Photobucket

Tuesday, 15 May 2012

Arifillah





Insan adalah ciptaan Allah s.w.t yang paling istimewa kerana padanya digabungkan aspek zahir dengan aspek batin. Aspek zahirnya menyerupai alam semesta dan aspek batinnya berkaitan dengan hal-hal ketuhanan. Hal-hal ketuhanan yang menyinari batin manusia itulah yang menyebabkan sekalian malaikat diperintahkan sujud kepada Adam a.s, bapa kepada sekalian insan.

Firman Allah swt bermaksud :
 “(Ingatkanlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam - dari tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya”.- Saad : 71 & 72



Hati nurani atau rohani manusia ada perkaitan dengan roh urusan Allah s.w.t. Ini yang menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling mulia, sehingga malaikat diperintahkan sujud kepada manusia. Roh urusan Allah s.w.t menjadi nur yang memberi petunjuk kepada manusia. Hati nurani yang diterangi oleh nur ini akan terpimpin kepada jalan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t itulah yang memungkinkan segala urusan sampai kepada Allah s.w.t, termasuklah ibadat, amalan, doa, rayuan dan apa sahaja yang manusia lakukan. Orang arifbillah menyedari dan menghayati hakikat ini. Kesedaran terhadap roh urusan Allah s.w.t itu membuat mereka menjadikan benar dalam ubudiyah (kehambaan) sebagai tujuan hidup mereka dan pada masa yang sama juga mereka menunaikan hak ketuhanan. Kehambaan dinyatakan melalui syariat:
 
Firman Allah swt bermaksud :
”Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat-Ku”.- Adz Dzariyat : 56
 
Hak ketuhanan Allah s.w.t pula dinyatakan melalui pandangan hakikat:
 
Firman Allah swt bermaksud :
“Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus”.- Hud : 56

”Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir)”.- Al Anfaal : 17  



Jalan syariat memperbaiki amal dan jalan hakikat pula menyaksikan Rububiyah, tidak luput dari Hadrat Allah s.w.t dalam segala perkara dan pada setiap masa. Bila dua jalan tersebut berpadu sebagai satu jalan, lahirlah amal zahir dan amal batin yang tidak bercerai tanggal. Orang arifbillah bersungguh-sungguh mengerjakan tuntutan syariat dan pada masa yang sama beriman serta bertawakal sambil menyaksikan hakikat ketuhanan (Rububiyah) menguasai segala sesuatu.
 
Tidak ada yang hidup, yang berkuasa, yang berkehendak, yang mengetahui, yang mendengar, yang melihat dan yang berkata-kata melainkan semuanya di bawah urusan Rububiyah. Apa sahaja yang berada di dalam genggaman  atau diheret oleh Rububiyah itu dinamakan ubudiyah. Rububiyah adalah kewujudan yang memerintah dan ubudiyah pula kewujudan yang diperintah.
Hati yang suci bersih, apabila disinari oleh Nur Ilahi, berpeluang mengembara secara kerohanian dari ubudiyah kepada Rububiyah untuk memperolehi makrifat-Nya. Pengembaraan kerohanian bermula dari alam kebendaan (nasut), naik ke alam lakuan (malakut) dan seterusnya ke alam sifat (Jabarut). 

Kemudian dia melalui asma’ (nama-nama Allah s.w.t) dan hakikat segala sesuatu. Seterusnya dia mencapai fanafillah (hilang lenyap kesedaran diri di bawah penguasaan Allah s.w.t). Setelah melepasi daerah fana dia masuk kepada daerah baqabillah (kesedaran kekal bersama-sama Allah s.w.t). Kemudian dia turun kepada kesedaran sifat (Jabarut). Di dalam daerah ini dia mengenali hakikat dirinya dan Hakikat Insan (manusia), iaitu suasana Rububiyah yang menguasai sekalian manusia dan juga dirinya. Bila dia turun lagi, dia kembali kepada alam insan semula, memikul amanah sebagai khalifah Allah yang bertanggungjawab menjalankan perintah Allah s.w.t di atas muka bumi ini. Salik yang telah menyempurnakan pengembaraannya dan mendapat amanah kekhalifahan itulah yang dinamakan arifbillah. Martabat ini dicapai dengan menghapuskan segala kepentingan diri sendiri ke dalam kefanaan Allah s.w.t, sehingga mencapai makam baqa.




