ISMUZ ZAT. Dia
yang wajib dipuja, dipuji dan disanjung. Dia hidup berdiri sendiri yang
bermaksud kehidupan-Nya tidak tergantung kepada yang lainnya. Dia mengusai
langit dan bumi, semua syafaat datang daripada-Nya. Ilmu-Nya tidak terhingga,
semua langit dan bumi beserta segala isinya tidak luput dari sepengetahuan-Nya.
Tidak ada satu pun yang sulit bagi-Nya. Apabila Allah Taala berkehendak sesuatu
cukup dengan ucapan “KUN!”
(Jadilah!), maka terjadilah sesuatu yang dikehendaki-Nya.
Disamping nama asal-Nya sebagai ISMUZ ZAT diikuti dengan 99 sifat-Nya & asma-Nya. Kemampuan
yang dimiliki-Nya tiada satu pun yang dapat menandingi-Nya. Itulah salah satu
bukti Keesaan-Nya.
Barangsiapa yang ingin mengenal dan mencari Tuhannya maka
tempuhlah jalan yang telah dibentangkannya melalui nama-nama-Nya yang mulia
iaitu jalan yang terbentang luas yang tidak sukar atau sulit untuk melaluinya.
Di mana jalan yang penuh dengan perbendaharaan yang berharga untuk dibawa
pulang oleh sesiapa sahaja yang mengkehendakinya.
Firman Allah Taala –“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu
tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan
permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah
mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman
kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran” – Al Baqarah : 186
Ayat ini menggambarkan bahawa tidak sukar atau tiada rahsia
untuk bertemu Allah Taala dengan menempuh jalan yang luas serta jalan yang
sudah sedia ada. Sebagai umat Islam, janganlah sampai terpaku pada suatu jalan
yang sempit untuk mengenal Allah Taala dengan mengkaji ada-Nya, terdahulu-Nya,
kekal-Nya dan sebagainya. Dengan berkembangnya ilmu pengetahuan dan majunya
cara berfikir manusia, maka para Ulil Albab yang terdahulu sudah menghuraikan
proses pencarian ini sebagaimana Al Quran itu sesuai pada sepanjang zaman.
Setiap Muslim wajib mendekatkan dirinya kepada Allah Taala
antara lain dengan jalan mengenal-Nya. Semakin kenal semakin tinggi
ketakwaannya kepada Allah Taala. Sebab nilai seseorang di sisi Allah Taala
bergantung kepada ketaqwaannya. Para Ulil Albab tidak pernah puas mencari
hakikat dari Ketuhanan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Setelah
melihat bintang di langit , baginda menganggap bahawa itulah Tuhannya tetapi
setelah bintang itu lenyap baginda berpendapat bahawa bukanlah itu Tuhannya,
sampai baginda melihat bulan dan matahari yang dalam sewaktu-waktu lenyap ,
maka baginda berkata bahawa bukanlah itu Tuhannya.
Akhirnya baginda bertemu dengan hakikat Ketuhanan yang hak
dan telah memenuhi batinnya lalu baginda berucap sebagaimana yang tertulis
dalam Al Quran sebagai firman-Nya bermaksud “Sesungguhnya aku hadapkan muka
dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di
atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah
(dengan sesuatu yang lain)” –
Al An’am : 79
Begitulah hendaknya sebagai seorang Muslim/Muslimat, jangan
berhenti dalam mencari hakikat Ketuhanan sebelum kepuasan batinnya belum
tercapai. Hakikat Ketuhanan ini sangat dalam sekali yang dapat dirasakan oleh
lubuk hati manusia sebagai wadah yang disinari Nur Ilahi.
Sebagai dasar dalam menemukan hakikat Ketuhanan ini dapatlah
kita kongsikan dari firman-Nya dibawah ini bermaksud :-
”Allah tidak ada Ilah melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus
mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang
di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa
izin-Nya Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang
mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang
dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa
berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” - Al-Baqarah: 255
Pada ayat ini kita boleh ambil pencerahan yang diperlukan
dalam pemahaman kalimah ALLAH ini dengan pokok perbahasan seperti berikut ;
1.
Siapa/Apa itu ALLAH?
2.
Bagaimana dengan kehidupan ALLAH?
3.
Semua syafaat datang dari ALLAH?
4.
Ilmu ALLAH?
5.
Tiada yang sukar/sulit bagi ALLAH?
Siapa/Apa itu
ALLAH?
