Photobucket

Monday, 10 December 2012

Ar Rahim




AR RAHIM
( Maha Penyayang )

Yang dimaksudkan dengan penyayangnya Allah sangat berbeza dengan penyayangnya manusia. Kebanyakkan sayangnya manusia akan sesuatu mempunyai latar belakang, yang mana disebalik kesayangan terselit sesuatu yang diharapkan. Tetapi Allah tidaklah demikian halnya. Manusia yang soleh dan taat beribadat bukanlah ibadahnya untuk kepentingan Allah tetapi untuk kepentingan peribadinya masing-masing. Allah tidak akan berkurang kemuliaanNya dan kekayaanNya apabila semua penduduk bumi tiada seorang pun menyembah kepada-Nya. Jadi persembahan seseorang terhadap Allah adalah untuk kepentingan dirinya. Dunia dijadikan oleh Allah untuk memberi kesempatan berbuat kebaikan serta mengabdikan diri kepada-Nya sebagai bekalan yang akan di bawa ke akhirat.

Firman Allah Taala bermaksud ;
“Bukankah telah Kami jadikan bumi itu hamparan dan gunung-ganang sebagai pasak, dan telah Kami jadikan kamu berpasang-pasang dan Kami jadikan tidur kamu untuk berlepas lelah dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan telah Kami jadikan siang untuk penghidupan”- An Naba’ : 6-11.

Betapa indahnya susunan ayat-ayat yang tersebut di atas yang menyatakan Allah Ar Rahim ( Allah Maha Penyayang) ke atas makhlun-Nya yang bernama manusia dengan beberapa perbincangan seperti berikut;
1.       Bumi Sebagai Tempat Tinggal
2.       Faedah Pergunungan
3.       Sifat Dan Setiap Yang Hidup Berpasangan
4.       Tidur Untuk Istirehat
5.       Malam Sebagai Selimut
6.       Siang sebagai Pakaian


BUMI SEBAGAI TEMPAT TINGGAL
Firman Allah Taala bermaksud “Bukankah telah Kami jadikan bumi itu sebagai hamparan? ”- An Naba’:6

Allah dengan Rahim-Nya menciptakan bumi sebagai hamparan untuk kehidupan manusia guna menjadi tempat tinggal, tempat hidup dan tempat berkehidupan, di mana manusia bertebaran di muka bumi mencari rezeki di mana-mana ia sukai.

Firman Allah Taala bermaksud “Dan sesungguhnya telah Kami tempatkan di bumi ini dan telah Kami jadikan untuk kamu di dalamnya beberapa penghidupan. Sedikitlah kamu yang bersyukur”- Al ‘Araf : 10

Demikianlah Allah dengan Rahim-Nya telah menghidupkan manusia di muka bumi yang dilengkapi dengan segala keperluannya berupa tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang merupakan keperluan hidup. Sayang sekali hanya sedikit manusia yang tahu bersyukur.

FAEDAH PERGUNUNGAN
Firman Allah Taala bermaksud “ Dan gunung-ganang sebagai pasak” – An Naba’ : 7

Dengan adanya gunung-ganang sebagai pasak untuk mengukuhkan hamparan bumi. Dengan ada gunung –ganang dan jurang-jurang yang ditumbuhi oleh pepohonan yang hijau rendang, mengalirlah dari celah-celahnya sungai-sungai, yang mana sungai-sungai berasal dari endapan air yang diserap oleh humus-humus dari hutan-hutan yang menghasilkan sungai-sungai.

Jadi nyatalah bahawa tanpa gunung-ganang dan pepohonan yang hidup diatasnya, tidak akan terjadi sungai-sungai yang mengalir sepanjang masa selama tidak dirosakkan oleh tangan manusia. Apabila bumi ini hanya merupakan hamparan yang datar dan rata tentu saja curahan hujan dari langit tidak dapat bertahan pada suatu tempat, maka terjadilah malapetaka di muka bumi ini kerana banjir atau kekeringan. Inilah faedahnya gunung dan lembah yang menghasilkan sungai yang menahan dan mengalirkan air sepanjang masa.


SIFAT DAN SETIAP YANG HIDUP BERPASANG-PASANGAN
Firman Allah Taala bermaksud “ Dan telah Kami jadikan kamu berpasang-pasangan” – An Naba’ : 8

Bila diteliti lebih dalam lagi, memang Allah menjadikan alam ini sungguh lengkap. Dengan adanya pasangan jantan dan betina, lelaki dan perempuan. Dengan demikian itulah Allah menciptakan alam seluruhnya, adanya langit dan bumi, adanya awal dan akhir, lahir dan batin, dunia dan akhirat yang kalau digali tidak terhitung jumlah pasangannya.