Orang arifbillah mengalami dan mengenali suasana ubudiyah dan Rububiyah. Dia telah berjaya menyatukan syariat dan hakikat. Taat kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan mematuhi perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya dan berjalan sesuai dengan Sunah Rasulullah s.a.w, adalah tujuan dan maksud orang arifbillah. Mereka kuat melakukan amal ibadat tetapi tidak melihat kepada amal itu. Segala sesuatu dikembalikan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang memberi petunjuk dan Dia juga yang memberi kekuatan untuk melakukan ketaatan kepada-Nya. Tidak ada yang berlaku melainkan di bawah takluk Kudrat dan Iradat Allah s.w.t jua.
 
Kearifan tidak berpisah dengan ubudiyah. Rasulullah s.a.w merupakan manusia yang paling arif dan baginda s.a.w jugalah yang menjadi manusia yang paling kuat berbuat ubudiyah di antara sekalian makhluk.

MAKSUD DAN TUJUAN ORANG ARIFBILLAH ADALAH BENAR DALAM UBUDIYAH (KEHAMBAAN) DAN MELAKSANAKAN HAK-HAK RUBUBIAH (KETUHANAN).
------------------------------------------------------------------------------------ 
HTML Comment Box is loading comments...

Thursday, 10 May 2012

Iman & Islam


Bismillahirrahmanirrahim.... Assalamualaikum wbt... Alhamdulillah kita bertemu lagi...Ayuh! kita teruskan kembara sufi ini... tinggalkanlah semuanya kedukaan dan kesedihan itu. Kedukaan dan kesedihan itu umpama beban yang kita pikul di sepanjang kembara sufi ini. Berjalan sambil memikul bebanan yang bukan sepatutnya yang perlu dibawa adalah sia-sia....Ayuh! kita teruskan kembara sufi ini....

Nikmat yang paling besar dalam dunia ini yang dikurniakan kepada manusia terpilih  adalah Iman dan Islam. Hamba Allah s.w.t yang memperolehi kedua-dua rezeki tersebut menjadi insan yang beriman dan beramal salih. Tidak ada amal salih tanpa iman dan tidak ada kenyataan iman tanpa amal salih. Ayat-ayat al-Quran sering menggandingkan iman dan amal salih sebagai satu, tidak diceraikan. Orang yang mengaku beriman tetapi tidak beramal menurut apa yang diimaninya adalah dianggap sebagai orang yang berbohong, sementara orang yang melakukan amal sedangkan hatinya tidak beriman adalah munafik. Kesempurnaan seorang insan terletak pada gandingan kedua-duanya, iaitu iman dan amal salih.
 
Islam bererti tunduk patuh kepada Allah s.w.t dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Orang Islam adalah orang yang bertaklid melulu kepada Allah s.w.t. Segala fikiran dan kehendak menjurus sepenuhnya kepada apa yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t, yang dibawa oleh Rasul-Nya. Akal, perasaan dan perbuatan tunduk kepada ketentuan Allah s.w.t. Ketaatan kepada Allah s.w.t mencakupi lahir dan batin. Perbuatan lahir sesuai dengan tuntutan syariat dan perbuatan batin pula mengikhlaskan hati semata-mata kerana Allah s.w.t. Memelihara sempadan yang ditentukan oleh Allah s.w.t secara lahir dan batin menghasilkan takwa. Semulia-mulia hamba di sisi Allah s.w.t adalah orang yang paling bertakwa. Takwa tidak diperolehi tanpa amalan Islam. Islam sudah cukup lengkap. Segala perintah yang meliputi suruhan dan tegahan sudah pun dibentangkan di hadapan mata. Tidak usah menunggu perintah yang lain lagi.
 
Jika Islam melahirkan amal salih, iman pula melahirkan penyaksian mata hati (musyahadah) terhadap ketuhanan Allah s.w.t pada setiap pandangan kepada segala perkara. Allah s.w.t berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya…” – An Nisaa’ : 136
 
Ayat di atas ditujukan kepada orang yang sudah beriman. Mereka sudah pun beriman tetapi masih digesa supaya beriman. Iman pada tahap permulaan berdasarkan dalil- dalil dan pembuktian. Kemudian mereka diajak pula kepada iman dengan penyaksian mata hati, menyaksikan Rububiyah yang tidak pernah berpisah daripada ubudiyah. Tanpa penyaksian terhadap Rububiyah segala amal tidak berguna kerana orang yang beramal menisbahkan amal itu kepada dirinya sendiri, sedangkan tiada yang melakukan sesuatu melainkan dengan izin Allah s.w.t, dengan Kudrat dan Iradat-Nya, dengan Haula dan Kuwwata-Nya. 

