala segala kebaikan yang telah dibuatnya akan terbakar. Apa yang tinggal dalam simpanan akhiratnya hanyalah debu-debu yang tidak berharga. Orang tersebut akan menjadi orang yang memikul peti besi yang besar berisi debu untuk dibukakan di hadapan Tuhan. Mereka gembira di dunia tetapi kehampaan di akhirat.




Orang yang berada dalam suasana asbab perlu menghidupkan ikhlas dan memeliharanya agar tidak dirosakkan oleh ujub, riak dan sama'ah. Ikhlas dihidupkan dengan meniadakan kepentingan diri apabila berhubungan dengan orang lain. Ikhlas dipelihara dengan cara tidak mengikat kebaikan yang dibuat itu sama ada di mulut ataupun di ingatan. Serahkan segala kebaikan yang dibuat kepada Allah s.w.t, tidak perlu kita menyimpan di mulut kita. Ketahuilah, memelihara ikhlas lebih sukar daripada menghidupkan ikhlas. Seseorang hanya perlu berperang sekejap sahaja dengan nafsunya sebelum berjaya melakukan sesuatu perbuatan dengan ikhlas, tetapi dia perlu berperang dengan nafsunya sepanjang hayatnya untuk memelihara ikhlas yang sudah dilakukannya dahulu.
 
Walau melalui arah mana pun diperhatikan, persoalannya tetap kembali kepada hati. Hati menjadi medan perebutan kuasa di antara nafsu dengan ikhlas. Modal nafsu adalah kepentingan diri. Nafsu mengingatkan sesuatu yang dia ada kepentingan atau hak padanya telah dilepaskan kepada orang lain. Oleh kerana nafsu tidak mati maka ingatannya kepada yang kehilangan itu juga tidak mati. Jihad terhadap nafsu ini berpanjangan. Ikhlas adalah umpama bayi suci yang perlu dipelihara dan dilindungi daripada dibaham oleh harimau (nafsu).
 
Cara menundukkan harimau (nafsu) adalah jangan memberinya makan. Makanannya adalah cerita mengenai haknya yang telah terlepas ke tangan orang lain. Racun bagi harimau (nafsu) adalah cerita mengenai kebaikan Tuhan yang membahagikan nikmat yang tidak terhingga kepada makhluk-Nya. Penetapan hak Allah atau Allah jualah Pemilik sebenar, akan melindungi bayi suci daripada musuh-musuh yang mahu mencederakannya.


TIDAK ADA AMAL YANG DIHARAPKAN DITERIMA ALLAH S.W.T SELAIN AMAL YANG KAMU TIDAK MELIHAT KEPADANYA DAN MEMANDANGNYA KECIL ATAU REMEH.


APAKAH  BENAR PERBUATAN KITA TELAH  DIATUR , DIRANCANG DAN DITETAPKAN SEJAK AZALI?... InsyaAllah Musafir Faqir akan mengupas pada perkongsian yang akan datang...
------------------------------------------------------------------------------------------------------- 
HTML Comment Box is loading comments...

Friday, 10 February 2012

Kuasa Siapakah Ini?....


KUASA SIAPAKAH YANG BERKEHENDAK DI ATAS SEGALA GERAK AF’AL ?...

Firman Allah bermaksud ” Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu kecuali dengan cara yang diatur oleh  Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan  semesta alam” – At Ta’wir : 29

Bermaknanya disini bahawa, berkehendaknya kita itu adlah terlebih dahulu berkehendaknya Allah taala. Bermakna berkehendaknya kita itu adlah berkehendakmya Allah. Allah menetapkan kehendak kita itu lebih awal dari apa yang kita hendak kerjakan.  Maksudnya kehendak Allah itu mengatasi kehendak diri. Kehendak kita itu sudah termasuk dan mengikuti  dalam kehendak Allah sejak azali. Manusia tiada kehendak, tidak berkemahuan diri kita ini kalau tidak terlebih dahulu yang dikehendaki oleh Allah.

Setiap gerak daripada niat kita , setiap kerja yang diatur, setiap perilaku yang kita laksanakan sampailah kepada perjalanan darah di dalam tubuh, pengaliran peluh dan air liur serta termasuk perkara yang kita telah atur mahupun perkara yang tidak kita sedar semuanya dari gerak yang telah dikehendaki oleh Allah, yang direstui oleh Allah dan yang telah diredhai oleh Allah sebelumnya.