Dengan Firman Allah dijelaskan :-
“Amat Sucilah Penguasa yang menciptakan semuanya berpasang-pasangan , dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan diri mereka sendiri dan dari apa yang belum pernah mereka ketahui” – Yassin : 36

Begitu dalam rahsia yang tersimpan dalam ayat ini, semakin banyak manusia mengetahui pasangan-pasangan sesuatunya di bumi ini semakin tahulah manusia itu, bahawa lebih banyak lagi yang belum diketahuinya, yang mana dengan pasangan-pasangan ini, manusia semakin lama semakin berkembang dan turut juga isi alam ini bertambah untuk kepentingan manusia sejagat.

Begitulah juga pasangan-pasangan dari sifat-sifat yang ada umpamanya buruk dan baik, senang dan susuah, malang dan mujur, semunya dijadikan oleh Allah Taala agar manusia diberikan kebebasan untuk menempuh jalan hidupnya masing-masing dan diberi pula bimbingan yang lengkap.


TIDUR UNTUK ISTIREHAT.
Firman Allah Taala bermaksud “Dan telah Kami jadikan tidur kamu untuk istirehat” – An Naba’ : 9

Manusia yang hidup memerlukan bangun dan tidur. Tiada seorang pun yang sanggup bangun tanpa tidur atau tidur tanpa bangun dalam kehidupan normal, kecuali seseorang itu mengalami penyakit. Manusia tidak akan boleh hidup tanpa tidur. Siapakah Tuhan selain dari Allah Taala yang sanggup membuat seseorang tidur, membuatkan seseorang mengantuk serta menjadikan bangun (terjaga) ?... Apabila ada para ahli sihir atau hipnotis membuat orang menjadi tidur, bolehkah dia menidurkan ramai orang sekaligus, atau menidurkan dirinya sendiri? Sandiwara mereka sangat terbatas tetapi ramai yang mempercayainya. Siapa yang sanggup menidurkan bumi yang mengalami malam? Dan membangunkan di bumi yang mengalami siang?. Jawabnya, hanya Allah Taala Yang Maha Pengasih yang sanggup melaksanakannya. Betapa kecilnya manusia disisi Allah yang hanya dapat dirasakan bagi orang yang mahu berfikir. Sebagaimana firman-Nya bermaksud “ Diantara tanda-tanda (kebesaran-Nya) , menidurkan kamu pada malam dan siang memenuhi keperluanmu dari kurniaan-Nya. Hal yang demikian itu menjadi tanda bagi orang yang mahu mendengar” Ar Rum : 23.

Hanya bagi orang yang mahu menerima kebenaran saja yang dapat merasakan kebenaran ayat ini. Hidup  manusia sudah diatur sedemikian rupa, siangnya dibangunkan untuk mencari sara hidup dan malamnya ditidurkan sebagai istirehat dari kepenatan disiang hari. Alangkah RahimNya Allah Taala kepada makhlukNya yang bernama manusia yang diberikan akal fikiran untuk mengatur dan menyelamatkan dirinya.


MALAM SEBAGAI SELIMUT

Firman Allah Taala bermaksud “Dan telah Kami jadikan malam sebagai selimut” – An Naba’ : 10

Menurut Ibnu Jarir At Thabiri “ Gelap malam itu meliputi seluruh diri kamu bagaikan pakainan yang menutupi dirimua”. Dan menurut tafsiran Ibnu Jubair dan As Suddy “ Ketenangan doa kerana nyenyak tidur untuk membangkitkan tenaga baru untuk hari esok”. Jadi kalau kita renungkan lebih halus, kita kembali kepada apa yang tercantum dalam ayat ini bahawa malam sebagai pakaian memmang tepat sekali kerana pakaian menyelimuti tubnuh dari panas dan dinginya udara serta gangguan-gangguan lainnya yang datang dari luar yang pada hakikatnya gelap malam telah memberikan kesenangan dan kenyamanan dalam tidur sebagai keperluan rohani dan jasmani yang mutlak , memang sangat diperlukan.


SIANG SEBAGAI PAKAIAN
Firman Allah Taala bermaksud “Dan telah Kami jadikan siang sebagai penghidupan” – An Naba’ : 11.

Alangkah berbahagianya manusia yang dapat menyesuaikan hidupnya dengan tuntutan ayat-ayat ini, hal mana dia dapat mencari keperluan hidup di siang hari dan malamnya untuk istirehat sambil menanti hari esoknya lagi. Siang hari berusaha seperti Nabi SAW dan para sahabat, dan malam harinya beristirehat serta bermunajat kepada Allah Taala sbg hambaNya yang bersyukur.

Sayang Allah Taala sangat berbeza dengan sayangnya manusia. Manusia berbuat-buat sayang kerana mengharapkan sesuatu kepada yang disayangi tetapi Allah berbuat sayang tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari makhlukNya. Hanya Allah mahukan makhlukNya tidak sesekali menyekutukan DiriNya dengan sesuatu yang lain.


