Hadis Qudsi :-
” Mereka yang bersahabat kerana Aku (Allah SWT), berhak memperolehi cinta-Ku dan mereka yang saling membantu antara sesamanya kerana Aku, berhak memperolehi cinta-Ku. Dan tiadalah seorang mukmin (lelaki atau perempuan) berserah diri kerana Allah atas kematian tiga orang dar antara anak kandungnya yang belum dewasa, pasti Allah memasukkannya ke dalam syurga dengan limpah kurnia rahmat-Nya”
(Riwayat Tabrani dalam kitab Al Ausath dan As Saghir dari Amr Anbasah r.a)
SESEUNGGUHNYA perkongsian ilmu ini adalah semata-mata untuk berkongsi mutiara-mutiara indah sepanjang perjalanan mencari ”cahaya dalam cahaya”. Perjalanan ini masih jauh. Pangkalnya jauh nun di belakang dan hujungnya dihadapan belum kunjung tiba. Dalam perjalanan hidup ini selalunya kita berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Adakah kita mengambil iktibar dengan setiap apa yang berlaku? Kejayaan kita bukan pada kejayaan mengharungi ujian dan cabaran tetapi lebih daripada itu.
Bagi yang dianugerahkan mata basyrah, maka akan melihat yang tersirat dari yang tersurat. Untuk berusaha mengharungi ujian itu susah tetapi memahami yang tersirat pada kejayaan itu lebih susah. Untuk bersabar dengan kegagalan dalam ujian itu susah tetapi untuk memahami yang tersirat daripada kegagalan itu lebih susah. Ini adalah ”Permainan-Nya” . Disediakan ganjaran, ujian, tegahan dan hukuman dari manusia lahir ke dunia hingga mati. Dan kematian itu bukanlah penamat kehidupan tetapi permulaan untuk kehidupan akan kekal abadi.
Apabila kita memahami Hakikat maka mudahlah kita memahami Syariat. Syahadah itu sendiri terdiri daripada Hakikat dan Syariat. Kita mengaku Allah swt sebagai Rabb kerana itulah makna terjemahan daripada tulisan jawi ke tulisan rumi. Otak memproses terjemahan dan lidah menyebut sambil cuba menggambarkan Allah swt di minda. Ini adalah perkara yang berlaku pada semua manusia. Perbezaan dengan mereka yang memahami Hakikat, mengucapkan kalimah tauhid dari Roh yang kenal Rabb serta menyaksikan Rabb pada sekelian kejadian mahluk dan sekelian alam.
Kita boleh menilai sendiri sejauh mana tahap keyakinan syahadah kita. Ini pasti akan berlaku apabila kita mengucapkan kalimah tauhid tanpa zauk dengan penyaksian Roh. Pasti bagi mereka yang memahami ilmu hakikat/tasauf akan merasai kelainan apabila mengucapkan ”Bismillah” , ”InsyaAllah” , ”Alhamdulillah”, ”Astaqfirullah hal’azim” ,” Lahaulawakuwataillabillah” dan banyak lagi kerana mengucapkan kalimah itu adalah dari Roh yang kenal Rabb. Kita rasa seronok dan hati menjadi tenang dapat mengucapkan kalimah-kalimah tersebut tetapi akan lebih fana dan baqo bila mengucapkan kalimah-kalimah tersebut dalam keadaan Roh mengenali Rabb.
Perjalanan di bawah cahaya terik matahari masih jauh , sementara berehat seketika dibawah pohon ditengah-tengah padang pasir ini adalah elok berkongsi mutiara yang dikutip kerana mutiara-mutiara ini tidak akan Musafir Faqir bawa bersama untuk perjalanan yang seterusnya.
Kita bertauhid melalui dua cara, pertama bertauhid dengan akal dan keduanya bertauhid dengan hati. Bidang akal ialah ilmu dan liputan ilmu sangat luas, bermula dari pokok kepada dahan-dahan dan seterusnya kepada ranting-ranting. Setiap ranting ada hujungnya, iaitu penyeleaiannya. Ilmu bersepakat pada perkara pokok, bertolak ansur pada cabangnya dan berselisih pada rantingnya atau penyelesaiannya.
Jawapan kepada sesuatu masalah selalunya berubah-ubah menurut pendapat baharu yang ditemui. Apa yang dianggap benar pada mulanya dipersalahkan pada akhirnya. Oleh sebab sifat ilmu yang demikian orang awam yang berlarutan membahas tentang sesuatu perkara boleh mengalami kekeliruan dan kekacauan fikiran. Salah satu perkara yang mudah mengganggu fikiran ialah soal takdir atau Qadak dan Qadar. Jika persoalan ini diperbahaskan hingga kepada yang halus-halus seseorang akan menemui kebuntuan kerana ilmu tidak mampu mengadakan jawapan yang konkrit.
Qadak dan Qadar diimani dengan HATI. Tugas ilmu ialah membuktikan kebenaran apa yang diimani. Jika ilmu bertindak menggoyangkan keimanan maka ilmu itu harus disekat dan hati dibawa kepada tunduk dengan iman. Perkongsian ilmu ini membimbing ke arah itu agar iman tidak dicampur dengan keraguan.
