Assalamualaikum wbt... Salam Jumaat 3 Rabuil Awal 1433... Selawat dan salam keatas junjungan besar baginda Nabi saw dan penghormatan radiyallahuan kepada para sahabat baginda yang telah mendahuli kita merebut cahaya yang dibawa oleh baginda Nabi saw. Sebagai umat akhir zaman ini cabaran ujianNya kepada keimanan manusia lebih mencabar dengan pelbagai metodologi pendekatan kemamtapan iman malahan metodologi serangan dalam bentuk "serangan" daripada golongan jin dan golongan kufar. Semata-mata kalau dilihat dengan mata hati, semuanya adalah ujianNya untuk menilai dan menzahirkan siapa diantara manusia yang benar-benar beriman kepada Nya seperti mana Dia nak manusia beriman kepada Nya.
Dalam usrah mingguan yang lalu Musafir Faqir menyentuh persoalan "hijab" dan menggambarkan keadaan orang awam yang dihijab oleh cahaya dunia dan syaitan sehingga mereka tidak jadi untuk berbuat taat kepada Allah s.w.t. Dan dalam perkongsian kali ini pula Musafir Faqir akan berkongsi perbincangan dengan menggambarkan keadaan orang yang berjalan pada jalan Allah s.w.t dan sudah pun mengalami hakikat-hakikat tetapi cahaya hakikat masih menjadi hijab antaranya dengan Allah s.w.t. Pengalaman tentang hakikat menurut istilah tasauf dipanggil isyarat tauhid. Isyarat-isyarat tersebut apabila diterima oleh hati maka hati akan mendapat pengertian tentang Allah s.w.t. Isyarat-isyarat demikian membuatnya berasa hampir dengan Allah s.w.t. Orang yang berasa hampir dengan Allah s.w.t tetapi masih melihat kepada isyarat-isyarat tersebut masih belum mencapai makam arifbillah. Orang arifbillah sudah melepasi isyarat-isyarat dan sampai kepada Allah s.w.t yang tidak boleh diisyaratkan lagi. Makam ini dinamakan fana-fillah atau lebur kewujudan diri dalam Wujud Mutlak dan penglihatan mata hati tertumpu kepada Allah s.w.t semata-mata, iaitu dalam keadaan seperti dalam firmanNya bermaksud :-
”Tiada sesuatu sebanding dengan-Nya”
Tidak ada nama yang mampu menceritakan tentang Zat-Nya. Tidak ada sifat yang mampu menggambarkan tentang Zat-Nya. Tidak ada isyarat yang mampu memperkenalkan Zat-Nya. Itulah Allah s.w.t yang tidak ada sesuatu apa pun menyerupai-Nya. Maha Suci Allah s.w.t dari apa yang disifatkan.
Murid yang berjaya dalam perjalanannya mengalami berbagai-bagai hal. Pengalaman tersebut datang sebagai isyarat-isyarat yang tiba-tiba sahaja tercetus di dalam hati, dan hati tiba-tiba sahaja dapat menangkap sesuatu yang ghaib dan berkaitan dengan ketuhanan. Pengalaman hati tersebut mencetuskan daya tafakur. Hasil dari tafakur dapatlah dia memahami tentang Tuhan. Pengetahuan tentang ketuhanan itu membuatnya merasakan hampir dengan Tuhan. Murid pada peringkat ini dapat melihat kelebihan tauhid yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Ini menunjukkan dia masih berdalilkan pengalaman kerohaniannya secara tidak sedar bagi mendapat penjelasan tentang tauhid.
Berbeza keadaannya daripada orang arifbillah yang tidak lagi melihat kepada tauhid kerana dia sendiri telah fana di dalam tauhid. Orang arifbillah mencapai kefanaan yang mutlak setelah melalui empat peringkat kematian, dipanggil mati tabii, mati maknawi, mati surri dan mati hisi. Mati cara ini bukanlah kematian tubuh badan tetapi ia adalah pelenyapan segala sesuatu selain Allah s.w.t secara berperingkat-peringkat dari alam kebatinan seseorang. Ia diistilahkan sebagai mati kerana pengalaman demikian hanya berlaku setelah rohani seseorang dapat melepasi kurungan duniawi dan masuk ke alam kebatinan yang mendalam atau dikatakan dia terjun ke dalam dirinya sendiri. Rohani manusia bukanlah satu ruang seperti ruang-ruang yang ada di dunia. Rohani adalah Latifah Rabbaniah, perkara ghaib yang sangat seni dan dinisbahkan kepada Allah s.w.t, hanya Allah s.w.t mengetahui hakikatnya. Rohani boleh dihalusi kepada beberapa peringkat. Peringkat pertama dinamakan Latifah Kalbu (hati) yang menjadi asas kepada semua Latifah-Latifah. Ia juga dinamakan tubuh batin. Peringkat yang lebih mendalam dinamakan Latifah Roh yang dibahasakan sebagai roh haiwani iaitu nyawa yang menghidupkan tubuh badan. Latifah Roh menjadi batin kepada Latifah Kalbu. Batin kepada Latifah Roh pula dinamakan Latifah Sir yang dibahasakan sebagai roh insani, yang membekalkan bakat kehidupan kepada roh haiwani dan seterusnya menghidupkan jasad. Batin kepada Latifah Sir dinamakan Latifah Khafi dan batin yang paling dalam dinamakan Latifah Akhfa.
Bila terbuka medan Latifah kalbu, hati merasakan mati tabii. Kematian cara ini membuat fikiran tidak aktif. Hati mendapat keasyikan tentang alam ghaib dan dalam keasyikan itu pendengaran zahir tidak memberi kesan kepada hati dan fikiran. Dia tidak mendengar apa-apa lagi kecuali suara hatinya yang menyebut Allah, Allah, Allah! Kemudian, tanpa dipaksa-paksa lidahnya menyebut Allah, Allah, Allah! Setiap kali dia menyebut Allah hatinya merasakan seolah-olah Allah menjawab seruannya itu. Pada peringkat ini kesedaran diri lenyap di dalam lakuan Allah s.w.t. Pemikiran, perasaan dan keinginan tidak berfungsi lagi. Semua perkara terhapus, yang ada nur iman dan tauhid. Hatinya menghayati:
"Tiada yang berbuat sesuatu melainkan Allah s.w.t".
Dalam keadaan demikian dia menghayati firman Allah swt bermaksud :
“Padahal Allah menjadikan kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” - Surah As-Saaffaat : 96.
“Dan tidaklah akan berkehendak, kecuali jika dikehendaki oleh Allah”-Surah at-Takwiir : 29
Orang yang memasuki alam kebatinan peringkat ini melihat pergerakan yang terjadi pada dirinya berlaku tanpa dia merancang dan juga dia tidak mampu menyekatnya dari berlaku. Keadaannya sama seperti orang yang melihat dirinya di dalam mimpi. Dia tidak berkuasa menyuruh atau melarang apa yang dirinya lakukan di dalam mimpi itu. Dia seakan-akan melihat orang lain, bukan dirinya sendiri. Pengalaman yang seperti di dalam mimpi itu dialami secara jaga oleh orang yang mencapai fana peringkat pertama atau memasuki suasana mati tabii. Oleh sebab dia melihat dengan jelas dan yakin akan perbuatan dirinya terjadi di luar bidang kekuasaannya, maka perbuatan itu dinafikan keluar dari dirinya dan diisbatkan kepada perbuatan Allah s.w.t. Dia menghayati bahawa Allah s.w.t jualah yang melakukan segala perkara.
