Setiap manusia mengharapkan setiap usaha yang dilakukannya mendapat natijah yang terbaik dan yang disukai oleh hati. Malahan ada juga yang mempertaruhakan amal ibadat yang telah dilakukan untuk memastikan doa dimakbulkan. Persoalannya buka cara berdoa dan keperluan berdoa, tetapi adakah kita ”MELIHAT” perkara yang tersirat disebalik ”DOA SEBAGAI IBADAT PENYERAHAN MUTLAK KEPADA ALLAH SWT” atau sekadar melengkapan ungkapan ”Berdoa selepas berusaha” . Pandangan ini agak berbeza kerana Musafir Faqir ”melihat” dari sudut yang jarang-jarang manusia melihat kepentingan berdoa.
Apabila kita berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu memperolehinya kita akan meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai kuasa. Jika mereka juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon pertolongan daripada Allah s.w.t, menadah tangan ke langit sambil air mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan hajat kepada-Nya. Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan sepenuh hati. Tidak ada kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan langit maka pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaan-Nya. Andainya Allah s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaan-Nya. Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hamba-Nya.
Firman Allah SWT bermaksud :-
”Dan Allah berkuasa melakukan apa yang di kehendaki-Nya”. Surah Ibrahim:27
”Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya”. - Surah al-Baqarah :116
”Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak”. - Surah al-Anbiyaa’:23
Sebahagian besar daripada kita tidak sedar bahawa kita mensyirikkan Allah s.w.t dengan doa dan amalan kita. Kita jadikan doa dan amalan sebagai kuasa penentu atau setidak-tidaknya kita menganggapnya sebagai mempunyai kuasa tawar menawar dengan Tuhan, seolah-olah kita berkata, “Wahai Tuhan! Aku sudah membuat tuntutan maka Engkau wajib memenuhinya. Aku sudah beramal maka Engkau wajib membayar upahnya!” Siapakah yang berkedudukan sebagai Tuhan, kita atau Allah s.w.t? Sekiranya kita tahu bahawa diri kita ini adalah hamba maka berlagaklah sebagai hamba dan jagalah sopan santun terhadap Tuan kepada sekalian hamba-hamba. Hak hamba ialah rela dengan apa juga keputusan dan pemberian Tuannya.
Doa adalah ibadah dalam bentuk penyerahan mutlak dari hamba kepda Rabb bukan tuntutan hamba kepada Rabb. Kita telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan makhluk tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali menyerahkan segala urusan kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak segala perkara. Serahkan kepada Allah s.w.t dan tanyalah kepada diri sendiri mengapa Tuhan menahan kita dari memperolehi apa yang kita hajatkan? Apakah tidak mungkin apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita sendiri, hingga lantaran itu Allah s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya daripada sampai kepada kita? Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui.
Firman Allah SWT bermaksud :-
”Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya”. - Surah al-Mulk:14
“Dialah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. - Surah at-Taghaabun : 18
“Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansuhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?”.- Surah al-Baqarah:106)
Allah s.w.t Maha Halus (Maha Terperinci/Detail), Maha Mengerti dan Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Allah s.w.t yang bersifat demikian menentukan buat diri-Nya yang apa sahaja yang Dia mansuhkan digantikannya dengan yang lebih baik atau yang sama baik. Dia boleh berbuat demikian kerana Dia tidak bersekutu dengan sesiapa pun dan Dia Maha Berkuasa.
Seseorang hamba sentiasa berhajat kepada pertolongan Tuhan. Apa yang dihajatinya disampaikannya kepada Tuhan. Semakin banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang disampaikannya kepada Tuhan. Kadang-kadang berlaku satu permintaan berlawanan dengan permintaan yang lain atau satu permintaan itu menghalang permintaan yang lain. Manusia hanya melihat kepada satu doa tetapi Allah s.w.t menerima kedatangan semua doa dari satu orang manusia itu. Manusia yang dikuasai oleh kalbu jiwanya berbalik-balik dan keinginan serta hajatnya tidak menetap. Tuhan yang menguasai segala perkara tidak berubah-ubah. Manusia yang telah meminta satu kebaikan boleh meminta pula sesuatu yang tidak baik atau kurang baik. Tuhan yang menentukan yang terbaik untuk hamba-Nya tidak berubah kehendak-Nya. Dia telah menetapkan buat Diri-Nya:
Firman Allah SWT bermaksud:-
“Bertanyalah (wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah! Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat.” - Surah al-An’aam:12
Orang yang beriman selalu mendoakan dan Allah SWT merekodkan didalam Al Quran sebagai bukti.
Firman Allah SWT bermaksud :- “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. -Surah al-Baqarah:201
Hamba yang mendapat rahmat dari Allah s.w.t diterima doa di atas dan doa tersebut menjadi induk kepada segala doa-doanya. Doa yang telah diterima oleh Allah s.w.t menapis doa-doa yang lain. Jika kemudiannya si hamba meminta sesuatu yang mendatangkan kebaikan hanya kepada penghidupan dunia sahaja, tidak untuk akhirat dan tidak menyelamatkannya dari api neraka, maka doa induk itu menahan doa yang datang kemudian. Hamba itu dipelihara daripada didatangi oleh sesuatu yang menggerakkannya ke arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika permintaannya sesuai dengan doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang dimintanya itu.
Oleh sebab itu doa adalah penyerahan kepada Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. Menghadaplah kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya serta ucapkan, “Wahai Tuhanku Yang Maha Lemah-lembut, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana! Daku adalah hamba yang bersifat tergopoh gapah, lemah dan jahil. Daku mempunyai hajat tetapi daku tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan Engkau Maha Mengetahui. Sekiranya hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan akhiratku dan melindungiku dari api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat yang baik bagiku menerimanya. Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku dan mendorongku ke neraka, maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah keinginanku terhadapnya. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan Maha Berdiri Dengan Sendiri”.
Firman Allah SWT bermaksud:-
“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya”-Surah al-Qasas:68
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik kepadamu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”- Surah Al Baqarah : 216
ADAKAH DOA KITA SELAMA INI KITA JADIKAN SEBAGAI IBADAT PENYERAHAN MUTLAK KEPADA-NYA ATAU KITA JADIKAN ”URUSAN PERIBADI” UNTUK ALLAH TUNAIKAN HAJAT KITA? ...RENUNG-RENUNGKANLAH.... ------------------------------------------------------------------------------
Para sahabat Rasulullah s.a.w adalah kumpulan kaum Muslimin yang paling bertuah kerana Rasulullah s.a.w berada di tengah-tengah mereka. Mereka menerima pengajaran wahyu secara langsung daripada baginda s.a.w. Mereka adalah puak yang paling diberkati Allah s.w.t kerana Dia kurniakan kepada mereka cahaya (Nur) Nabi Muhammad s.a.w secara terus, tanpa dihijab oleh ruang, zaman atau masa. Apa yang mereka perolehi daripada Nur Nabi Muhammad s.a.w adalah yang paling benar dan asli pada tahap maksimum. Jika Nabi Muhammad s.a.w diibaratkan sebagai matahari, maka para sahabat menerima pancaran matahari ketika ia berdiri tegak tanpa segumpal awan pun melindunginya. Umat yang di belakang pula adalah umpama orang yang menerima pancaran cahaya matahari ketika ia telah condong ke barat dan ketika awan mendung sudah berarak dipermukaan langit.