Firman Allah Taala bermaksud “Allah tidak ada Ilah melainkan
Dia..”
Dialah yang wajib disembah, dipuja dan dipuji. Dari Dialah
sumber segala-galanya. Pada-Nya kekuasaan yang tertinggi dan mutlak yang diakui
adanya oleh akal manusia yang sihat. Dia tidak dapat dilihat atau dirasa oleh
pancaindera tetapi akal murni manusia mengakui kekuasaan tertinggi itu.
Keadaan-Nya dibuktikan oleh perbuatan-Nya. Akal manusia membuktikan adanya akal
yang Maha Agung Maha Hebat.
Dialah Allah Taala Rabbul Jalil Rabbul ‘Alamin yang tunggal
dan tiada yang bersekutu dengan-Nya. Hanya kepada-Nya tempat bermohon segala
sesuatu. Semua keperluan dan kehendak untuk penghidupan di alam maya ini datang
daripada-Nya. Tidaklah Dia beranak atau diperanakkan. Zat-Nya Esa. Sebagai
Khalik keberadaan-Nya dimulai dari ada yang tidak berawal dan tidak berakhir,
sedangkan makhluk-Nya dimulai dari tidak ada menjadi ada yang berawal dan
berakhir. Tiada satu pun bagi-Nya yang menyamai-Nya.
Bagaimana dengan
kehidupan ALLAH?
Firman Allah Taala bermaksud “Dia Yang Hidup kekal lagi terus
menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur…”
Kehidupan Allah Taala tidak pernah sedikit pun bergantung
pada benda apa pun dan tidak memerlukan pertolongan dari apa pun di alam ini.
Keadaan inilah yang dimaksudkan dengan berdiri sendiri atau Al Qayyuum dalam bahasa Arab, jadi
bukanlah yang dimaksudkan bahawa Allah Taala selalu siap berdiri tegak seorang
saja.
Allah Taala Hidup dan daripada-Nya datangnya segala sumber
kehidupan. Semua roh dan nyawa berasal daripada-Nya. Kemudian dari itu, Allah
Taala tidak pernah merasa lelah atau penat sehingga mengantuk atau tertidur
kerana letih dan lelah itu adalah sifat yang diberikan Allah Taala kepada
makhluk hiudp seperti manusia dan haiwan. Disebabkan kepayahan manusia bekerja
mencari rezeki di siang harinya maka diberikan kepadanya perasaan letih dan
lelah untuk beristirehat agar menjaga kesihatan rohani dan jasmaninya supaya
kekal sihat dengan menjadikan rasa mengantuk dan tidur.
Jadi bagaimana pula dengan Allah Taala? Allah Taala sebagai
Penguasa langit dan bumi, Penguasa seluruh yang berjiwa dan bernafas, tidak ada
bagi-Nya lelah dan penat apatah lagi akan tertidur. Di tangan-Nyalah seluruh
tanggungjawab untuk menguruskan alam maya ini. Semuanya berjalan teratur
menurut perintah-Nya. Sedetik pun tidak terlebih atau terkurang lamanya bumi
ini mengelilingi matahari. Terjadinya siang dan malam, bulan dan bintang tetap
dalam waktu yang sama dan tidak berubah-ubah. Jadi Allah Taala tidak pernah
mengantuk dan tidur kerana Dialah Penguasa alam maya ini. Tiada daya dan tiada
upaya kecuali dengan izin dari Allah Taala Maha Pemberi dan Maha Agung.
Semua syafaat
datang dari ALLAH?
Firman Allah Taala bermaksud “Kepunyaan-Nya apa yang di langit
dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa
izin-Nya….”
Sebagai Penguasa langit dan bumi, Dia jadikan kesemuanya
bukan sia-sia tetapi dengan hak yang memerlukan syafaat (pertolongan) dari
Allah Taala tentang kelanjutan keberadaan-Nya. Yang dimaksudkan dengan syafaat
ini adalah semua pertolongan dari Allah Taala yang diberikan-Nya kepada
makhluk-Nya terutamanya manusia. Pertolongan ini berlaku dalam setiap
selok-belok kehidupan, bukan sahaja ketika berlaku musibah tetapi juga ketika
berlaku dalam keadaan yang kita anggap kebiasaan (normal) sekalipun seperti
contoh-contoh berikut :-
1.
Pertolongan mengenai keamanan.