Setelah melepasi medan Latifah kalbu seseorang itu masuk kepada medan Latifah Roh dan jika diizinkan Allah s.w.t dia berpeluang mengalami suasana mati maknawi. Dalam suasana mati maknawi, penglihatan mata zahir dikuasai oleh penglihatan mata hati. Mata zahir tidak lagi tertarik kepada alam benda. Dia seolah-olah melihat cermin yang ditembusi cahaya, maka sifat-sifat alam benda tidak berbekas pada pandangannya ketika mata hatinya memandang kepada sifat Allah s.w.t Yang Maha Sempurna dan Kekal. Kesedarannya terhadap sifat dirinya hilang dan dia dikuasai oleh suasana sifat Allah s.w.t. Penghayatan hatinya pada ketika ini adalah sejajar dengan firmanNya yang bermaksud :-
”Tiada yang hidup melainkan Allah s.w.t”
Kefanaan pada peringkat ini membuat seseorang melihat kepada keabadian. Dia tidak lagi melihat kepada jasad yang akan binasa dan tidak juga kepada dunia yang bersifat sementara. Dia dikuasai oleh suasana rohani yang tidak akan binasa kerana rohani hidup menumpang Hayat Allah s.w.t.
Setelah melepasi medan Latifah Roh dia masuk kepada medan Latifah Sir dan jika Allah s.w.t izinkan dia dapat merasakan suasana mati surri. Dalam suasana mati surri, segala kewujudan yang sementara dan sifat kemanusiaan terhapus dari alam kebatinannya. Dia masuk ke alam ghaib yang penuh dengan Nur Ilahi. Nama Allah s.w.t berbekas pada hatinya dan dia menghayati kenyataan:
”Tiada yang terpuji melainkan Allah s.w.t.”
Orang yang mengalami kefanaan ini sudah terputus dari sifat-sifat kemanusiaan maka lahirlah perwatakan yang ganjil dan aneh, tidak secucuk dengan tatasusila dan adab masyarakat. Cara dia berpakaian, makan dan minum tidak seperti orang ramai lagi. Percakapannya sukar dimengerti dan kadang-kadang menyinggung perasaan orang lain. Mungkin juga terkeluar dari mulutnya ucapan yang pada zahirnya bersalahan dengan syariat.
Setelah melepasi Latifah Sir seseorang itu masuk ke dalam medan Latifah Khafi dan jika diizinkan Allah s.w.t dia berpeluang memasuki susana mati hisi. Dalam suasana ini apa juga yang mengisi alam ini lenyap dari alam perasaannya Tidak ada lagi pemikiran, perasaan, bahasa, ruang, masa, ukuran dan rupa bentuk. Dia mengalami suasana yang kosong, tiada isi, tiada rupa, tiada bahasa dan tidak boleh diperkatakan apa-apa. Dia menghayati suasana:
”Tiada yang maujud secara mutlak melainkan Allah s.w.t”
Semua yang lain dari Allah s.w.t binasa, Wujud Allah s.w.t yang tidak binasa. Keadaan kerohanian pada peringkat ini adalah:
”Zat yang kosong dari makhluk, yang maujud hanya Allah s.w.t.”
Setelah melepasi suasana kematian dalam empat Latifah itu seseorang itu masuk kepada batin yang paling dalam iaitu Latifah Akhfa. Dia sudah melepasi suasana fana dan masuk kepada suasana baqabillah atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Dia sentiasa bersama-sama Allah s.w.t baik ketika jaga mahu pun ketika tidur. Segala gerak gerinya merupakan ibadat. Mata hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t. Kesibukannya dengan apa jua urusan tidak melindungi penglihatan hakiki mata hatinya.
Tampak nyata baginya:
Tiada yang berkuasa melainkan Allah s.w.t; tiada yang berkehendak melainkan apa yang dikehendaki Allah s.w.t; tidak ada daya dan upaya melainkan daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t dan kembali kepada-Nya.
Mata hatinya melihat bahawa segala kewujudan selain Zat Allah s.w.t, sifat Allah s.w.t, perbuatan Allah s.w.t dan asma’ Allah s.w.t hanyalah kewujudan yang tidak berhakikat. Inilah makam arifbillah, iaitu orang yang benar-benar mengenal Allah s.w.t.
Setiap orang yang hidup dalam dunia ini membina kehidupan masing-masing berdasarkan dorongan naluri semulajadi seperti keinginan berkeluarga, mencari rezeki, memiliki tempat tinggal dan sebagainya yang mensejahterakan kehidupan di dalam alam ini. Hasilnya seseorang itu berjaya memiliki sesuatu seperti pekerjaan yang baik, tempat tinggal yang selesa dan kemudahan asas yang lain yang diperlukan. Masing-masing juga sudah berkeluarga, hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak. Bukan mudah mahu membina kehidupan yang selesa dan bahagia itu. Seseorang itu perlu melalui kesusahan dan pengorbanan bagi memperolehinya. Adakah jika seseorang itu mahu memasuki bidang kerohanian dia mesti meninggalkan atau membuang apa sahaja yang telah dimilikinya itu? Patutkah dia meninggalkan pekerjaan, rumah tangga, isteri, anak-anak dan masyarakat lalu lari ke hutan dan gua?
Orang yang cenderung kepada aliran tarekat tasauf gemar menjadikan kehidupan wali-wali yang dibaca daripada buku-buku sebagai contoh tauladan. Aspek kewalian yang paling menarik perhatian adalah kekeramatan. Kekeramatan dianggap sebagai bukti ketinggian makam seseorang wali itu. Kebolehan wali mengeluarkan kekeramatan dikaitkan dengan sifat zuhud dan bertawakal penuh yang dimiliki oleh wali tersebut. Orang yang berminat kepada tarekat tasauf itu mengandaikan jika mahu memperolehi pangkat kewalian dan boleh mengeluarkan kekeramatan, perlulah dia memilih hidup bertajrid sepenuhnya dengan meninggalkan ikhtiar dan dia perlu bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sikap melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri, anak-anak, masyarakat dan dunia seluruhnya. Dia lari ke hutan, ke puncak gunung dan ke gua-gua. Dia mengasingkan dirinya daripada segala-galanya yang dia anggap boleh menghalang perkembangan kerohaniannya. Ketika di dalam pengasingan itu dia meniru cara hidup wali-wali. Dia memaksa dirinya supaya menjadi kuat beribadat dan berzikir. Tidak memperdulikan keselamatan dirinya dan tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekelilingnya.
