Photobucket

Friday, 30 March 2012

Al Karim tumpuan segala hajat


Orang yang masih dalam perjalanan sangat teringin untuk cepat sampai kepada Allah s.w.t. Dia terpesona melihat keadaan orang-orang yang telah sampai. Kadang-kadang timbul rasa tidak sabar untuk ikut sama sampai kepada tujuannya. Perasaan tidak sabar akan menimbulkan harapan atau cita-cita agar ada seseorang yang dapat menolong mengangkatnya. Orang yang diharapkan itu mungkin terdiri daripada mereka yang telah sampai atau mungkin juga dia menaruh harapan kepada wali-wali ghaib dan malaikat-malaikat. 

Maksud dan tujuannya tidak berubah, iaitu sampai kepada Allah swt tetapi dalam mencapai maksud itu sudah diselit dengan harapan kepada selain-Nya. Ini bermakna sifat bertawakal dan berserah dirinya sudah bergoyang. Sebelum dia terjatuh, Perkongsian kali  ini menariknya supaya berpegang kepada Al-Karim. Walau kepada siapa pun diletakkan harapan namun, harapan dan orang berkenaan tetap mencari Al-Karim. Tidak ada harapan dan cita-cita yang dapat melepasi Al-Karim.
 
Al-Karim adalah salah satu daripada Asma-ul-Husna. Nama ini memberi pengertian istimewa tentang Allah s.w.t. Al-Karim bermaksud:
1:  Allah s.w.t Maha Pemurah.
2:  Allah s.w.t memberi tanpa diminta.
3:  Allah s.w.t memberi sebelum diminta.
4:  Allah s.w.t memberi apabila diminta.
5:  Allah s.w.t memberi bukan kerana permintaan, tetapi cukup sekadar harapan, cita-cita dan angan-angan hamba-hamba-Nya. Dia tidak mengecewakan harapan mereka.
6:  Allah s.w.t memberi lebih baik daripada apa yang diminta dan diharapkan oleh para hamba-Nya.
7:  Allah Yang Maha Pemurah tidak kedekut dalam pemberian-Nya. Tidak dikira berapa banyak diberi-Nya dan kepada siapa Dia memberi.
8:  Paling penting, demi kebaikan hamba-Nya sendiri, Allah s.w.t memberi dengan bijaksana, dengan cara yang paling baik, masa yang paling sesuai dan paling bermanafaat kepada si hamba yang menerimanya.

Sekiranya para hamba mengenali al-Karim nescaya permintaan, harapan dan angan-angan tidak tertuju kepada yang lain melainkan kepada-Nya. Allah Al-Karim menciptakan makhluk dengan kehendak-Nya tanpa ada kaitan dengan sebarang permintaan, cita-cita atau harapan sesiapa pun. Dia menentukan dan menetapkan hukum pada setiap kejadian-Nya dengan kehendak-Nya juga. Dia menyediakan segala keperluan makhluk-Nya dan mempermudahkan makhluk-Nya memperolehi rezeki masing-masing dengan kehendak-Nya juga. Tidak ada sesuatu yang campur tangan dalam urusan-Nya membahagikan kebaikan kepada makhluk-Nya.
 
Manusia terhijab memandang kepada kemurahan Al-Karim oleh sikap mereka sendiri. Mereka menerima sesuatu kebaikan Al-Karim sebagai perkara semulajadi sehingga mereka lupa perkara yang mereka anggap sebagai semulajadi itu sebenarnya dijadikan, tidak ada sebarang kebetulan pada urusan Tuhan. Tuhan mengatur sesuatu dengan rapi, kemas dan sempurna, tiada sebarang kecacatan dan tidak ada kebetulan. Pergantian siang dengan malam, perubahan cuaca, keberkesanan sistem sebab-akibat adalah kurniaan al-Karim untuk manfaat makhluk-Nya, tanpa sesiapa meminta Dia berbuat demikian. Sistem perjalanan darah, pernafasan, perkomahan, penghadhaman dan semua yang ada dengan manusia adalah kurniaan al-Karim yang memberi tanpa diminta. Manusia tidur malamnya dan dikejutkan oleh al-Karim pada siangnya tanpa diminta. Al-Karim menaburkan ikan-ikan di laut sebagai makanan manusia tanpa diminta. Al-Karim menurunkan hujan dan menyuburkan pokok-pokok tanpa diminta. Tidak dapat dinilaikan betapa besar dan banyaknya nikmat yang disediakan oleh al-Karim untuk makhluk-Nya tanpa mereka meminta. Makhluk berbangsa manusia adalah yang paling banyak menikmati kemurahan Al-Karim.

 Makhluk yang tidak dibekalkan nafsu dan akal  tidak tahu meminta. Mereka menerima apa sahaja yang al-Karim sediakan buat mereka. Manusia yang dibekalkan nafsu dan akal selain menerima segala nikmat yang disediakan oleh al-Karim tanpa mereka mengajukan permintaan, mereka juga mempunyai keinginan, harapan, cita-cita dan angan-angan. Dalam banyak perkara yang mereka inginkan mereka ajukan permintaan kepada Allah s.w.t. Allah al-Karim bukan sekadar memberi apa yang diminta malah Dia memberi juga apa yang dicita-citakan, diharapkan dan angankan.
 