Firman Allah bermaksud ” Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engaku (wahai Muhammad) yang melimpar ketika engaku melimpar akan tetapi Allah jualah yang melempar , dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” – Al Anfal : 17

Ini menunjukkan bahawa segala perbuatan dan segala gerak adalah perbuatan dan gerak Allah. Bukannya perbuatan dan gerak dari kemahuan diri sendiri. Kita sebagai hamba tidak punya kuasa , tidak punya kudrat untuk menggerakkan sesuatu tanpa gerak dari Allah. Sebelum bergerak, sebelum sesuatu terjadi dan sebelum sesuatu berlaku, gerak itu sebenarnya telah tersedia di dalam ilmu Allah taala.

Firman Allah swt bermaksud ” Tidak ada sesuatu kesusahan ( atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi , dan tidak juga yang menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada di dalam Kitab ( pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikinan itu adalah mudah bagi Allah” – Al Hadid : 22

Sebelum sesuatu itu berlaku ianya telah sedia tercatat yang tidak akan ada perubahan lagi walau sepatah dan kitab asalnya tidak akan terpadam. Catatan dakwat Allah tidak lagi ada yang basah melainkan semuanya sudah kering sedari ditulis. Tiada lagi catitan baru atau perubahan. Allah bukan pembohong dan Allah bukan pendusta. Setiap yang dicatat itu adalah pasti, setiap yang ditulis itu adalah benar. Ianya pasti dan benar mengikut apa yang dicatat, yang tidak berubah dan tidak akan ada yang boleh menukar ketetapan itu.

Firman Allah bermaksud ” Tidak ada yang dapat mengubah kalimat Allah” – Al An’am : 34

Dalam penyerahan perbuatan, jangan kita lupa untuk menyerahkan sifat-sifat anggota yang lain seumpamanya sifat, nama dan zat. Semua sifat-sifat itu hendaklah juga dikembalikan kepada tuannya. Pemulangan segala sifat perbuatan bukan sahaja tertanggung atau terletak pada bahu manusia sahaja malah tertanggung juga kepada semua mahluk Allah. Termasuklah gunung-ganang, tunbuhan melata dan tumbuhan menjalar, ikan di lautan, burung dihutan, ulat dan cacing di dalam tanah juga tidak terkecuali melainkan semuanya akan kembali kepada Allah yang satu.

Firman Allah bermaksud ” Disisinya segala anak kunci yang ghaib, tiadalah yang mengetahuinya kecuali dia sendiri. Dia mengetahui apa-apa yang di daratan dan di lautan. Tiadalah yang gugur sehelai daun kayu pun melainkan Dia mengetahuinya dan tiada sebutir biji benih di dalam gelap gelita bumi dan tiada pula yang basah dan yang kering, melainkan semua itu tercatat di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang benar terang lagi nyata” – Al An’am : 59

Perhati dan perhatikanlah diatas dengan cermat. Ayat-ayat Allah yang terang lagi nyata itu sebagai kayu pengukur, kayu pengimbang untuk kita mematikan sifat keAKUan. Pulangkanlah harta Allah, kembalikanlah kepunyaan Allah itu kepada yang berhak. Pulangkanlah perbuatan diri kita, kembalikanlah kelakuan diri kita kepada tuan yang empunya.

Sekali lagi dijelaskan bahawa mati tabie atau mati perangai atau mati sebelum mati itu adalah bermaksud menghilangkan segala pendengaran, melenyapkan segala penglihatan, membinasakan segala daya usaha yang ada pada tubuh badan. Mengaku bahawa tiada sezarah pun yang lekat dan yang ada pada jasad kita ini melainkan kepunyaan Allah dan milik Allah swt.

Di dalam hati kecil kita, mungkin ada orang yang tertanya-tanya bahawa mana mungkin meletakkan Allah sebagai punca dari segala punca dan mana mungkin menuduh Allah menjadi sebab atas segala sebab dari perbuatan hambanya!...Allah Maha Suci dari yang keji, mana boleh menyalahkan Allah dalam kelakuan jahat mahlukNya.

Jika semua perbuatan baik dan perbuatan jahat mahluk datangnya dari Allah, kenapa Allah menghukum sesiapa yang melakukan kejahatan? . Kenape Allah menghukum sesiapa yang melakukan kejahatan? .
Sedangkan segala kejahatan dan kebaikan datangnya juga dari ketetapan Allah sendiri! Tentunya hati kecil kita mengatakan yang Allah itu tidak adil. Orang lain diberinya kaya manakala kenapa kita dijadikan miskin.