Selama NAFSU dan AKAL menjadi HIJAB, beriman kepada perkara ghaib dan menyerah diri secara menyeluruh tidak akan dicapai. Qadak dan Qadar termasuk dalam perkara ghaib. Perkara ghaib disaksikan dengan mata hati atau basirah. Mata hati tidak dapat memandang jika hati dibungkus oleh hijab nafsu. Nafsu adalah kegelapan, bukan kegelapan yang zahir tetapi kegelapan dalam keghaiban. Kegelapan nafsu itu menghijab sedangkan mata hati memerlukan cahaya ghaib untuk melihat perkara ghaib. Cahaya ghaib yang menerangi alam ghaib adalah cahaya roh kerana roh adalah urusan Allah s.w.t. Cahaya atau nur hanya bersinar apabila sesuatu itu ada perkaitan dengan Allah s.w.t.
Firman Allah SWT bermaksud:-
”Allah adalah cahaya bagi semua langit dan bumi”- An-Nur:35
Firman Allah SWT bermaksud:-
”Dialah Yang Maha Tinggi darjat kebesaran-Nya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan kekuasaan-Nya); Ia memberikan wahyu darihal perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (yang telah dipilih menjadi Rasul-Nya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan, - Al-Mu’min :15
Firman Allah SWT bermaksud:-
“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu); apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, - Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai yang ada di langit dan yang ada di bumi. Kepada Allah jualah kembali segala urusa”- Asy-Syura : 52 &53
Apabila cahaya roh berjaya menghalau kegelapan nafsu, mata hati akan menyaksikan yang ghaib. Penyaksian mata hati membawa hati beriman kepada perkara ghaib dengan sebenar-benarnya.
Allah s.w.t telah menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.
Firman Allah SWT bermaksud:-
”Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kam”.- Al-Maa’idah : 3
Umat Islam adalah umat yang paling bertuah kerana Allah s.w.t telah menyempurnakan nikmat-Nya ke atas mereka dengan mengurniakan Islam. Allah s.w.t menjamin juga bahawa Dia reda menerima Islam sebagai agama mereka. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi mereka yang menuntut keredaan Allah s.w.t untuk tidak menoleh ke kiri atau ke kanan, sebaliknya terus berjalan mengikut landasan yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang lengkap mencakupi semua aspek kehidupan baik yang zahir mahupun yang batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat, apa yang mesti tidak dibuat, bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu dan bagaimana jika tidak mahu melakukan apa-apa. Segala peraturan dan kod etika sudah dijelaskan dari perkara yang paling kecil hingga kepada yang paling besar. Sudah dijelaskan cara beribadat, cara berhubungan sesama manusia, cara membahagikan harta pusaka, cara mencari dan membelanjakan harta, cara makan, cara minum, cara berjalan, cara mandi, cara memasuki jamban, cara hukum qisas cara melakukan hubungan kelamin, cara menyempurnakan mayat dan semua aspek kehidupan diterangkan dengan jelas.
Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Segala penyelesaian telah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujuk kepada Islam itu sendiri nescaya segala pertanyaan akan terjawab. Begitulah besarnya nikmat yang dikurniakan kepada umat Islam. Kita perlulah menjiwai Islam untuk merasai nikmat yang dikurniakan itu. Kewajipan kita ialah melakukan apa yang telah Allah s.w.t aturkan sementara hak mengatur atau mentadbir adalah hak Allah s.w.t yang mutlak.
Jika terdapat peraturan Allah s.w.t yang tidak dipersetujui oleh nafsu kita, jangan pula melentur peraturan tersebut atau membuat peraturan baharu, sebaliknya nafsu hendaklah ditekan supaya tunduk kepada peraturan Allah s.w.t. Jika pendapat akal sesuai dengan Islam maka yakinilah akan kebenaran pendapat tersebut, dan jika penemuan akal bercanggah dengan Islam maka akuilah bahawa akal telah tersilap di dalam perkiraannya. Jangan memaksa Islam supaya tunduk kepada akal semasa yang akan berubah pada masa yang lain, tetapi tundukkan akal kepada apa yang Tuhan kata yang kebenarannya tidak akan berubah sampai bila-bila.
Orang yang mengamalkan tuntutan Islam disertai dengan beriman kepada Qadak dan Qadar, jiwanya akan sentiasa tenang dan damai. Putaran roda kehidupan tidak membolak-balikkan hatinya kerana dia melihat apa yang berlaku adalah menurut apa yang mesti berlaku. Dia pula mengamalkan kod yang terbaik dan dijamin oleh Allah s.w.t. Hatinya tunduk kepada hakikat bahawa Allah s.w.t yang mentadbir sementara sekalian hamba berkewajipan taat kepada-Nya, tidak perlu masuk campur dalam urusan-Nya.
Mungkin timbul pertanyaan apakah orang Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran, tidak boleh mentadbir kehidupannya dan tidak boleh berusaha membaiki kehidupannya? Apakah orang Islam mesti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa tadbir?