***************
Setelah kita berkongsi huraian Allah, Ar Rahman & Ar Rahim secara ringkas, insyaAllah dalam perkongsian akan datang Musafir Fakir akan cuba berkongsi tentang Rahsia Bismillah.... Bizinillah.


Monday, 5 November 2012

Ar Rahman


AR RAHMAN
(Yang Maha Pengasih)

Yang dimaksudkan dengan Maha Pengasih adalah Maha Pemberi yang memberikan sesuatu kepada setiap makhluk-Nya yang diciptakan di seluruh alam maya ini, sebesar-besar dan sebanyak-banyak pemberian tanpa mengurangi kekayaan-Nya. Pemberian yang diberikan-Nya kepada manusia sangat intimewa dari pemberian kepada makhluk yang lain seperti firman-Nya bermaksud:
Yang Maha Pengasih, yang mengajarkan Al Quran, yang menciptakan manusia, yang mengajarkan kepadanya berkata-kata” – Ar Rahman : 1-4

Pada perkongsian ini, mari kita cuba menghuraikan beberapa isu antaranya :-
1.       Kerahiman Allah Taala terhadap manusia.
2.       Al Quran sebagai petunjuk.
3.       Manusia makhluk yang paling mulia.
4.       Keistimewaan manusia dalam bahasa.
5.       Manusia sebagai makhluk sosial.

KERAHIMAN ALLAH TAALA TERHADAP MANUSIA
Firman Allah Taala bermaksud – “ Yang Maha Pengasih ” – Ar Rahman : 1

Maksud dari perkataan Ar Rahman adalah amat luas, kalimat dalam pengambilannya adalah rahmat yang bermaksud kasih, sayang, cinta dan pemurah. Ar Rahman meliputi dari segi kehidupan manusia dan terbentang di dalam segala makhluk yang wujud dalam dunia ini.

Di dalam ayat-ayat Al Quran kita akan bertemu dengan ayat-ayat yang menyebutkan rahmat Allah Taala, tidak kurang dari enam puluh kali (60) dan “rahim” sebanyak seratus kali (100) dan dengan jelas pula Allah Taala berfirman yang bermaksud –

Dia telah memastikan pada diri-Nya sendiri supaya memberi rahmat” – Al An’am : 12

Dan Rabb engkau itu adalah Kaya, Dia mempunyai rahmat”- Al An’am : 133

Maka di dalam ayat yang tercantum di atas ini dengan sifatnya yang paling meminta perhatian kita iaitu Ar-Rahman, maka sayugianyalah kita sebagai insan akan mengikuti sifat Ar Rahman itu sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah Hadis Nabi SAW bermaksud :
“ Kasihanilah olehmu orang yang berada di muka bumi, agar kasih pula kepada engkau Rabb yang di langit” – Riwayat Sunan Tirmizi.

AL QURAN SEBAGAI PETUNJUK
Firman Allah Taala bermaksud – “Yang mengajarkan Al Quran” – Ar Rahman : 2

Salah satu Rahman dan kasih sayang-Nya kepada manusia dengan diajarkan-Nya Al Quran iaitu wahyu Ilahi yang diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW yang dengan sebab Al Quran itu manusia mendapat petunjuk ke jalan yang lurus. Hanya kepada manusialah diberikan Al Quran yang membawanya dari alam gelap kepada cahaya.

Firman Allah Taala bermaksud – “Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam” – Al Ambiya’ : 107.

Rahmat Ilahi yang utama adalah ilmu pengetahuan yang dianugerahkan Allah Taala kepada manusia dengan isyarat-isyarat di dalam Al Quran sebagai sumber yang hak.

MANUSIA MAKHLUK YANG PALING MULIA
Firman Allah Taala bermaksud – “Yang menciptakan manusia” – Ar Rahman :3

Penciptaan manusia adalah salah satu di antara Rahman Allah Taala kepada alam ini, kerana sebegitu banyak makhluk-Nya di alam ini , manusialah satu-satunya yang paling mulia.

Sebagaimana firman Allah Taala bermaksud :
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” –Al Isra’ : 70

Dengan akal fikiran yang diberikan Allah Taala kepada manusia, menjadikan manusia dapat menyesuaikan dirinya dengan alam, mengolahnya dan menfaatkannya. Dengan ilmu manusia telah dapat menikmati rezeki yang baik. Dengan ilmu manusia telah mampu menjelajahi darat, laut dan udara dengan bermacam-macam alatan yang memberi kemudahan. Dengan ilmu juga manusia telah dapat memanfaatkan isi perut bumi sebesar-besar manfaat yang mana semuanya itu datangnya dari Allah Taala. Demikianlah Rahman Allah Taala yang hanya dapat dirasakan bagi orang-orang yang berfikir.