Biasanya orang yang bertajrid secara melulu ini tidak dapat bertahan lama. Kesabarannya tidak cukup kuat untuk menanggung kesusahan yang mendatanginya semasa dalam pengasingan. Kerinduan kepada anak-anak selalu mengganggu jiwanya. Kecemburuan terhadap isteri yang jauh di mata merisaukan fikirannya. Harta yang banyak ditinggalkan mungkin sudah direbut oleh orang lain. Dia pula tidak dapat makan dengan mencukupi, tidurnya juga tidak selesa. Tubuhnya menjadi lemah dan semangatnya juga lemah. Akhirnya dia tidak tahan lagi menanggung penderitaan dan kegelisahan. Dia lari daripada alam pengasingan dan kembali kepada kehidupannya yang lama. Setelah kembali dia melihat kerugian yang sudah dialaminya selama dia lari ke hutan. Kerugian perlu dituntut ganti. Kali ini dia menggunakan apa juga cara untuk menebus semula masa dan peluang yang telah terlepas daripadanya. Kelakuannya menjadi lebih buruk daripada sebelum dia lari ke dalam alam pengasingan dahulu.
Bertajrid secara melulu memberi kesan yang tidak baik kepada orang yang mencintai jalan kerohanian. Tidak mungkin seseorang yang baharu mahu memulakan latihan tarekat kerohanian beramal seperti wali-wali yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan mencampakkan segala-galanya yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatkan dia berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang menggoncangkan imannya dan boleh menyebabkan dia berputus asa. Dia tidak seharusnya meniru secara melulu kehidupan wali-wali yang sudah mencapai makam keteguhan. Seseorang perlu melihat kepada dirinya sendiri; mengenalpasti kedudukannya, kemampuannya dan daya tahannya.
Ketika masih di dalam makam asbab dia perlu bertindak sesuai dengan hukum sebab akibat. Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya. Dia juga perlu mengadakan sebab bagi mensejahterakan kehidupannya. Sebagai persediaan memasuki bidang kerohanian dia terlebih dahulu perlu bergerak di atas landasan sebab musabab yang boleh memperkuatkan daya tahan dan kesabarannya. Dia masih lagi terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih melihat tindakan makhluk mempunyai kesan dan pengaruh. Oleh yang demikian adalah wajar jika dia juga mengadakan tindakan menurut hukum sebab musabab dengan menggunakan bakat kemanusiaannya demi mengatur perancangan dengan rapi agar apa yang dia hajati boleh tercapai. Jika niatnya benar dan baik, perjalanan sebab musabab akan membantunya menuju ke arah yang dihajatinya. Tanda seseorang itu diletakkan di dalam sempadan asbab sebagai kenderaannya menuju matlamat, adalah urusan dan tindakannya menurut peraturan sebab musabab tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipannya terhadap tuntutan agama. Dia tetap berasa mudah untuk berbakti kepada Allah s.w.t, tidak menggunakan cara yang diharamkan oleh Allah s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat dunia dan tidak dengkikan nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada orang lain. Apabila ahli asbab berjalan menurut hukum sebab musabab yang tidak menyalahi syarak, jiwanya akan berkembang dengan baik dan teratur, tanpa menghadapi kegoncangan yang dia tidak berdaya menanggungnya. Rohaninya akan menjadi kuat sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam suasana tajrid secara teratur dan selamat. Akhirnya dia mampu bertajrid sepenuhnya.
Dalam kehidupan harian ada juga orang yang dipaksa oleh takdir supaya terjun ke dalam lautan tajrid. Orang ini asalnya tergolong di dalam kumpulan ahli asbab yang hidup menurut hukum sebab musabab seperti orang ramai. Kehidupan dalam daerah asbab itu tidak menambahkan kemantapan rohaninya. Dia memerlukan perubahan bidang kehidupan baharulah rohaninya boleh berkembang maju. Bagi tujuan menambahkan kekuatan kerohaniannya takdir memisahkannya daripada apa sahaja yang menghalangnya daripada berjalan kepada Tuhan. Pada peringkat permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian, sebagai seorang yang masih terikat dengan hukum sebab akibat, dia akan berusaha sedaya upayanya untuk menahan takdir yang tidak diingininya itu. Bila dia tidak berdaya menolong dirinya sendiri dia akan meminta pertolongan dengan orang lain yang mempunyai kuasa. Kuasa yang ada dengan manusia tidak mampu juga menolongnya menyekat kemaraan takdir yang mendatanginya itu. Dia boleh mengadakan sebab tetapi akibat yang diharapkan tidak berlaku. Dia menghadapi keadaan di mana hukum sebab akibat tidak berdaya menembusi benteng takdir.Setelah puas berusaha dan meminta pertolongan orang lain, dia tidak ada pilihan lagi kecuali lari kepada Tuhan. Dia merayu sambil menangis, memohon Tuhan menolongnya, melepaskannya daripada takdir yang menimpanya itu.
Walau bagaimana sekalipun dia merayu namun tangan takdir yang mencengkamnya tidak juga terlepas. Akhirnya dia tidak berkuasa melawan lagi. Dia mengaku kalah dan tunduk kepada perjalanan takdir yang menguasainya. Redalah dia dengan apa juga takdir yang menimpanya. Dia tidak lagi merayu kepada Tuhan, sebaliknya dia menyerah bulat-bulat kepada-Nya. Tidak ada lagi ikhtiar, pilihan dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang bertajrid sepenuhnya. Bila seseorang hamba benar-benar bertajrid maka Allah s.w.t akan menguruskan kehidupannya.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“Beberapa banyak binatang yang melata yang tidak sanggup membawa rezekinya. Allah yang menjamin rezekinya, juga terhadap kamu. Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui”.- Surah al-‘Ankabut : 60
Makhluk Tuhan seperti burung, ikan, ulat, semut, kuman dan berbagai-bagai lagi tidak memiliki kebun dan kilang makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Tuhan. Manusia tajrid juga dijamin rezekinya oleh Tuhan. Bukan sekadar rezeki yang dijamin oleh Tuhan, malah segala aspek kehidupannya diuruskan oleh Tuhan. Tuhan mencabut kehendak dirinya yang lama dan digantikan-Nya dengan kehendak yang lain yang sesuai dengan kehendak-Nya. Tuhan memeliharanya daripada melakukan apa yang Dia murkai. Apa sahaja yang Dia mahu hantarkan kepada hamba-Nya yang bertajrid, ditapis-Nya agar ia tidak merosakkan iman dan iktikadnya. Dia memelihara hamba-Nya yang demikian daripada gangguan manusia lain yang tidak mengerti. Dia yang membela hamba-Nya yang demikian yang teraniaya. Penjagaan Tuhan terhadap hamba-Nya yang bertajrid melebihi penjagaan seorang ibu terhadap anaknya yang masih bayi. Allah s.w.t menghalang tangan manusia yang kotor dan aniaya daripada sampai kepada hamba-Nya yang menyerahkan urusan kepada-Nya.
Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang hamba-Nya itu dalam daerah tajrid adalah Dia memudahkan baginya rezeki dan penyelesaian masalahnya dengan cara yang tidak disangkanya. Jiwanya dijaga agar sentiasa tenteram walaupun berlaku kekurangan rezeki atau dia ditimpa oleh kesusahan. Allah s.w.t membela hamba-Nya yang bertajrid secara langsung atau dihantarkan-Nya makhluk-Nya untuk membantu hamba-Nya itu. Orang yang berperang dengan hamba Allah s.w.t yang bertajrid sebenarnya berperang dengan Allah s.w.t kerana hamba tersebut telah menyerahkan segala urusannya kepada Tuhannya dan Tuhan menghantarkan tentera-Nya yang tidak kelihatan bagi melindungi hamba-Nya yang bertajrid itu.
Seseorang hamba perlulah menerima dengan rela kedudukan yang Tuhan kurniakan kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t Yang Maha Mengerti dan Maha Mentadbir. Apa yang penting dilakukan bukanlah mengubah dengan serta merta bentuk kehidupan yang sedang dimiliki. Tumpuan awal hendaklah ditujukan kepada mengubah suasana hati walaupun suasana kehidupan belum berubah. Ketika masih dalam daerahasbab tidaklah wajar jika seseorang mencampakkan segala-galanya. Mulailah dengan kehidupan yang sedia ada tetapi dengan suasana hati yang berbeza. Hati hendaklah dipaksakan supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t, ada hubungan dengan-Nya. Segala sesuatu dan segala perkara hendaklah dilihat sebagai ada pertalian dengan urusan dan pentadbiran Tuhan. Tidak ada sesuatu yang bebas bergerak sendiri tanpa tadbir Ilahi.
Beriman kepada Qadak dan Qadar memainkan peranan yang penting dalam tarekat kehidupan harian. Qadak dan Qadar adalah urusan Tuhan. Apa sahaja yang dinisbahkan sebagai urusan Tuhan walaupun boleh dijelaskan melalui bakat dan nilai yang ada dengan manusia tetapi maksud yang sebenar melampaui penjelasan tersebut. Beriman kepada Qadak dan Qadar mengandungi penyerahan tanpa takwil terhadap apa yang tidak mampu dihuraikan secara terperinci melalui kekuatan akal, logik dan dalil. Walau bagaimana pun bolehlah dikatakan Qadak dan Qadar adalah suasana Ilmu Tuhan mengenai segala perkara yang Dia berkehendak menciptakan. Suasana dalam Ilmu Tuhan adalah awalnya itulah akhirnya dan zahirnya itulah batinnya, tidak ada perpisahan. Penciptaan manusia pertama dengan penciptaan manusia terakhir tidak ada jarak masa, ruang dan zaman dalam Ilmu Tuhan, tetapi perkara tersebut ada pada penciptaan yang nyata atau makhluk. Oleh sebab itu Tuhan mengetahui hal-ehwal manusia pertama dan terakhir sekaligus. Tuhan mengetahui yang azali dan yang abadi sekaligus. Tidak ada sesuatu yang melindungi sesuatu yang lain pada pengetahuan Tuhan. Tuhan mengetahui roh seseorang dan pada masa yang sama juga Dia mengetahui jasadnya. Tidak akan berlaku keadaan Tuhan tersalah meletakkan roh kepada jasad yang bukan untuknya. Roh adalah urusan Tuhan. Segala maklumat yang berhubung dengan penciptaan sesuatu makhluk itu telah disimpankan pada roh urusan-Nya itu. Roh urusan-Nya akan bergerak menurut ketentuan yang Tuhan letakkan padanya dan ia mengheret yang di bawah jagaannya menurut ketentuan yang sama. Dengan cara yang demikian apa yang Tuhan telah tentukan pada Ilmu-Nya berlaku dalam alam makhluk.
Qadak dan Qadar memperkenalkan Kudrat, Iradat dan Ilmu Tuhan yang menguruskan segala perkara mengenai makhluk seperti penciptaan, keutuhan sebagai ciptaan yang mampu mengeluarkan kesan dan ciptaan itu menjadi asas kepada kewujudan di dunia dan di akhirat. Medan takdir menjadi cermin yang padanya manusia dapat melihat sesuatu mengenai Tuhan dan melaluinya manusia mengenal Tuhan. Beriman kepada Qadak dan Qadar mempereratkan hubungan hamba dengan Hadrat Tuhan yang “Dia beserta kamu walau di mana kamu berada”; “ Ke mana kamu hadapkan muka kamu di sana ada Wajah Tuhan (perihal tentang Tuhan”; “Tidak ada daya dan upaya melainkan beserta Allah”. Tanpa iman kepada Qadak dan Qadar tidak boleh wujud hubungan yang erat di antara hati hamba dengan Tuhan.
Beriman kepada Qadak dan Qadar juga membuatkan manusia mengakui keberkesanan bakat-bakat yang Tuhan kurniakan kepadanya menyertai penciptaannya. Pengakuan tersebut membuat manusia menghargai bakat-bakat kurniaan Tuhan itu dan menggunakannya menurut peraturan Tuhan demi mencari keredaan-Nya. Beriman kepada Qadak dan Qadar cara begini membuat manusia melihat bakat-bakat dirinya sebagai alat yang Tuhan amanahkan kepadanya untuk dijaga dan digunakan sebaik mungkin. Alat-alat tersebut akan diserahkan kembali kepada Tuhan, Pemilik sebenar yang akan memeriksanya.
Dalam perjalanan takdir seseorang manusia, muncul kehendak diri kepada sesuatu. Bakat-bakat diri digerakkan bagi mendapatkan apa yang dikehendaki itu. Biasa terjadi kekuatan bakat diri tidak mampu mendapatkan apa yang diingini. Kejadian seperti ini menambahkan kesedaran manusia kepada Pemilik sebenar yang berkuasa mengatasi hak yang ada pada pengguna. Dengan demikian pengguna akan rasa bersyukur dalam menggunakan alat yang dipinjamkan kepadanya dan dia juga sentiasa ingat kepada Pemilik sebenar, berhajat kepada-Nya dan tunduk kepada keputusan-Nya yang Mutlak. Manusia itu juga sedar bahawa Pemilik sebenar boleh mengambil balik apa yang dipinjamkan-Nya kepada hamba-Nya, pada bila-bila masa yang Dia kehendaki dan tiada siapa dapat menghalang-Nya.