Al-Quran mengingatkan manusia supaya mengenang nikmat kebaikan dan kemurahan Allah Al-Karim. Firman Allah swt bermaksud  Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak  dustakan (wahai umat manusia dan jin)?” - Ar Rahman :13


Ayat di atas diulang sebanyak 31 kali dalam satu surah sahaja iaitu surah ar-Rahman. Wahai bangsa jin dan bangsa manusia yang dipikulkan tanggungjawab pengabdian kepada Allah swt! .Perhatikan nikmat, rahmat, kasihan belas dan kasih sayang-Nya, yang mana satu yang mahu kalian dustakan? Allah swt menanyakan yang sama sebanyak 31 kali. Tiang Arasy bergegar sekiranya Allah swt ajukan pertanyaan ini kepada para malaikat yang menanggung Arasy. Apakah tidak hancur hati kamu mendengar pertanyaan Tuhan ini? Makhluk bangsa jin yang beriman menyambut pertanyaan Tuhan ini dengan jawapan:


”Ya Tuhanku! Tidak ada sesuatu pun dari kurnia Engkau, ya Rabbana, yang dapat kami dustakan”.
 
Allah! Ar-Rahman! Al-Karim! Kepada siapa lagi hendak kamu ajukan permintaan? Kepada siapa lagi hendak kamu sandarkan harapan? Bukankah Dia telah berfirman "Ia telah menetapkan atas diri-Nya  memberi rahmat”. -  Al An’aam : 12

 

Contohilah sikap Nabi Ibrahim a.s yang sentiasa bergantung kepada al-Karim dan tidak kepada yang lain. Beliau a.s menolak pertolongan yang ditawarkan oleh malaikat Jibrail a.s. Beliau a.s yakin bahawa Allah al-Karim tidak akan membiarkannya. Penyerahan Nabi Ibrahim a.s kepada Al-Karim tidak sia-sia. 

Firman Allah swt bermaksud “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera atas Ibrahim!”. – Anbiya : 69.

Allah s.w.t, al-Karim, menerima penyerahan penuh Nabi Ibrahim a.s dan Dia melindungi hamba-Nya yang bertawakal itu. 

Firman Allah swt bermaksud  Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah: “Aku akan membawanya kepadamu dalam sekelip mata!”  Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidak menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. – An Naml : 40
 



Al-Karim yang menyejukkan api dari membakar Nabi Ibrahim a.s, Dia jugalah yang membawa Balkis dan istananya kepada Nabi Sulaiman a.s. Kurniaan Al-Karim tidak dapat diukur dan disukat. Dia memberi terlalu banyak kerana Dia sangat Pemurah.
 
Wahai Tuhan kami. Walau bagaimana banyak sekalipun kami menyebut kebaikan Engkau namun ia tetap tidak mencukupi. Ampunilah kami lantaran kelemahan kami menyatakan syukur yang selayaknya kepada Engkau. 
------------------------------------------------------------------------

HTML Comment Box is loading comments...

Wednesday, 28 March 2012

Sifat Yang Menyalahi Ubudiyah


Assalamualaikum wbt....Alhamdulillah kita masih diberikan kesempatan dan ruang untuk sama berkongsi ilmuNya... Ketahuilah bahawa ilmuNya ini adalah amanah yang paling berat kepada kita untuk kita  jaga, amalkan dan sampaikan dengan cara hikmah. Musafir Faqir masih meneruskan perjalanan yang semakin hari semakin jauh meninggalkan pangkal perjalanan dan hujung perjalanan masih belum tiba. Yang paling pasti sama ada Musafir Faqir bertemu dengan penghujung hari (kiamat besar) atau dikunjungi Malaikat Izrail (kiamat kecil @ kematian) . Jesturu itu sebelum dipanggil dihadapan Rabb berkenaan dengan ilmuNya eloklah kita saling berkongsi segala ilmu yang kita ada. InsyaAllah...

Perkongsian yang lepas kita telah menyingkap tentang hijab-hijab. Melalui huraian ternyata betapa sukarnya untuk melepasi hijab-hijab sebelum sampai kepada Allah swt  dan  kali ini kita akan teruskan dengan berkongsi  panduan untuk melepasi halangan dan mendekat kepada-Nya. Kita diajak supaya melepasi sifat-sifat kemanusiaan yang menyalahi ubudiyah. Sifat ubudiyah yang sejati ialah sifat malaikat kerana malaikat adalah hamba Allah s.w.t yang paling tepat melaksanakan perintah-Nya. Sifat yang paling menyalahi ubudiyah ialah sifat iblis kerana iblislah yang paling derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi, Hikmat ini boleh membawa maksud, keluarlah dari sifat-sifat iblis dan masuklah kepada sifat-sifat malaikat supaya kita boleh melaksanakan tuntutan Allah swt dengan tepat dan kita dapat mendekat ke Hadrat-Nya. Dalam diri manusia ada sifat-sifat malaikat dan ada pula lawannya iaitu sifat-sifat iblis. Mesti dibuat pengasingan di antara kedua-dua jenis sifat tersebut. Mesti diistiharkan jihad terhadap iblis yang menyalurkan sifat-sifatnya ke dalam diri kita.