Masakan Allah yang membuat, merancang dan menetapkan segala punca kejahatan dan segala punca kebaikan, bila tiba di akhirat , kita pula yang dipersalahkan dan kita pula yang menanggung hukuman balasan azab dan seksa api neraka. Apakah ini yang dikatakan Allah itu adil?. Dia yang menentukan buruk baik kelakuan kita, sedangkan kita semua tidak minta dilahirkan dalam kejahatan , semua orang jahat berhajat kepada kebaikan. Sedangkan segala baik dan buruk telah Allah tetapkan sejak azali. Untuk menangkis tuduhan yang mengatakan Allah itu tidak adil, untuk menolak dakwaan yang mengatakan Allah itu zalim (Nauzubillah) maka ikuti kisah berikut ;

IKTIBAR : Kisah peniaga dengan buah kelapa dan buah tembikai.

Pada suatu hari yang panas terik, berjalanlah seorang peniaga kesuatu tempat untuk berniaga. Dalam perjalanan dia merasa penat kerana berjalan ditegah-tengah panas terik matahari. Badannya mula terasa letih. Di dalam kepenatan itu, datanglah sangka buruk terhadap Allah yang menghantui akal fikirannya. Lalu berkatalah terhadap Allah ”Aku telah bekerja keras siang dan malam, mengembara ke sana ke mari di dalam usaha mencari rezeki tetapi samapi kini hidup ku masih melarat dan tidak kunjung senang” . Setelah penat berjalan merentasi perjalanan jauh berhentilah peniaga ini buat seketika, berteduhlah dia di bawah bayang-bayang sepohon pokok kelapa, lalu terlena kerana kepenatan. Tiba-tiba dalam tidurnya (bermimpi) sebiji buah kelapa yang besar menimpa ke atas kepalanya, lalu pecah dan berdarahlah kepalanya. Terasa sakit yang tidak terhingga dan boleh membawa maut.



 Diraba kepalanya yang berdarah tadi, dengan harapan darah yang mengalir dapat dibendung  tapi ternyata darah tidak juga berhenti mengalir. Sekian lama darah mengalir dengan tidak berhenti-henti , disangkanya ketika itu sudah sampai ajalnya. Tidak ada lain difikirannya ketika itu melainkan akan mati. Disitu timbul difikirannya bahawa Allah itu zalim dan tidak adil. Kenapa buah kelapa yang tinggi itu menimpa kepalanya, sedangkan buah kelapa itu boleh jatuh ketempat lain dan ke arah yang lain selain atas kepalanya?. Kenapa kepalanya yang Allah takdirkan?. Baginya Allah memang zalim dan tidak adil. Dengan tidak semena-mena, bergoleklah sebiji tembikai terkena kepalanya lalu terjagalah dia dari tidurnya. Diraba-raba kepalanya disangkakan kepalanya itu betul-betul berdarah ditimpa buah kelapa. Ternyata itu sekdar mimpi. Dengan secara tidak disedari, terkeluar dari mulutnya ” Ya Allah Ya Tuhan ku, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Adil dan Yang Maha Penyayang” . Apabila kepalanya tidak luka dan hanya ditimpa nuah tembikai yang bergolek, dia berkata Allah itu adil dan penyayang. Adil Allah itu baginya apabila didapati yang menimpa kepalanya adalah sebiji buah tembikai bergolek dan bukannya buah kelapa yang tinggi. Adilnya Allah itu bila yang menimpa kepalanya adalah hanya sebiji buah tembikai yang menjalar dibumi dan bukannya buah kelapa yang tinggi melangit. CUBA KALAU BETUL-BETUL KELAPA DARI POKOK YANG TINGGI MENIMPANNYA, SUDAH TENTU DIA AKAN MENGATAKAN BAHAWA ALLAH ITU ZALIM DAN TIDAK ADIL.

Konsep ADIL bagi mereka, apabila bala yang menimpa itu bukan pada dirinya. Adil bagi mereka, bila bala itu terkena pada orang lain bukan dirinya. Jika perkara baik dan perkara untung mendatangi mereka, mereka akan kata Allah itu adil dan penyayang. Jika kecelakaan yang datang, mereka akan menuduh Allah itu zalim dan tidak adil. INILAH MANUSIA, MANUSIA ITU TIDAK AKAN PERNAH TAHU BERTERIMA KASIH DAN TIDAK AKAN TAHU BERSERAH DIRI.

