Photobucket

Monday, 31 October 2011

Takdir & Waktu.


 
 
ADAKAH KITA BENAR-BENAR BERIMAN DENGAN QADA DAN KADAR ALLAH SWT? ...TAHUKAH KITA BAHAWA JIKA ADA SEDIKIT SAHAJA RASA KETIDAKADILAN YANG BERLAKU PADA DIRI KITA MAKA KITA SEBENARNYA BELUM LAGI BERIMAN DENGAN KEPADA QADA DAN KADAR?....RENUNG-RENUNGKAHLAH.....

Si Musafir Faqir pernah menyentuh tentang hakikat amal yang membawa kepada pengertian tentang amal zahir dan amal batin di dalam majlis perkongsian ilmu sebelum ini. Si Musafir Faqir mengajak kita memerhatikan amal batin (suasana hati) berhubung dengan amal zahir yang kita lakukan. Sebagai manusia biasa hati kita cenderung untuk menaruh harapan dan meletakkan pergantungan kepada keberkesanan amal zahir. Si Musafir Faqir juga ada memperjelaskan mengenainya dengan membuka pandangan kita kepada suasana asbab dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi kerana seseorang itu melihat kepada keberkesanan sebab dalam melahirkan akibat. Apabila terlepas daripada waham sebab musabab baharulah seseorang itu masuk kepada suasana tajrid.

Dua sesi majlis perkongsian ilmu yang lalu telah memberi pendidikan yang halus kepada jiwa. Seseorang itu mendapat kefahaman bahawa bersandar kepada amal bukanlah jalannya. Pengertian yang demikian melahirkan kecenderungan untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Sikap menyerah tanpa persediaan kerohanian boleh menggoncangkan iman. Agar orang yang sedang meninggi semangatnya tidak terkeliru memilih jalan, dia diberi pengertian mengenai kedudukan asbab dan tajrid. Pemahaman tentang makam asbab dan makam tajrid membuat seseorang mendidik jiwanya agar menyerah kepada Allah s.w.t dengan cara yang betul dan selamat bukan menyerah dengan cara yang melulu.

Dalam sesi yang lain pula, Si Musafir Faqir mengajak kita merenung kepada kekuatan benteng takdir yang memagar segala sesuatu. Ketika membincangkan tentang ahli tajrid, kita dapati ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Tuhan yang meletakkan keberkesanan kepada sesuatu sebab dan menetapkannya dalam melahirkan akibat Ini bermakna semua kejadian dan segala hukum mengenai sesuatu perkara berada di dalam pentadbiran Allah s.w.t. Dia yang menguasai, mengatur dan mengurus setiap makhluk-Nya. Urusan ketuhanan yang menguasai, mengatur dan mengurus atau suasana pentadbiran Allah s.w.t itu dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang tidak dikuasai, diatur dan diurus oleh Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu yang tidak termasuk di dalam takdir.

Manusia terhijab daripada memandang kepada takdir kerana waham sebab musabab. Kedirian seseorang menjadi alat sebab musabab yang paling berkesan menghijab pandangan hati daripada melihat kepada takdir. Keinginan, cita-cita, angan-angan, semangat, akal fikiran dan usaha menutupi hati daripada melihat kepada kekuasaan, aturan dan urusan Tuhan. Hijab itu sendiri jika disimpulkan ia boleh dilihat sebagai hijab nafsu dan hijab akal. Nafsu yang melahirkan keinginan, cita-cita, angan-angan dan semangat. Akal menjadi tentera nafsu, menimbang, merancang dan mengadakan usaha dalam menjayakan apa yang dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang baik, akal bergerak kepada kebaikan itu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang buruk, akal itu juga yang bergerak kepada keburukan. Dalam banyak perkara akal tunduk kepada arahan nafsu, bukan menjadi penasihat nafsu. Oleh sebab itulah di dalam menundukkan nafsu tidak boleh meminta pertolongan akal.

Dalam proses memperolehi penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t terlebih dahulu akal dan nafsu perlu ditundukkan kepada kekuatan takdir. Akal mesti mengakui kelemahannya di dalam membuka simpulan takdir. Nafsu mesti menerima hakikat kelemahan akal dalam perkara tersebut dan ikut tunduk bersama-samanya. Bila nafsu dan akal sudah tunduk baharulah hati boleh beriman dengan sebenarnya kepada takdir.

Beriman kepada takdir (Qada & Kadar ) seharusnya melahirkan penyerahan secara berpengetahuan bukan menyerah kepada kejahilan. Orang yang jahil tentang hukum dan perjalanan takdir tidak dapat berserah diri dengan sebenarnya kepada Allah s.w.t kerana disebalik kejahilannya itulah nafsu akan menggunakan akal untuk menimbulkan keraguan terhadap Allah s.w.t. Rohani orang yang jahil dengan hakikat takdir itu masih terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan biasa. Dia masih melihat bahawa makhluk boleh mendatangkan kesan kepada kehidupannya. Tindakan orang lain dan kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan yang demikian menyebabkan dia tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri kepada Tuhan. Sekiranya dia memahami tentang hukum dan peraturan Tuhan dalam perkara takdir tentu dia dapat bertahan dengan iman.

Hadis menceritakan tentang takdir:
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, apakah iman?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Juga engkau beriman dengan Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah dari Allah s.w.t”. { Maksud Hadis }

Pandangan kita sering keliru dalam memandang kepada takdir yang berlaku. Kita dikelirukan oleh istilah-istilah yang biasa kita dengar. Kita cenderung untuk merasakan seolah-olah Allah s.w.t hanya menentukan yang asas sahaja sementara yang halus-halus ditentukan-Nya kemudian iaitu seolah-olah Dia Melihat dan Mengkaji perkara yang berbangkit baharulah Dia membuat keputusan. Kita merasakan apabila kita berjuang dengan semangat yang gigih untuk mengubah perkara dasar yang telah Allah s.w.t tetapkan dan Dia Melihat kegigihan kita itu dan bersimpati dengan kita lalu Dia pun membuat ketentuan baharu supaya terlaksana takdir baharu yang sesuai dengan perjuangan kita. Kita merasakan kehendak dan tadbir kita berada di hadapan sementara Kehendak dan Tadbir Allah s.w.t mengikut di belakang. Anggapan dan perasaan yang demikian boleh membawa kepada kesesatan dan kederhakaan yang besar kerana kita meletakkan diri kita pada taraf Tuhan dan Tuhan pula kita letakkan pada taraf hamba yang menurut telunjuk kita.