Sifat-sifat iblis, sekiranya disenaraikan, sangatlah banyak. Sudah memadai jika dirumuskan bahawa apa juga yang menyekat atau melengahkan kita daripada menyempurnakan tuntutan Allah s.w.t adalah berpunca daripada sifat iblis. Jalan untuk menghapuskan sifat-sifat yang demikian ada dua, iaitu jalan panjang dan satu lagi, jalan singkat. Jalan panjang adalah mengenal satu persatu semua sifat buruk itu, mempelajari cara ia bertindak, kesannya kepada diri kita, tanda kita memilikinya, cara mencegahnya sekiranya belum dijangkiti dan cara mengubatinya jika sudah dijangkiti. Jalan yang paling singkat adalah meninggalkan apa sahaja yang selain Allah swt, berpegang kepada firman-Nya ayat 91, surah al-An'aam yang bermaksud:
Katakanlah, “Allah!” dan biarkan mereka bermain-main dalam kesesatan mereka.

Penting bagi orang yang belum mencapai makam keteguhan untuk tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya kerana dia belum dapat memisahkan dirinya dari sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih melihat perbuatan makhluk. Campurtangannya dalam urusan makhluk menutup pandangan mata hatinya dari Tuhan. Kekeruhan dalam kehidupan dunia akan memalapkan cahaya rohaninya. Lebih baik jika dia membenamkan dirinya ke dalam ibadat, zahirnya bersungguh-sungguh di dalam syariat dan batinnya teguh dengan iman. Ingatlah, dunia adalah puteri iblis. Sesiapa yang berkahwin dengan si puteri ini pasti si bapa akan kerap mengunjunginya.

Sifat iblis adalah ingkar kepada kebenaran. Iblis adalah tenaga gelap. Kebenaran pula adalah cahaya. Dalam melakukan pekerjaan menghalang cahaya kegelapan iblis mengenderai kegelapan nafsu. Apabila kegelapan nafsu yang ditambahkan lagi dengan kegelapan iblis membalut hati maka hati tidak akan dapat menerima cahaya kebenaran. Balutan ini menutup mata  hati dari menyaksikan al-Haq. Sifat iblis dan sifat nafsu menjadi tenaga yang bertindak menolak sebarang kebenaran yang ingin masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh mengakui kebenaran namun, tenaga sifat iblis akan menghalang hujah akal dari diterima oleh hati. Sebab itu orang yang mengakui kebenaran masih juga boleh berbuat perkara yang berlawanan dengan pengakuannya itu. Tenaga iblis dan tenaga nafsu itulah yang membentuk tenaga ingkar (kufur atau menolak kebenaran). Tenaga kekufuran ini akan menawan hati semua orang, termasuklah hati orang-orang Islam.   Kehadiran tenaga ini dalam diri mengheret seseorang kepada perbuatan fasiq, kemunafikan, kekafiran, kemusyrikan, maksiat dan segala perkara yang dimurkai Allah swt.
Tenaga ingkar ini mesti dihapuskan dengan cara menekannya sekuat mungkin dengan tenaga kebenaran. Antara kebenaran yang mahu ditekankan dan dimasukkan ke dalam hati adalah pengakuan-pengakuan : “Allah Maha Suci! Allah Maha Besar! Segala puji untuk Allah! Allah Maha Esa dan tiada sesuatu yang bersekutu dengan-Nya! Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah!”

Bila kita menyebut Maha Suci Allah, bukan bermakna kita menyucikan Allah s.w.t. Allah s.w.t bukanlah tidak bersih hingga perlu disucikan. Maha Suci Allah itu sempurna kesucian-Nya sejak azali hingga kepada tanpa kesudahan. Dia tidak memerlukan makhluk untuk menyucikan-Nya dan tidak ada makhluk yang layak berbuat demikian. Begitu juga dengan sebutan Allah Maha Besar, bukan bermakna Allah swt itu kecil hingga perlu diperbesarkan. Allah swt sudah cukup besar, sempurna kebesaran-Nya, tidak perlu lagi diperbesarkan dan tidak ada makhluk yang layak memperbesarkan-Nya.

Apa juga perbuatan makhluk tidak ada yang mengenai Allah swt. Sebutan hanyalah pengakuan atau penyaksian semata-mata. Kita mengaku yang benar sebagaimana benarnya. Tenaga pengakuan, penerimaan dan ketundukan terhadap kebenaran inilah yang diperlukan oleh hati untuk menjadikannya kuat, bukan untuk faedah Tuhan. Memasukkan tenaga kebenaran ke dalam hati inilah yang dinamakan zikir. Tenaga kebenaran hendaklah dipalu keras-keras kepada tenaga ingkar yang membaluti hati. Apabila dihentam terus menerus tenaga ingkar itu tidak dapat bertahan lalu ia hancur. Bebaslah hati untuk menerima  cahaya kebenaran.
 Perlu diperingatkan bahawa fungsi zikir bukanlah untuk memecahkan hijab yang menutupi pintu langit. Kita tidak mahu terbang ke langit. Kita mencari kebenaran yang hakiki dan Kebenaran Hakiki bukan berada di atas langit. Ia berada di dalam diri kita sendiri. Hijab yang menutupi kita daripada Kebenaran Hakiki ini yang hendak dihapuskan.