Himpunan amal sebesar gunung tidak dapat menandingi iman yang sebesar zarah. Orang yang beriman dan menyaksikan Rububiyah pada segala perkara dan semua amal itulah orang yang memperolehi nikmat yang sempurna lahir dan batin, kerana hubungannya dengan Allah s.w.t tidak pernah putus. Orang inilah yang berasa puas dengan berbuat taat kepada Allah s.w.t dan berasa cukup dengan-Nya, kerana tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t dan tidak berlaku sesuatu perkara melainkan menurut ketentuan-Nya. Apa lagi yang patut dibuat oleh seorang hamba melainkan taat kepada-Nya dan menerima keputusan-Nya.
------------------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

Tuesday, 8 May 2012

Kedudukan Hamba Di Sisi Allah





Bismilillahirrahmannirrahim…. Assalamualaikum wbt… Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah swt kerana dengan limpah kurniaNya maka kita dapat bertemu untuk post yang terkini. Alhamdulillah kerana dengan izinNya kita dapat meneruskan perkongsian ilmuNya. Tidak dinafikan ada diantara post-post di blog ini agak sukar difahami dan ada juga yang mudah difahami. InsyaAllah Musafir Faqir akan cuba menggunakan bahasa yang paling mudah untuk para pembaca agar kefahaman mudah timbul dari pembacaan di blog ini. Perkongsian kali ini Musafir Faqir mahu menyentuh mengenai kejahilan ahli hakikat. Ramai yang tahu dan pernah dengar tentang ahli syariat, ahli tarekat, ahli sufi dan ahli hakikat tetapi lebih ramai yang tidak faham perbezaan dan kedudukan ahli-ahli ini malahan bahasa penyampian mereka juga berbeza bila mengupas sesuatu perkara. 

Sebelum hendak mengaji ilmu hakikat banyak perkara-perkara penting yang Musafir Faqir hendak perjelaskan di sini. Musafir Faqir  bukanlah  melarang pembaca mengaji ilmu hakikat tetapi silakan mengaji kalau sudah cukup syarat-syaratnya .

Ulamak-ulamak terdahulu sangat melarang keras mengaji ilmu hakikat sebelum kemas diri dengan ilmu syariat dan ilmu tarekat. Perkemaskan diri dengan ilmu-ilmu fardhu ain , ilmu usul , ilmu fekah dan ilmu tasauf , kemudian mulakan melangkah ke pengajian tarekat. cari guru-guru atau syeikh-syeikh  tarekat yang muktabar lagi mursyid. Selepas itu barulah boleh mengaji ilmu hakikat.



Hendaklah difahami betul-betul wahai pembaca sekelian , apabila kita sudah melangkah ke pengajian ilmu hakikat bukan bermakna kita telah tahkik dan duduk di dalam makam ahli hakikat. Ahli hakikat adalah mereka-mereka yang telah mencapai makam-makam tertentu setelah menjalani mujahaddah dan riadhah. Seorang yg Ahli Hakikat adalah tidak sama dengan seorang yang hanya belajar ilmu Hakikat. Sebab segala pembelajaran ilmu itu hanya kupasan dari rasa ilmu yang dirumuskan oleh para-para sufi terdahulu. Mereka menceritakan dalam bentuk ilmu dan kenyataan bertulis.