Bagi menjauhkan diri daripada kesesatan dan kederhakaan yang besar itu kita perlu sangat memahami soal sunnatullah atau ketentuan Allah s.w.t. Segala kejadian berlaku menurut ketentuan dan pentadbiran Allah s.w.t. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Ilmu Allah s.w.t meliputi yang awal dan yang akhir, yang azali dan yang abadi. Apa yang dizahirkan dan apa yang terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud :-
”Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”- (Al-Hadiid :22)


Firman Allah SWT bermaksud :-
“Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” - (Al-Mulk:1 )


Firman Allah SWT bermaksud :-
“Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya)”- (Al-A’laa:3)


Firman Allah SWT bermaksud :-
“Dan Kami jadikan bumi memancarkan mataair-mataair (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan”. ( Al-Qamar:12 )

Segala perkara, tidak kira apa istilah yang digunakan, adalah termasuk dalam ketentuan Allah s.w.t. Apa yang kita istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar, doa, kekeramatan, mukjizat dan lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t. Pagar takdir mengelilingi segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah pun yang mampu menembusi benteng takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan dan ikhtiar melainkan perjuangan dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir. Tidak berdoa orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir untuknya yang sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang didoakan juga tidak lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak berlaku kekeramatan dan mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah takdir yang tidak menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu nafas atau berdenyut satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan urusan Allah s.w.t pada azali.

”Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali”.

Segala perkara datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang mengadakan ketentuan tanpa campurtangan sesiapa pun. Segala perkara kembali kepada-Nya kerana Dialah yang mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa sesiapa pun mampu menyekat urusan-Nya.

Apabila sudah difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah takdir yang menurut ketentuan Allah s.w.t, maka seseorang itu tidak lagi berasa bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri. Ikhtiar dan berserah diri sama-sama berada di dalam pagar takdir. Jika seseorang menyedari makamnya sama ada asbab atau tajrid maka dia hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya. Ahli asbab perlu berusaha dengan gigih menurut keadaan hukum sebab-akibat. Apa juga hasil yang muncul dari usahanya diterimanya dengan senang hati kerana dia tahu hasil itu juga adalah takdir yang ditadbir oleh Allah s.w.t. Jika hasilnya baik dia akan bersyukur kerana dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari Allah s.w.t. Jika tidak ada ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia mendapat kebaikan. Jika hasil yang buruk pula sampai kepadanya dia akan bersabar kerana dia tahu apa yang datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan Allah bukan tunduk kepada usaha dan ikhtiarnya. Walaupun hasil yang tidak sesuai dengan seleranya datang kepadanya tetapi usaha baik yang dilakukannya tetap diberi pahala dan keberkatan oleh Allah s.w.t sekiranya dia bersabar dan rela dengan apa juga takdir yang sampai kepadanya itu.

Ahli tajrid pula hendaklah reda dengan suasana kehidupannya dan tetap yakin dengan jaminan Allah s.w.t. Manusia tidak harus merungut jika terjadi kekurangan pada rezekinya atau kesusahan menimpanya. Suasana kehidupannya adalah takdir yang sesuai dengan apa yang Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya adalah juga ketentuan Allah s.w.t. Jika terjadi kekurangan atau kesusahan maka ia juga masih lagi di dalam pagar takdir yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Begitu juga jika terjadi keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia harus melihat itu sebagai takdir yang menjadi bahagiannya.

Persoalan takdir berkait rapat dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan daripada yang banyak kepada yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang. Setelah ditanam benih yang kecil itu akan tumbuh dengan sempurna, mengeluarkan beberapa banyak buah kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula benih untuk menumbuhkan pokok-pokok kacang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga kacang yang bermula dari satu biji benih menjadi jutaan juta kacang. Kacang yang sejuta tidak ada bezanya dengan kacang yang pertama. Benih kacang yang pertama itu bukan sahaja berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang, malah ia mampu mengeluarkan semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya boleh mengeluarkan kacang, tidak benda lain.

Kajian akal boleh memperakui bahawa semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu
zat kacang. Zat kacang pada benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke satu juta malah ia adalah zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu itulah ‘bergerak’ pada semua kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang, tidak menjadi benda lain. Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal pertumbuhan kacang namun, zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana kacang. Ia tidak berupa dan tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak berpisah dengan mana-mana kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang. Zat kacang ini dinamakan “Hakikat Kacang”. Ia adalah suasana ketuhanan yang mentadbir dan mengawal seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga kesudahan, sampai ke hari kiamat. Hakikat Kacang inilah suasana pentadbiran Allah s.w.t yang Dia telah tentukan untuk semua kejadian kacang. Apa sahaja yang dikuasai oleh Hakikat Kacang tidak ada pilihan kecuali menjadi kacang.

Suasana pentadbiran Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan manusia pula dinamakan “Hakikat Manusia” atau “Hakikat Insan”. Allah s.w.t telah menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan yang ada pada sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat dan keupayaan untuk melahirkan semua keturunan manusia sehingga hari kiamat. Manusia akan tetap melahirkan manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah Hakikat Manusia.
Pada Hakikat Manusia itu ada hakikat yang menguasai satu individu manusia dan hubungkaitnya dengan segala kejadian alam yang lain. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Nabi” pasti menjadi nabi. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Wali” pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah s.w.t atau hakikat itu menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja mempamerkan segala maklumat yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh adalah menjalankan urusan Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t.