Terjemahan kepada suasana beriman kepada Qadak dan Qadar bergantung kepada kedudukan seseorang. Orang yang didudukkan di dalam medan asbab perlu melihat kepada perjuangan, usaha, ikhtiar, doa dan sebagainya dalam melaksanakan tuntutan imannya itu. Orang yang berada dalam medan tajrid tidak melihat kepada perkara-perkara yang demikian. Mata hatinya tertutup daripada melihat kepada kekuatan dirinya dan bakatnya. Walaupun seseorang itu bermakam pada asbab atau tajrid, pasti ada sesuatu yang berlaku pada dirinya, ada perbuatan, perkataan dan lain-lain. Perkara yang berlaku pada ahli asbab adalah serupa dengan yang berlaku pada ahli tajrid. Misalkan, pada ahli asbab ada perbuatan memanjat pokok kerana mahu memetik buah kelapa. Pada ahli tajrid juga ada perbuatan yang serupa. Ahli asbab melihat perbuatan tersebut sebagai perbuatan dirinya. Dia menggunakan bakat-bakat yang lahir bersama kelahirannya. Ahli tajrid melihat perbuatan tersebut sebagai takdirnya. Takdir yang menggunakan bakat-bakat yang tersimpan pada dirinya. Oleh yang demikian, orang yang berada dalam medan asbab secara fikiran dan perasaannya, tidak seharusnya menggunakan hujah ahli tajrid untuk merombak kepercayaan kepada Qadak dan Qadar. Ahli tajrid pula tidak seharusnya menyalahkan huraian mengenai Qadak dan Qadar yang dibuat oleh ahli asbab dengan menggunakan fikiran dan perasaan asbab. Mengetahui kedudukan masing-masing boleh mengelakkan perbalahan yang tidak berkesudahan tentang Qadak dan Qadar.
Fitnah kehidupan harian lebih banyak mengenai ahli asbab daripada ahli tajrid. Orang tajrid dipertahankan oleh perasaan reda dengan apa juga takdir yang menimpanya. Ahli asbab pula perlu bertahan dengan kepercayaan kepada hari akhirat. Beriman kepada Akhirat menjadi benteng yang mempertahankan ahli asbab daripada jatuh ke dalam jurang kemusnahan, sama ada kemusnahan pada jiwa atau pada akidah apabila berhadapan dengan kegoncangan yang berlaku pada kehidupannya. Akhirat adalah pemisah di antara orang yang beriman dengan orang yang kafir. Di dalam dunia ini orang yang beriman boleh mengadakan ikhtiar sebagaimana yang dilakukan oleh orang kafir, tetapi sering terjadi usaha orang kafir lebih mendatangkan keuntungan. Orang yang beriman mesti meyakini bahawa pengadilan di dunia tidak muktamad.
Banyak daripada balasan baik untuk orang yang beriman disimpan di akhirat, bukan kerana Tuhan berkira dengan orang yang beriman tetapi kerana balasan yang Tuhan sediakan itu tidak layak dimuatkan di dalam dunia. Dunia ini terlalu sempit untuk dimuatkan dengan balasan baik yang Tuhan sediakan untuk orang mukmin. Orang mukmin melakukan kebaikan dengan kekuatan rohani yang berunsur nur atau cahaya. Cahaya boleh meliputi ruang yang luas dan melintasi zaman. Cahaya daripada sebahagian bintang mengambil masa beratus tahun untuk sampai ke bumi dan ada pula bintang yang cahayanya tidak akan sampai ke bumi. Cahaya rohani manusia lebih latif daripada cahaya bintang. Nabi Ibrahim a.s yang mempunyai kekuatan rohani yang tinggi, berdoa kepada Tuhan agar Kaabatullah dikunjungi orang bagi mengerjakan haji. Kekuatan doa Nabi Ibrahim a.s yang timbul daripada rohani yang suci bersih itu menarik manusia berduyun-duyun ke Makkah, sehingga ke hari kiamat. Ruang yang ada dalam dunia ini tidak cukup memuatkan balasan kepada kebaikan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s yang hanyalah sepotong doa, belum dicampurkan dengan kebaikan-kebaikan yang lain. Ruang yang cukup luas bagi memuatkan balasan orang mukmin berada di akhirat. Oleh kerana orang mukmin perlu menunggu untuk mendapatkan balasannya maka Tuhan menggandakan balasan tersebut.
Keadaan orang kafir berbeza daripada orang mukmin. Orang kafir berbuat kebaikan bukan atas dasar beriman kepada Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada balasan kebaikan bagi mereka di akhirat. Balasan kebaikan orang kafir diselesaikan di dunia ini juga. Sebab itulah usaha mereka yang sedikit mendapat pulangan yang banyak. Tuhan sentiasa memberi lebih banyak daripada apa yang mereka usahakan supaya mereka tidak ada hak lagi untuk membuat tuntutan di akhirat.
Allah s.w.t ciptakan manusia sebagai hamba-Nya dan untuk-Nya. Sebab itu hati hamba cenderung untuk kembali kepada-Nya. Dia telah sediakan jalan kembali kepada-Nya. Itulah jalan yang lurus. Orang yang mengikuti jalan yang lurus bertindak sesuai dengan tujuan dia diciptakan dan citarasanya yang asli. Apabila tujuan, tindakan dan citarasa bersepakat akan lahirlah kedamaian dalam hati. Kesejahteraan hati diperolehi di atas jalan yang lurus. Jika seseorang hamba lari dari jalan yang lurus hatinya akan memberontak. Akibatnya dia tidak akan merasakan kedamaian. Dia akan merasakan kekosongan di dalam jiwa. Rasa kekosongan itu menggerakkannya mencari tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Ketidak-pastian yang menguasainya membuatnya mencari menurut sangkaan. Sangkaan tidak menemukannya dengan yang sebenarnya dicari. Bila pencarian berlaku di luar daripada sempadan yang lurus yang ditemui hanyalah bayangan. Bayangan tidak membawa kebahagiaan yang sejati. Harta kekayaan, pangkat kebesaran dan lain-lain yang digunakan bagi mencari di luar daripada sempadan jalan yang lurus hanya memberi pulangan yang sia-sia. Hanya jalan yang lurus boleh membawa hamba kepada kebenaran yang dicari. Pada jalan yang lurus, harta dan pangkat akan mendatangkan keberkatan kepada dirinya dan memberi manfaat kepada makhluk Tuhan. Segala pemilikan menjadi alat bagi mendapatkan keredaan Allah s.w.t, berbakti kepada-Nya dan membantu makhluk-Nya. Bila tindakan dibuat sesuai dengan peraturan jalan yang lurus hati akan menjadi damai dan sejahtera. Tiada lagi pemberontakan dan tiada lagi kekosongan.
Suka, duka, senang, susah, bahagia, celaka dan semuanya ditanggung oleh hati kerana hati yang memerintah sekalian anggota dan hati yang membuat keputusan dan pilihan. Hati perlu diperkuatkan agar ia dapat membuat pilihan yang baik dan benar dan mengawal anggotanya daripada lari ke jalan yang tidak lurus. Kekuatan hati boleh dipertingkatkan dengan amalan zikir. Hati perlu dibenamkan ke dalam suasana zikir sebanyak mungkin. Kekuatan zikir hati menyata sebagai zikir anggota. Bila anggota sudah dikuasai oleh zikir ia tidak lagi keluar daripada jalan yang lurus.
Tarekat kehidupan harian perlu dilakukan dalam suasana hati yang mengingati Allah s.w.t iaitu zikir. Seseorang itu perlu berzikir ketika berjalan, memandu, memasak, berbaring dan pada semua keadaan. Kepenatan bekerja perlu direhatkan dengan zikir. Biar roh zikir menguasai semua aktiviti kehidupan. Berjalan ke bilik mesyuarat dengan zikir, bagi memperolehi keberkatan pada semua keputusan yang akan dibuat nanti. Menunggu kapal terbang sampai dengan berzikir, menaiki kapal terbang dengan zikir dan turun dari kapal terbang juga dengan zikir. Jika seseorang itu dicabut nyawanya maka dia ‘keluar’ bersama ingatan kepada Allah s.w.t.