KEISTIMEWAAN MANUSIA DALAM BAHASA
Firman Allah Taala – “ Yang mengajarkan kepadanya berkata-kata” – Ar Rahman : 4

Ungkapan yang terasa dalam hati manusia hanya boleh disampaikan dalam bentuk bahasa. Satu kelebihan lagi yang diberikan kepada manusia oleh Allah Taala dengan Rahman-Nya iaitu mengenai bahasa. Inilah yang disebut dalam bahasa Arab ‘Al Bayaan’ . Tidak satu makhluk pun di dunia ini yang diberikan kepadanya bahasa seperti yang dianugerahkan Allah Taala kepada manusia. Kepada makhluk hidup seperti haiwan , bahasanya sangat terbatas.

Seluruh haiwan di atas muka bumi ini mempunyai bahasanya masing-masing sesuai dengan jenisnya, tetapi dengan ragam bahasa yang sama. Buktinya, bila ayam berkokok di kampung halaman kita, maka kokonya akan sama di mana sahaja dalam dunia ini.  Bila kuda meringkik di Timur Tengah, sama saja bunyi ringkiknya dengan kuda di Eropah dan di mana sahaja.

Tetapi lain halnya dengan manusia sebagai makhluk sosial yang dianugerahkan bahasa sebagai alat komunikasi anatara sesama manusia di atas muka bumi ini.

Siapakah yang menciptakan dan mengatur segalanya ini? Maka jawabnya “ Allah Taala dengan Rahman-Nya sebagai Maha Pemberi” .

MANUSIA SEBAGAI MAKHLUK SOSIAL
Sedikit mengenai manusia sebagai makhluk sosial, bahawa manusia itu tidak boleh hidup bersendirian tanpa dengan bantuan manusia yang lain. Seorang hartawan yang serba kaya tidak boleh hidup tanpa bantuan petani yang kehidupannya bercucuk tanam dan hasil tanaman menjadi makanan semua manusia. Begitu juga petani tadi memerlukan kain untuk dijadikan pakaian maka adanya manusia yang terlibat dalam bidang fabrik untuk menghasilkan kain. Begitulah kehidupan manusia sebagai makhluk sosial yang saling memerlukan antara satu sama lain.

Firman Allah Taala bermaksud :
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah yang paling taqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Halus” – Al Hujurat : 13

Pada ayat diatas Allah Taala menyeru kepada seluruh umat manusia secara umum tanpa membezakan suku bangsa dan agama masing-masing supaya saling kenal mengenali, menjelmakan dan membudayakan kasih sayang agar dapat tolong menolong sesuai dengan sifatnya ‘Ar Rahman’ Yang Maha Pengasih. Saling kenal mengenali dan saling bantu membantu , hanya dapat dihubungkan dengan bahasa atau ‘Al Bayaan’ .
----------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

Wednesday, 31 October 2012

ALLAH



ISMUZ ZAT. Dia yang wajib dipuja, dipuji dan disanjung. Dia hidup berdiri sendiri yang bermaksud kehidupan-Nya tidak tergantung kepada yang lainnya. Dia mengusai langit dan bumi, semua syafaat datang daripada-Nya. Ilmu-Nya tidak terhingga, semua langit dan bumi beserta segala isinya tidak luput dari sepengetahuan-Nya. Tidak ada satu pun yang sulit bagi-Nya. Apabila Allah Taala berkehendak sesuatu cukup dengan ucapan “KUN!” (Jadilah!), maka terjadilah sesuatu yang dikehendaki-Nya.

Disamping nama asal-Nya sebagai ISMUZ ZAT diikuti dengan 99 sifat-Nya & asma-Nya. Kemampuan yang dimiliki-Nya tiada satu pun yang dapat menandingi-Nya. Itulah salah satu bukti Keesaan-Nya.

Barangsiapa yang ingin mengenal dan mencari Tuhannya maka tempuhlah jalan yang telah dibentangkannya melalui nama-nama-Nya yang mulia iaitu jalan yang terbentang luas yang tidak sukar atau sulit untuk melaluinya. Di mana jalan yang penuh dengan perbendaharaan yang berharga untuk dibawa pulang oleh sesiapa sahaja yang mengkehendakinya.

Firman Allah Taala –“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran” – Al Baqarah : 186

Ayat ini menggambarkan bahawa tidak sukar atau tiada rahsia untuk bertemu Allah Taala dengan menempuh jalan yang luas serta jalan yang sudah sedia ada. Sebagai umat Islam, janganlah sampai terpaku pada suatu jalan yang sempit untuk mengenal Allah Taala dengan mengkaji ada-Nya, terdahulu-Nya, kekal-Nya dan sebagainya. Dengan berkembangnya ilmu pengetahuan dan majunya cara berfikir manusia, maka para Ulil Albab yang terdahulu sudah menghuraikan proses pencarian ini sebagaimana Al Quran itu sesuai pada sepanjang zaman. 