Firman Allah SWT bermaksud :-
”Dan katakan: “ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. (Al-Israa’:85 )

Pentadbiran Allah s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada mempamerkan ketentuan-Nya yang berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan hakikat sesuatu sejak azali lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah s.w.t. Segala sesuatu dikawal oleh hakikat yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak boleh meminta menjadi kambing. Beruk tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh meminta menjadi malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan oleh Allah s.w.t.
----------------------------------------------------------------------------

HTML Comment Box is loading comments...

Tuesday, 18 October 2011

BACALAH..!!!




AL QURAN merupakan mujizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaran Malaikat Jibril as. Selama 22 tahun 2 bulan 2 hari, Al Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW.

PERISTIWA turunnya wahyu pertama yang dibawa oleh Malikat Jibril as kepada Nabi SAW menceritakan permulaan kepada segala rahsia ilmu. BACALAH! ... diulangi sebanyak 3x oleh Malaikat Jibril as kepada Nabi SAW sambil memeluk baginda dengan erat. Seruan BACALAH!  itu mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat. BACALAH!...secara pandangan zahir kita diseru membaca segala apa yang mampu dilihat dengan mata . BACALAH!...juga menyeru kita membaca dengan ”mata hati” setiap perkara yang ada di alam ini. Mana mungkin membaca menggunakan ”mata hati” ?...BACA menggunakan mata hati ini bukan sekadar membaca seperti perbuatan zahir tetapi lebih kepada meneliti dan melihat perkara-perkara tersirat di sebalik yang tersurat.

”BACALAH dengan menyebut nama Rabb Yang menciptakan ”-AL ’ALAQ : 1 . Cuba kita perhatikan ayat ini dengan ”mata hati”  - Apabila kita menyebut BACA sudah tentu kita akan mengaitkan dengan MATA . Pernahkah kita terpikir bahawa selama ini kita membaca bersama-sama dengan Allah SWT Zat Wajibal Wujud? Mata itu pada anggota zahir manusia. BASAR itu ma’ani , sabit bagi Zat Qadim dan BASIRAN itu maknawiyah kesinambungan ma’ani. TIDAK MUSTAHIL RAMAI YANG TIDAK SEDAR BAHAWA MATA ZAHIR ITU TIADA MAKNA TANPA ZAHIR MA’ANI YANG MAUJUD PADA ZIHIN. Itu sebab kita asyik mengatakan ”Mata aku” ”Aku melihat” kerana kita tidak kenal diri ini dengan sebenar-benarnya. Begitu juga dengan TELINGA, MULUT DAN SELURUH ANGGOTA BADAN KITA. Maka memang sepatutnya mereka yang tidak kenal diri , tidak mampu memBACA dengan ”mata hati” . Bila tidak mampu memahami maksud yang tersirat pada yang tersurat maka amatlah malang bila kita memBACA tanpa kita sedari bahawa anugerahNya itu ”Bukan PERCUMA” tetapi WAJIB di bayar dengan ”BERSYUKUR”Senantiasa mengingati –Nya . Itu sebab kita diseru memulakan setiap pekerjaan dan perbuatan dengan menyebut BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM! ...

”Yang menciptakan manusia dengan segumpal darah” –AL ’ALAQ : 2 – Nah! Satu lagi seruan yang memerlukan penggunaan mata hati . Bagi kebanyakan manusia, mengatakan manusia tercipta disebabkan percantuman sperma dan ovum :-

Firman Allah SWT bermaksud :-
”Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati iaitu dari air (air benih) yang sedikit dipandang orang”   - AS SAJDAH : 8

Apabila manusia GAGAL melihat dengan mata hati maka tidak mustahil manusia (INSAN) yang bersifat PELUPA seringkali LUPA asal usul kejadian diri. Sudahlah  lahir ke dunia dari tempat yang kotor ( kemaluan ) , ke hulu ke hilir membawa najis (diperut) namun seringkali TIDAK MENSYUKURI SETIAP NIKMAT ANUGERAH-NYA malahan SERINGKALI MENGATAKAN ALLAH SWT TIDAK ADIL...Nauzubillah .

Bagi yang melihat dengan mata hati ( basyirah) , mereka ini melihat yang tersirat iaitu manusia ini tercipta bukan sekadar percantuman benih manusia kemudian menjadi manusia tetapi lebih dari itu. Manusia ini dengan patung sama sahaja. Cuba kita fikirkan sejenak, kalaulah ada patung yang sama dengan diri kita apakah yang membezakan diri kita? Jawapannya susah tentu ”Nyawa” – iaitu HAYAT itu ma’ani , sabit bagi Zat Qadim dan HAYYUN itu maknawiyah kesinambungan ma’ani .

Firman Allah SWT bermaksud :-
” Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya serta meniupkan padanya; Roh ciptaan-Nya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran supaya kamu bersyukur tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”AS SAJDAH : 9


Maka sudah amat terang lagi jelas bahawa kita dengan patung tiada bezanya tanpa Allah SWT Zat Wajibal Wujud. LIHATLAH AMARAN ALLAH INI.

Firman Allah SWT bermaksud :-
” Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu hanya main-main ? dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? – Al Mu’minun : 115

Firman Allah SWT bermaksud :-
”Allah yang mencipta kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa”AR RUUM : 54

                                                                                                               
”BACALAH dengan Rabbmu Yang Maha Pemurah”AL ’ALAQ : 3 . Allahuakbar! Seringkali kita lupa Kemurahan-Nya pada kita. Allah SWT mengurniakan keperluan hidup kita ini melebihi dari apa yang kita minta. Bagi yang dikurniakan mata hati (basyirah) pasti mengatakan ”segala-galanya telah Allah SWT sediakan tanpa sedikit pun cacat cela atau kekurangan” . Malahan apa yang Allah SWT berikan kepada kita ini melebihi dari apa yang selalu kita minta. Tetapi amatlah kurang kita berSYUKUR kepada-Nya. Bagi golongan arifillah, Pemurah-Nya Allah SWT ,  adalah dengan mengurniakan Nabi dan Rasul kepada manusia. Terutamanya Nabi Muhammad SAW kerana dengan adanya baginda kita dapat kenal Allah SWT dengan sebenar-benarnya seperti mana yang Allah SWT kehendaki manusia mengenali Dia. Dengan adanya baginda kita dapat beribadat kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya seperti mana yang Allah SWT kehendaki manusia beribadat kepada Dia. DAN YANG PALING MANUSIA WAJIB BERSYUKUR KERANA ALLAH SWT MENGURNIAKAN NIKMAT IMAN DAN ISLAM....MAN JADDA WA JADA ....ALLAHUAKBAR!!!!