Ini menggambarkan kepada kita bahawa, adil dan tidak adilnya Allah itu hanya bergantung kepada persepsi atau tanggapan kita sahaja. Bila berlaku yang baik, kita katakan Allah itu adil. Manakala bila berlaku yang buruk, kita katakan yang Allah itu zalim dan tidak adil, sedangkan keadilan Allah itu bukan hanya pada yang baik sahaja. ADILNYA ALLAH ITU MELIPUTI KEPADA SEMUA SAMA ADA YANG BAIK MAHUPUN YANG BURUK.

Adil Allah itu meliputi semua orang dan setiap detik setiap masa. Bagi mereka yang berilmu makrifat , mereka melihat kecelakaan itu sebagai nikmat, bukannya dipandang sebagai bala. Bagi mereka kelakuan baik dan kelakuan buruk itu dari Allah. KetetapanAllah itu Maha Adil dan Maha Sempurna. Bila bala dipandang nikmat, akan hilanglah perasaan bala. Manakalbila nikmat dipandang bala, akan hilanglah pula nikmat. Seandainya Allah itu hanya pandai membeuat sifat pendek dan tidak pandai untuk membuat sifat panjang, bermakna Allah tidak sempurna. Bagi menandakan Allah itu sempurna dibuatnya panjang, pendek, gemuk, kurus, kaya, miskin, sakit , sihat dan begitulah seterusnya.

Bagi menggambarkan Allah sempurna , Dia boleh buat segala-galanya. Tidak kira kaum , tidak kira bangsa dan tidak kira keturunan. Semua umat mahluk adalah hamba Allah. Baik Islam mahupun kafir, nikmat dan rahmat Allah itu meliputi kepada semua. Baik mahupun buruk yang Allah takdirkan atas diri kita itu adalah adil dan sempurna.

Seandainya Allah memberi sakit kepada orang Islam, Allah juga boleh memberi sihat kepada orang kafir. Kalau Allah memberi sakit kepada orang Islam, Allah juga boleh memberi sakit kepada orang kafir dan seterusnya. Tetapi sayangny abila ditimpa bala, kita kata Allah tidak adil, manakala bila mengecapi bahagia dikatakan Allah itu adil. Sebenarnya Allah itu adilNya meliputi untuk semuanya berjalan di atas kehendak dan keizinan Allah Taala belaka.



Hadis Nabis saw bermaksud ” Tidak bergerak wala sezarah pun kalau tidak dengan keizinan Allah ” .

Adapun cerita dari kisah peniaga dengan buah kelapa dan buah tembikai itu hanya sebagai halwa ditelinga tetapi bagi yang melihat dengan mata hati pasti terpancar jelas perkara yang tersirat disebalik yang tersurat. Dan ada juga yang tidak mampu melihat ”keberadaan Allah swt” dalam semua perkara yang berlaku.

Yang paling jelas tetapi ramai yang tidak mensyukuri adalah nikmat dikurniakan Iman dan Islam. Boleh sahaja Allah melahirkan kita dari rahim orang kafir, boleh sahaja  hari ini Allah jadikan kita bukan menganut agama Islam, boleh sahaja Allah menjadikan kita ini wujud dalam rupa haiwan. Tetapi sayang terlalu ramai manusia yang tidak nampak dengan sejelas-jelas hakikat kebenaran ini. Bila tidak nampak maka tidak hadir syukur dalam hati. Bila tiada syukur maka seringkali mempersalahkan Allah. Maka tidak mustahil mampu melihat ”perkara-perkara” yang lebih halus kerana yang jelas lagi terang dihadapan mata pun tidak pernah diterokai.

Ingatlah setiap perbuatan kita itu adalah IBADAT...setiap usaha itu adalah WAJIB... dan bukan hak kita mempersoalkan natijahnya.