Selain daripada melakukan zikir beserta kegiatan harian, zikir perlu juga dibuat secara khusus, terutamanya pada waktu malam, setelah segala kegiatan harian berakhir. Zikir secara khusus memudahkan zikir secara perbuatan dan perkataan dalam kehidupan harian.
Zikir mengubah suasana hati. Tarekat kehidupan harian mengubah kerohanian tanpa mengubah penghidupan harian. Orang masih boleh bekerja, menjaga isteri dan anak-anak serta berkhidmat kepada masyarakat. Bila tidak ada perubahan yang mendadak tidak ada pula kegoncangan yang mencabar iman. Dunia dan kehidupannya menjadi tarekat. Takwa (memelihara batasan yang ditentukan Tuhan) menjadi suluk. Perkataannya menjadi zikir, perbuatannya menjadi zikir dan perasaannya juga zikir. Roh amal bagi tarekat kehidupan harian adalah ikhlas. Apabila seseorang sudah berjaya mencapai makam ikhlas dalam menjalani kehidupannya dengan mematuhi perintah Tuhan, sesungguhnya dia sudah memperolehi nikmat yang sangat besar. Dia sudah berjaya mengikuti kehidupan Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Alam ini kesemuanya adalah gelap gelita sedang yang meneranginya adalah kerana nampak Wujud Allah s.w.t padanya. Pada hakikatnya alam ini tidak wujud, Allah s.w.t jua yang wujud. Tetapi apa yang terlihat kepada kita adalah alam semata-mata sedangkan Allah s.w.t yang lebih nyata menjadi terlindung daripada pandangan kita. Allah s.w.t yang menzahirkan segala sesuatu, bagaimana sesuatu itu pula menghijabkan-Nya. Allah s.w.t yang tampak nyata pada segala sesuatu, bagaimana pula Dia terlindung. Allah s.w.t adalah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya, bagaimana pula Dia dihijab oleh sesuatu yang tidak wujud di samping-Nya.
Hati akan hanya diisi dengan iman (percaya) atau ragu-ragu.
Jika Nur Ilahi menyinari hati maka mata hati akan melihat dengan iman. Seandainya pandangan mata hati tidak bersuluhkan Nur Ilahi maka apa yang dipandangnya akan membawa keraguan dalam bentuk pertanyaan ‘bagaimana’. Pertanyaan ‘bagaimana’ itu merupakan ujian tentang Allah s.w.t. Ia boleh memberi rangsangan untuk menambahkan pengetahuan tentang Tuhan. Jika tidak dikawal ia akan mendorong kepada perbahasan yang tidak ada penyelesaian kerana bidang ilmu sangat luas, tidak mungkin habis untuk diterokai. Jika kita ikuti perbahasan ilmu, kita akan mati dahulu sebelum sempat mendapat jawapan penghabisan. Oleh itu letakkan garisan penamat kepada ilmu dan masuklah ke dalam iman. Iman menghilangkan keraguan dan tidak perlu bersandar kepada bukti dan dalil-dalil.
Pengalaman hakikat akan menghapuskan pertanyaan ‘bagaimana’. Apabila keraguan datang, ia akan disambut dengan jawapan, “Dengan Dia aku mengenal sifat-Nya, bukan dengan sifat-Nya aku mengenal Dia. Dengan Dia aku mengenal ilmu pengetahuan, bukan dengan ilmu pengetahuan aku mengenal Dia. Dengan Dia aku mengenal makrifat bukan dengan makrifat aku mengenal Dia”.
Apabila hati sudah diisi dengan iman pertanyaan ‘bagaimana’ akan menguatkan keinginan untuk mencungkil Rahsia Ilahi yang menyelubungi alam maya ini. Jika dia tidak mampu memahami sesuatu tentang Rahsia Ilahi itu maka dia akan tunduk dan mengakui dengan kerendahan hatinya bahawa benteng keteguhan Allah s.w.t tidak mampu dipecahkan oleh makhluk-Nya.
Dalam perjalanan menuju Allah s.w.t ada sebahagian orang yang tertinggal di belakang walaupun mereka sudah melakukan amal yang sama seperti yang dilakukan oleh orang lain yang lebih maju. Satu halangan yang menyekat golongan yang tertinggal itu adalah kebodohannya yang tidak mahu tunduk kepada ketentuan Allah s.w.t. Dia masih dipermainkan oleh nafsu dan akal yang menghijab hatinya daripada melihat Allah s.w.t pada apa yang dilihat. Pandangannya hanya tertuju kepada alam benda dan perkara zahir sahaja. Dia melihat kepada keberkesanan hukum sebab-musabab dan meletakkan pergantungan kepada amalnya. Dia yakin yang dia boleh mendapatkan apa yang dia ingini melalui usahanya.
Keadaan orang yang disebutkan di atas telah disentuh pada perkongsian yang terdahulu. Ketika rohani orang lain telah maju di dalam menuju Allah s.w.t dia masih juga berpusing-pusing di dalam kesamaran dan keraguan. Nafsunya tetap melahirkan keinginan-keinginan. Keinginan diri sendiri menjadi rantai yang mengikat kaki daripada berjalan menuju Allah s.w.t. Bagaimana boleh seseorang mendekati Allah s.w.t jika dia enggan menjadikan Allah s.w.t sebagai Pengurus semua aspek kehidupannya. Walau para hamba rela atau membantah, Allah s.w.t tetap melaksanakan ketentuan-Nya. Allah s.w.t melaksanakan kehendak-Nya pada setiap masa dan tidak ada sesiapa yang dapat menghalang-Nya.
Firman Allah SWT bermaksud :-
”Tiap-tiap masa Ia (Allah) di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan akhluk-makhluk-Nya)”- Surah Ar Rahman : 29.
Allah s.w.t sahaja yang mencipta, meletakkan hukum dan peraturan, membahagikan rezeki dan lain-lain. Dia menentukan urusan dengan bijaksana dan adil, termasuklah urusan mengenai diri kita dan apa yang terjadi pada kita. Kita memandang diri kita dan kejadian yang menimpa kita dalam sekop yang kecil. Allah s.w.t melihat kepada seluruh alam dan semua kejadian, tanpa keliru pandangan-Nya kepada diri kita dan kejadian yang menimpa kita, juga tidak beralih pandangan-Nya dari makhluk-Nya yang lain.
Urusan pentadbiran-Nya adalah menyeluruh dan sempurna. Orang yang tidak berbekas pada hatinya akan kesempurnaan Allah s.w.t itu adalah orang dungu. Dia masih juga merungut tentang perjalanan hukum takdir Ilahi, seolah-olah Tuhan harus tunduk kepada hukum makhluk-Nya. Bagi murid yang cenderung mengikuti latihan kerohanian perlulah berusaha untuk melenyapkan kehendak diri sendiri dan hidup dalam lakuan Allah s.w.t. Jangan sekali-kali bertelagah dengan takdir kerana Penentu Takdir tidak pernah berbincang dengan sesiapa pun dalam menentukan arus ketentuan-Nya.