Firman Allah SWT bermaksud :
” Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan) Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy dari apa yang mereka sifatkan”AL ANBIYAA’ : 22


”Yang mengajar dengan Kalam”Al ’ALAQ : 4  . Percayakah kita bahawa segala ilmu yang ada di langit dan bumi ini SEMUANYA ADA DI DALAM AL QURAN ?....

Firman Allah SWT bermaksud :-
” Dan demi sesungguhnya Kami telah memudahkan Al Quran untuk peringatan dan pelajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya) ?AL QAMAR : 40

Ini terbukti pelbagai penemuan sains pada masa kini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al Quran semenjak 1400 tahun dahulu . Namun masih ramai manusia yang menafikan kebenaran ini. Ada juga mempersendakan kewujudan Al Quran. Setiap ilmu ada dalam Al Quran, hanya yang bermata basyirah sahaja dapat melihat kewujudan ilmu-ilmu ini. Setiap ayat dalam Al Quran mempunyai seribu macam perkara-perkara yang tersirat.
Perkataan Allah s.w.t tidak serupa dengan apa juga bentuk perkataan. Kalam-Nya tidak berhuruf dan tidak bersuara. Apabila Dia tujukan firman-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w yang berbangsa Arab, digubah-Nya Kalam-Nya dalam bahasa Arab yang berhuruf dan bersuara dan Dia masih menisbahkan Kalam-Nya yang berhuruf dan bersuara dalam bahasa Arab itu sebagai Kalam-Nya. Oleh kerana Dia sendiri memperakui yang demikian adalah Kalam-Nya sesiapa menafikannya adalah kufur, tetapi sesiapa mengatakan Allah s.w.t bercakap dalam bahasa Arab maka terlebih kufur lagi keadaannya. Konsep nafi dan isbat tidak boleh dipisahkan apabila memperkatakan tentang Allah s.w.t pada aspek yang disifatkan. Apabila Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya kepada manusia maka Dia wujudkan penyifatan yang mampu diterima oleh manusia, sesuai dengan keupayaan mengenal yang ada dengan manusia, tetapi Yang Haq itu melampaui apa yang disifatkan. Aspek Allah s.w.t yang disifatkan merupakan pintu atau perantaraan yang menghubungkan hamba dengan Allah s.w.t yang tidak mampu disifatkan. Sekalipun Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat yang diketahui oleh manusia tetapi mengadakan lembaga bagi Allah s.w.t adalah sesat yang nyata. Sesiapa yang menjadi jelas kepadanya konsep NAFI dan ISBAT sesungguhnya dia telah memperolehi nikmat yang tidak terhingga nilainya.


”Yang mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya” – AL ’ALAQ : 5 . SUBHANALLAH! ... Sedarkah kita bahawa kita ini sebenarnya ADAM (Tiada). Tiada satu pun ilmu yang kita tahu. Persoalan – Ramai yang mengaku hebat bahawa memiliki bermacam-macam ilmu didada bahkan ramai juga yang mendabik dada mengatakan ”Aku hebat kerana memiliki ilmu itu ini” ”kerana ilmu yg aku ada maka semuanya aku boleh selesaikan” ”Aku sudah berjaya menghafaz Al Quran 30 juzuk dan banyak hadis , akulah yang paling layak menjadi  imam” dan bermacam-macam lagi reaksi manusia ini. Sedarkah kita bahawa semua ilmu itu Milik-Nya? ILMU - itu ma’ani , sabit bagi Zat Qadim dan ALIMUN itu maknawiyah kesinambungan ma’ani. Mana satu ilmu kita?  Jawapanya TIADA , sebab semuanya HANYA DIPINJAMKAN OLEH ALLAH SWT SAHAJA DAN BUKAN MUTLAK ILMU ITU UNTUK KITA.


Firman Allah SWT bermaksud :-
” Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama-nama benda dan gunanya kemudian ditunjukkan kepada malaikat lalu Ia berfirman” Terangkanlah kepadaKu nama-nama benda itu semuanya jika kamu golongan yang benar” . Malaikat menjawab ” Maha Suci Engkau  ( Ya Allah) ! kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” . Allah berfirman ” Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda itu kepada mereka” . Allah berfirman ” Bukankah telah Aku katakan kepada kamu bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi , dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan”AL BAQARAH : 31-33




MANA SATU MILIK KITA? ...Fikir-fikirkanlah....

Firman Allah SWT bermaksud :-
” Semasa mereka semua dibangkitkan hidup semula oleh Allah (pada hari kiamat) lalu diterangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan. Allah telah menghitung amal-amal mereka itu satu persatu , sedang mereka telah melupakannya. Dan (ingatlah) Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap sesuatu”AL MUJAADALAH : 6


RUBUBIYAH, ULUHIYAH, ASMA WAL SIFAT, SIFAT 20 @ 50 AKAID ATAU ILMU HAKIKAT INSAN – SEMUANYA ADALAH KAEDAH UNTUK MENGENAL DIRI – KENAL ALLAH SWT.

PILIHLAH KAEDAH MANA PUN KERANA KAEDAH HANYALAH KAEDAH BUKAN SUATU KEMESTIAN/WAJIB MENGGUNAKAN SATU-SATU KAEDAH TERSEBUT. YANG WAJIB ADALAH WAJIB BERUSAHA MENGENAL ALLAH SWT .

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------



HTML Comment Box is loading comments...

Friday, 14 October 2011

Apa Khabar Iman Kita?



APA KHABAR IMAN KITA HARI INI? Adakah bertambah sihat atau kurang sihat? Adakah imam kita masih tercari-cari ruang untuk ditempatkan di dalam hati?.....