Rangsangan atau gerakan yang datang daripada tenaga iblis, disampaikan kepada hati yang dibaluti oleh kegelapan nafsu, dalam keadaan hati merasakan bahawa ia datang daripada hati itu sendiri, bukan ia ditekankan oleh tenaga luar. Hijab nafsu menyebabkan hati tidak sedar dan tidak mengetahui yang ia sudah dikuasai oleh tenaga iblis. Apabila hijab nafsu itu berjaya disingkap hati mampu mengasingkan yang asli dengan yang mendatang. Setiap bisikan kepada kejahatan yang sampai kepada hati didengar oleh hati seolah-olah mendengar orang lain menyampaikan bisikan itu. Oleh itu hati mudah mengawasi bisikan yang datang itu. Beginilah suasana hati yang sudah disinari oleh cahaya kebenaran. Hati yang berada dalam cahaya mudah menyelamatkan dirinya daripada terjerumus ke dalam sifat-sifat dan perbuatan yang dimurkai Allah swt.



KELUARLAH DARI SIFAT-SIFAT KEMANUSIAAN YANG BERTENTANGAN DENGAN UBUDIYAH SUPAYA MUDAH BAGI KAMU UNTUK MENYAHUT PANGGILAN ALLAH  DAN MENDEKAT KE HADRAT-NYA.
-------------------------------------------------------------------------------------------------

HTML Comment Box is loading comments...

Friday, 23 March 2012

Diri Yang Terhijab, Allah Tidak Terhijab.


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur di pagi hari Jumaat yang sangat mulia, penghulu segala hari. Musafir Faqir doakan kepada semua pembaca blog ini senantiasa kita semua berada dibawah lindunganNya. InsyaAllah..amin! . Perkongsian akan kita teruskan dan kali ini serba ringkas tentang tajuk ” Diri yang terhijab, Allah yang terhijab?” ... InsyaAllah kupasan lebih lanjut ada dalam usrah mingguan Musafir Faqir.

Dunia dan akhirat dan semua yang ada di antara kedua-duanya adalah makhluk yang memenuhi alam. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah makhluk dan mengambil tempat masing-masing di dalam alam. Makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan setakat manusia, jin, malaikat, Kursi dan Arasy sahaja bahkan kehendak, cita-cita, angan-angan, khayalan, bahasa, ibarat dan ilmu pengetahuan juga termasuk dalam istilah makhluk yang Allah s.w.t ciptakan. Oleh sebab Allah s.w.t tidak serupa dengan sesuatu maka Dia tidak boleh dibahasakan, diibaratkan, disifatkan, dikhayalkan dan lain-lain. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah hijab yang menutup pandangan mata hati dari melihat Allah s.w.t, walaupun Allah s.w.t tidak memakai tutupan. Nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan adalah juga hijab.
 
Sekiranya ada orang yang mampu berkenderaan menjelajah ke seluruh alam maya untuk mencari Allah s.w.t nescaya Allah s.w.t tidak akan ditemuinya kerana Dia bukan anasir alam. Sekiranya mereka mencari dengan menggunakan bahasa maka Allah s.w.t juga tidak akan ditemui kerana Dia tidak ditakluki oleh hukum bahasa dan ibarat. Ilmu pengetahuan juga tidak sanggup mencapai Yang Esa kerana ilmu masih terikat kepada menyaksikan dan disaksikan iaitu suasana serba dua. Ilmu tidak mampu sampai kepada Yang Esa, yang sama menyaksikan dan disaksikan. Nama-nama juga hijab kerana tidak mampu menzahirkan Yang Empunya nama. Sifat-sifat juga tidak mampu menzahirkan zat. Sifat hanyalah sekadar memperihalkan bagi menggerakkan pemahaman sahaja, sedangkan Dia Maha Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang disifatkan. Setelah gagal mencari dalam semua itu seseorang akan sampai ke puncak pencariannya iaitu kejahilan tentang zat Ilahiat dan inilah yang dinamakan makrifat. Orang yang sampai di sinilah yang dipanggil orang yang mengenal Allah s.w.t.

Sekiranya ilmu  mampu melepaskan kita dari medan ilmu, kita akan sampai kepada medan makrifat. Jika kita bersatu dengan ilmu, kita akan terhijab. Ilmu mesti dijadikan kenderaan menuju kepada makrifat. Diri kita tidak boleh disatukan dengan ilmu. Apabila kita tiba kepada makrifat kita akan tercengang-cengang menghadapi hijab kejahilan. Kita terpaksa mengakui bahawa zat Ilahiat tidak dapat diperkatakan dan tidak dapat disifatkan. Orang yang sampai kepada perhentian ini tidak ada jalan lagi baginya untuk sampai kepada Allah s.w.t melainkan menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t dengan menanggalkan apa sahaja yang dianggapnya boleh menyampaikannya kepada Allah s.w.t. Maka keluarlah dia dari apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Dibuangnya segala hijab-hijab yang menutupi mata hatinya. Dia keluar dari ilmunya, amalnya, makrifatnya, sifatnya, namanya, bahasa dan ibarat. Pelepasan yang menyeluruh ini adalah pintu masuk ke Hadrat-Nya dan dia masuk dengan kekuatan Nurullah, iaitu tarikan yang langsung dari Allah s.w.t. 