Firman Allah bermaksud ” Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa-apa yang diperbuatNya sedang merekalah yang ditanyai-Nya” – Al Anbiya : 23

Firman Allah bermaksud ” Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu (dari tidur) padanya untuk disempurnakan ajal ( masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNya tempat kamu kembali, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan” – Al An’am : 60
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

Monday, 6 February 2012

Taqarrub Ilallah

Tidak sedikit yang salah faham tentang pengertian taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah). Taqarrub ilallah hanya dianggap sebagai ibadah ritual, seperti solat, puasa, haji, dzikir, dan sebagainya. Sedangkan pelaksanaan ajaran Islam dalam interaksi antara manusia seperti perjuangan menegakkan syariah dan menlaksanakan pemerintahan Islam, dianggap bukan taqarrub ilallah. Padahal sebenarnya tidak demikian.
Kesilapan pengertian taqarrub ilallah ini dapat terjadi setidaknya kerana dua faktor. Pertama, dominasi kefahaman sekularisme yang membatasi ruang lingkup agama hanya pada hubungan antara manusia dan Tuhan. Kedua, adanya ketidakfahaman mengenai konsep taqarrub ilallah itu sendiri.

Pengertian dan Ruang Lingkup Taqarrub Ilallah
Istilah taqarrub ilallah berasal dari nash-nash syara' yang membicarakan keupayaan pendekatan diri kepada Allah SAW. Antara lain hadis qudsi dari Nabi SAW bahawa Allah berfirman,"Tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih aku cintai daripada melaksanakan apa yang Aku wajibkan kepadanya, dan tidaklah hamba-Ku terus mendekatkan diri kepada-Ku dengan nafilah-nafilah (nawafil) hingga aku mencintainya." (HR Bukhari & Muslim, Fathul Bari, 18/342; Syarah Muslim, 9/35).

Dari frasa "mendekatkan diri kepada-Ku" (yataqarrabu ilaiyya) inilah kemudian lahir istilah taqarrub ilallah. Kata "taqarrub" secara bahasa artinya adalah mencari kedekatan (thalab al-qurbi). Jadi taqarrub ilallah artinya secara bahasa adalah mencari kedekatan dengan Allah. (Ibnu Hajar Al-Asqalani, Fathul Bari, 18/342).

Dari pengertian bahasa inilah para ulama berusaha merumuskan pengertian taqarrub ilallah secara syar'i. Para ulama, seperti Imam Nawawi dan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, menyatakan arti kedekatan secara fisik antara manusia dan Allah dalam erti jarak (masafah) jelas adalah mustahil. Jadi hadis Nabi SAW di atas tidak dapat diertikan menurut erti hakikinya, melainkan harus difahami dalam erti majazinya (erti kiasan) yang telah masyhur dalam gaya bahasa orang Arab. Maka dari itu, makna syar'i dari taqarrub ilallah adalah melaksanakan ketaatan kepada Allah dengan menjalankan kewajiban-kewajiban yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. (Fathul Bari, 21/132; Syarah Muslim, 9/35; Al-Muntaqa Syarah Al-Muwaththa`, 1/499; Syarah Bukhari li Ibn Bathal, 20/72).

Secara lebih rinci, Ibnu Rajab Al-Hanbali dalam kitabnya Jami' Al-'Ulum wa Al-Hikam (38/9-12) menerangkan ruang lingkup taqarrub ilallah. Menurut beliau, orang yang melakukan taqarrub ilallah ada dua golongan. Pertama, orang yang melaksanakan kewajiban-kewajiban (ada` al-faraidh), yang meliputi perbuatan melakukan yang wajib-wajib (fi'lul wajibat) dan meninggalkan yang haram-haram (tarkul muharramat), sebab semuanya termasuk yang diwajibkan Allah atas hamba-Nya. Contohnya, mengerjakan solat lima waktu. Kedua, orang yang melaksanakan yang sunnah-sunnah (nawafil), misalnya solat tahajjud dan tarawih.
Dari penjelasan di atas, jelaslah bahwa taqarrub ilallah bukan hanya berupa ibadah mahdhah semata, melainkan mencakup semua aktivitas untuk melakukan yang wajib-wajib dan yang sunnah-sunnah. Baik itu berupa ibadah mahdhah maupun berupa aktiviti  interaksi antara manusia. Termasuk juga taqarrub ilallah adalah aktiviti meninggalkan segala perkara yang haram-haram, dan juga yang makruh-makruh. (Ibnu Rajab Al-Hanbali, Jami' Al-'Ulum wa Al-Hikam, 38/12).