Setiap manusia memerlukan keamanan yang
bersifat zahir maupun batin. Yang zahir seperti keamanan suasana. Apabila
suasana di tempat kediaman kita tidak aman seperti banyaknya gangguan jenayah
tentu sahaja akan mengakibatkan kepada suasana tidak aman dalam roda kehidupan
manusia. Begitu juga yang bersifat batin seperti gangguan kesihatan yang
dirasai oleh setiap lapisan manusia.
Apabila hal ini terjadi pada diri kita
tidak ada ertinya semua yang dimiliki dalam hidup. Oleh sebab itu semua yang disebutkan ini memerlukan
pertolongan dalam hidup daripada Allah Taala seperti terciptanya keamanan
sebelum terjadinya huru hara, terpelihara kesihatan sebelum sakit. Kesemuanya
ini berlaku kerana syafaat (pertolongan) daripada Allah Taala kerana tidak akan
berlaku sesuatu kecuali dengan izin-Nya.
2.
Pertolongan mengenai rezeki.
Setiap manusia memerlukan rezeki. Untuk
mendapatkan rezeki itu dengan bermacam-macam jalan. Ada yang bertani, berdagang
dan berbagai-bagai pekerjaan dilakukan.
Apabila seorang petani kebun atau sawah
menggarap tanahnya dengan teknik yang teratur serta mencakupi syarat yang
diperlukan oleh akal manusia, apakah hal ini tidak memerlukan syafaat daripada
Allah Taala?.
Inilah yang sangat diperlukan sekali kerana
apa yang ditanamnya dihidupkan dan diberikan hasil oleh Yang Memberi Syafaat
iatu daripada Allah Taala.
Seorang nelayan tidak akan berhasil
mendapat tangkapan apabila tidak diizinkan oleh Yang Empunya. Begitu juga
seorang buruh tidak akan berjaya mendapatkan hasil bekerja sekiranya tiada syafaat
daripada Allah Taala dalam bentuk kudrat tenaga pada tubuh dirinya.
Hal inilah yang selalu dilupakan oleh ramai
manusia yang menganggap bahawa syafaat atau pertolongan Allah Taala hanya
diperlukan sewaktu sakit atau ditimpa musibah.
3.
Pertolongan mengenai petunjuk.
Tidaklah Allah Taala itu sia-sia menjadikan
manusia sebagai khalifah di muka bumi, di samping diciptakannya dalam
sebaik-baik bentuk dan seindah rupa. Di datangkannya lagi petunjuk berupa Al
Quran yang berisikan petunjuk yang lengkap dan lengkapi dengan Sunnah Rasul-Nya
agar manusia tidak akan tersesat menjalankan kehidupan di bumi ini. Apabila
manusia tidak mendapat pertolongan dengan petunjuk apalah jadinya, akan samalah
keadaannya dengan makhluk hidup yang lain. Dengan petunjuk yang diberikan oleh
Allah Taala telah membuat kehidupannya berbudaya dengan nilai-nilai etika dan
estetika.
Hal inilah yang membezakan manusia dengan yang lainnya dan juga jauh
berbeza dari asal usulnya. Manusia adalah makhluk yang berasal daripada syurga
sebab ditempat dan dimulai asal usulnya dari syurga, kemudian diutus dan
ditempatkan di bumi untuk hidup, berkembang biak, mengabadi dan diuji serta
selanjutnya dihisab untuk menentukan siapa diantara manusia yang lebih baik
amalannya. Itulah sebabnya manusia diberikan syafaat (pertolongan) istimewa
berupa petunjuk sesuai dengan keistimewaan asal usul kejadiannya.
Jadi setiap pertolongan yang diberikan oleh
Allah Taala merupakan syafaat dari-Nya. Beberapa contoh yang dikemukakan ini
hanyalah sedikit daripada syafaat-Nya yang lebih besar dan lebih hebat daripada
ini sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi
serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia
bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi
syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil
iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?” – As Sajadah : 4
Kita lihat ayat ini dari sudut syafaat dan
pertolongan Allah Taala menciptakan semua langit dan bumi dan semua yang ada di
antaranya dalam enam masa. Kemudian Allah Taala bersemayam di atas Arasy. Dari
ayat ini kita boleh ambil pengertian bahawa alam maya ini hasil ciptaan-Nya
sebagai pertolongan yang Maha Hebat kepada makhluk bernama manusia. Dialah yang
hanya boleh melindungi dan menolong dalam segala-galanya. Hal ini hanya boleh
dirasakan bagi manusia yang mahu berfikir ( Tadabbur dan Tafakkur).