Setiap Muslim wajib mendekatkan dirinya kepada Allah Taala antara lain dengan jalan mengenal-Nya. Semakin kenal semakin tinggi ketakwaannya kepada Allah Taala. Sebab nilai seseorang di sisi Allah Taala bergantung kepada ketaqwaannya. Para Ulil Albab tidak pernah puas mencari hakikat dari Ketuhanan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Setelah melihat bintang di langit , baginda menganggap bahawa itulah Tuhannya tetapi setelah bintang itu lenyap baginda berpendapat bahawa bukanlah itu Tuhannya, sampai baginda melihat bulan dan matahari yang dalam sewaktu-waktu lenyap , maka baginda berkata bahawa bukanlah itu Tuhannya. 

Akhirnya baginda bertemu dengan hakikat Ketuhanan yang hak dan telah memenuhi batinnya lalu baginda berucap sebagaimana yang tertulis dalam Al Quran sebagai firman-Nya bermaksud Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)” – Al An’am : 79

Begitulah hendaknya sebagai seorang Muslim/Muslimat, jangan berhenti dalam mencari hakikat Ketuhanan sebelum kepuasan batinnya belum tercapai. Hakikat Ketuhanan ini sangat dalam sekali yang dapat dirasakan oleh lubuk hati manusia sebagai wadah yang disinari Nur Ilahi.

Sebagai dasar dalam menemukan hakikat Ketuhanan ini dapatlah kita kongsikan dari firman-Nya dibawah ini bermaksud :-
Allah tidak ada Ilah melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izin-Nya Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. - Al-Baqarah: 255

Pada ayat ini kita boleh ambil pencerahan yang diperlukan dalam pemahaman kalimah ALLAH ini dengan pokok perbahasan seperti berikut ;
1.       Siapa/Apa itu ALLAH?
2.       Bagaimana dengan kehidupan ALLAH?
3.       Semua syafaat datang dari ALLAH?
4.       Ilmu ALLAH?
5.       Tiada yang sukar/sulit bagi ALLAH?

Siapa/Apa itu ALLAH?
Firman Allah Taala bermaksud “Allah tidak ada Ilah melainkan Dia..”
 
Dialah yang wajib disembah, dipuja dan dipuji. Dari Dialah sumber segala-galanya. Pada-Nya kekuasaan yang tertinggi dan mutlak yang diakui adanya oleh akal manusia yang sihat. Dia tidak dapat dilihat atau dirasa oleh pancaindera tetapi akal murni manusia mengakui kekuasaan tertinggi itu. Keadaan-Nya dibuktikan oleh perbuatan-Nya. Akal manusia membuktikan adanya akal yang Maha Agung Maha Hebat.

Dialah Allah Taala Rabbul Jalil Rabbul ‘Alamin yang tunggal dan tiada yang bersekutu dengan-Nya. Hanya kepada-Nya tempat bermohon segala sesuatu. Semua keperluan dan kehendak untuk penghidupan di alam maya ini datang daripada-Nya. Tidaklah Dia beranak atau diperanakkan. Zat-Nya Esa. Sebagai Khalik keberadaan-Nya dimulai dari ada yang tidak berawal dan tidak berakhir, sedangkan makhluk-Nya dimulai dari tidak ada menjadi ada yang berawal dan berakhir. Tiada satu pun bagi-Nya yang menyamai-Nya. 

Bagaimana dengan kehidupan ALLAH?
Firman Allah Taala bermaksud Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur…”

Kehidupan Allah Taala tidak pernah sedikit pun bergantung pada benda apa pun dan tidak memerlukan pertolongan dari apa pun di alam ini. Keadaan inilah yang dimaksudkan dengan berdiri sendiri atau Al Qayyuum dalam bahasa Arab, jadi bukanlah yang dimaksudkan bahawa Allah Taala selalu siap berdiri tegak seorang saja.

Allah Taala Hidup dan daripada-Nya datangnya segala sumber kehidupan. Semua roh dan nyawa berasal daripada-Nya. Kemudian dari itu, Allah Taala tidak pernah merasa lelah atau penat sehingga mengantuk atau tertidur kerana letih dan lelah itu adalah sifat yang diberikan Allah Taala kepada makhluk hiudp seperti manusia dan haiwan. Disebabkan kepayahan manusia bekerja mencari rezeki di siang harinya maka diberikan kepadanya perasaan letih dan lelah untuk beristirehat agar menjaga kesihatan rohani dan jasmaninya supaya kekal sihat dengan menjadikan rasa mengantuk dan tidur.