Maka dari itu, berdakwah untuk memperjuangkan syariah adalah taqarrub ilallah, sebagaimana solat dan puasa. Sebab berdakwah adalah suatu kewajiban. Demikian pula menuntut ilmu, berbakti kepada orang tua, membayar utang, bekerja mencari nafkah juga taqarrub ilallah, sebagaimana berhaji dan berzakat. Sebab semuanya adalah kewajiban yang ditetapkan Allah SWT. Demikian pula bersedekah dan tersenyum kepada sesama muslim adalah taqarrub ilallah, sebagaimana menyembelih korban dan puasa Isnin dan Khamis, sebab semua itu adalah sunnah yang disukai dalam Islam. Meninggalkan segala bentuk riba, zina, rasuah, dan arak juga merupakan taqarrub ilallah, karena meninggalkan yang haram-haram juga merupakan taqarrub ilallah. Tidak makan makanan yang berbau tajam sebelum pergi ke masjid juga taqarrub ilallah, sebagaimana tidak berbicara dalam bilik mandi. Sebab keduanya adalah perbuatan yang makruh hukumnya. 


Namun dalam perkongsian kali ini, Musafir Faqir terpanggil untuk berkongsi perkara yang tersirat disebalik Taqarrub Ilallah sebagai mana pandangan arifillah melihat perkaitan  ”perlakuan mahluk” dan ”perbuatan Allah SWT”. 

Firman Allah swt bermaksud ” Allah menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu perbuat” – As Shaffat :96 .

Pengertian perkataan ”apa-apa yang kamu perbuat” bermaksud ”segala-galanya”. Segala apa yang kita perbuat , segala apa yang kita lakukan dan segala apa yang kita kerjakan adalah datangnya dari Allah. Daripada sekecil-kecilnya sampailah kepada yang sebesar perbuatan. Sama ada yang diperbuat secara terang-terangan mahupun yang terselindung, disengajakan mahupun yang tidak disengajakan dan sama ada perbuatan itu baik mahupun yang buruk.

Sama ada yang ma’aruf mahupun yang mungkar, semua itu sesungguhnya datang daripada perbuatan yang maha pencipta. Allah swt telah berfirman bahawasanya segala itu datangnya daripada Allah. Inilah rahsia tersirat disebalik TAQARRUB ILALLAH dengan memahami konsep mati Af’al (mati fe’el) atau penyerahan perbuatan. Allah yang mencipta dan yang menjadikan segala perbuatan dan segala kelakuan. Diri kita hanya boleh melakukan mengikut ketetapan yang telah Allah tetapkan sejak azali. Gerak akal, gerak hati dan buah fikiran yang kita terjemahkan kepada kehidupan seharian, adalah merupakan sebahagian daripada gerak perbuatan dan sebahagian daripada gerak kelakuan, yang mana perbuatan dan kelakukan itu adalah juga merupakan gerak dari Allah, sama ada baik mahu pun yang buruk.

Firman Allah swt bermaksud ” Allah yang mencipta tiap-tiap sesuatu dan Dia menjadi wakil pada tiap-tiap sesuatu” – Az Zumar : 62

Allah yang mencipta dan yang menjadikan segala sesuatu dan kepada Allah jugalah dikembalikan segala sesuatu. Inilah yang dimaksudkan dengan mati tabi’e ( mati perangai, mati perbuatan, mati kelakuan atau mati gerak) . Maksud mati bukan bererti mati terpisahnya nyawa dari badan tetapi yang dimaksudkan dengan mati perangai atau mati perbuatan adalah MEMULANGKAN SEGALA PERBUATAN,MEMULANGKAN SEGALA KELAKUAN, MEMULANGKAN SEGALA FE”EL, segala perangai, segala nafsu dan segala kehendak kepada Allah swt. 

Dia menjadi wakil pada tiap-tiap sesuatu” . Allah yang menjadi wakil dalam segala af’al mahlukNya. Allah yang menjadi wakil berjalan bila kaki melangkah, wakil melihat bila mata memandang. Allah menjadi takbir bila tangan diangkat. Allah menjadi rukuk dan sujud bila anggota bersembahyang, yang menjadi wakil untuk bergerak itu adalah Allah. Selaku wakil, Dialah yang bertanggungjawab dalam segala hal. Kita tidak perlu buat apa-apa, serah saja pada wakil kita menjalankan tugasNya. Apabila kita melantik penguam sebagai wakil dalam sesuatu perbicaraan, kita tidak perlu bercakap dalam mahkamah. Semuanya terserah atas kebijaksanaan wakil kita (peguam) untuk bercakap dalam mahkamah.Begitu juga halnya dalam hubungan kita dengan Allah. Apabila Allah sendiri yang mengaku yang diriNya mencipta sesuatu dan menjadi wakil atas tiap-tiap sesuatu. Bermaknanya disini, kita berserah kepada Allah, telah lepas tangan kepada Allah, lepas tanggungjawab kepada Allah. Konsep ini juga terjemaah dalam penyerahan af’al kepada Allah ( mati perangai).