Kaum Muslimin yang menerima tarekat secara langsung daripada Rasulullah s.a.w menetap di atas jalan kehambaan dan kesedaran. Wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w secara langsung membakar sifat-sifat keji para sahabat tanpa membakar identiti mereka. Mereka mengikuti tingkah-laku Rasulullah s.a.w dengan bersungguh-sungguh untuk memakai sifat-sifat benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana. Mereka berusaha menyesuaikan diri dengan Rasulullah s.a.w kerana baginda s.a.w adalah model yang Allah s.w.t hantarkan untuk diteladani. Apabila jalan yang demikian diikuti maka para sahabat menjadi duta-duta kepada Rasulullah s.a.w, cermin yang membalikkan cahaya Nabi Muhammad s.a.w dan penyambung lidah Nabi Muhammad s.a.w. Cara yang demikian meneguhkan iman di atas landasan kehambaan. Tidak ada percubaan untuk membuang kehambaan dan menjadi Tuhan. Tidak ada pengalaman kerohanian yang memabukkan. Banyak daripada pengalaman yang ganjil-ganjil yang dialami oleh para sufi yang datang kemudian, tidak dialami oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Golongan yang menjalani tarekat yang diterima secara langsung daripada Rasulullah s.a.w tidak mengalami atau jarang terjadi pengalaman dan penyaksian terhadap tajalli-tajalli, warna dan cahaya. Pengalaman yang demikian tidak terjadi di peringkat awal sahabat menerima Islam dan tidak juga di peringkat akhir. Pengalaman yang demikian tidak berlaku kerana ‘matahari’ kenabian tidak ditutup oleh awan mendung keraguan dan syak wasangka yang biasa dikeluarkan oleh akal fikiran. Pengembara pada jalan kenabian iaitu tarekat para sahabat tidak terpukau dengan tajalli dan tidak tertarik dengan bayangan. Tajalli dan bayangan adalah fenomena yang timbul selama awan mendung menutupi cahaya matahari yang asli. Setelah awan mendung berlalu muncullah cahaya yang terang benderang, tanpa rupa, tanpa warna dan bayangan juga hilang.
Para sahabat yang mengikuti jalan kenabian sangat menyintai akhirat. Keluarga Yasir yang sedang hebat menderita diseksa oleh orang Banu Makhzum, menjadi tenang apabila menerima jaminan syurga daripada Rasulullah s.a.w. Syurga yang dijanjikan itu memberi semangat dan kekuatan kepada keluarga Yasir. Kecintaan mereka kepada akhirat lahir daripada kecintaan mereka kepada Allah s.w.t yang berjanji untuk memperlihatkan Diri-Nya di akhirat kelak. Mereka tidak meninggalkan akhirat atau pun dunia lantaran kecintaan mereka kepada Allah s.w.t. Kecintaan kepada Allah s.w.t yang disertai oleh kecintaan kepada akhirat dan dunia tidak menggoncangkan iman dan pegangan tauhid mereka.
Apa yang dilakukan oleh kaum musyrikin bukanlah memaksa kaum Muslimin menafikan ketuhanan Allah s.w.t, tetapi mereka mahu diadakan sekutu bagi Allah s.w.t. Kaum Muslimin yang hati mereka sudah dipenuhi oleh kecintaan kepada Allah s.w.t tidak mahu mempersekutukan Allah s.w.t dengan sesuatu. Inilah prinsip menyintai Allah s.w.t yang berdasarkan iman, yang dibentuk melalui jalan kenabian. Cinta yang demikian diperkuatkan dengan kecintaan kepada akhirat dan syurga. Syurga diingini kerana syurga adalah tempat pertemuan sebenar hamba dengan Tuhan. Allah s.w.t menggalakkan hamba-Nya menyintai akhirat dan syurga di samping benar dalam menyintai-Nya dan Rasul-Nya. Cinta yang berdasarkan kepada iman itu juga tidak memisahkan seseorang daripada dunia.
Tujuan manusia diciptakan adalah supaya mereka mengabdikan diri kepada Tuhan dengan cara menjadi khalifah di bumi, di dalam dunia. Manusia sebagai khalifah atau wakil Tuhan berkewajipan memakmurkan kehidupan di dalam dunia ini, melaksanakan peraturan dan kehendak Allah s.w.t. Dunia adalah daerah kekhalifahan manusia. Dunia adalah kebun buat manusia bercucuk tanam. Dunia adalah tempat buat manusia bekerja sebagai hamba Tuhan. Dunia adalah amanah yang Tuhan pertanggungjawabkan kepada makhluk berbangsa manusia. Cinta kepada Allah s.w.t yang berdasarkan iman mendorong seseorang manusia menyempurnakan tugas dan kewajipannya di dalam dunia. Tugas yang sangat penting di dalam dunia adalah menyuruh yang makruf dan mencegah yang munkar dan semuanya itu hendaklah dibuat berlandaskan kepada tauhid.
Pada jalan kenabian yang diikuti oleh para sahabat, kesungguhan digembelingkan ke arah mematuhi peraturan syariat. Mereka meyakini syariat dengan sepenuh jiwa raga dan bersedia untuk mempertahankan syariat dengan segala kemampuan yang mereka ada. Rasulullah s.a.w menolak permintaan puak Taqif yang datang dari Taif, agar berhala mereka tidak dirobohkan dalam tempuh satu tahun dari masa mereka mula menerima Islam dan mereka juga meminta dikecualikan daripada melakukan sembahyang lima waktu. Agama Tauhid tidak boleh bertolak-ansur dengan berhala. Mengenai sembahyang pula baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Tidak ada Islam tanpa sembahyang.” Tentera Islam meredah padang pasir, memikul senjata, berperang, membunuh dan dibunuh, semuanya dilakukan dengan membawa peraturan syariat, termasuklah sembahyang lima waktu. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, Khalifah Abu Bakar as-Siddik memerangi puak Islam yang enggan mengeluarkan zakat. Syariat dipegang sewaktu Rasulullah s.a.w masih hidup dan juga selepas kewafatan baginda s.a.w. Kaum Muslimin berkewajipan menanggung syariat sehingga ke akhir hayat mereka. Tidak ada had atau makam di mana seseorang bebas daripada tuntutan syariat. Rasulullah s.a.w sendiri pun terikat dengan tuntutan syariat, malah kesungguhan baginda s.a.w bersyariat melebihi orang lain.
Orang yang memasuki jalan kenabian adalah hamba yang Allah s.w.t pimpin kepada-Nya. Jalan tersebut sudah dilalui oleh para anbia, siddiqin dan salihin. Pada jalan tersebut sesuatu adalah terang dan jelas, tiada kesamaran. Tuntutan pada jalan ini adalah syariat, tidak perlu melakukan latihan yang berat, merbahaya dan samar-samar. Pada jalan kenabian latihan bersuluk dan berkhalwat tidaklah sepenting menjaga tuntutan fardu di samping melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan harian. Amalan pada jalan kenabian tidak mengganggu pekerjaan harian, tidak perlu mengasingkan diri ke tempat yang tidak ada orang. Cara yang diajarkan oleh Sunah Rasulullah s.a.w boleh mengelakkan seseorang terbawa-bawa ke dalam zauk, berkelakuan ganjil, meratap dan menangis atau mengeluarkan perkataan yang menyalahi syariat. Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak mengambil tahu tentang tajalli Tuhan, Rahsia Tuhan, fana dalam Tuhan, baqa dengan Tuhan atau yang seumpamanya. Kasyaf, zauk, jazbah dan keramat jarang sekali ditemui pada orang yang melalui jalan kenabian. Jika ada pun perkara yang demikian berlaku, ia berlaku bukan disengajakan, tidak dibuat amalan khusus untuk memperolehi yang demikian. Mereka yang beramal menurut Sunah Rasulullah s.a.w mendapat kelazatan di dalam sembahyang dan membaca al-Quran bukan di dalam zauk. Mereka bertindak menguruskan kehidupan harian secara manusia biasa tanpa perlu bersandar kepada kekeramatan. Mereka menetap di dalam kesedaran, tidak dibawa ke alam fana. Mereka terus berada di atas landasan kehambaan, tidak memasuki suasana bersatu dengan Tuhan atau baqa dengan-Nya. Mereka menghabiskan masa dengan melakukan tuntutan syariat, bukan berbahas tentang af’al, asma’, sifat dan zat Tuhan. Mereka berpegang kuat kepada wahyu dan perkataan Rasulullah s.a.w, tidak mencari-cari apa yang dipanggil ilmu rahsia, ilmu isi atau yang seumpamanya.
Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak digesa berperang dengan jasad dengan melakukan latihan yang menyakitkan jasad. Pada jalan kenabian penekanan diberikan kepada soal kesederhanaan dan menjaga agar tidak melampaui batas. Dibenarkan mengadakan pembalasan tetapi sekadar kejahatan yang dilakukan orang, jangan melampau dalam pembalasan dan jika sanggup memaafkan adalah lebih baik. Dibenarkan tidur tetapi jika bangun bersembahyang tahajjud adalah lebih baik. Dibenarkan makan dan minum tetapi jika berpuasa adalah lebih baik. Cara yang demikian lebih memudahkan orang ramai mengikutinya. Orang khusus juga boleh mencapai matlamat melalui jalan ini.
Pengembara pada jalan kenabian membina kecintaan kepada Allah s.w.t berdasarkan bimbingan syariat. Cinta yang lahir melalui cara yang demikian berada di dalam batasan rasional, tidak terjadi kecintaan yang asyik mahsyuk sehingga lupa diri dan makhluk di sekeliling. Kasih yang rasional melahirkan rasa syukur tatkala menerima nikmat dari Allah s.w.t dan sabar di dalam menerima ujian. Cara yang demikian membuat kehambaan sentiasa menemani pengembara pada jalan kenabian. Rasa bergantung, berhajat dan berharap kepada Allah s.w.t tidak pernah lepas dari hati hamba itu. Kasih yang berdasar kepada iman menjadi lebih kuat dengan cara mendukung syariat, mematuhi Sunah Rasulullah s.a.w, dengan tulus ikhlas beramal sesuai dengan perintah al-Quran dan Sunah Rasulullah s.a.w dalam perkara zahir dan batin, juga tidak melakukan perkara yang munkar. Jika yang demikian dilakukan seseorang itu selamat daripada kekufuran dan seterusnya seseorang itu dibawa kepada suasana berserah diri kepada Allah s.w.t. Cara yang demikian menundukkan keinginan diri sendiri kepada ketentuan dan kehendak Allah s.w.t. Tunduk kepada ketentuan dan kehendak Allah s.w.t menambahkan kecintaan kepada-Nya yang didasarkan kepada iman. Kasih yang demikian menjadi lebih kuat apabila dilakukan kebaktian kepada agama-Nya, peraturan-Nya, Sunah Rasul-Nya, menolong makhluk-Nya, menghapuskan kezaliman dan kemunkaran serta menegakkan keadilan di atas muka bumi. Kasih kepada Allah s.w.t secara demikian melahirkan juga kasihkan makhluk Allah s.w.t dan orang yang berkenaan bekerja untuk membasmikan perkara-perkara yang tidak baik dari umat manusia seperti kemiskinan, penyakit, kesusahan dan lain-lain. Pada jalan kenabian kecintaan kepada Allah s.w.t berkait rapat dengan kecintaan kepada peraturan Allah s.w.t dan makhluk-Nya. Matlamatnya adalah melaksanakan kehendak Allah s.w.t sebaik mungkin.
Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak mengalami suasana fana, bersatu dengan Tuhan, baqa, tajalli atau menyaksikan satu wujud (wahdatul wujud) yang biasa ditemui oleh pengembara pada jalan kesufian. Pada jalan kenabian Allah s.w.t kurniakan yang lebih baik dan lebih benar daripada semua itu. Dikurniakan kepada pengembara pada jalan kenabian makna agama yang sebenarnya yang tidak bercampur dengan kesamaran dan kekeliruan. Allah s.w.t jadikan mereka saksi bagi agama-Nya, menjadi puak yang menyatakan kebenaran agama-Nya dan kebenaran Rasul-Nya menyampaikan perintah-Nya. Allah s.w.t kurniakan kepada mereka makam yang mulia iaitu menjadi penyebar agama-Nya secara benar dan bersih daripada bidaah dan kesesatan. Orang yang berjalan pada jalan kenabian dikurniakan rasa ghirah (kecemburuan) beragama. Perasaan yang demikian membuat mereka bersedia berjuang melindungi agama dan mempertahankannya daripada gangguan musuh-musuh agama. Merekalah yang sebenar-benar dipilih dan dilantik sebagai khalifah Allah s.w.t pada bumi dan diberikan izin menggunakan cop mohor-Nya di dalam melaksanakan tugas kekhalifahan itu. Allah s.w.t akan membantu, menolong dan membela mereka menjalankan tugas mereka menyebarkan syariat, memakmurkan bumi, mengalahkan musuh-musuh Islam dan menyelamatkan umat Islam daripada penindasan bangsa-bangsa lain.
Pada jalan kenabian tidak ada fana dalam perbuatan Allah s.w.t, fana dalam nama Allah s.w.t, fana dalam sifat Allah s.w.t dan fana dalam zat Allah s.w.t. Bila tidak ada fana tidak ada juga baqa. Bila yang demikian tidak ada maka tidak ada pula mabuk. Kecintaan kepada Allah s.w.t berjalan di dalam kesedaran. Tidak terjadi keasyikan yang melahirkan ucapan yang pelik-pelik. Tidak ada tangisan dan rayuan untuk bersatu dengan Tuhan atau dukacita lantaran berpisah dengan Tuhan. Para sahabat yang diasuh sendiri oleh Rasulullah s.a.w sentiasa berada di dalam kesedaran sepenuhnya, bukan kefanaan. Mereka mengejar kecintaan kepada Allah s.w.t dan kehampiran dengan-Nya dengan cara mentaati Rasulullah s.a.w di dalam mentaati Allah s.w.t. Mereka bekerja memahami wahyu Tuhan dan mengamalkannya dalam kehidupan harian. Mereka tidak memasuki jalan suluk secara khusus kerana bagi mereka kehidupan inilah tempat bersuluk. Suluk mereka adalah takwa, iaitu berjalan di celah-celah duri kejahilan, kemusyrikan, kemunafikan, kemunkaran dan kefasikan. Mereka bersuluk secara menjag a diri agar tidak melakukan dosa dan maksiat terutamanya syirik kepada Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Esa.
Rasulullah s.a.w diutuskan ketika umat manusia mengalami kegelapan akidah dan keruntuhan akhlak. Baginda s.a.w berkewajipan menyelamatkan umat manusia. Baginda s.a.w bekerja keras bagi mengubati penyakit-penyakit yang dihidapi oleh bangsa manusia dalam segala segi termasuklah akidah, akhlak, sistem perekonomian, sistem pentadbiran masyarakat dan lain-lain. Agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w mencakupi segala aspek kehidupan umat manusia, bersesuaian dengan akal budi manusia, mengimbangi soal lahiriah dengan soal batiniah. Agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w memperbetulkan aspek lahiriah yang telah diputar-belitkan oleh kaum Yahudi dan aspek batiniah yang telah dikelirukan oleh kaum Nasrani. Tugas suci yang ditanggung oleh Rasulullah s.a.w itu ditanggung juga oleh kaum Muslimin yang menjadi pengikut baginda s.a.w. Tugas yang sama dipikul oleh kaum Muslimin yang datang kemudian dengan mendukung jalan kenabian.
Jalan yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w dan diikuti oleh para sahabat adalah jalan singkat dalam mencapai matlamat iaitu keredaan Allah s.w.t. Jalan yang ada suluk adalah jalan jauh yang perlu dilalui oleh orang-orang tertentu kerana sesuatu sebab yang perlu, terutamanya pada zaman yang telah jauh daripada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Ketika baginda s.a.w masih hidup bimbingan wahyu dan pengajaran secara langsung daripada baginda s.a.w lebih kuat dan lebih berkesan daripada cara berkhalwat sendirian jauh daripada Rasulullah s.a.w. Beriman dan beramal salih lebih dituntut daripada mengasingkan diri. Berjuang menyelamatkan manusia daripada neraka adalah juga termasuk dalam perkara amal salih. Di dalam melaksanakan tugas suci itu Rasulullah s.a.w dan kaum Muslimin perlu berperang menghapuskan faktor-faktor yang membentengi umat manusia daripada sampai kepada kebenaran. Banyak puak yang pada mulanya enggan menerima atau mendengar ajaran Islam, telah dengan rela memeluk Islam setelah mereka dikalahkan. Muslim zaman Rasulullah s.a.w sanggup mati demi menyelamatkan umat manusia daripada api neraka.