Jadi bagaimana pula dengan Allah Taala? Allah Taala sebagai Penguasa langit dan bumi, Penguasa seluruh yang berjiwa dan bernafas, tidak ada bagi-Nya lelah dan penat apatah lagi akan tertidur. Di tangan-Nyalah seluruh tanggungjawab untuk menguruskan alam maya ini. Semuanya berjalan teratur menurut perintah-Nya. Sedetik pun tidak terlebih atau terkurang lamanya bumi ini mengelilingi matahari. Terjadinya siang dan malam, bulan dan bintang tetap dalam waktu yang sama dan tidak berubah-ubah. Jadi Allah Taala tidak pernah mengantuk dan tidur kerana Dialah Penguasa alam maya ini. Tiada daya dan tiada upaya kecuali dengan izin dari Allah Taala Maha Pemberi dan Maha Agung.

Semua syafaat datang dari ALLAH?
Firman Allah Taala bermaksud Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izin-Nya….” 

Sebagai Penguasa langit dan bumi, Dia jadikan kesemuanya bukan sia-sia tetapi dengan hak yang memerlukan syafaat (pertolongan) dari Allah Taala tentang kelanjutan keberadaan-Nya. Yang dimaksudkan dengan syafaat ini adalah semua pertolongan dari Allah Taala yang diberikan-Nya kepada makhluk-Nya terutamanya manusia. Pertolongan ini berlaku dalam setiap selok-belok kehidupan, bukan sahaja ketika berlaku musibah tetapi juga ketika berlaku dalam keadaan yang kita anggap kebiasaan (normal) sekalipun seperti contoh-contoh berikut :-

1.       Pertolongan mengenai keamanan.
Setiap manusia memerlukan keamanan yang bersifat zahir maupun batin. Yang zahir seperti keamanan suasana. Apabila suasana di tempat kediaman kita tidak aman seperti banyaknya gangguan jenayah tentu sahaja akan mengakibatkan kepada suasana tidak aman dalam roda kehidupan manusia. Begitu juga yang bersifat batin seperti gangguan kesihatan yang dirasai oleh setiap lapisan manusia.
Apabila hal ini terjadi pada diri kita tidak ada ertinya semua yang dimiliki dalam hidup. Oleh sebab  itu semua yang disebutkan ini memerlukan pertolongan dalam hidup daripada Allah Taala seperti terciptanya keamanan sebelum terjadinya huru hara, terpelihara kesihatan sebelum sakit. Kesemuanya ini berlaku kerana syafaat (pertolongan) daripada Allah Taala kerana tidak akan berlaku sesuatu kecuali dengan izin-Nya.

2.       Pertolongan mengenai rezeki.
Setiap manusia memerlukan rezeki. Untuk mendapatkan rezeki itu dengan bermacam-macam jalan. Ada yang bertani, berdagang dan berbagai-bagai pekerjaan dilakukan.
Apabila seorang petani kebun atau sawah menggarap tanahnya dengan teknik yang teratur serta mencakupi syarat yang diperlukan oleh akal manusia, apakah hal ini tidak memerlukan syafaat daripada Allah Taala?.

Inilah yang sangat diperlukan sekali kerana apa yang ditanamnya dihidupkan dan diberikan hasil oleh Yang Memberi Syafaat iatu daripada Allah Taala. 

Seorang nelayan tidak akan berhasil mendapat tangkapan apabila tidak diizinkan oleh Yang Empunya. Begitu juga seorang buruh tidak akan berjaya mendapatkan hasil bekerja sekiranya tiada syafaat daripada Allah Taala dalam bentuk kudrat tenaga pada tubuh dirinya.
Hal inilah yang selalu dilupakan oleh ramai manusia yang menganggap bahawa syafaat atau pertolongan Allah Taala hanya diperlukan sewaktu sakit atau ditimpa musibah.

3.       Pertolongan mengenai petunjuk.
Tidaklah Allah Taala itu sia-sia menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi, di samping diciptakannya dalam sebaik-baik bentuk dan seindah rupa. Di datangkannya lagi petunjuk berupa Al Quran yang berisikan petunjuk yang lengkap dan lengkapi dengan Sunnah Rasul-Nya agar manusia tidak akan tersesat menjalankan kehidupan di bumi ini. Apabila manusia tidak mendapat pertolongan dengan petunjuk apalah jadinya, akan samalah keadaannya dengan makhluk hidup yang lain. Dengan petunjuk yang diberikan oleh Allah Taala telah membuat kehidupannya berbudaya dengan nilai-nilai etika dan estetika. 

Hal inilah yang membezakan manusia dengan yang lainnya dan juga jauh berbeza dari asal usulnya. Manusia adalah makhluk yang berasal daripada syurga sebab ditempat dan dimulai asal usulnya dari syurga, kemudian diutus dan ditempatkan di bumi untuk hidup, berkembang biak, mengabadi dan diuji serta selanjutnya dihisab untuk menentukan siapa diantara manusia yang lebih baik amalannya. Itulah sebabnya manusia diberikan syafaat (pertolongan) istimewa berupa petunjuk sesuai dengan keistimewaan asal usul kejadiannya.