Firman Allah swt bermaksud   ” Nur berlapis nur, Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya( menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu ”.Surah An-Nur : 35


Makhluk tidak akan zahir jika tidak ada Nur-Nya. Makrifat tidak mungkin dicapai tanpa suluhan Nur-Nya. Ilmu tidak mungkin diperolehi tanpa penerangan Nur-Nya. Mata hati tidak mungkin boleh melihat tanpa pancaran cahaya Nur-Nya. Allah s.w.t memimpin kepada Nur-Nya siapa yang Dia kehendaki. Orang yang dipimpin kepada Nur-Nya adalah orang yang mampu keluar dari hijab nafsu dan akal. Nafsu ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada keinginan dan cita-cita melainkan mahu bertemu dengan Allah s.w.t. Akal ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada yang difikir dan direnungi melainkan Wajah Allah s.w.t jua yang menyata pada semua arah. Walau ke arah mana pun dihalakan pandangan akal dan pandangan hati, Wajah Allah s.w.t jua yang kelihatan. 

Firman Allah swt bermaksud ” Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untk menghadap Allah) maka disitulah arah yang diredahi Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas ( rahmat dan limpah kurnia-Nya) lagi senantiasa Mengetahui”. Surah Al Baqarah : 115


AL-HAQ (ALLAH S.W.T) TIDAK TERHIJAB OLEH SESUATU APA PUN, SEBALIKNYA KAMULAH YANG TERHIJAB DARI MELIHAT KEPADA-NYA. JIKA ALLAH S.W.T DIHIJAB OLEH SESUATU TENTU SESUATU ITU DAPAT MENUTUP ALLAH S.W.T. JIKA ADA SESUATU YANG MENUTUP  ALLAH S.W.T BERMAKNA WUJUDNYA DAPAT DIKURUNG OLEH SESUATU. SESUATU YANG MENGURUNG ADALAH LEBIH BERKUASA DARI YANG DIKURUNG, SEDANGKAN ALLAH S.W.T BERKUASA ATAS SEMUA HAMBA-NYA
----------------------------------------------------------------------------------------------------
 

HTML Comment Box is loading comments...

Sunday, 18 March 2012

Murid Yang Terpedaya




Alhamdulillah kita masih diberikan Allah swt  peluang dan ruang untuk kita sama-sama berkongsi sesuatu dari IlmuNya. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Baginda Nabi Muhammad saw. Perkongsian kali ini akan menghurai serba sedikit kesinambungan dari perkongsian yang lepas.

Dalam perkongsian kali ini Musafir Faqir ingin mengingatkan murid yang berjalan pada jalan kerohanian supaya gejala istidraj itu tidak menimpanya ketika dalam perjalanan. Bagi orang awam tidak bersyukur dengan kurniaan Allah swt boleh menyebabkan tersingkirnya rasa nikmat yang mengiringi kurniaan itu. Bagi orang Mukmin di samping bersyukur adalah penting baginya memelihara adab sopan bersama-sama Allah swt. Mungkin saranan supaya beradab sopan bersama-sama Allah swt bunyinya janggal bagi orang awam, tetapi bagi mereka yang mendekati Allah swt, mereka dapat merasakan kehadiran Allah swt pada setiap masa dan di mana sahaja. Apabila seseorang itu meyakini bahawa Allah swt sentiasa bersama-samanya walau di mana dia berada, Allah swt mendengar pertuturannya dan bisikan hatinya maka dia berkewajipan memelihara adab sopan sebagai hamba yang berdiri di hadapan Tuannya. Bertambah hampir seseorang dengan Allah swt bertambah pula tuntutan adab sopan ke atasnya. 

Perjalanan menuju Allah swt bukanlah perjalanan mencari kemuliaan sama ada kemuliaan duniawi atau ukhrawi. Perjalanan ini  adalah tindakan menghinakan diri di hadapan Allah swt, kerana hina, lemah dan jahil adalah sifat makhluk, hanya Allah jua Yang Mulia, Yang Berkuasa dan Yang Mengetahui. Sekalian makhluk berkehendak kepada-Nya dan Dia Maha Kaya, tidak berkehendak kepada sesuatu apa pun.

Adab sopan yang paling utama dijaga adalah yang menyentuh keyakinan bahawa Allah swt adalah Tuhan sekalian alam, Maha Bijaksana dan Maha Mengerti dalam urusan mentadbir dan menguruskan penghidupan sekalian makhluk yang dicipta-Nya Seorang hamba hendaklah yakin kepada kebijaksanaan Tuannya. Terserah kepada Tuannya memilih layanan yang hendak diberikan kepada si hamba itu.
 