ADAKAH IMAN KITA HARI INI SUDAH BENAR –BENAR SEJAHTERA UNTUK BERTEMU ALLAH SWT SEKIRANYA KITA DI PANGGIL PULANG HARI INI?  ADAKAH KITA PASTI IMAN KITA SUDAH KUAT DAN AMAT YAKIN TEGUH SELAMAT ?....SESUNGGUHNYA Iman kita belum lagi selamat. Hanya Nabi SAW sahaja dijamin oleh Allah SWT tahap keimanan baginda paling sejahtera dan paling selamat.

Tiada siapa yang dapat mengukur tahap keimanan diri dalam hati. Iman merupakan sesuatu yang amat susah diterjemahkan dengan bahasa hati. Bagi bahasa lisan, iman bermaksud PERCAYA DENGAN YAKIN TANPA ADA SEDIKIT PUN KERAGUAN. Adakah kita benar-benar percaya dengan apa yang kita lafazkan?  Kalimah syahadah sebanyak 9x sehari dalam solat fardhu dan menjadi rukun dalam solat, adakah ianya benar-benar dari hati kita ini? ”Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah” ...Persoalan disini adakah kita benar-benar ”SAKSI” Allah SWT itu tiada Tuhan selainNya dan Nabi Muhammad itu PesuruhNya ?...

Sebagai contoh, berlaku kejadian pembunuhan dan kita berada di lokasi kejadian. Maka kita merupakan saksi kejadian SEBAB KITA MENYAKSIKAN KEJADIAN tersebut. Tidak dinamakan saksi kalau kita tidak melihat kejadian pembunuhan tersebut. Begitulah juga PENYAKSIAN KEPADA ALLAH SWT DAN NABI MUHAMMAD SAW PESURUH-NYA .

PENYAKSIAN ini dinamakan IMAN . Melihat dan menyaksikan 2 Kalimah Syahadah . Adakah kita telah menyaksikan? JAWAPANNYA – BUKTI UNTUK PENYAKSIAN ITU AMAT JELAS LAGI NYATA TERANG, LEBIH TERANG DARIPADA PANCARAN CAHAYA MATAHARI YANG MENYINARI ALAM SEMESTA.  Bagi yang belum dapat menyaksikan 2 Kalimah Syahadah ini, maka WAJIB mencari jawapan dengan belajar bagaimana untuk menyaksiakan 2 Kalimah Syahadah ini.

Asal tempat tinggal Roh adalah di syurga. Roh telah menyaksikan Allah SWT Zat Wajibal Wujud dan telah direkodkan di dalam Al Quran . Allah berfirman ” Alaistu bi rabbikum ?”  Roh menjawab ” Kola bala syahidna” . Kemudian Allah swt telah mentakdirkan Roh hidup di dunia untuk diuji yang mana diantaranya yang benar-benar baik amalannya. Roh dalam Jasad menjalani kehidupan sebagai manusia. Allah swt kurniakan Nabi dan Rasul sebagai pembimbing untuk menunjuki jalan ke akhirat.  Di anugerah pelbagai ilmu dan kepakaran. Di tetapkan segala-galanya berdasarkan Qada dan Kadar kemudian di panggil pulang untuk kembali kepada-Nya. TIKET UNTUK KEMBALI KE SYURGA BERTEMU ALLAH SWT ADALAH DENGAN 2 KALIMAH SYAHADAH.

Adakah kita benar-benar menyaksikan 2 Kalimah Syahadah ini?. Sesungguhnya kita tidak akan dapat menyaksikan 2 Kalimah Syahadah ini sekiranya kita tidak kenal Siapa Diri kita ini.

Firman Allah SWT bermaksud :-
”Mereka mengatakan dengan mulutnya barang yang tiada di dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui dari apa yang mereka sembunyikan” - Ali Imran : 116


Kita mengatakan Allah swt itu ”Tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia” tetapi kita tidak menyaksikan Dia dan kita mengatakan ” Nabi Muhammad SAW Pesuruh-Nya”  dan kita tidak pernah bertemu Nabi SAW tetapi kita tetap melaksanakan syariat yang dibawa oleh Baginda. Inilah yang dinamakan IMAN . Keimanan ini bergantung kepada tahap keimanan seseorang sama ada Iman Ilmul Yakin ( berdasarkan Ilmu) , Iman Ainul Yakin ( berdasarkan penglihatan ) atau pun Iman Haqqul Yakin  ( berdasarkan makrifat ) .

Menyaksikan Allah SWT pada sekalian jirim dan kharaj serta melihat Syariat ”berjalan” di muka bumi amatlah menakutkan bagi arifillah. Tiada seorang pun yang paling kenal akan Allah SWT kecuali Nabi Muhammad SAW . Walaupun hanya mendapat ”hujung sinaran” Allah SWT  namun sudah cukup buat arifillah merasakan kemanisan apabila Syariat berdiri pada Hakikat. Cukup tawaduk bagi arifillah berjalan pada jalan Tarekat dengan pandangan Makrifat.

ALANGKAH bagusnya kalau kita ini mendapat anugerah-Nya, dapat melihat Allah SWT seperti orang-orang arifillah . Sungguh bahagia orang-orang arifillah ini dan tiada sedikit pun kerisauan dalam hatinya kerana bagi mereka ”Apa yang baik dan buruk itu semuanya adalah Kasih Sayang-Nya, semuanya adalah nikmat anugerah-Nya” . Allahuakbar! ....Macam mana dengan iman kita ini?

Allahuakbar!....Iman aku masih lemah dan belum selamat lagi. Aku masih leka dengan dunia sehingga lupa kepada Empunya Dunia. Aku masih belum benar-benar kenal Allah SWT seperti mana Allah SWT nak aku kenal Dia. Aku solat pun belum benar-benar ikhlas. Aku masih mengatakan itu ini hak aku, hingga aku lupa bahawa itu ini semuanya bukan aku punya. Aku masih tidak kenal Siapa Diriku ini. Ya Allah...ampunilah aku...berikanlah aku petunjuk untuk aku mengenali diriku supaya aku dapat kenal Diri-Mu Ya Rabb!!!! Ya Rabb berilah aku pertunjuk supaya aku dapat mengenali Pesuruh-Mu agar aku dapat melaksanakan Syariat-Mu!!! ...Astaqfirullah hal’azim!....