Nabi Muhammad s.a.w sebagai juru pandu yang mahir telah mengemudikan perjalanan kaum Muslimin di celah-celah kehidupan jahiliah. Kehidupan jahiliah dipenuhi oleh duri-duri keruntuhan akidah dan akhlak. Orang jahiliah menyembah berhala, mendewa-dewakan sesama manusia, meminum arak, berjudi, berzina, membunuh anak-anak perempuan, menyelesaikan permasalahan dengan cara berlaku kejam dan membunuh, menjadikan wanita sebagai alat memuaskan nafsu dan bermacam-macam perlakuan yang menyalahi moral dan etika kemanusiaan. Di dalam menangani masalah jahiliah itu Rasulullah s.a.w menekankan dua perkara pokok iaitu mengembalikan akidah manusia kepada tauhid dan mengembalikan akhlak manusia kepada nilai-nilai murni kemanusiaan (fitrah). Selama baginda s.a.w berdakwah di Makkah tumpuan baginda s.a.w adalah akidah dan akhlak. Penekanan kepada aspek akhlak semata-mata, iaitu nilai murni kemanusiaan semata-mata, tanpa tauhid, tidak akan memberi kesan yang mendalam kepada pembentukan keperibadian manusia. Revolusi akhlak semata-mata tanpa revolusi akidah mungkin mampu mengwujudkan manusia yang baik tetapi manusia yang demikian hanya bergerak pada soal-soal kebendaan dan keduniaan sahaja. Kejayaan dan kecemerlangan diukur melalui pencapaian pada perkara kehidupan keduniaan dan kebendaan semata-mata. Tanpa akidah manusia akan mengalami kekosongan jiwa dan kekosongan tersebut akan diisi oleh sesuatu seperti ketaasuban kepada keluarga, keturunan, kaum dan bangsa. Pengisian dengan anasir keduniaan itu akan menarik manusia kembali kepada kerosakan akhlak. Ramai manusia yang memulakan perjalanan mereka dengan baik sehingga memperolehi akhlak yang mulia. Setelah mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dalam kehidupan lahiriah jiwanya yang kosong diresapi oleh berbagai-bagai anasir keduniaan dan kebendaan. Kesudahannya mereka jatuh ke dalam perlakuan yang mencemarkan nilai murni kemanusiaan. Ramai pemimpin yang telah berjuang dengan ikhlas bagi membebaskan negara mereka daripada penjajah. Setelah mencapai kemerdekaan dan menjadi pemimpin, mereka yang tiada pengisian akidah itu bertukar menjadi tamak kuasa dan menindas rakyat. Ramai juga golongan peniaga yang memulakan perniagaan mereka secara jujur sehingga orang ramai memberi sokongan padu kepada mereka. Saham mereka melambung naik. Setelah mencapai kejayaan dan kekayaan, jiwa mereka yang kosong diisikan dengan harta benda. Akibatnya lahirlah sifat menambun harta tanpa batasan sehingga harta orang ramai yang diamanahkan kepada mereka juga diselewengkan. Ramai manusia yang memulakan sesuatu kerjaya dengan menghormati nilai-nilai murni kemanusiaan, tetapi setelah kejayaan dicapai, nilai murni tersebut dibuang begitu sahaja. Orang yang seperti inilah yang selalu mendatangkan kesusahan kepada mana-mana badan atau persatuan yang mereka anggotai. Revolusi akhlak akan hancur jika ia tidak mengiringi revolusi akidah. Rasulullah s.a.w telah membina jalan yang menyelaraskan akidah dengan akhlak. Semakin kuat dan benar akidah kaum Muslimin semakin murni akhlak mereka. Kemurnian akhlak kaum Muslimin menjadi daya penarik kepada kaum lain. Orang yang belum Islam lebih mempelajari tentang Islam melalui akhlak kaum Muslimin. Pembentukan akhlak kaum Muslimin merupakan dakwah secara tidak langsung kepada kaum lain. Pada jalan kenabian kaum Muslimin berkecimpung di dalam masyarakat dan mereka melakukan dakwah sepanjang masa dengan mempraktikkan nilai-nilai murni kemanusiaan.
Orang yang meminati bidang kerohanian, tasauf dan tarekat biasanya tertarik kepada soal kewalian. Kewalian biasanya dihubungkan dengan jalan kesufian. Apabila memperkatakan tentang wali-wali Allah maka nama-nama mereka yang memasuki jalan kesufian sering ditonjolkan. Orang-orang seperti Syeikh Abdul Qadir Jilani, Ibrahim bin Adham, Hasan Basri, Junaid, Rabiatul Adawiah dan lain-lain orang sufi biasanya disenaraikan sebagai wali-wali Allah. Mengaitkan kewalian secara khusus dengan kesufian semata-mata telah menimbulkan banyak kekeliruan dan merugikan umat Islam sendiri. Apabila nama-nama sufi sering ditonjolkan sebagai wali Allah, timbullah anggapan bahawa hanya dengan memasuki jalan kesufian seseorang itu boleh mencapai makam kewalian. Kewalian pada jalan kenabian tidak ditonjolkan. Kefahaman tentang kewalian haruslah diperbetulkan. Haruslah diketahui bahawa orang yang menerima Islam secara langsung daripada Rasulullah s.a.w adalah wali Allah. Wali-wali Allah yang sezaman dengan Rasulullah s.a.w, mendengar pengajaran daripada baginda s.a.w sendiri, melihat wajah baginda s.a.w, mendengar tutur-kata baginda s.a.w, makan bersama-sama baginda s.a.w, berperang di samping baginda s.a.w, adalah wali-wali Allah peringkat paling tinggi. Tidak ada kewalian yang lebih tinggi daripada kewalian para sahabat Rasulullah s.a.w. Kewalian yang muncul selepas sahabat, termasuklah kewalian para sufi tidak melebihi kewalian para sahabat. Di dalam senarai nama-nama wali Allah peringkat tertinggi yang sezaman dengan Rasulullah s.a.w, mendahuluinya adalah orang-orang seperti Abu Bakar as-Siddik, Umar al-Khatab, Usman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Zahid bin Harisah, Zubair bin Awam, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abu Waqqas, Talhah bin Ubaidillah, Al-Arqam bin Arqam, Yasir dan anak-anaknya Amar dan Abdullah, Samyah isteri Yasir, Bilal bin Rabah, Jaafar bin Abu Talib, Muaz bin Jabar, Abdullah bin Rawahah, Said bin Muaz, Dihyah bin Khalifah al-Kalbi yang Jibrail a.s pernah muncul dalam rupanya, Saad bin Ubada dan ramai lagi yang tergolong di dalam senarai wali-wali Allah peringkat tertinggi yang tidak ada wali pada zaman kemudian mengatasi kedudukan mereka. Setelah selesai senarai nama para sahabat itu baharulah datang nama-nama wali-wali yang datang kemudian seperti Abdul Qadir Jilani dan lain-lain.
Memasukkan nama para sufi sahaja di dalam senarai wali-wali yang datang kemudian merupakan kekeliruan yang nyata dan ia adalah sikap yang tidak adil kepada kewalian itu sendiri. Orang ramai jangan lupa untuk melihat kewalian orang-orang yang menetap pada jalan kenabian seperti Imam Syafi’e, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Nawawi, Imam Ghazali dan lain-lain. Harus juga diperhatikan ahli-ahli ilmu yang telah banyak menyumbang kepada umat manusia dalam bidang perubatan, kimia, falsafah, astronomi dan lain-lain. Apakah tidak layak orang yang seperti Ibnu Rusyd dan Jamaluddin al-Afghani dipanggil wali Allah?
Wali-wali di peringkat paling atas adalah sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, termasuklah syuhada di Badar. Mereka telah mendapat pengiktirafan dan sanjungan daripada al-Quran dan disokong oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Perkataan al-Quran dan Rasulullah s.a.w adalah muktamad. Wali-wali yang datang kemudian kedudukan mereka diperbesarkan oleh manusia sendiri, bukan perakuan secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. Para sahabat adalah wali-wali yang lebih utama daripada wali yang datang kemudian sama ada dari jalan kesufian atau pun dari jalan kenabian. Kenyataan ini mesti dihunjam ke dalam fikiran umat Islam yang keliru dengan kedudukan kewalian. Ramai kaum Muslimin meninggalkan perkataan wali-wali peringkat tertinggi dan berpegang kepada perkataan wali yang lebih rendah atau orang yang tidak sahih kewaliannya.