Jadi setiap pertolongan yang diberikan oleh Allah Taala merupakan syafaat dari-Nya. Beberapa contoh yang dikemukakan ini hanyalah sedikit daripada syafaat-Nya yang lebih besar dan lebih hebat daripada ini sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)? – As Sajadah : 4

Kita lihat ayat ini dari sudut syafaat dan pertolongan Allah Taala menciptakan semua langit dan bumi dan semua yang ada di antaranya dalam enam masa. Kemudian Allah Taala bersemayam di atas Arasy. Dari ayat ini kita boleh ambil pengertian bahawa alam maya ini hasil ciptaan-Nya sebagai pertolongan yang Maha Hebat kepada makhluk bernama manusia. Dialah yang hanya boleh melindungi dan menolong dalam segala-galanya. Hal ini hanya boleh dirasakan bagi manusia yang mahu berfikir ( Tadabbur dan Tafakkur).

Demikianlah mengenai syafaat atau pertolongan dari Allah Taala yang mana setiap pemberian yang datang daripada-Nya diterima secara nyata atau tersembunyi oleh setiap manusia. 

Ilmu ALLAH?
Firman Allah Taala bermaksud Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi….”
 
Pada ayat ini dapat diambil sebagai bahan perbincangan antaranya;

1.       Mengetahui apa yang di hadapan dan di belakang.
Yang dimaksudkan dengan Allah Taala mengetahui yang ada dihadapan-Nya dan dibelakang-Nya ialah apa yang berlaku pada masa lalu dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
Allah Taala mengetahui apa yang terjadi di masa yang akan datang sebab semuanya telah berada di dalam rancangan-Nya baik kecil mau pun besar. Rancangan kecil antara lain ialah ditetapkan-Nya di mana setiap manusia akan lahir dan di mana pula tempat manusia  itu akan meninggal atau dikuburkan. Telah ditentukan pula rezeki dan umur bagi masing-masingnya. Mengenai rancangan besar antara lain adalah yang bersangkut paut dengan perjalanan alam maya ini yang terdiri daripada alam nyata dan alam ghaib. Semuanya berjalan sesuai dengan rancangan-Nya sebagai Al Muqiit (Maha Menentukan) termasuk juga apabila akan terjadinya hari kiamat dan siapa yang akan menghuni syurga dan neraka.

Semua rancangan-Nya pasti terjadi, hanya menunggu tiba waktunya. Bagi manusia yang lahir di masa yang akan datang telah tersedia segala roh yang akan menempati jasmani masing-masing samapi datangnya hari kiamat. Tidaklah bersekutu satupun dengan-Nya dalam mencipta, menentukan dan tidak pula yang mengetahui selain daripada-Nya apa yang akan terjadi di masa hadapan. 

Begitulah juga Allah Taala Maha Mengetahui apa yang telah berlaku. Khususnya mengenai selok-belok kejadian manusia, bahwasa setiap manusia mulai dari Adam dan Hawa sebagai nenek moyang manusia, sampai saat ini telah tercatat setiap amalannya pada buku catatan yang tersimpan di suatu tempat yang bernama ILLIYYIIN dan SIJJIIN untuk dipertanggungjawabkan nantinya pada mahkamah Shirathal Mustaqiim di akhirat. Setiap catatan itu dilengkapi dengan rakaman kehidupan setiap manusia yang dapat dilihat sebagai data-data yang boleh disangkal kebenarannya atas perbuatan baik buruk setiap manusia. Demikianlah kehebatan Allah Taala yang bersifat Al ‘Aliim (Maha Mengetahui). Yang mengetahui awal dan akhir, zahir dan batin.

2.       Ilmu-Nya diberikan kepada orang yang dikehendaki-Nya.
Semakin hari manusia semakin bertambah jumlahnya tempat dan bahan-bahan untuk manusia hidup dan mendiami tidak bertambah. Oleh sebab itu manusia dituntut untuk menfaatkan apa yang ada sebaik mungkin agar dapat menampung keperluan yang seimbang dengan aspek kehidupan lainnya yang berkembang dan meningkat dari hari ke hari.

Untuk mencapai kemudahan dalam pengkajian segala yang diperlukan , perlunya daya peningkatan sumber manusia dengan peningkatan ilmu dan kemahiran. Sumber ilmu datangnya daripada Allah Taala tetapi ilmu itu tidak datang dengan sendirinya, akan tetapi ilmu perlu di datangi (dicari dan dipelajari). Dengan erti kata lain harus menuntut, menerokai dan mendalami ilmu. Allah Taala memberikan ilmu kepada orang yang dikehendaki-Nya. Yang dimaksudkan dengan orang yang dikehendaki-Nya ini adalah orang yang memerlukan kepada ilmu dan berusaha mempelajarinya dan mendalaminya.