Firman Allah SWT bermaksud :-
 ” Dan siapa yang mengabaikan peringatan-Ku (ajaran-Ku) maka dia akan merasakan kehidupan yang sukar, kehidupan sukar ketika menghadapi pertanyaan dalam kubur” -Surah Taha : 124


Firman Allah SWT bermaksud :-
”Mereka yang bersungguh-sungguh datang menuju kami, pastilah kami akan menunjuki mereka jalan-jalan Kami” - Al Ankabut : 69



Firman Allah SWT bermaksud:-
”Hai manusia sesungguhnya kamu telah berjuang dengan bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, pasti kamu akan menemui-Nya” - Al Insyiqaad : 6


SESUNGGUHNYA IMAN KITA BELUM SELAMAT....

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

HTML Comment Box is loading comments...

Wednesday, 12 October 2011

Hakikat Insan


AWALUDDIN MAKFIRATULLAH...MAN JADDA WA JADA....

Manusia merupakan sebaik-baik kejadian yang di ciptakan oleh Allah swt. Setiap manusia melalui perjalanan hidup masing-masing yang penuh dengan ranjau onak duri, suka duka, gembira, sengsara dan bermacam-macam lagi. Ada yang menjadi presiden sebuah negara, ada yang memiliki harta terkaya didunia, ada yang mempunyai rauh wajah bak bidadari, ada yang menjadi guru, menjadi kerani, menjadi nelayan hatta ada yang menjadi pemindah sedekah dan bermacam-macam tugasan tanggungjawab di dunia ini. Ada yang mempunyai kekayaan yang hebat tapi Hati tidak tenang. Ada yang bekerja menjadi pemandu teksi, tetapi kebahagian sentiasa terpancar di rauh wajah. AMATLAH SUKAR UNTUK KITA MEMAHAMI TINGKAH LAKU MANUSIA MALAHAN KITA SENDIRI KEBANYAKANNYA TIDAK MEMAHAMI DIRI SENDIRI. Ini adalah kerana kita gagal memahami SIAPA DIRI KITA, malahan kita langsung tidak ambil peduli untuk mencari jawapan kerana tiada keuntungan duniawi.


Ilmu Hakikat Insan ini amat jarang dibincangkan secara terbuka kerana ianya memerlukan perbincangan khusus. Malahan ada diantara guru tasauf mengatakan Rahsia Ilmu. Ini kerana apabila seseorang memahami siapa diri yang sebenar maka dengan sendirinya telah kenal Allah swt Zat Wajibal Wujud. Dengan syarat penjelasan guru mursyik atau murabi itu berlandaskan Al Quran dan Hadis, bukan huraian berdasarkan nafsu atau bisikan iblis laknatullah. Dengan ilmu hakikat insan, kita dapat memahami dengan jelas syariat. Dengan ilmu hakikat insan, kita dapat memahami apa itu Iman, Islam dan Ihsan yang sebenar-benarnya. Bila kenal diri maka kenal Allah swt. Bila kenal Allah swt maka kenal kasih sayang-Nya ( tegahan, larangan, panduan, hukuman, iktibar dan etc ) . Bila kenal Allah swt maka kita kenal Nabi Muhammad saw PesuruhNya KekasihNya. Bila kenal Allah swt maka kita tidak akan berasa sombong seperti iblis. Bila kenal Allah swt maka kita akhirnya akan mengakui bahawa diri kita ini adalah ADAM ( Tiada ) dan yang ada hanyalah Allah swt Zat Wajibal Wujud.


Semua manusia berasal daripada diri yang satu iaitu Nabi Adam a.s. Sekalian yang lahir daripada Adam a.s dinamakan bangsa manusia. Tidak ada keturunan Adam a.s yang berbangsa haiwan, tumbuh-tumbuhan atau gali-galian. Adam a.s dan keturunan beliau a.s menjadi manusia kerana mereka semua memiliki kemanusiaan. Tidak ada manusia yang tidak memiliki kemanusiaan. Benih kemanusiaan yang pertama disemaikan pada kejadian Adam a.s dan kemudian benih tersebut ‘berjalan’ kepada Siti Hawa, ibu yang mulia dan diberkati dengan keturunan yang amat ramai. Ketika Adam a.s dan Ibu Hawa berada di dalam syurga benih kemanusiaan itu hanya aktif pada mereka berdua sahaja., tidak ‘membiak’. Setelah mereka dikeluarkan daripada syurga dan ditempatkan di bumi, di dalam dunia, baharulah benih kemanusiaan itu menampakkan keupayaannya melahirkan generasi manusia. Benih kemanusiaan akan terus bekerja melahirkan manusia hingga ke hari kiamat. Apabila berlaku kiamat baharulah benih kemanusiaan itu berhenti melahirkan manusia.




Firman Allah swt bermaksud :-

”Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah . Kemudian menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang. Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya roh ciptaan-Nya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (supaya kamu bersyukur) amatlah sedikit kamu yang bersyukur”

         Surah Al Sajadah : 7,8&9


Firman Allah swt bermaksud :-

”Katakanlah lagi ” Dialah ysng mengembangkan kamu di bumi dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”