Walaupun istilah wali tidak popular digunakan pada zaman Rasulullah s.a.w tetapi kewalian para sahabat tidak boleh dinafikan. Sebahagian daripada mereka telah disebut nama mereka dengan sahih oleh Rasulullah s.a.w sebagai ahli syurga. Baginda s.a.w juga memberi jaminan bahawa sesiapa yang mengikuti mana-mana sahabat baginda s.a.w sesungguhnya orang itu telah mengikuti yang benar. Wali-wali seperti Imam Syafi’e dan Imam Malik merupakan yang paling hampir jalan mereka dengan jalan para sahabat Rasulullah s.a.w. Oleh itu perkataan mereka lebih kuat dan lebih kukuh daripada perkataan wali-wali yang bukan berada pada jalan kenabian. Sangat tidak wajar kaum Muslimin membuang perkataan Imam Syafi’e kerana terpengaruh dengan perkataan zauk Abu Mansur al-Hallaj. Jalan yang ditempuh oleh Abu Mansur yang ada zauk, fana dan jazbah itu dinamakan jalan kesufian.
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah, Umar bin al Khatab r.a berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud :-
“Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahninya, dia akan mendapat apa yang diniatkannya”
Riwayat Bukhari no1,54,2529,3898,5070,6689,6953. Muslim no 1907. Abu Daud no. 2201. Tirmizi no 1646. Nasa’i no. 1/59-60VI/158. Ibn Majah no 4227. Ahmad no 1/25,43.
Salam Maal Hijrah 1433H….
Apabila tiba bulan Muharam, maka sebagai seorang muslim/muslimat pasti akan terdetik didalam hati perkataan HIJRAH. Macam-macam eksperitasi dan huraian mengenai hijrah didalam kepala kita. Rata-rata pasti mengatakan ”Hijrah dari kota Mekah ke kota Madinah” atau ”Hijrah daripada kegelapan kepada cahaya”. Walau apa pun yang bermain dikepala kita selagi membawa maksud yang sama atau hampir sama iaitu ”dari keburukan kepada kebaikan” maka itulah hijrah. Cuma yang membezakan setiap dari kita adalah tahap pemahaman dan penghayatan ”rahsia hijrah” itu sendiri.
Musafir Faqir terpanggil untuk membuka catitan-catitan lama sepanjang perjalanan mencari cahayaNya untuk dikongsikan kepada pembaca. Maksud Hijrah ini terlalu luas dan bermacam-macam huraian boleh dinukilkan. Dalam tulisan blog kali ini elok rasanya kita melihat erti hijrah dari satu sudut yang agak jarang diperkatakan iaitu hijrah dari ”ilmu yakin kepada haqqul yakin” . Perbincangan tentang maksud ini memang panjang tetapi dengan keizinanNya Musafir Faqir akan cuba meringkaskan seringkas yang boleh dengan jelas tanpa menjejaskan maksudnya.
Ibadat tanpa ilmu itu sesat manakala ada ilmu tetapi tidak melaksanakan ibadat itu sia-sia. Allah SWT dalam al quran meningkatkan darjat orang-orang yang berilmu lebih daripada orang yang tidak berilmu. Maka amat rugilah kalau tidak beramal dengan ilmu yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT itu.
Firman Allah SWT bermaksud :-
”Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat” – Surah Al Mujadalah :11.
Firman Allah SWT bermaksud :-
”Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah dikalangan hambaNya yang berilmu dan bijaksana”- Surah Az Zumar : 9.
Namun ukuran tingginya ilmu yang dimiliki seseorang bukan bererti seseorang itu beriman atau teguh imannya. Ilmu mungkin boleh diukur dengan pencapaian akedemik dalam apa jua bidang tetapi iman itu terlalu halus lagi bersifat subjektif. Dengan ilmu jugalah dapat membezakan taraf setiap manusia di mata Allah SWT.
Dalam melaksanakan amal perbuatan syariat, kita memerlukan ilmu supaya setiap perbuatan itu mengikut rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Malahan dalam mengharungi kehidupan didunia ini kita wajib mempunyai ilmu. Bahkan barangsiapa mahukan dunia dan akhirat , maka wajib menuntu ilmu.
Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud :-
”Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan” – Riwayat Ibn ’Adiyy, Al Baihaqi dan Al Tabrani.
Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat. Satu peringatan keras daripada Rasulullah mengenai ilmu;
Baginda bersabda bermaksud :-
”Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah , tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat”- Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah.
Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah lagi di akhirat. Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata: “Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya”.
Seharusnya ketika ini kita sudah bersedia untuk memecahkan gumpalan pemikiran lama yang menjadikan tesis dan bahan kajian sekadar menjadi simbol kebanggaan yang langsung tidak dimanfaatkan.
Alangkah baiknya jika semua analisis dan kajian dibuat dapat diterjemahkan untuk tujuan pelaksanaan demi kepentingan dan pembangunan ummah. Tidak bolehkah kajian itu diwakafkan demi kepentingan tamadun ummah.
Memecahkan gumpalan pemikiran yang sudah berabad itu memang tidak mudah. Tetapi itulah agenda besar yang harus dilaksanakan jika ingin mengembalikan dinamik Islam ke arah berdaya saing.
Sudah lama kita dilihat lemah dan tidak berkeupayaan untuk membuktikan Islam adalah pelopor serta menjadi paksi kemajuan dunia. Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.
Diriwayatkan, Rasulullah SAW ada memberitahu kepada Abu Dzar: “Wahai Abu Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik bagimu dari solat seratus rakaat. Dan, pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan, dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari solat seribu rakaat”-Riwayat Ibnu Majah.
Persoalan yang kita SELALU TERLEPAS PANDANG adalah yang tersirat dalam tersurat, adakah kita benar-benar melihat perkara disebalik ilmu yang kita pelajari itu?... kita belajar ilmu solat, memahami rukun serta syarat-syaratnya, adakah kita benar-benar ”melihat rahsia” disebalik solat?...kita belajar ilmu puasa, memahami rukun serta syarat-syaratnya, adakah kita benar-benar ”melihat rahsia” disebalik puasa itu?..Inilah yang cuba Musafir Faqir kongsikan dalam blog kali ini iatitu ”Hijrah dari ilmu yakin kepada haqqul yakin”....sebelum ini kita telah belajar dan memahami solat, puasa, zakat dan apa jua ibadat wajib dan sunat malahan telah belajar pelbagai ilmu dunia dan akhirat, maka marilah berhijrah ”MELIHAT” apa yang ada didalam setiap ilmu ibadat wajib dan sunat itu. Marilah kita ”MELIHAT” kepada siapa setiap amalan itu dipersembahkan. Belajar dan memahami sesuatu ilmu itu sememangnya baik tetapi dapat ”MELIHAT KEPADA YANG HAK” ketika mempersembahkan amal perbuatan itu lebih baik dan lebih memberikan ketenangan dihati.
Semoga perjalanan kita dalam tahun ini lebih bermakna dan lebih jelas tujuannya. InsyaAllah amin...
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak adam itu ada seketul daging bila baik ia nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah iaitulah HATI.”- Riwayat Bukhari dan Muslim.
Hadis diatas menerangkan kepada kita pengaruh hati pada kelakuan bahkan seluruh penghidupan seseorang itu. Kerana jika baiknya hati kita maka baiklah segala perbuatan kita, jika jahatnya hati kita maka jahatlah segala kelakuan kita. Hati itu ibarat raja dan anggota tubuh badan adalah rakyat....jika hati mahukan itu dan ini maka anggota tubuh badanlah yang akan sedaya upaya melaksanakannya...