Dengan mengaku bahawa segala kelakuan adalah kelakuan dari Allah, segala perbuatan dan perangai dari af’al Allah dan segala gerak adalah gerak dari Allah swt. Sifat kita sebagai mahluk sedikit pun tidak boleh bergerak, tanpa izin dan gerak dari Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan mati tabi’e (mati perangai atau mati kelakuan).
Dari Allah datangnya segala-gala punca perangai, punca kelakuan dan punca perbuatan. Dari Allah datangnya punca segala sebab. Kembalikan segala apa perbuatan atau kelakuan kepada tuan yang empunya perbuatan iaitu Allah. Inilah yang dikatakan mengenal Allah melalui penyerahan perbuatan atau TAQARRUB  ILALLAH. 

Firman Allah swt bermaksud ” Katakanlah bahwa segal-galanya adalah datangnya dari Allah. Mengapa kamu hampir tidak mengerti perkataan itu?” .- An Nisa : 78

Firman Allah swt bermaksud ” Sesungguhnya segala-gala sesuatu telah Kami jadikan sesuai dengan takdir yang telah ditentukan sebelumnya” – Al Qamar : 49

Dari firman-firman diatas, tidakkah kita percaya dan tidakkah kita yakin! . Segala perbuatan datangnya dari Allah dan telah ditakdirkan Allah semenjak azali. Allah mengetahui sesuatu yang bakal terjadi pada masa dan tempat yang ditentukan. Percaya dan yakinlah dengan sepenuh kepercayaan bahawa sesuatu pergerakkan itu terjadi menurut ketentuan takdirnya Allah.

Mereka yang berpandangan makrifat, sememangnya sudah lama mematikan sifat keAKUannya dengan mengembalikan perangai, mengembalikan kelakuan, mengembalikan perbuatan gerak dan mengembalikan sifat tabi’e kepada Allah, Tuhan semesta alam lagi berkuasa di dunia dan juga di akhirat.


Dengan cara melepaskan sifat keAKUan kepada Allah, maka terlepaslah kita dari dakwaan Allah swt. Allah meminta hamba-hambaNya memulangkan dan mengembalikan hakNya. Diantara hak Allah yang minta dipulangkan dari hamba-hambaNya adalah kelakuan dan fe’el perangai diri. Inilah perkara yang menjadi tuntutan Allah dan inilah yang menjadi dakwaan Allah atas sifat hambaNya. Perkara perbuatanlah (mati af’al) yang akan Allah tanya, yang akan Allah soal, yang akan Allah dakwa dan yang akan Allah tuntut di alam barkzah kelak. Seandainya kita serahkan semuanya kepada Allah sebagai ”wakil” kita , maka terlepaslah kita dari segala dakwaan dan tuntutan Allah terhadap af’al perangai kita. Apabila segalanya telah kita serahkan kepada Allah, itu telah dianggap sudah menjadi milik Allah, bukan milik kita. Pada ibaratnya seolah-olah ianya telah bertukar tangan dari milik kita yang asalnya, kini telah menjadi milik Allah sepenuhnya. Bagi mereka yang telah menjual dirinya kepada Allah pada bahasa kiasannya. Allah yang menjadi wakil bagi pihak dirinya dalam segala peri laku. Setelah semuanya telah menajdi milik Allah, apa lagi yang hendak disoal dan ditanya?. Yang ditanya dan yang disoal itu adalah orang yang belum berserah kepada Allah. Orang yang akan ditanya itu adalah orang yang menajdikan hak Allah sebagai haknya.