Demikianlah mengenai syafaat atau pertolongan
dari Allah Taala yang mana setiap pemberian yang datang daripada-Nya diterima
secara nyata atau tersembunyi oleh setiap manusia.
Ilmu ALLAH?
Firman Allah Taala bermaksud “Allah mengetahui apa-apa yang di
hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari
ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan
bumi….”
Pada ayat ini dapat diambil sebagai bahan perbincangan
antaranya;
1.
Mengetahui apa yang di hadapan dan di belakang.
Yang dimaksudkan dengan Allah Taala
mengetahui yang ada dihadapan-Nya dan dibelakang-Nya ialah apa yang berlaku
pada masa lalu dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
Allah Taala mengetahui apa yang terjadi di
masa yang akan datang sebab semuanya telah berada di dalam rancangan-Nya baik
kecil mau pun besar. Rancangan kecil antara lain ialah ditetapkan-Nya di mana
setiap manusia akan lahir dan di mana pula tempat manusia itu akan meninggal atau dikuburkan. Telah
ditentukan pula rezeki dan umur bagi masing-masingnya. Mengenai rancangan besar
antara lain adalah yang bersangkut paut dengan perjalanan alam maya ini yang
terdiri daripada alam nyata dan alam ghaib. Semuanya berjalan sesuai dengan
rancangan-Nya sebagai Al Muqiit (Maha Menentukan) termasuk juga apabila akan
terjadinya hari kiamat dan siapa yang akan menghuni syurga dan neraka.
Semua rancangan-Nya pasti terjadi, hanya
menunggu tiba waktunya. Bagi manusia yang lahir di masa yang akan datang telah
tersedia segala roh yang akan menempati jasmani masing-masing samapi datangnya
hari kiamat. Tidaklah bersekutu satupun dengan-Nya dalam mencipta, menentukan
dan tidak pula yang mengetahui selain daripada-Nya apa yang akan terjadi di
masa hadapan.
Begitulah juga Allah Taala Maha Mengetahui apa yang telah
berlaku. Khususnya mengenai selok-belok kejadian manusia, bahwasa setiap
manusia mulai dari Adam dan Hawa sebagai nenek moyang manusia, sampai saat ini
telah tercatat setiap amalannya pada buku catatan yang tersimpan di suatu
tempat yang bernama ILLIYYIIN dan SIJJIIN untuk dipertanggungjawabkan nantinya
pada mahkamah Shirathal Mustaqiim di akhirat. Setiap catatan itu dilengkapi
dengan rakaman kehidupan setiap manusia yang dapat dilihat sebagai data-data
yang boleh disangkal kebenarannya atas perbuatan baik buruk setiap manusia.
Demikianlah kehebatan Allah Taala yang bersifat Al ‘Aliim (Maha Mengetahui).
Yang mengetahui awal dan akhir, zahir dan batin.
2.
Ilmu-Nya diberikan kepada orang yang
dikehendaki-Nya.
Semakin hari manusia semakin bertambah
jumlahnya tempat dan bahan-bahan untuk manusia hidup dan mendiami tidak
bertambah. Oleh sebab itu manusia dituntut untuk menfaatkan apa yang ada sebaik
mungkin agar dapat menampung keperluan yang seimbang dengan aspek kehidupan
lainnya yang berkembang dan meningkat dari hari ke hari.
Untuk mencapai kemudahan dalam pengkajian
segala yang diperlukan , perlunya daya peningkatan sumber manusia dengan
peningkatan ilmu dan kemahiran. Sumber ilmu datangnya daripada Allah Taala
tetapi ilmu itu tidak datang dengan sendirinya, akan tetapi ilmu perlu di
datangi (dicari dan dipelajari). Dengan erti kata lain harus menuntut,
menerokai dan mendalami ilmu. Allah Taala memberikan ilmu kepada orang yang
dikehendaki-Nya. Yang dimaksudkan dengan orang yang dikehendaki-Nya ini adalah
orang yang memerlukan kepada ilmu dan berusaha mempelajarinya dan mendalaminya.