Jika kita mahu mengenali Allah s.w.t kita tidak boleh melihat-Nya pada satu aspek sahaja. Jika kita melihat Allah al-Ghafur (Maha Pengampun), kita juga harus melihat Allah al-‘Aziz (Maha Keras). Jika kita melihat Allah al-Hayyu (Yang Menghidupkan) kita juga harus melihat Allah al-Mumit (Yang mematikan). Jika kita dapat melihat semua Sifat-sifat Allah s.w.t dalam satu kesatuan baharulah kita dapat mengenali-Nya dengan sebenar-benar kenal. Bila Allah s.w.t dikenali dalam semua aspek, hikmat kebijaksanaan-Nya dalam menentukan sesuatu perkara pada sesuatu masa tidak terlindung lagi dari pandangan mata hati.
Hati yang tidak mahu tunduk kepada Maha Pengatur tidak akan menemui kedamaian. Waktu, ruang dan kejadian akan membuatnya gelisah kerana nafsunya tidak dapat menguasai semua itu. Dia inginkan sesuatu perkara pada satu masa sedangkan Maha Pengatur inginkan perkara lain. Kehendak makhluk tidak dapat mengatasi kehendak Tuhan. Jika mahu hati menjadi tenteram usahakan agar hati sentiasa ingat kepada Allah s.w.t.
Firman Allah SWT bermaksud :
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah! Dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. - Surah Ar-Ra’d : 28
Berimanlah kepada Allah s.w.t dan beriman juga kepada takdir. Lepaskan waham sebab musabab yang menjadi pagar nafsu menutup hati.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” - Surah at-Taghaabun : 11
BAGAIMANA DISANGKA ALLAH S.W.T DAPAT DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG MENZAHIRKAN SEGALA SESUATU.
BAGAIMANA MUNGKIN AKAN DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG TAMPAK ZAHIR PADA SEGALA SESUATU
BAGAIMANA AKAN MUNGKIN DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG TERLIHAT DALAM TIAP SESUATU.
SESUATU BAGAIMANA AKAN DAPAT DITUTUP OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG TAMPAK PADA TIAP SEGALA SESUATU. BAGAIMANA MUNGKIN DIHIJAB OLEH PADAHAL DIA YANG ADA ZAHIR SEBELUM ADA SESUATU.
BAGAIMANA AKAN DAPAT DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG LEBIH DEKAT KEPADA KAMU DARI SEGALA SESUATU.
BAGAIMANA MUNGKIN AKAN DIHIJAB OLEH SESUATU, ANDAINYA TIDAK ADA ALLAH S.W.T NESCAYA TIDAK ADA SEGALA SESUATU.
ALANGKAH AJAIBNYA BAGAIMANA NAMPAK WUJUD DI DALAM ‘ADAM (YANG TIDAK WUJUD), ATAU BAGAIMANA DAPAT BERTAHAN SESUATU YANG ROSAK BINASA ITU DI SAMPING ZAT YANG BERSIFAT KEKAL.
RENUNG-RENUNGKANLAH.... CAHAYA-NYA AMAT TERANG DARI SEGALA CAHAYA YANG WUJUD DI ALAM MAYA INI... MAN JADDA WA JADA.
ALHAMDULILLAH SUBHANALLAH ALLAHUAKBAR kita telah memasuki tahun 2012. Maka ada yang berkiranya tentang umurnya semakin meningkat .Ada juga yang meninggalkan tahun 2011 dengan pelbagai memori kesedihan ataupun kegembiraan. Tanpa kita sedari kita ini semakin meningkat umurnya dan semakin dekat dengan kematian. Kalau ditanya pada NAFSU pasti tiada istilah tua atau mati . Kalau ditanya pada ROH pasti menggigil untuk menjawab persoalan kematian. Takut mati , pasti mati kalau tidak takut mati pun pasti akan mati.
Musafir Faqir masih meneruskan perjalanan mencari ”cahayaNya” yang Maha Luas Maha Hebat. Setiap penemuan yang tersirat insyaAllah Musafir Faqir akan berkongsi dengan yang juga sedang ”mencari cahayaNya” . Selebihnya urusan Allah SWT terhadap pencarian kita ini. Perkongsian kali ini adalah mengenai hakikat alam secara ringkas. Secara halus Musafir Faqir menyeru kepada pembaca mencari guru yang mualim lagi murabi. Agak sukar untuk dikongsi secara pembacaan sahaja kerana dalam pembacaan itu nanti akan timbul soal jawab antara hati dengan akal. Kalau tiada guru yang mursyid maka yang menjawab kekeliruan tadi adalah Iblis laknatullah. Dan setiap post yang Musafir Faqir kongsikan kalau dibaca dari awal mempunyai pertalian antara satu sama lain umpama pembinaan tembok atau rumah. Lihat dan bacalah dengan ”mata hati” insyaAllah pasti kita akan melihat yang tersirat. Marilah kita teruskan dengan perkongsian mengenai ALAM.
Alam ini pada hakikatnya adalah gelap atau ‘adam, tidak wujud. Wujud Allah s.w.t yang menerbitkan kewujudan alam. Tidak ada satu kewujudan yang berpisah daripada Wujud Allah s.w.t. Hubungan Wujud Allah s.w.t dengan kewujudan makhluk sekiranya dibuat ibarat (sebenarnya tidak ada sebarang ibarat yang mampu menjelaskan hakikat yang sebenarnya), perhatikan kepada api yang dipusing dengan laju. Kelihatanlah pada pandangan kita bulatan api. Perhatikan pula kepada orang yang bercakap, akan kedengaranlah suara yang dari mulutnya. Kemudian perhatikan pula kepada kasturi, akan terhidulah baunya yang wangi. Wujud bulatan api adalah wujud yang berkaitan dengan wujud api. Wujud suara adalah wujud yang berkaitan dengan wujud orang yang bercakap. Wujud bau wangi adalah wujud yang berkaitan dengan wujud kasturi. Wujud bulatan api, suara dan bau wangi pada hakikatnya tidak wujud. Begitulah ibaratnya wujud makhluk yang menjadi terbitan daripada Wujud Allah s.w.t. Wujud bulatan api adalah hasil daripada pergerakan api. Wujud suara adalah hasil daripada perbuatan orang yang bercakap. Wujud bau wangi adalah hasil daripada sifat kasturi. Bulatan api bukanlah api tetapi bukan lain daripada api dan tidak terpisah daripada api. Suara bukanlah orang yang bercakap tetapi bukan pula lain daripada orang yang bercakap. Walaupun orang itu sudah tidak bercakap tetapi masih banyak lagi suara yang tersimpan padanya. Bau wangi bukanlah kasturi tetapi bukan pula lain daripada kasturi. Walaupun bulatan api boleh kelihatan banyak, suara kedengaran banyak, bau dinikmati oleh ramai orang namun, api hanya satu, orang yang bercakap hanya seorang dan kasturi yang mengeluarkan bau hanya sebiji.