Orang yang ditanya itu seumpamanya mengaku dirinya kuat, gagah, cantik, kaya dan mulia tanpa dikembalikan kepada Allah. Begitulah juga bagi mereka yang mengakui dirinya yang solat, yang puasa dan sebagainya. Mana satu perbuatan kita?.... Juga orang yang akan ditanya itu adalah orang yang menduakan Allah seumpama mengaku bahawa ubat dan jampi serapah yang menyembuhkannya dari sakit, takut mati kerana senapang, takut mati kerana digigit harimau, takut hantu atau takut kuburan. 

Firman Allah swt bermaksud ” Merekakah yang diciptakan dari sesuatu atau merekakah sebagai penciptanya?” – At Thur : 35

Allah bertanya kita dan bertanya kepada semua sekalian mahluk ciptaanNya, apakah kita mencipta sesuatu atau kita yang kena cipta?. Firman ini menunjukkan bahawa yang mencipta segala sesuatu perbuatan dan segala sesuatu perangai itu adalah dari Allah.

Hendaklah kita semua ingat bahawa sebelum zahirnya kita ke alam dunia, kita telah membuat sesuatu ikrar, sumpah, akujanji, perjanjian dan pengakuan dengan Allah. Semasa di alam roh dulu, kita berjanji dengan Allah untuk tidak menduakan, mensyarikat dan menyekutukan Allah dengan barang apapun sekali pun. Bila tiba di dunia, lain pula jadinya. Kita jadi lupa akan janji kita dengan Allah. Kita berjanji untuk mengembalikan semula barang yang kita pinjam (diri) kepada Allah, mengaku bahawa hidup dan mati kita ini, semuanya akan menjadi milik Allah dan semuanya menjadi hak Allah. Bila lahir ke dunia, kita sudah menjadi lupa diri. Kita mungkir janji kita sendiri!..

 Firman Allah swt bermaksud ” Maha suci Allah yang ditanganNya milik tiap-tiap sesuatu dan kepadaNya kamu dikembalikan”- Yassin : 83

Allah ditanganNya milik sesuatu” ertinya disini, bahawa ditangan Allah terletaknya sebarang keputusan sama ada baik atau buruk dan padaNya juga penentu dan pemilik mutlak sesuatu. Maksud perkataan sesuatu itu termasuklah perilaku diri, apa yang diperbuat oleh diri kita dan apa-apa yang diperbuat oleh anggota. Kemudian Allah lanjutkan lagi dengan ayat ”kepadaNya kamu dikembalikan” . Erti dikembalikan itu, bukan sekadar maksud sesudah mati tetapi dikembalikan semasa sebelum mati. Kembalinya kita sesudah mati, itu adalah satu kePASTIan. Mengembalikan sebelum mati itu adalah satu keWAJIBan.  Kembalikan segala jiwa dan raga, sifat tubuh badan, cita rasa, kemahuan, hajat, kehendak, perlakuan, fikiran, hidup dan mati serta segala-galanya kepada Allah swt.

Inilah kaedah ilmu makrifat dalam menterjemahakan mati fe’el (mati perbuatan) dalam TAQARRUB ILALLAH sesuai dengan rukun iman yang ke-6 iaitu Percaya kepada Qada’ dan Qadar.  Allah bukan minta dikembalikan mayat yang busuk. Allah bukan minta dikembalikan jasad kaku yang kotor dan cemar. Sebagaimana suci bersih asal mula kedatangan semasa kelahiran , sebegitulah hendaknya dikembalikan kepada Allah swt.

Bagaimana kosong kita datang, kosong jugalah kita pulang. Dulu kita datang dengan tangan kosong tidak punya apa-apa. Kembalinya kita jangan pula membawa dosa syirik kerana mengatakan hak Allah sebagai hak kita. 

Maka sesungguhnya TAQARRUB ILALLAH itu ada padanya perbuatan JASAD dan ada padanya perbuatan ROH. Sama ada kita dapat melihat yang tersirat dalam yang tersurat, bergantung kepada diri sendiri. Tepuk dada tanya iman. 

Kesimpulannya, TAQARRUB itu ertinya mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan amal soleh dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak. Persoalannya, adakah kita berTAQARRUB tetapi dalam masa yang sama mengatakan hak Allah sebagai hak kita?... renung-renungkanlah.

’Alakulihal...man jadda wa jada...man arafa nafsahu fakad arafa rabbahu...waman arafa rabbahu pasadal jasada.

----------------------------------------------------------------------


HTML Comment Box is loading comments...

Sunday, 5 February 2012

Ya Rasullulah...Aku merinduimu...Terlalu merinduimu...







--------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...