Perkara biasa sekiranya seseorang itu diganggu oleh keinginan mahu mengetahui kedudukannya. Keinginan yang baik tidak lahir dari perasaan mahu menunjuk-nunjuk atau mahu bermegah-megah dengan pencapaiannya. Sebenarnya dia memerlukan pendorong bagi mendapat keyakinan yang teguh. Keinginan yang bertujuan meneguhkan keyakinan tidak dianggap tercela. Nabi Ibrahim a.s pernah memohon kepada Allah s.w.t agar diperlihatkan kepadanya bagaimanakah mereka yang telah hancur menjadi tanah dibangkitkan semula, bagi menambah dan memperteguhkan keyakinan beliau a.s. Wali-wali Allah dikurniakan kekeramatan sebagai menyokong dan memperkuatkan keyakinan mereka. Orang yang masih di dalam perjalanan juga memerlukan penyokong bagi memperbaharui semangat juang dan memperkukuhkan keyakinannya. Salah satu caranya adalah melihat kepada kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t telah menetapkan beberapa darjat dan memperlihatkan tanda-tanda bagi darjat masing-masing. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Jika Allah s.w.t kasih kepada seseorang hamba maka diuji-Nya dengan bala, jika dia sabar dipilih-Nya dan jika dia reda diistimewakan-Nya”. ( Maksud Hadis )

Lihatlah kepada diri kita. Jika kita dikenakan bala itu tandanya kita berada di dalam golongan hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Hamba yang dikasihi adalah hamba yang sabar dan reda. Jika tidak ada sabar dan reda itu tandanya kita terkeluar daripada kedudukan hamba yang dikasihi, bala yang dikenakan kepada kita merupakan hukuman terhadap dosa yang kita lakukan. Hamba yang sabar ketika menerima bala adalah hamba yang dipilih oleh Allah s.w.t, kerana hanya yang dipilih oleh-Nya sahaja yang diperteguhkan dengan kesabaran, manakala hamba yang dijauhkan dibiarkan hanyut di dalam keperitan bala. Jika hamba itu naik pula dari sabar kepada reda, itu menunjukkan dia diistimewakan kerana hanya hamba yang istimewa sahaja yang dikurniakan reda, sebab reda mencairkan kesakitan dan keperitan bala lalu menukarkannya menjadi nikmat.

Allah s.w.t berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka;”- Al Anfaal : 2

“Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal salih); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka”.- As Sajdah : 15-16 

Allah s.w.t menerangkan dengan jelas tentang keadaan hamba-hamba-Nya yang berada dalam makam Mukmin. Lihatlah kepada diri kita dan jawablah sendiri adakah tanda-tanda Mukmin itu ada pada kita atau tidak ada. Jika tidak ada, perbanyakkan sembahyang malam dan bersedekah.

Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah s.w.t hendaklah ia melihat (dalam hatinya) bagaimana keadaan Allah s.w.t pada sisinya, kerana Allah s.w.t mendudukkan hamba-Nya menurut ukuran si hamba itu mendudukkan Allah s.w.t pada dirinya”. ( Maksud Hadis)

Allah s.w.t berfirman dalam Hadis Qudsi: ”Aku adalah sebagaimana sangkaan hamba-Ku, maka hendaklah dia menyangka dengan apa yang dia kehendaki”.

Perkara pokok dalam memahami kedudukan kita di sisi Allah s.w.t adalah dengan melihat bagaimana keadaan hati kita terhadap Allah s.w.t. Jika hati kita lalai dari mengingati Allah s.w.t maka kedudukan kita adalah hamba yang lalai. Jika hati kita kuat bergantung kepada amal maka kedudukan kita adalah ragu-ragu dengan jaminan Allah s.w.t. Jika hati kita kuat bertajrid itu tandanya kita didudukkan hampir dengan-Nya. Jika kita sabar menghadapi ujian bala itu tandanya kita didudukkan dalam golongan pilihan. Jika kita reda dengan apa juga takdir Allah s.w.t itu tandanya kita didudukkan dalam kumpulan yang diistimewakan. Jika kita merasakan diri kita kosong dari segala sesuatu, yang ada hanya Allah s.w.t, itu tandanya kita berada di dalam makam makrifat. 

Jika kita berasa senang dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w itu tandanya kita orang Islam. Jika gementar hati kita bila mendengar peringatan kepada Allah s.w.t dan mendengar ayat-ayat-Nya dibacakan itu tandanya kita seorang Mukmin. Jika sifat benar sebati dengan kita dalam segala keadaan itu tandanya kita seorang muhsinin. Jika kita menjalankan perintah Allah s.w.t dengan tepat, bersungguh-sungguh meninggalkan larangan-Nya itu tandanya kita seorang muttaqin. Jika kita berasa akan kehadiran Allah s.w.t pada setiap ketika itu tandanya kita seorang muqarrabin. Jika kita merasakan wujud diri kita lebur di dalam Wujud Mutlak itu tandanya kita seorang ariffin. 