Syarat ini tidaklah bergantung kepada agama dan bangsa seseorang asalkan bernama manusia. Jadi di mana saja di dunia ini bertebaran manusia, bermacam-macam penemuan yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain adalah atas kehendak Allah Taala memberikan ilmu-Nya kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Allah Taala tidaklah menunggu memberikan ilmu-Nya kepada orang yang tidak berminat, sedangkan hal ini sangat diperlukan bagi manusia yang ramai jumlahnya. Kerana dengan ilmulah boleh terjadinya perkembangan dan peningkatan usaha bagaimana sumber alam ini dapat dimanfaatkan untuk manusia keseluruhannya. Demikianlah salah satu cara daripada Allah Taala yang bersifat Al Mukmin ( Maha Mengamankan) dengan menjaga makhluk-Nya dari kekurangan sehingga semua kehidupan berjalan lancar.

3.       Kursi-Nya (Ilmu-Nya) meliputi semua langit dan bumi.
Perbincangan mengenai ilmu Allah Taala ini adalah seperti menceduk atau menimba atau menyauk air laut yang semakin banyak dilakukan tidaklah nampak kekurangannya disebabkan permukaan laut tetap mendatar. Begitulah dalamnya ilmu Allah Taala yang tidak dapat diduga oleh sesiapa pun yang meliputi semua langit dan bumi.

Pada sifat-sifat-Nya yang mulia ini telah tergambar kedalaman ilmu-Nya yang hanya dapat dihuraikan serba sedikit sebagai contoh :-
·         Pada sifat-Nya Al Khaalik ( Maha Pencipta ) iaitu yang menjadikan sesuatu dari tiada menjadi ada adalah sebagai kemampuan ilmu-Nya dan perbuatan-Nya yang tiada suatu pun sanggup kecuali Allah Taala.

·         Begitu juga dengan ilmu-Nya sesuai dengan gelaran Al Haafizh ( Maha Memelihara). Dia adalah pemelihara alam semesta sampaikan ke benda yang sekecil-kecilnya meemrlukan ilmu yang tidak terhingga. Bagi manusia memelihara diri sendiripun sudah menghadapi pelbagai kesulitan dan kesukaran apalagi memelihara diri orang lain.

·         Yang paling sukar dan rumit lagi mengenai sifat-Nya Al Muhyi (Maha Menghidupkan). Betapa rumitnya menciptakan roh dan kehidupan yang tidak sedikit pun tersentuh oleh akal fikiran manusia. Hanya kemampuan menusia sedikit sekali mampu mengetahui penciptaan roh itu sendiri tetapi tidak mampu menghuraikan dengan tepat apa terjadinya kepada roh.

Demikianlah sedikit contoh dari kedalaman ilmu Allah Taala sesuai dengan salah satu nama-Nya Al ‘Aliim (Maha Mengetahui). Yang apabila dihuraikan sebagai benang yang tidak putus-putus, semakin diurai semakin tidak nampak hujungnya.

Tiada Yang Sukar Bagi ALLAH?
Firman Allah Taala bermaksud “Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Yang dimaksudkan dengan “keduanya” dalam ayat ini adalah bumi dan langit dalam erti kata yang luas sesuai dengan luasnya ilmu Allah Taala. Bumi adalah salah satu daripada berjuta-juta planet bintang atau planet yang kita lihat menghiasi langit dunia iaitu alam maya sebagai langit yang tiada batasnya. Betapa besar dan luasnya alam maya ini yang jika sekiranya kita ini ada pada sebuah bintang yang kita lihat dimisalkan berada , maka pasti akan terlihat bahawa bumi yang kita diami ini hanya sebesar titik cahaya sebagaimana kita melihat bintang-bintang yang lain. 

AllahuAkbar! Maha Besar Engkau Ya Allah, yang telah menciptakan alam semesta ini yang mana manusia adalah bahagian yang tiada ertinya dari alam-Mu. 

Di luar bola langit dunia ini terdapat lagi berlapis-lapis langit yang sifat-Nya ghaib. Tiada yang sulit bagi Allah Taala untuk memelihara semuanya ini. Apabila Allah Taala berkehendakkan sesuatu cukuplah bagi-Nya dengan ucapan “KUN!” (Jadilah!) maka terjadilah sesuatu yang dikehendaki-Nya. Memang Allah Taala Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Demikianlah serba sedikit huraian mengenai ISMUZ ZAT ini yang mana semua sifat-sifat-Nya Yang Maha Mulia yang tersebut dalam Al Quran berpunca dari nama ALLAH - SUBHANAHU WA TA’ALA.
---------------------------------------------------------------------------

HTML Comment Box is loading comments...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...