        Surah Al Mulk : 24


Bermula daripada Adam a.s sampailah kepada manusia terakhir pada hari kiamat, benih kemanusiaan ‘berjalan’ terus, melahirkan keturunan manusia yang berpecah-pecah kepada berbagai-bagai bangsa, suku dan keluarga. Perjalanan benih tersebut sangat sempurna sehingga tidak berlaku kesilapan pada pekerjaannya. Jika benih kemanusiaan melakukan kesilapan nescaya ada ibu-ibu manusia yang melahirkan ikan, beruang, rambutan dan lain-lain. Kesempurnaan benih kemanusiaan menyebabkan manusia akan terus melahirkan manusia sahaja tidak bangsa lain.
 Keturunan Adam a.s membiak melalui proses percantuman benih lelaki dengan benih perempuan. Walaupun pada zahirnya percantuman benih menjadi proses pembiakan keturunan manusia tetapi bukanlah benih lelaki dan benih perempuan itu yang mengawal kewujudan dan kesinambungan bangsa manusia. Adam a.s diciptakan bukan daripada benih lelaki atau benih perempuan namun, Adam a.s tetap memiliki kemanusiaan. Nabi Isa a.s diciptakan tanpa melalui proses percantuman benih lelaki dengan benih perempuan namun, Isa a.s tetap memiliki kemanusiaan. Setiap manusia tidak terlepas daripada kemanusiaan yang tidak dimengerti hakikatnya. Jika semua manusia bermula dari Adam a.s hinggalah kepada manusia terakhir yang ada pada hari kiamat, dibedah untuk dikaji perihal kemanusiaan itu tentu sekali perbuatan tersebut hanya sia-sia sahaja. Tidak mungkin dijumpai hakikat kemanusiaan pada mana-mana manusia tetapi peranan dan pengaruhnya pada setiap manusia tidak dapat dipertikaikan.


Firman Allah swt bermaksud :-
” Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati perubahan bagi “Sunnatullah” itu ”.
                                                                                 Surah al-Ahzaab : 62

”Tidak ada (sebarang) perubahan pada kalimat (janji-janji) Allah”.
                                                                                Surah Yunus: 64)


 ”Tiada suatupun dari makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.”
                     Surah Hud : 56

Hakikat adalah suasana pentadbiran Tuhan. Suasana pentadbiran Tuhan bukan makhluk. Oleh itu ia tidak boleh ditemui pada makhluk tetapi kehadirannya menguasai dan mengawal kewujudan dan kesinambungan kewujudan makhluk boleh dirasai. Akal yang sihat juga boleh mengakui kebenaran ini. Tanpa kawalan daripada alam hakikat nescaya berlaku huru-hara pada kejadian makhluk. Tentu sekali semua haiwan mahu menjadi buraq. Manusia dan jin mahu menjadi malaikat. Semua orang mahu lahir sebagai putera raja. Tetapi semua itu tidak berlaku kerana benteng hakikat sangat teguh, tidak dapat dirobohkan oleh makhluk. Pada Hakikat Insan sudah ada maklumat yang jelas dan muktamad tentang kejadian semua manusia termasuklah giliran masing-masing masuk ke alam dunia ini.
Di antara semua hakikat-hakikat, hakikat yang menguasai manusia merupakan hakikat yang paling utama kerana ia mengadakan hubungan yang istimewa di antara insan dengan Tuhannya

”(Ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia - Adam - dari tanah. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya”.
                         Surah Saad : 71 & 72

Adam a.s ditempa daripada tanah. Bahagian Adam a.s yang ditempa daripada tanah ini dinamakan jasad, tubuh badan atau diri yang zahir. Jasad yang dari tanah itu walaupun sudah sempurna kejadiannya, cukup lengkap dengan sekalian anggota namun, ia tetap kaku, tidak dapat bergerak, tidak merasakan apa-apa dan tidak dapat berkata-kata. Ia sudah mempunyai otak tetapi otaknya tidak dapat berfikir. Ia sudah mempunyai mata tetapi matanya tidak dapat melihat. Ia sudah mempunyai telinga tetapi telinganya tidak dapat mendengar. Ia hanyalah satu lembaga yang kaku. Tetapi sebaik sahaja ia menerima tiupan dari Roh Allah s.w.t segala-galanya berubah dengan serta merta. Otaknya mula berfungsi. Mata, telinga dan semua anggotanya juga mula berfungsi. Ia juga boleh merasa. Ia bukan lagi satu lembaga yang kaku tetapi ia sudah menjadi insan yang hidup, boleh berfikir, boleh berkata-kata, boleh bergerak dan boleh merasa. Keajaiban itu berlaku semata-mata kerana tiupan dari Roh Allah s.w.t. Bahagian Adam a.s yang menerima tiupan daripada Roh Allah s.w.t itu dinamakan Diri Batin atau rohani.
 
Roh Allah s.w.t bukanlah Allah s.w.t dan juga bukan nyawa yang menghidupkan Allah s.w.t. Allah s.w.t hidup dengan Zat-Nya, bukan dengan nyawa atau roh dan bukan juga dengan sifat hidup. Sifat hidup bergantung kepada Allah s.w.t tetapi Allah s.w.t tidak bergantung kepada sifat hidup. Roh Allah s.w.t sama halnya seperti Tangan Allah s.w.t, Kalam Allah s.w.t, Pendengaran Allah s.w.t dan lain-lain yang dinisbahkan kepada-Nya. Semuanya bukanlah Allah s.w.t tetapi adalah keadaan atau sifat atau misal atau ibarat yang memperkenalkan Diri-Nya sekadar layak Dia dikenali oleh makhluk-Nya. Hakikat Diri-Nya yang sebenar tidak mampu disifatkan, diibaratkan atau dimisalkan kerana Dia adalah:

”Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, Sifat-Nya dan Af’al-Nya)-Nya.”
                   Surah asy-Syura :11

Sekalipun Dia tidak boleh disifatkan tetapi Dia adalah:
”Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat ”
                                                                               Surah asy-Syura :11