Jika kita gemar menangis dalam mengingati Allah s.w.t di samping melihat bala dan nikmat, senang dan susah, sihat dan sakit, penolakan dan penerimaan dan segala perkara yang bertentangan tidak lagi berbeza pada penglihatan mata hati kita itu tandanya kita dikuasai oleh Cinta Allah s.w.t. Jika apa sahaja yang kita hadapi memperlihatkan Wujud Allah s.w.t itu tandanya kita baqa atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Lihatlah di mana kita didudukkan, di situlah kedudukan kita di sisi Allah s.w.t.
--------------------------------------------------------------------------------------------------


HTML Comment Box is loading comments...

Friday, 4 May 2012

Hati Mukmin Di Penjara Dunia


Assalamualaikum wbt.... Semoga Jumaat kali ini lebih menceriakan hidup kita semua...Semoga kita mendapat rahmatNya selalu... Jumaat hari ini tidak sama dengan Jumaat yang lepas dan Jumaat hari ini tidak sama dengan Jumaat yang akan datang... Adakah ini Jumaat terakhir kita?.... Astaqfirullah hal ’azim la hau la wala kuwata illa billa.... Adakah kita telah bersedia menerima kunjungan mahluk Allah bernama  Izrail?.... Astaqfirullah hal ’azim la hau la wala kuwata illa billa....

Dunia dan manusia ditentukan dengan ajal. Ajal bagi manusia adalah maut, dan ajal bagi dunia adalah kiamat. Umat manusia yang terdahulu hidup sehingga melebihi seribu tahun. Umat Nabi Muhammad s.a.w hidup sekitar enam puluh tahun sahaja. Apabila maut datang berakhirlah kehidupannya di dunia. Apa sahaja yang dimilikinya berpisah daripadanya. Jasadnya dihantar ke dalam tanah, dan hartanya kepada waris-warisnya. Kemuliaan, kekuasaan, kesayangan, kebencian, kehinaan dan segala-galanya ditinggalkannya. Keluarlah roh dari dunia dan ditunggunya pula ketibaan ajal dunia. Berapa juta tahun dunia boleh hidup tiada sesiapa mengetahuinya melainkan Allah s.w.t, yang pasti dunia juga pasti ‘mati’ satu ketika nanti. Masa kematiannya mungkin sudah hampir. Nabi akhir zaman sudah diutuskan lebih seribu empat ratus tahun yang lalu. Nikmat Allah s.w.t telah disempurnakan. Agama Allah telah diperlengkapkan. Apa sahaja yang harus diberikan kepada dunia telah diberikan. Tidak ada lagi yang tinggal. Jika dunia diistilahkan sebagai bernafas, maka semua nafasnya telah pun digunakannya, hanya tinggal nafas yang di dalam simpanan yang digunakan sekarang.

Firman Allah swt bermaksud :- ”Demi masa (waktu asar)!”- Al –’Asr : 1


Waktu telah asar. Matahari telah condong ke barat, hanya beberapa ketika sahaja lagi ia akan terbenam. Sebentar lagi cahaya alam akan dicabut dan tinggallah dunia dalam kegelapan. Muazzin menyambut ketibaan waktu asar dengan memberikan peringatan kepada manusia:

Firman Allah swt bermaksud :-  
”Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian - kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”. - Al ’Asr : 1-3

Dunia mengasingkan manusia kepada dua golongan. Pertama adalah yang beriman dan beramal salih serta mengajak kepada kebenaran dan kesabaran. Kedua adalah yang kufur dan menolak kebenaran. Dunia menjadi penjara kepada yang beriman dan menjadi syurga kepada yang kufur.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
”Dunia ini penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir”.