Agak sukar untuk memahami konsep ada tetapi tidak ada, tiada bersama tetapi tidak berpisah. Inilah konsep ketuhanan yang tidak mampu dipecahkan oleh akal tanpa penerangan nur yang dari lubuk hati.
Mata hati yang diterangi oleh Nur Ilahi dapat melihat perkaitan antara ada dengan tidak ada, tidak bersama tetapi tidak berpisah. Atas kekuatan hatinya menerima sinaran Nur Ilahi menentukan kekuatan mata hatinya melihat kepada keghaiban yang tidak berpisah dengan kejadian alam ini. Ada 4 tingkatan pandangan mata hati terhadap perkaitan alam dengan Allah s.w.t yang menciptakan alam.
1: Mereka yang melihat Allah s.w.t dan tidak melihat alam ini. Mereka adalah umpama orang yang hanya melihat kepada api, bulatan api yang khayali tidak menyilaukan pandangannya. Walaupun mereka berada di tengah-tengah kesibukan makhluk namun, mata hati mereka tetap tertumpu kepada Allah s.w.t, tidak terganggu oleh kekecuhan makhluk. Lintasan makhluk hanyalah umpama cermin yang ditembusi cahaya. Pandangan mereka tidak melekat pada cermin itu.
2: Mereka yang melihat makhluk pada zahir tetapi Allah s.w.t pada batin. Mata hati mereka melihat alam sebagai penzahiran sifat-sifat Allah s.w.t. Segala yang maujud merupakan kitab yang menceritakan tentang Allah s.w.t. Tiap satu kewujudan alam ini membawa sesuatu makna yang menceritakan tentang Allah s.w.t.
3: Mereka yang melihat Allah s.w.t pada zahirnya sementara makhluk tersembunyi. Mata hati mereka terlebih dahulu melihat Allah s.w.t sebagai Sumber kepada segala sesuatu, kemudian baharulah mereka melihat makhluk yang menerima kurniaan daripada-Nya. Alam tidak lain melainkan perbuatan-Nya, gubahan-Nya, lukisan-Nya atau hasil kerja Tangan-Nya.
4: Mereka yang melihat makhluk terlebih dahulu kemudian baharulah melihat Allah s.w.t. Mereka memasuki jalan berhati-hati dan berwaspada, memerlukan masa untuk menghilangkan keraguan, berdalil dengan akal sehingga kesudahannya ternyatalah akan Allah s.w.t yang Wujud-Nya menguasai wujud makhluk.
Selain yang dinyatakan di atas tidak lagi dipanggil orang yang melihat Allah s.w.t. Gambar-gambar alam, syahwat, kelalaian dan dosa menggelapkan cermin hati mereka hingga tidak mampu menangkap cahaya yang membawa kepada makrifat. Mereka gagal untuk melihat Allah s.w.t sama ada di dalam sesuatu, di samping sesuatu, sebelum sesuatu atau sesudah sesuatu. Mereka hanya melihat makhluk seolah-olah makhluk berdiri dengan sendiri tanpa campur tangan Tuhan.
Anasir alam dan sekalian peristiwa yang berlaku merupakan perutusan yang membawa perkhabaran tentang Allah s.w.t. Perkhabaran itu bukan didengar dengan telinga atau dilihat dengan mata atau difikir dengan akal. Ia adalah perkhabaran ghaib yang menyentuh jiwa. Sentuhan tangan ghaib pada jiwa itulah yang membuat hati mendengar tanpa telinga, melihat tanpa mata dan merenung tanpa akal fikiran. Hati hanya mengerti setiap perutusan yang disampaikan oleh tangan ghaib kepadanya dan hati menerimanya dengan yakin. Keyakinan itu menjadi kunci kepada telinga, mata dan akal. Apabila kuncinya telah dibuka, segala suara alam yang didengar, sekalian anasir alam yang dilihat dan seluruh alam maya yang direnungi akan membawa cerita tentang Tuhan. Abid mendengar, melihat dan merenungi Keperkasaan Tuhan. Asyikin mendengar, melihat dan merenungi keindahan Tuhan. Muttakhaliq mendengar, melihat dan merenungi kebijaksanaan dan kesempurnaan Tuhan. Muwahhid mendengar, melihat dan merenungi keesaan Tuhan.
Firman Allah SWT bermaksud :-
”Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun darihal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini?” (Allah sendiri menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Maha Mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!” - Surah Mu’min:16
"Mereka telah mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan azab seksa kepada mereka sebagai balasan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa”. -Surah al-Qamar : 42
Ayat-ayat seperti yang di atas menggetarkan jiwa abid. Hati abid sudah ‘berada’ di akhirat. Alam dan kehidupan ini menjadi ayat-ayat atau tanda-tanda untuknya melihat keadaan dirinya di akhirat kelak, menghadap Tuhan Yang Esa, Maha Perkasa, tiada sesuatu yang tersembunyi daripada-Nya.
Firman Allah SWT bermaksud :-
”Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangi pandangan(mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan(mu) berkali-kali, nescaya pandangan(mu) itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia)”. - Surah al-Mulk: 3 & 4
Asyikin memandang kepada alam ciptaan dan dia mengulang-ulangi pemandangannya. Semakin dia memandang kepada alam semakin dia melihat kepada keelokan dan kesempurnaan Pencipta alam. Dia asyik dengan apa yang dipandangnya.
Firman Allah SWT bermaksud :-
”Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); bagi-Nya jualah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah Yang tidak ada tuluk banding-Nya, lagi Maha Bijaksana”. - Surah al-Hasyr: 24
Muttakhaliq menyaksikan sifat-sifat Tuhan yang dikenal dengan nama-nama yang baik. Alam adalah perutusan untuknya mengetahui nama-nama Allah s.w.t dan sifat-sifat Kesempurnaan-Nya. Setiap yang dipandang menceritakan sesuatu tentang Allah s.w.t.
Firman Allah SWT bermaksud :-
”Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu sembahlah akan Daku, dan dirikan sembahyang untuk mengingati Daku”. - Surah Taha:14
Muwahhid fana dalam Zat. Kesedaran dirinya hilang. Melalui lidahnya muncul ucapan-ucapan seperti ayat di atas. Dia mengucapkan ayat-ayat Allah s.w.t, bukan dia bertukar menjadi Tuhan.
Firman Allah SWT bermaksud :-
”Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. - Surah al-Faatihah : 1 -7
Mutahaqqiq kembali kepada kesedaran keinsanan untuk memikul tugas membimbing umat manusia kepada jalan Allah s.w.t. Hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t dan bergantung kepada-Nya. Kehidupan ini adalah medan dakwah baginya. Segala anasir alam adalah alat untuk dia memakmurkan bumi.
Apabila Nur Ilahi menerangi hati apa sahaja yang dipandang akan kelihatanlah Allah s.w.t di sampingnya atau sebelumnya atau sesudahnya.