Ibrahim bin Adham telah menceritakan kisah beliau membeli seorang hamba. Berikut adalah percakapannya dengan hamba yang dibelinya itu:

Ibrahim: “ Siapakah nama kamu?
Hamba :  “ Panggil sahaja dengan nama apa yang tuan suka”.
Ibrahim : “ Apa yang kamu ingin makan?
Hamba : “  Apa sahaja makanan yang tuan beri”.
Ibrahim : “ Apakah pakaian yang kamu perlukan?
Hamba : “  Apa sahaja pakaian yang tuan mahu berikan”.
Ibrahim : “  Apa pekerjaan yang kamu hendak buat?
Hamba : “ Apa sahaja pekerjaan yang tuan perintahkan”.
Ibrahim : “  Apakah kehendak kamu?
Hamba : “Apa kehendak tuan itulah kehendak hamba Seorang hamba tidak berkehendak kecuali apa yang dikehendaki oleh tuannya”.
 
Ibrahim bin Adham berfikir, sekiranya dia hamba Allah swt  tentu dia menyerah sepenuhnya kepada Allah swt. Beginilah adab sopan seorang hamba Allah swt dengan Allah swt. Seorang yang mengaku sebagai hamba Allah swt  tidak seharusnya membebelkan hajat keperluannya. Bukankah Allah Maha Mengerti dalam mengatur keperluan hamba-Nya. Seorang hamba berdiri di hadapan Tuannya tanpa mengemukakan tuntutan, tanpa sebarang kehendak, cita-cita dan alasan. Reda dengan lakuan Tuannya itulah sifat hamba yang sejati.

Seorang murid yang sedang dalam perjalanan masih belum teguh sifat redanya terhadap takdir Allah swt, lantaran itu dia cenderung untuk membeberkan hajatnya kepada Allah swt, seolah-olah Allah swt  tidak melihat keadaannya. Banyaklah permintaannya kepada Allah swt. Dia mungkin meminta Allah swt melepaskannya dari sesuatu yang tidak disenanginya tanpa berfikir bahawa yang tidak disenanginya itu mungkin mendatangkan kebaikan baginya. Dia mungkin meminta didekatkan kepada Allah swt kerana dia merasakan dia sudah layak didekatkan. Dia mungkin meminta kekeramatan agar orang ramai mengakui kebenarannya. Tuntutan-tuntutan yang demikian menunjukkan tiada sopan santun seorang hamba  kepada Tuannya, iaitu Allah swt  yang sempurna pengertian-Nya dan sempurna pembahagian-Nya.

Walaupun si hamba itu telah tidak bersopan di hadapan Allah swt, mungkin dia tidak dihukumkan dengan serta-merta. Ini membuat si hamba tadi menyangka bahawa tiada salah pada adabnya. Ini menandakan kejahilannya.. Dia tidak sedar bahawa kurang beradab sopan itu sudah merupakan balasan terhadapnya. Lebih buruk lagi dia tidak dikurniakan pengalaman kerohanian yang lebih mendalam. Apabila dia memutuskan penyerahan terhadap Allah swt, putus juga perjalanannya mendekati Allah swt. Tetapi dia masih menyangkakan yang dia terus mendekati Allah swt. Apabila dia dibiarkan menurut sangkaannya itu bermakna dia dijauhkan tanpa dia menyedarinya. Begitulah hebatnya akibat tidak menjaga adab sopan dengan Allah swt. Jika seorang murid tidak mahu putus kesopanannya dengan Allah swt maka hendaklah dia mendekati Allah swt dengan kesabaran. Pintu kesabaran adalah pintu yang paling hampir untuk masuk ke Hadrat Allah swt. Senjata yang paling kuat mempertajamkan kesabaran ialah ucapan:
Wahai Tuhanku. Engkau berbuat sesuatu sebagaimana Engkau kehendaki”. 

Dalam perkara adab sopan bersama-sama Allah swt ini termasuk juga adab sopan terhadap Rasul-rasul-Nya, Malaikat-malaikat-Nya dan Kitab-kitab-Nya. Imam as-Syafi’e dalam menghuraikan Hadis yang bermaksud “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya dipotong tangannya”, dibaca oleh Imam as-Syafi’e, “Sekiranya perempuan yang mulia anak kepada lelaki yang mulia itu mencuri nescaya dipotong tangannya”. Begitulah halusnya sopan santun Imam as-Syafi’e, sehingga beliau enggan menyebut ibarat yang boleh menunjukkan kecacatan terhadap Rasulullah saw dan puteri baginda yang mulia itu. Orang-orang Islam yang beradab sopan tidak memperkaitkan Rasulullah saw dengan Abu Lahab, tidak membesarkan perkara yang tidak elok yang berlaku di Makkah, tidak menyentuh al-Quran tanpa wudhuk, tidak membacanya di tempat membuang air, tidak membuang najis dengan menghadap ke kiblat dan banyak lagi perkara yang termasuk dalam adab sopan beragama yang menjadi kewajipan bagi orang yang mengaku beragama Islam menjaganya. Jangan memandangnya sebagai perkara yang remeh-temeh kerana setiap raja mempunyai peraturan atau taman larangan, dan peraturan atau taman larangan Tuhan ialah adab sopan dalam majlis-Nya. Oleh sebab seseorang itu tidak luput dari penglihatan Allah swt walau sejenak pun maka sepanjang masa seseorang itu berada dalam majlis-Nya dan berkewajipan memelihara adab sopan atau peraturan-Nya.