Syurga adalah kelazatan dan kesenangan yang menjadi balasan kepada perbuatan baik. Orang kafir yang berbuat kebaikan menerima balasan kebaikan ketika mereka masih di dunia. Allah s.w.t memberi balasan lebih banyak dari kebaikan yang hamba-Nya lakukan agar mereka tidak boleh merungut tentang balasan yang mereka terima. Dunia ini tidak ada nilainya di sisi Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w  mengatakan bahawa dunia ini pada sisi Allah s.w.t nilainya tidak melebihi sebelah sayap nyamuk. Andainya dunia ini ada harga bagi Allah s.w.t nescaya tidak diizinkan orang kafir merasa walau seteguk air. Oleh sebab dunia ini tidak berharga maka ia dihamburkan kepada orang-orang kafir seluas-luasnya supaya mereka berasa puas menerima imbuhan bagi penat lelah dan usaha mereka, dan tidak ada lagi tanggungan balasan yang tinggal buat mereka apabila mereka meninggalkan dunia ini. Di akhirat kelak mereka tidak boleh lagi membuat tuntutan terhadap kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia. Segala hutang telah dibayar oleh Allah s.w.t ketika mereka masih hidup.

Orang yang tidak beriman berbuat kebaikan dengan menggunakan keupayaan jasmaninya, sementara orang yang beriman menggunakan keupayaan rohaninya. Kebaikan yang lahir dari keupayaan jasmani hanya mampu disebarkan kepada ruang yang sempit, oleh sebab itu ruang yang sempit juga diperlukan untuk diisi balasan untuknya. Ruang yang ada di alam dunia ini sudah cukup luas untuk diisikan dengan pembalasan terhadap kebaikan-kebaikan jasmani. Rohani pula mampu merentasi daerah yang lebih luas. Semakin kuat rohani seseorang semakin luas daerah yang boleh diterokainya. Manusia yang memiliki rohani yang paling kuat adalah Nabi Muhammad s.a.w dan keupayaan rohani baginda s.a.w diceritakan oleh Allah s.w.t dengan firman-Nya bermaksud:
 
”Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. – Al Anbiyaa’ : 107

Keupayaan rohani Rasulullah s.a.w mampu meliputi seluruh alam, menabur rahmat kepada semua zaman, semua ruang serta sekalian isi alam. Tidak ada satu juzuk pun dari alam yang tidak berteduh di bawah payung rahmat rohani Rasulullah s.a.w. Berbeza daripada keupayaan jasmani baginda s.a.w yang hanya berdakwah selama lebih kurang dua puluh dua tahun sahaja. Begitulah besarnya perbezaan antara keupayaan rohani dengan keupayaan jasmani. Oleh itu nilai kebaikan yang dilakukan masing-masing juga berbeza. Oleh sebab besarnya kebaikan yang bersangkutan dengan rohani maka ruang yang diperlukan untuk mengisi balasan baginya juga besar. Ruang yang ada di alam dunia ini tidak cukup luas untuk diisikan dengan balasan tersebut, lebih-lebih lagi balasan untuk kebaikan digandakan oleh Allah Yang Maha Pemurah.



Dunia ini selain ruangnya sempit ia juga hina di sisi Allah s.w.t, sedangkan balasan kebaikan untuk orang yang beriman sangat mulia dan tinggi nilainya. Jika balasan yang mulia itu diisi ke dalam bekas yang kotor, maka kekotoran bekas itu akan bercampur dengan kemuliaan balasan itu yang menyebabkan kecacatan pada balasan tersebut. Untuk mengelakkan sesuatu yang baik lagi mulia daripada terjejas, disediakan Allah s.w.t kepada orang yang beriman tempat yang mulia, dan orang Mukmin itu akan dijemput dengan penuh kemuliaan untuk mendapatkan bahagiannya yang mulia di tempat yang mulia. Apa yang akan diperolehinya nanti akan kekal bersama-samanya, tidak seperti balasan dunia yang bersifat sementara.


SESUNGGUHNYA DIJADIKAN NEGERI AKHIRAT SEBAGAI TEMPAT PEMBALASAN BAGI HAMBA-HAMBA-NYA YANG BERIMAN KERANA NEGERI INI (DUNIA) TIDAK CUKUP LUAS (BAGI MENAMPUNG) APA YANG ALLAH S.W.T HENDAK BERIKAN KEPADA MEREKA. BAHAWASANYA DIGANDAKAN SEGALA KADAR (PEMBALASAN) MEREKA, JAUH DARI PEMBALASAN TERHADAP MEREKA YANG DI DALAM NEGERI YANG TIDAK KEKAL INI.
-----------------------------------------------------------------------------------------------

HTML Comment Box is loading comments...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...