Allah s.w.t menceritakan tentang tadbir orang yang beriman:
Firman Allah SWT bermaksud:-
”Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka, sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin), kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki; dan tiap-tiap yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahu”. -Yusuf:76
Firman Allah SWT bermaksud:-
”Dan kepunyaan-Nya jualah kapal-kapal yang berlayar di lautan laksana gunung-ganang”.- Ar-Rahmaan:24
Nabi Yusuf a.s, dengan kepandaiannya, mengadakan muslihat untuk membawa saudaranya, Bunyamin, tinggal dengannya. Kepandaian dan muslihat yang pada zahirnya diatur oleh Nabi Yusuf a.s tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan Dia yang mengatur muslihat tersebut dengan kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Kapal yang pada zahirnya dibina oleh manusia tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan kapal itu adalah kepunyaan-Nya. Ayat-ayat di atas memberi pengajaran mengenai tadbir yang dilakukan oleh manusia.
Rasulullah s.a.w sendiri menganjurkan agar pengikut-pengikut baginda s.a.w mentadbir kehidupan mereka. Tadbir yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang tidak memutuskan hubungan dengan Allah s.w.t, tidak berganjak dari tawakal dan penyerahan kepada Tuhan yang mengatur pentadbiran dan perlaksanaan. Janganlah seseorang menyangka apabila dia menggunakan otaknya untuk berfikir maka otak itu berfungsi dengan sendiri tanpa tadbir Ilahi. Dari mana datangnya ilham yang diperolehi oleh otak itu jika tidak dari Tuhan? Allah s.w.t yang membuat otak, membuatnya berfungsi dan Dia juga yang mendatangkan buah fikiran kepada otak itu. Tadbir yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Islam hendaklah dijadikan penapis untuk mengasingkan pendapat dan tindakan yang benar dari yang salah. Islam menegaskan bahawa sekiranya tidak kerana daya dan upaya dari Allah s.w.t, pasti tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh sesiapa pun.
Oleh yang demikian seseorang mestilah menggunakan daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya menurut keredaan Allah s.w.t. Seseorang hamba Allah s.w.t tidak sepatutnya melepaskan diri dari penyerahan kepada Allah Yang Maha Mengatur. Apabila apa yang diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka dia akui bahawa kejayaan itu adalah kerana persesuaian aturannya dengan aturan Allah s.w.t. Jika apa yang diaturkannya tidak menjadi, diakuinya bahawa aturannya wajib tunduk kepada aturan Allah s.w.t dan tidak menjadi itu juga termasuk di dalam tadbir Allah s.w.t.
Umpama seorang pakar komputer telah mencipta satu permainan animasi. Dalam permainan animasi itu ada watak jahat dan watak baik. Direka pelbagai halangan dan cabaran serta ganjaran kepada setiap tahap pencapaian. Suka hati pakar itulah hendak cipta siapa sebagai watak baik atau watak jahat. Dan tidak mungkin watak jahat boleh mempersoalkan kenapa dia mesti pegang watak jahat.
Kalaulah manusia ini boleh membuat pilihan, sudah tentu manusia ini memilih untuk menjadi malaikat. Sudah tentu manusia semuanya hendak dilahirkan sebagai anak raja. Sudah tentu manusia hendak dilahir sebagai anak kepada Baginda Nabi SAW. Adakah kita yang pilih untuk lahir sebagai lelaki atau perempuan? Adakah kita yang pilih untuk lahir dari rahim seorang wanita muslim atau kafir? ...
INI ADALAH PERSOALAN IMAN YANG WAJIB KITA YAKINI ( HAQQUL YAKIN) TANPA ADA SEDIKIT PUN RASA KELIRU. TANPA KITA MEMAHAMI SIAPA DIRI KITA, MAKA TIDAK MUNGKIN KITA KENAL YANG MAHA PENCIPTA YANG MAHA SEGALA-GALANYA.
BILA KITA KENAL DIRI PASTI KITA KENAL ALLAH SWT ZAT WAJIBAL WUJUD. BILA KENAL ALLAH SWT PASTI TIDAK RUANG KEKELIRUAN YANG TIMBUL DALAM SETIAP DETIK KEHIDUPAN KITA. MALAHAN KITA IKHLAS DAN REDHA DENGAN SETIAP KETETAPAN-NYA KERANA KITA INI ADAM (TIADA) DAN YANG ADA HANYA ALLAH SWT.
SELAGI MASIH ADA ”AKU” DALAM DIRI KITA SELAGI ITU KITA BELUM KENAL ALLAH SWT KERANA ROH TERHIJAB OLEH "AKU" DARI MEMANDANG ALLAH SWT LEBIH DEKAT DARI URAT TENGKUK.
HANYA ALLAH SWT YANG BERHAK UNTUK MENENTUKAN. ALLAH SWT BERDIRI DENGAN SENDIRI, TIADA SESIAPA YANG MAMPU CAMPUR TANGAN DALAM URUSAN-NYA.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...