SEBAHAGIAN DARI KEJAHILAN MURID IALAH : BURUK ADABNYA TETAPI BALASAN KE ATASNYA DIPERLAMBATKAN LALU DIA MENYANGKA SEKIRANYA ADABNYA ADALAH JELIK TENTU ALLAH S.W.T SUDAH MEMUTUSKAN BANTUAN DAN PASTI DIA AKAN DIJAUHKAN. KETAHUILAH! ADAKALANYA KURNIAAN TELAH DIPUTUSKAN TETAPI SI MURID TIDAK MENYEDARINYA. SEKIRANYA TIDAK ADA KURNIAAN BAHARU ITU PUN MERUPAKAN PUTUS BANTUAN. ADA KALANYA DIA SUDAH DIJAUHKAN TETAPI DIA TIDAK MENYEDARINYA, MESKIPUN HANYA DIJAUHKAN DENGAN CARA MEMBIARKANNYA MENURUT SANGKAANNYA
--------------------------------------------------------------------------------------------------
 
HTML Comment Box is loading comments...

Tuesday, 6 March 2012

Nikmat Sebagai ISTIDRAJ





Perkongsian kali ini menghuraikan perkara berkaitan kurniaan yang tidak mengandungi nikmat, yang dinamakan ISTIDRAJ. Istidraj bermakna kurniaan yang dihulur terus menerus kepada ahli maksiat. Kurniaan yang seperti ini membuat ahli maksiat bertambah lalai dan bertambah derhaka kepada Allah s.w.t. Apabila kelalaian dan kederhakaan mereka telah melampaui batas maka Allah s.w.t mendatangkan bala yang besar kepada mereka. Mereka adalah umpama orang yang diangkat ke tempat yang tinggi sambil mereka menganggap pengangkatan itu sebagai satu kemuliaan namun, setelah mereka berada di tempat yang tinggi itu mereka dicampakkan ke bawah. Kejatuhan yang demikian memberi kesakitan yang lebih kuat.

Allah s.w.t berfirman bermaksud -
”Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan”).-Al-An’aam:44
 
Ayat di atas memberi peringatan kepada kita agar jangan terpedaya dengan kurniaan yang terus menerus kita perolehi sedangkan kita terus juga tidak berbuat taat kepada Allah s.w.t, sebaliknya kita asyik dengan kemaksiatan. Sekiranya kurniaan itu turun melalui saluran istidraj, kesudahannya kita akan mengalami kejatuhan dan penderitaan yang amat sangat. Waspadalah!

" Istadrajahu- membawa makna ia menipu dan ia merendah-rendahkannya".
Jika dikata:" Istidrajullah al-abda"(Allah menIstidrajkan hambanya) membawa erti/makna setiap kali hambaNya (insan) membuat/ menambah/ membaharui kesalahan yang baru maka setiap kali itu juga Allah akan membuat/ menambah/ membaharui nikmatNya ke atas hambaNya itu dan setiap itu juga Allah membuatkan hambaNya itu lupa untuk memohon ampun atas dosa yang dilakukan terhadapnya dan setiap itu juga Allah akan mengambilnya sedikit demi sedikit(ansur-ansur) dan Allah tidak mengambilnya dengan cara yang mengejut!
Selain itu ISTIDRAJ juga boleh dikatakan sebagai  pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya dan kejadian luar biasa yang diberikan kepada orang fasik yang mengaku sebagai wakil Tuhan dengan mengemukakan berbagai dalil untuk menguatkan kebohongannya.

Al Istidraj mempunyai beberapa nama atau istilah yang berbagai:

1. Adakalanya seseorang dikabulkan segala permintaannya agar ia makin bertambah ingkar dan sesat, tetapi pada akhirnya ia akan dimatikan dalam keadaan kafir. 

Hal itu seperti yang disebutkan dalam firman Allah bermaksud “Nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan ) dengan cara yang tidak mereka ketahui”. -Al-Qalam :44

2. Makar:
Firman Allah bermaksud “Maka tidak ada yang terhindar dari tipu daya Allah kecuali orang yang rugi”. - Al-‘Araf: 99

Allah berfirman bermaksud “Dan mereka berbuat tipu daya, maka Allah membalas mereka dengan tipu daya yang serupa dan Dia sebaik-baik yang membuat balasan”. - Ali ‘Imran: 54

3. Al Kaid ertinya tipu daya:
Dalam firman Allah disebutkanbermaksud “Mereka berusaha menipu Allah, padahal Allah yang menipu mereka” . - An-Nisaa’:142

Allah berfirman bermaksud “Mereka akan menipu Allah dan orang-orang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri, tetapi mereka tidak merasakannya”. - Al-Baqarah: 9

4. Imla’ mempunyai erti memberi tangguh:
Firman Allah bermaksud  “Dan janganlah orang-orang kafir itu mengira bahawa pemberian tangguh bagi mereka itu memberi kebaikan bagi mereka, tetapi hal itu terjadi agar mereka makin bertambah dosa-dosanya” . - Ali ‘Imran: 178

5. Al Ihlak mempunyai erti kebinasaan:
Allah berfirman bermaksud “Sampai ketika mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, maka Kami siksa mereka dengan cara yang mendadak” - Al-‘Anaam: 44
Allah berfirman bermaskud “Firaun dan bala tentaranya menyombongkan diri di permukaan bumi tanpa alasan yang dibenarkan, dan mereka mengira bahwa mereka tidak akan kembali kepada Kami, maka Kami menyiksanya dan bala tentaranya, kemudian Kami menenggelamkan mereka di dalam laut”. - Al-Qisas: 33