Manusia akan menjadi kuat jika jiwanya sering bertaut rapat dengan Tuhan. Dengan kata lain apabila seseorang itu sering berhubung dengan Allah dalam ibadat dan zikrullah akan menjadi tenanglah jiwanya. Ketenangan ini amat perlu untuk mengawal emosi, akal dan jasad. Kekuatan jasad amat terhad dan ianya mengikut kata HATI. Kekuatan daya intelek (IQ) juga terbatas, ianya pula boleh dirancang, bijak dalam segala tindakan dan keputusan. Tetapi hakikat sebenar kehidupan menunjukkan terdapat banyak perkara luar batasan dan dugaan akal yang berlaku (mencarik adat). Akal akan menjadi lemah bila perancangannya gagal, kecewa bila menghadapi musibah, kematian, kesakitan, kehilangan dan sebagainya. Emosi juga tidak kuat jika tidak bertaut dengan ketuhanan. Padahal Allah SWT senantiasa bersama-sama dengan kita walau dimana kita berada.
Firman Allah SWT bermaksud :-
"Dan kami lebih dekat kepadanya dari urat marikh (lehernya sendiri)”-Surah Al-Qaf: 16
Kaum sufi memulakan pembinaan HATInya dengan kekuatan ROH bukan akal atau emosi. Dia mengingati Allah hingga perasaan dan emosinya merasai cinta yang mendalam. Berdasarkan sirah dan sunnah Rasulullah s.a.w yang menyampaikan dakwah tauhid ke dalam masyarakat Arab ketika itu menerusi kaedah ibadat zikir sahaja selama 13 tahun. Zikir yang sungguh-sungguh akan menyebabkan seseorang itu merasa zauk dan wajidan iaitu asyik dengan Allah. Mereka menjadi fana' dan merasai kehampiran dengan tuhan, hingga hati merasa gementar bila disebut nama Allah menitis airmatanya bila mengingatinya.
Firman Allah SWT bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal”-Surah Al-Anfal: 2
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani pernah berkata: "Tiada yang membezakan seseorang wali itu dengan manusia yang lain dari segi amalannya kecuali ia memiliki kekuatan jiwa yang besar dan hebat dalam menghadapi musibah. Dan bagi wali itu karamah yang paling besar ialah istiqamah dengan Tuhannya, redha dan patuh pada qada dan qadarnya."
HATI merupakan perkara pokok yang selalu kita bincangkan dalam blog perkongsian ilmu ini. Bagi yang boleh menerima huraiannya dan hati tersentuh maka ianya adalah ”Ketukan dari Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang” untuk kita sama-sama mengambil ikhtibar dari apa yang tersirat dari yang tersurat. Dengan terbukanya MATA HATI maka kita akan lebih kenal dan faham JAMINAN ALLAH SWT dan KEWAJIPAN HAMBA. Yang pasti kita tidak akan sesekali mencampuri atau menyibukkan diri kepada perkara-perkara yang telah dijamin oleh Allah SWT.
Penyingkapan rahsia mata hati adalah penting bagi memahami setiap coretan perjalanan dalam mencari ”Cahaya dalam Cahaya”. Mata hati ialah mata bagi hati atau boleh juga dikatakan kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati. Kadang-kadang mata hati ini dipanggil sebagai mata dalam. Istilah ‘mata dalam’ digunakan bagi membezakan istilah ini dengan mata yang zahir, iaitu yang dimiliki oleh diri zahir. Diri zahir terbentuk daripada daging, darah, tulang, sumsum, rambut, kulit dan lain-lain. Diri zahir ini berkebolehan untuk melihat, mendengar, mencium, merasa dan menyentuh. Diri zahir memperolehi kehidupan dari perjalanan darah ke seluruh tubuhnya dan aliran nyawa dalam bentuk wap atau gas yang keluar masuk melalui hidung dan mulut. Jika darahnya dikeringkan atau dibekukan ataupun jika aliran wap yang keluar masuk itu disekat maka diri zahir akan mengalami satu keadaan di mana sekalian bahagiannya terhenti berfungsi dan ia dinamakan mati! Diri zahir ini jika disusun dapatlah dikatakan bahawa ia terdiri daripada tubuh dan nyawa serta deria-deria yang dapat mengenal sesuatu yang zahiriah. Pusat kawalannya ialah otak yang mengawal keberkesanan deria-deria dan juga mencetuskan daya timbang atau akal fikiran.
Diri batin juga mempunyai susunan yang sama seperti diri zahir tetapi dalam keadaan ghaib. Ia juga mempunyai tubuh yang dipanggil kalbu atau hati. Hati yang dimaksudkan bukanlah seketul daging yang berada di dalam tubuh. Ia merupakan hati rohani atau hati seni. Ia bukan kejadian alam kasar, sebab itu ia tidak dapat dikesan oleh pancaindera zahir. Ia termasuk di dalam perkara- perkara ghaib yang diistilahkan sebagai Latifah Rabbaniah atau hal yang menjadi rahsia ketuhanan. Apabila di dalam keadaan suci bersih ia dapat mendekati Tuhan. Ia juga yang menjadi tilikan Tuhan. Hati seni ini juga memiliki nyawa yang dibahasakan sebagai roh. Roh juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah. Ia adalah urusan Tuhan dan manusia hanya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.
Firman Allah SWT bermaksud :-
Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. - Surah Al Israa : 85.
Tubuh seni atau hati seni juga mempunyai sifat yang berkemampuan mencetuskan pemahaman dan pengetahuan. Ia dipanggil akal yang juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah yang tidak mampu dihuraikan. Akal jenis ini berguna bagi pengajian tentang ketuhanan. Tubuh zahir mempunyai deria-deria untuk mengenal perkara zahiriah. Deria-deria tersebut dipanggil penglihatan, pendengaran, penciuman, perasaan dan penyentuhan dan alat-alat yang bersangkutan ialah mata, telinga, hidung, lidah, tangan dan lain-lain. Tubuh seni atau diri batin juga mempunyai deria yang mengenal perkara ghaib dan deria ini dinamakan basirah atau mata hati. Ia berbeza daripada sifat melihat yang dimiliki oleh mata zahir. Mata zahir melihat perkara zahir dan mata hati syuhud atau menyaksikan kepada yang ghaib.
Apa yang ada di sekeliling kita boleh dilihat melalui dua aspek iaitu yang nyata dilihat dengan mata zahir dan yang ghaib dilihat dengan mata hati. Jika kita ambil satu buku gula, mata kasar melihat sejenis hablur berwarna keputihan. Bila diletakkan pada lidah terasalah manisnya. Ketika menikmati kemanisan itu kita seolah-olah memandang jauh kepada sesuatu yang tidak ada di hadapan mata. Kelakuan merenung jauh itu sebenarnya adalah terjemahan kepada perbuatan mata hati memandang kepada hakikat gula iaitu manis. Bagaimana rupa manis tidak dapat diceritakan tetapi mata hati yang melihat kepadanya mengenal bahawa gula adalah manis. Jika mata zahir melihat sebilah pedang, maka mata hati akan melihat pada tajamnya. Jika mata zahir melihat kepada lada, mata hati melihat kepada pedasnya. Jadi, mata zahir mengenal dan membezakan rupa yang zahir sementara mata hati mengenal dan membezakan hakikat kepada yang zahir. Mata hati yang hanya berfungsi setakat mengenal manis, tajam, pedas dan yang seumpamanya masih dianggap sebagai mata hati yang buta. Mata hati hanya dianggap celik jika ia mampu melihat urusan ketuhanan di sebalik yang nyata dan yang tidak nyata.
Kekuatan suluhan mata hati bergantung kepada kekuatan hati itu sendiri. Semakin bersih dan suci hati bertambah teranglah mata hati. Jika ia cukup terang ia bukan sahaja mampu melihat kepada yang tersembunyi di sebalik rupa yang zahir di sekeliling kita malah ia mampu melihat atau syuhud apa yang di luar daripada dunia. Dunia adalah segala sesuatu yang berada di dalam bulatan langit yang pertama atau langit dunia atau langit rendah. Langit rendah ini merupakan sempadan dunia. Selepas langit dunia dinamakan Alam Barzakh. Meninggal dunia membawa maksud roh yang rumahnya iaitu jasad telah tidak sesuai lagi didiaminya atau dipanggil sebagai mengalami kematian, dibawa keluar dari langit dunia dan ditempatkan di dalam Alam Barzakh.