Allah s.w.t sendiri mengatakan Dia Mendengar dan Melihat. Dia mengadakan penyifatan setelah terlebih dahulu Dia menafikan segala bentuk penyifatan. Dia tidak serupa dengan apa sahaja yang terlintas di dalam fikiran, cita-cita dan khayalan manusia. Dia tidak serupa dengan apa juga yang nyata dan yang ghaib, yang zahir dan yang batin. Bila Dia mengatakan Dia Mendengar dan Melihat maka Mendengar dan Melihat-Nya tidak serupa dengan apa juga  keadaan mendengar dan melihat yang diketahui atau tidak diketahui oleh manusia. Bila Dia mengatakan Dia Berkata-kata maka Kalam-Nya tidak serupa dengan apa juga bentuk percakapan baik yang boleh difikirkan oleh manusia mahu pun yang tidak boleh difikirkan oleh manusia. Perkataan Allah s.w.t tidak serupa dengan apa juga bentuk perkataan. Kalam-Nya tidak berhuruf dan tidak bersuara. Apabila Dia tujukan firman-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w yang berbangsa Arab, digubah-Nya Kalam-Nya dalam bahasa Arab yang berhuruf dan bersuara dan Dia masih menisbahkan Kalam-Nya yang berhuruf dan bersuara dalam bahasa Arab itu sebagai Kalam-Nya. Oleh kerana Dia sendiri memperakui yang demikian adalah Kalam-Nya sesiapa menafikannya adalah kufur, tetapi sesiapa mengatakan Allah s.w.t bercakap dalam bahasa Arab maka terlebih kufur lagi keadaannya. Konsep nafi dan isbat tidak boleh dipisahkan apabila memperkatakan tentang Allah s.w.t pada aspek yang disifatkan. Apabila Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya kepada manusia maka Dia wujudkan penyifatan yang mampu diterima oleh manusia, sesuai dengan keupayaan mengenal yang ada dengan manusia, tetapi Yang Haq itu melampaui apa yang disifatkan. Aspek Allah s.w.t yang disifatkan merupakan pintu atau perantaraan yang menghubungkan hamba dengan Allah s.w.t yang tidak mampu disifatkan. Sekalipun Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat yang diketahui oleh manusia tetapi mengadakan lembaga bagi Allah s.w.t adalah sesat yang nyata. Sesiapa yang menjadi jelas kepadanya konsep NAFI dan ISBAT sesungguhnya dia telah memperolehi nikmat yang tidak terhingga nilainya. 

Kepada yang benar-benar mahu mencari jawapan SIAPA DIRI kita ini yang sebenarnya, carilah guru-guru mursyik atau murabi yang mampu menghuraikan penjelasan ini berdasarkan Al Quran dan Hadis. Ramai diluar sana yang terperangkap di dalam konsep-konsep seperti Wahdatul Wujud, Wahdatul Madbu dan Wahdatul Syuhud, padahal konsep-konsep ini adalah sebahagian daripada Hakikat Insan itu sendiri. Mereka  ini mampu menghuraikan suasana hakikat pada tahap tinggi disebabkan mazjub dan zauk namun GAGAL turun ke bawah berpijak di bumi yang nyata bergerak di atas Jalan Kenabian ( syariat ). Malahan juga ada yang memisahkan hakikat dengan syariat kerana mazjub dengan hakikat itu sendiri. Jadilah mereka ini seolah-olah berpusing-pusing didalam bulatan, walhal pintu untuk ke jalan kenabian berada di depan mata. 

Wallahu'alam

-----------------------------------------------------------------------------------------------


HTML Comment Box is loading comments...

Friday, 7 October 2011

IMAN OH IMAN....



SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.

AMALAN boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun ianya amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. 

AMALAN  yang tidak bersatu diantara ROH dan JASAD tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang atau sesuatu.

SEBELUM  menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan. 

SESEORANG manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t.  Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah.  

Firman-Nya:

“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
 
Ayat di atas menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. 

APA juga yang Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.

Orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.
 
Jika orang kafir tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia.Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.
 
SEBAHAGIAN kaum muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah. Bala bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.
 
APABILA rohani seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.
 
JADI, ada golongan yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir, iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan anugerah Allah s.w.t.
 
Dalam perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:

Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.

“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )
 
Orang yang di dalam makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:

“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.  ( Ayat 40 : Surah an-Naml )

Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )

 
Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal ibadat.
 
Orang yang masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
 
Di awal perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang sangat FAQIR.

---------------------------------------------------------------------


HTML Comment Box is loading comments...


Puisi Sufi...




Firman Allah swt  bermaksud :-

“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka katakana kepada mereka sesungguhnya Aku (ALLAH SWT) senantiasa hamper (kepada mereka), Aku perkenankan permintaan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu”

                                                                                Surah Al Baqarah : 186

 
YA  ALLAH  ENGKAU  TUHANKU
TIADA  TUHAN  MELAINKAN  ENGKAU
ENGKAU  CINTA  AGUNGKU
NABI  MUHAMMAD  PESURUHMU
                                YA  ALLAH  ENGKAU  SUMBER  BAHAGIA
ENGKAU  SUMBER  KESELAMATAN
YA  ALLAH  ENGKAU  SUMBER  KEAMANAN
ENGKAU  ADALAH  SEGALANYA
YA  ALLAH  ENGKAULAH  PELINDUNGKU
ENGKAULAH  SUMBER  REZEKIKU
DIWAKTU  SAKIT  KAU SEMBUHKAN
DIWAKTU  LAPAR  KAU BERI  MAKAN
                                JANGAN  BIARKAN  KU  TANPA  PIMPINAN
                                PIMPINLAH  AKU  KE  JALAN  YANG  BENAR
                                KEPADA  ENGKAULAH  HARAPANKU
                                JANGANLAH  HAMPAKAN PERASAANKU

*****************************************************************
Firman Allah swt dalam hadis qudsi  bermaksud:-
"Wahai anak Adam! Apabila engkau mengingati Aku dalam keadaan sunyi sepi, Aku akan mengingatimu dalam keadaan sunyi sepi. Dan apabila engkau mengingati Aku di tengah khalayak ramai, Aku akan mengingatimu di tengah khalayak ramai yang lebih baik dari tempatmu"
                                                                ( Riwayat Bazzar dari Ibnu Abbas ra )

Firman Allah swt dalam hadis qudsi bermaksud:-
"Aku adalah sepertimana sangkaan hambaKu dan Aku bersama dengannya ketika ia mengingati Aku. Jika ia ingat kepadaKu didalam hatinya, Aku ingat kepadanya didalam HatiKu. Dan jika ia ingat kepadaKu dikhalayak ramai, nescaya Aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik. Dan jika ia mendekati kepadaKu sejengkal, Aku pun mendekatinya sehasta. Dan jika ia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan jika ia datang kepadaKu berjalan maka Aku datang kepadanya sambil berlari"

                                                               ( Riwayat Syaikhan dan Tarmizi dari Abu Hurairah ra )
---------------------------------------------------------------------------------------------------------


HTML Comment Box is loading comments...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...