Syarat ini tidaklah bergantung kepada agama
dan bangsa seseorang asalkan bernama manusia. Jadi di mana saja di dunia ini
bertebaran manusia, bermacam-macam penemuan yang memberikan manfaat kepada
manusia yang lain adalah atas kehendak Allah Taala memberikan ilmu-Nya kepada sesiapa
saja yang dikehendaki-Nya. Allah Taala tidaklah menunggu memberikan ilmu-Nya
kepada orang yang tidak berminat, sedangkan hal ini sangat diperlukan bagi
manusia yang ramai jumlahnya. Kerana dengan ilmulah boleh terjadinya
perkembangan dan peningkatan usaha bagaimana sumber alam ini dapat dimanfaatkan
untuk manusia keseluruhannya. Demikianlah salah satu cara daripada Allah Taala
yang bersifat Al Mukmin ( Maha Mengamankan) dengan menjaga makhluk-Nya dari
kekurangan sehingga semua kehidupan berjalan lancar.
3.
Kursi-Nya (Ilmu-Nya) meliputi semua langit dan
bumi.
Perbincangan mengenai ilmu Allah Taala ini
adalah seperti menceduk atau menimba atau menyauk air laut yang semakin banyak
dilakukan tidaklah nampak kekurangannya disebabkan permukaan laut tetap mendatar.
Begitulah dalamnya ilmu Allah Taala yang tidak dapat diduga oleh sesiapa pun
yang meliputi semua langit dan bumi.
Pada sifat-sifat-Nya yang mulia ini telah
tergambar kedalaman ilmu-Nya yang hanya dapat dihuraikan serba sedikit sebagai
contoh :-
·
Pada sifat-Nya Al Khaalik ( Maha Pencipta )
iaitu yang menjadikan sesuatu dari tiada menjadi ada adalah sebagai kemampuan
ilmu-Nya dan perbuatan-Nya yang tiada suatu pun sanggup kecuali Allah Taala.
·
Begitu juga dengan ilmu-Nya sesuai dengan
gelaran Al Haafizh ( Maha Memelihara). Dia adalah pemelihara alam semesta
sampaikan ke benda yang sekecil-kecilnya meemrlukan ilmu yang tidak terhingga.
Bagi manusia memelihara diri sendiripun sudah menghadapi pelbagai kesulitan dan
kesukaran apalagi memelihara diri orang lain.
·
Yang paling sukar dan rumit lagi mengenai
sifat-Nya Al Muhyi (Maha Menghidupkan). Betapa rumitnya menciptakan roh dan
kehidupan yang tidak sedikit pun tersentuh oleh akal fikiran manusia. Hanya
kemampuan menusia sedikit sekali mampu mengetahui penciptaan roh itu sendiri
tetapi tidak mampu menghuraikan dengan tepat apa terjadinya kepada roh.
Demikianlah sedikit contoh dari
kedalaman ilmu Allah Taala sesuai dengan salah satu nama-Nya Al ‘Aliim (Maha
Mengetahui). Yang apabila dihuraikan sebagai benang yang tidak putus-putus,
semakin diurai semakin tidak nampak hujungnya.
Tiada Yang Sukar Bagi ALLAH?
Firman Allah Taala bermaksud “Dan Allah tidak merasa berat
memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Yang dimaksudkan dengan “keduanya” dalam ayat ini adalah
bumi dan langit dalam erti kata yang luas sesuai dengan luasnya ilmu Allah
Taala. Bumi adalah salah satu daripada berjuta-juta planet bintang atau planet
yang kita lihat menghiasi langit dunia iaitu alam maya sebagai langit yang
tiada batasnya. Betapa besar dan luasnya alam maya ini yang jika sekiranya kita
ini ada pada sebuah bintang yang kita lihat dimisalkan berada , maka pasti akan
terlihat bahawa bumi yang kita diami ini hanya sebesar titik cahaya sebagaimana
kita melihat bintang-bintang yang lain.
AllahuAkbar! Maha Besar Engkau Ya Allah, yang telah
menciptakan alam semesta ini yang mana manusia adalah bahagian yang tiada
ertinya dari alam-Mu.
Di luar bola langit dunia ini terdapat lagi berlapis-lapis
langit yang sifat-Nya ghaib. Tiada yang sulit bagi Allah Taala untuk memelihara
semuanya ini. Apabila Allah Taala berkehendakkan sesuatu cukuplah bagi-Nya
dengan ucapan “KUN!” (Jadilah!) maka
terjadilah sesuatu yang dikehendaki-Nya. Memang Allah Taala Maha Tinggi lagi
Maha Agung.
Demikianlah serba sedikit huraian mengenai ISMUZ ZAT ini yang mana semua
sifat-sifat-Nya Yang Maha Mulia yang tersebut dalam Al Quran berpunca dari nama
ALLAH - SUBHANAHU WA TA’ALA.
---------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