Rasullulah s.a.w. bersabda bermaksud "Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." - Riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi 


Orang kafir, musyrik, ahli maksiat, orang zalim dan lain-lain seumpama mereka, dalam kehidupan dunia ini selalu mendapat berbagai-bagai kemewahan. Merekalah yang memiliki sebahagian besar kekayaan dunia. Mereka juga memiliki ilmu pengetahuan yang menjadikan mereka kuasa besar di dunia. Mereka juga menguasai bidang-bidang sukan, muzik, kesenian dan lain-lain. Kumpulan manusia yang beriman pula terdiri daripada mereka yang lemah, tidak berpendidikan tinggi dan berkedudukan rendah dalam masyarakat. Kemewahan dan kesenangan yang dimiliki oleh mereka yang tidak beriman dan ahli maksiat mempesonakan sebahagian orang-orang Islam yang lemah imam. Mereka tidak dapat membezakan kurniaan yang mengandungi nikmat dan kurniaan yang telah dicabut nikmat daripadanya. 

Allah s.w.t sentiasa mengirimkan peringatan untuk mengajak manusia kembali ke jalan-Nya. Biasanya peringatan yang datang itu membawa bersama-samanya kesusahan yang menekan jiwa manusia agar manusia insaf dan mahu kembali kepada Allah s.w.t dengan merendahkan diri. Di dalam tempoh kemelaratan itu biasanya manusia menjadi insaf dan suka berbakti pada jalan Allah s.w.t. Kemudian Allah s.w.t gantikan kemelaratan dengan kesenangan sebagai ujian untuk mengasingkan yang benar-benar insaf daripada yang pura-pura. Bila kesenangan sudah dirasai kembali orang yang tidak teguh imannya akan kembali kepada kemaksiatan dan kemunkaran. Mereka memberi alasan bahawa kesenangan dan kesusahan adalah lumrah kehidupan sebagaimana yang pernah dirasai oleh nenek moyang mereka yang dahulu, bukan berkait dengan soal beriman atau tidak seseorang itu kepada Allah s.w.t. Mereka kembali lalai dalam arus kesenangan dunia. Ketika mereka sedang asyik leka itulah Tuhan datangkan kebinasaan kepada mereka. 

Firman Allah bermaksud ”Dan Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf). Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”.  Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya” - Al-A’raaf : 94 - 95
 Apabila seksaan dan kebinasaan dari Allah s.w.t datang, tidak ada siapa dapat menghalangnya dan tidak ada siapa mampu menanggungnya. Orang yang menerimanya menjadi bingung, tidak tahu berbuat apa-apa.
Firman Allah bermaksud ”(Mereka tidak diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang kepada mereka secara mengejut, serta terus membingungkan mereka; maka mereka tidak akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat”. -Al-Anbiyaa’: 40  

Sudah banyak kaum-kaum yang dibinasakan Allah s.w.t melalui saluran istidraj. Firaun dan Namrud diberi tempuh yang panjang hidup di dalam kesenangan, kemewahan dan keseronokan. Kemudian Tuhan datangkan azab dengan tiba-tiba. Firaun dibinasakan di dalam laut dan Namrud dibinasakan oleh nyamuk. Qarun juga binasa ketika asyik dengan kekayaan. Begitu juga dengan kaum-kaum Nabi-nabi Nuh dan Luth. 

Orang-orang yang beriman sentiasa mengawasi diri mereka agar kesenangan dan kemewahan tidak melalaikan mereka yang boleh menyebabkan mereka jatuh ke dalam suasana istidraj. Ketika mana Tentera Islam mendapat harta Kisra(Maharaja Parsi) maka Saidina Umar Al-Khattab telah berkata:  "Wahai Tuhan! Aku ingin meminta perlindungan dari engkau dari menjadi orang yang mendapat "Istidraj" kerana aku mendengar Engkau berfirman (maksud ayat 182 Surah Al-A'raf) : Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami(Allah), nanti akan Kami binasakan mereka itu dengan beransur-ansur sedang mereka tidak tahu" . Istidraj -diberi kepada mereka nikmat dan dihilangkan kepada mereka erti kesyukuran".

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak,dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah!




Sombongnya mereka, takburnya mereka. Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan  semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong!  Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah. 

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. 

Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut,  Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul Ibad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt. 

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga. Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. 


TAKUTLAH KAMU TERHADAP KURNIAAN ALLAH S.W.T YANG SELALU KAMU PEROLEHI SEDANGKAN KAMU MELANGGAR PERINTAH-NYA, JANGAN SAMPAI KURNIAAN ITU SEMATA-MATA ISTIDRAJ. (FIRMAN ALLAH S.W.T DALAM SURAH AL-A’RAF, AYAT 182): KAMI AKAN BINASAKAN MEREKA PERLAHAN-LAHAN DENGAN JALAN YANG MEREKA TIDAK SEDAR.
------------------------------------------------------------------------------------------------



HTML Comment Box is loading comments...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...