Fungsi mata hati ialah melihat yang hakiki. Mata hati yang mampu melihat dunia secara keseluruhan sebagai satu wujud akan mengenali apa yang hakiki tentang dunia itu. Oleh sebab penyaksian mata hati bersifat tidak dapat dinyatakan secara terang maka ia memerlukan ibarat untuk mendatangkan kefahaman. Ibarat yang biasa digunakan bagi menceritakan tentang hakikat dunia ialah: “Dunia adalah seorang perempuan yang sangat tua dan sangat hodoh. Tubuhnya kotor dan berpenyakit, menanah di sana sini dan ada bahagiannya yang sudah dimakan ulat ”. Begitulah lebih kurang perasaan orang yang melihat kepada hakikat dunia dengan mata hatinya. Bagaimana rupa hakikat yang menyebabkan timbul perasaan dan ibarat yang demikian tidak dapat dihuraikan.
Mata hati yang lebih kuat mampu pula menyaksikan Alam Barzakh dan mengenali satu lagi hakikat yang dinamakan keabadian, iaitu sifat hari akhirat. Kematian membinasakan jasad dan kiamat membinasakan alam seluruhnya tetapi tidak membinasakan Roh yang padanya tergantung kitab amalan masing-masing. Ahli maksiat tidak dapat diselamatkan oleh kematian dan kiamat. Ahli taat yang tidak mendapat ganjaran yang setimpal di dunia tidak binasa ketaatannya oleh kematian dan kiamat. Tanggungjawab seseorang hamba akan terus dipikulnya melepasi kematian, Alam Barzakh, kiamat, Padang Mahsyar dan seterusnya menghadapi Pemerintah hari pembalasan. Tanggungjawab itu hanya gugur setelah Hakim Yang Maha Bijaksana dan Maha Adil lagi Maha Mengetahui serta Maha Perkasa menjatuhkan hukuman. Inilah hakikat yang ditemui oleh mata hati yang menyelami Alam Barzakh, bukan melihat roh orang mati di dalam kubur.
Mata hati berfungsi mengenal perkara yang ghaib. Makrifat atau pengenalan kepada keabadian atau hari akhirat akan melahirkan kesungguhan pada menjalankan amanat Allah s.w.t iaitu mengerjakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Amanat itu akan terus dibawa oleh para hamba untuk diserahkan kembali kepada Allah s.w.t yang meletakkan amanat tersebut kepada mereka. Makrifat mata hati yang demikian melahirkan sifat takwa dan beramal salih. Apabila takwa dan amal salih menjadi sifat seorang hamba maka masuklah hamba itu ke dalam jaminan Allah s.w.t.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“Dialah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya (untuk menghidupkan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah)” - Surah Al-Mu’min:13
Allah s.w.t berfirman dalam Hadis Qudsi:
”Hamba-Ku, taatilah semua perintah-Ku, jangan memperkatakan keperluan kamu”.
Allah s.w.t sebagai Tuhan, Tuan atau Majikan tidak sekali-kali mengabaikan tanggungjawab-Nya untuk memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya sementara hamba-hamba pula berkewajipan mentaati Tuan mereka. Rezeki telah dijamin oleh Allah s.w.t dan untuk mendapatkan rezeki tersebut seseorang hamba hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya. Jika dia seorang ahli asbab maka bekerjalah ke arah rezekinya dan jangan iri hati terhadap rezeki yang dikurniakan kepada orang lain. Jika dia ahli tajrid maka bertawakallah kepada Allah s.w.t dan jangan gusar jika terjadi kelewatan atau kekurangan dalam urusan rezeki. Walau dalam makam manapun seseorang hamba itu berada dia mesti melakukan kewajipan iaitu bersungguh-sungguh mentaati Allah s.w.t dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Hamba yang terbuka mata hatinya akan percaya dengan yakin terhadap jaminan Allah s.w.t dan tidak mencuaikan kewajipannya. Hamba ini akan melipat-gandakan kegiatan dan kerajinannya untuk bertakwa dan beramal salih tanpa mencurigai jaminan Allah s.w.t tentang rezekinya.
Hamba yang buta mata hatinya akan berbuat yang berlawanan iaitu dia tekun dan rajin di dalam mencari rezeki yang dijamin oleh Allah s.w.t tetapi dia mencuaikan tanggungjawab yang diamanatkan oleh Allah s.w.t. Orang ini akan menggunakan daya usaha yang banyak untuk memperolehi rezeki yang boleh didapati dengan daya usaha yang sederhana tetapi menggunakan daya usaha yang sedikit dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mungkin didapati kecuali dengan daya usaha yang gigih dan perjuangan yang hebat iaitu pahala-pahala bagi amal salih.
Mata hati melihat kepada yang hak dalam keghaiban. Nafsu yang hanya berminat dengan kebendaan yang nyata menutupi yang hak itu dan akal mengadakan hujah untuk menguatkan keraguan yang tumbuh pada nafsu. Perkara ghaib disaksikan dengan keyakinan. Jika nafsu dan akal bersepakat mengadakan keraguan, kebenaran yang ghaib akan terhijab. Orang yang mencari kebenaran tetapi gagal menundukkan nafsu dan akalnya akan berpusing-pusing di tempat yang sama. Keyakinan dan keraguan sentiasa berperang dalam jiwanya.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“Dan sesiapa yang berada di dunia ini ( dalam keadaan) buta (mata hatinya) maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya” – Surah Al Israa :72
“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap akan menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu” – Surah Muhammad : 31
Kehidupan manusia di alam maya ini tidak akan terlepas dengan ujian Allah swt walau sesaat pun sejak lahir hinggalah ke saat sakaratulmaut. Sejak keluar dari rahim ibu hinggalah seseorang itu mencapai akil baligh atau mumaiz, sedikit pun Allah swt tidak minta dipulangkan atau dibayar semula setiap apa yang kita gunakan termasuklah udara yang kita gunakan, makanan yang kita pakai, pakaian yang kita pakai hatta serba serbinya diberikan oleh Allah swt kepada manusia secara ”Free Of Charge” .
Apabila manusia mencapai akil baligh atau mumaiz, maka barulah Allah swt meminta dipulangkan atau dibayar setiap apa yang kita gunakan. Maksud dipulangkan atau dibayar semula ini bukanlah seperti memulangkan barang atau membayar dengan duit, tetapi memulangkan dan membayar semula dengan ”ingat kepada Allah swt dalam keadaan syukur, ikhlas, redha dan sabar sama ada di dalam keadaan senang atau susah” .
Perjalanan hidup setiap insan di muka bumi ini telah ditetapkan dan tercatat di Luh Mahfuz. Dan tidak mungkin perbuatan manusia di dunia ini mampu mengubah ketetapan yang telah tertulis. Mengapa Allah swt rahsiakan setiap perjalanan hidup insan? .....Semata-mata untuk menguji dan menzahirkan kebenaran yang telah tertulis di Luh Mahfuz.
Firman Allah swt bermaksud :-
”Dan ada diantara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau dia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu dan kalau pula dia di timpa fitnah kesusahan, berbaliklah dia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah dia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata” – Surah Al Hajj : 11
Manusia merancang dan memilih, Allah swt juga merancang dan memilih tetapi perancangn dan pilihan Allah swt yang terbaik. Perancangan dan pilihan Allah swt mendahuli perancangan dan pilihan manusia itu sendiri. Allah swt tidak melarang manusia untuk membuat perancangan dan membuat pilihan, tetapi natijah daripada perancangan dan pilihan yang manusia buat itu telah terdahulu berada di dalam IlmuNya dan telah terdahulu berada di dalam Kudrat dan Iradah Allah swt.
Di sini kita memerlukan pemahaman yang cukup jelas supaya kita dapat merasai ”Kemanisan Musibah” . Mari kita sama-sama fahami beberapa kupasan yang serba ringkas ini. Manusia membuat perancangan dan pilihan di dalam setiap perkara sepanjang perjalanan hidup di dunia ini. Manusia normal akan merancang untuk menyediakan yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga. Malahan manusia merancang untuk membina sesuatu yang terbaik untuk masyarakatnya. Dalam merancang sesuatu manusia akan membuat pilihan ini kerana dalam satu-satu masa manusia hanya berpeluang memilih satu di antara dua. Pilih kanan atau kiri. Pilih depan atau belakang. Pilih atas atau bawah. Pilih hitam atau putih. Pilih ya atau tidak. Pilih kegelapan atau nur . Serba serbinya manusia membuat pilihan dan perancangan. Kesungguhan dan kesibukan manusia merancang dan membuat pilihan ini membuatkan manusia selalu lupa tujuan Allah swt menciptakan manusia dan jin di atas muka bumi ini. Tidak salah merancang dan memilih tetapi bila kita meletakkan Allah swt diluar perancangan dan pilihan kita maka disini timbulnya ruang-ruang untuk Iblis dan bala tenteranya menyerang hati-hati manusia. Maka mana mungkin kita boleh merasai kemanisan musibah.
Bagi yang dianugerahkan mata hati, dapat melihat dengan jelas bahawa semuanya adalah perancangan dan pilihan Allah swt. Perancangan dan pilihan kita tidak akan mampu mengatasi ”kota takdir Allah swt” . Biar sehebat mana kita sekali pun, biar setebal mana iman kita sekali pun kota takdir Allah swt pasti tidak akan rosak dengan perbuatan dan perancangan manusia.
Bagaimana dengan Firman Allah swt bermaksud :-
”Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu berusaha untuk mengubahnya” – Surah Ar Raddu : 11 .
Perlu difahami bahawa di dalam Al Quran terdapat ayat-ayat sebagai ”motivasi” kepada manusia untuk berusaha seperti yang Nabi saw ajarkan kepada umatnya. Ini adalah sebagai tarikan kepada manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah swt secara sedikit demi sedikit bagi membina kembali hakikat kebenaran Kekuasaan-Nya kepada sekalian mahluk yang ada di dunia ini. Allah swt Maha Mengetahui tahap keimanan seseorang dan Dia juga yang memiliki ”pintu hidayah” untuk dikurnikan kepada sesiapa yang dikehendaki.
Begitulah juga dengan Firman Allah bermaksud :-
”Masuklah syurga dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan di dunia dahulu” – Surah Nahl : 32
Ini merupakan ayat motivasi kepada manusia semata-mata untuk mengajak manusia kembali kepada Allah swt. Seperti mana kita melatih anak-anak kecil berpuasa di bulan ramadhan tentunya kita sebagai ayah atau ibu akan memberikan ganjaran sebagai motivasi untuk dijadikan tarikan kepada mereka. Setelah mereka sudah biasa berpuasa di bulan ramadhan lama kelamaan akan timbul dengan sendirinya di dalam hati untuk mencari rahsia berpuasa yang sebenar dan hakikat yang ada pada syariat Nabi saw itu.
Demikianlah hadis Nabis saw bermaksud :-
”Seseorang itu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dengan sebab amalannya” – Riwayat Bukhari 10/109 . Riwayat Muslim 2816. Riwayat Ibnu Majah 4201. Riwayat Imam Ahmad 2/235.
Inilah yang dinamakan hakikat. Rahsia yang tersirat pada yang tersurat ada dihadapan mata kita. Namun hanya mereka yang benar-benar mencari kebenaran pasti akan menjumpai ”cahaya di dalam cahaya” .
Firman Allah swt bermaksud :-
”Mereka yang bersungguh-sungguh datang menuju Kami, pastilah Kami akan menunjuki mereka jalan-jalan Kami”- Surah Al Ankabut : 69
Firman Allah swt bermaksud :-
”Hai manusia sesungguhnya kamu telah berjuang dengan bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, pasti kamu akan menemuiNya”-Surah Al Insyiqaad : 6
Maka apa yang penting disini bukanlah persoalan manusia boleh membuat pilihan atau tidak tetapi apa yang lebih penting adalah adakah kita mengambil ikhtibar dengan natijah yang berlaku. Apa yang kita rancangan dan pilih itu berjaya dan betul itu adalah kerana telah tertulis di Luh Mahfuz. Yang tersirat dari itu adalah adakah kita mengembalikannya kepada Allah swt atau tidak? Adakah kita bersyukur atau tidak? Inilah ujianNya yang sebenar. Kalau pun apa yang kita rancang dan pilih itu tidak berhasil, ianya juga telah tertulis di Luh Mahfuz. Yang tersirat dari itu adalah adakah kita sabar dan redha dengan ketetapanNya atau tidak? Inilah juga ujianNya yang sebenar.
Firman Allah swt bermaksud :-
”Mereka mengatakan dengan mulutnya sesuatu yang tiada di dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui dari apa yang mereka sembunyikan”- Surah Ali Imran : 116
Inilah yang dikatakan hakikat yang ingin dikongsikan bersama. Walaupun ada diantara kita yang tidak boleh menerima kenyataan ini, ianya tidak bermakna mereka itu salah mentafsir kebenaran hakikat. Mungkin mereka ada alasan-alasan yang membuatkan mereka menolak penjelasan yang Musafir Faqir kongsikan ini. Alakulihal semuanya terpulang pada Istihaj dan kemahuan masing-masing. Man jadda wa jada.
Dimana sahaja kita berada dan dalam wadah apa perjuangan yang kita sertai, jangan sesekali kita melupai Hakikat yang tersirat. Perjuangan menegakkan agama Allah swt itu wajib tetapi menegakkan Hakikat dalam diri itu lebih wajib dan lebih utama. Kekuatan Islam itu bukan terletak pada jumlah penganutnya. Kekuatan Islam itu bukan terletak pada manhaj semata-mata. Tetapi rahsia kekuatan Islam itu sendiri adalah terletak pada TAUHID yang benar-benar kukuh lagi jelas tentang kebenaran Hakikat tempat berdirinya Syariat. Maka sudah pasti manusia akan berjalan pada jalan Tarekat dengan penglihatan Makrifat.
Inilah kebenaran dari ikhtibar sirah, tentera yang sedikit mampu mengalahkan tentera yang ramai. Malahan terbukti kekuatan TAUHID yang sebenar-benarnya didalam hati setiap tentera Islam, maka tentera Muhammad Al Fateh berjaya menawan Constatinopal.
Firman Allah swt bermaksud :-
” Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya, sesungguhnya Allah telah mengadakan ketenttuan bagi setiap sesuatu” – Surah At Thalaq : 2 & 3
Firman Allah swt bermaksud :-
”Wahai jiwa yang telah tenang, pulang kembalilah kepada Tuhan mu , dalam keadaan redha dan diredhai, Maka masuklah dalam golongan hambaKu dan masuklah ke syurgaKu”-Surah Al Fajr : 27 – 30 .
Kalau kita REDHA Allah swt sebagai tuhan kita nescaya kita tidak akan sesekali meragui ketetapanNya. Maka pasti kita akan mengatakan ”Yang baik dan buruk itu semuanya dari Allah swt sebagai ujianNya kepada hamba-hambaNya” . Maka pasti Allah akan meREDHAi kita sebagai hambaNya.
Firman Allah swt bermaksud :-
” Ingatlah! Sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Mereka orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa”-Surah Yunus : 62 & 63
Daripada Abu Hurairah r.a berkata ; Rasulullah saw bersabda bahawa Allah swt berfirman bermaksud :-
” Sesiapa memusuhi wali-Ku , maka Ku izinkan dia diperangi. Tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu amal yang lebih Ku sukai daripada jika dia mengerjakan amal yang Ku wajibkan kepadanya. Hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri kepada Ku dengan amalan-amalan sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, jadilah Aku sebagai telinganya untuk mendengar dan sebagai matanya untuk melihat dan sebagai kakinya untuk berjalan dan jika dia meminta kepada Ku pasti Ku beri dan jika dia minta perlindungan kepada Ku pasti Ku lindungi” – Riwayat Bukhari no 6137 . Al Baghawi jilid 7 halaman 204 dalam Syarhus Sunnah.
Semuanya Milik Allah swt dan daripada Allah swt dan akan kembali kepada Allah swt. Maka apabila kita sudah menyedari semuanya ketetapan dari Allah swt sebagai ujianNya kepada manusia maka sudah pasti kita akan rasa tenang untuk menghadapi ujian tersebut. Kemanisan Musibah ada pada yang tersirat dalam yang tersurat. Renung-renungkanlah......