Berpaling daripada Allah swt ketika diturunkan
hukum-hakamNya bererti matinya agama, binasanya tauhid, musnahnya keredhaan dan
keikhlasan. Sedangakn hati mukmin tidak mengetahui mengapa dan bagaimana hendak
melayan dorongan nafsunya. Bahkan ia berkata “Benar! Semua nafsu itu mesti dilawan, ditentang dan dimusuhi”.
Oleh yang demikian , barangsiapa yang ingin memperbaiki dirinya maka hendaklah
dia berlatih untuk memerangi nafsunya, sehingga dirinya bebas daripada
cengkaman kejahatan dan pengaruh nafsu kerana seluruh nafsu itu mengajak kepada
kejahatan.
Apabila mampu mengembleng dan menundukkan nafsu maka seluruh
nafsu itu akan menjadi baik, yakni kebaikan yang berada di dalam kebaikan.
Sehingga jadilah ia menurut semua ketaatan dan meninggalkan semua kejahatan dan
kederhakaan. Dalam keadaan yang demikian maka seperti diucapkan baginya firman
Allah swt bermaksud “ Wahai jiwa yang
tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh redha dan diredhai-Nya. Maka
masuklah kamu ke dalam golongan hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku” –
Al Fajr : 27-30
Dengan demikian, maka sudah pastilah ketakwaannya dan hilang
daripadanya segala keburukan serta tiada kebergantungan kepada makhluk. Hal ini
telah berlaku kepada Nabi Ibrahim Khalilullah. Baginda telah terlepas daripada
kongkongan nafsunya dan baginda hidup dengan tenang bebas daripada pengaruh
nafsu yang sentiasa mendorong manusia kepada melakukan kejahatan.
Ketika jiwanya telah tenang, datanglah kepadanya berbagai
jenis makhluk yang menawarkan bantuan dan pertolongan. Ketika itu baginda
menjawab “Aku tidak memerlukan
pertolongan kamu sekalian. Dia (Allah) mengetahui keadaanku dan memenuhi segala
permohonanku”.
Kerana penyerahan dan ketakwaan baginda yang tidak berbelah
bagi itu, maka Allah berfirman kepada api bermaksud “ Berkata Kami, wahai api! Menjadi dinginlah engkau dan selamatlah
engkau terhadap Ibrahim!” – Al Anbiya : 69
Allah memberi pertolongan kepada orang yang sabar
bersama-Nya di dunia tanpa batas sementara di akhirat pula ia akan
dianugerahkan dengan kenikmatan tanpa batasan sesuai dengan firman-Nya yang
bermaksud “ Sesungguhnya hanya
orang-orang yang bersabarlah yang diganjarkan dengan pahala mereka tanpa
batasan” – Al Zumar : 10
Tiadalah samar bagi Allah, segala sesuatu yang ditanggung
oleh orang-orang yang menanggung kerana-Nya. Bersabarlah seketika bersama-Nya
sementara kita telah melihat kelembutan-Nya dan Dia telah memberikan
kenikmatan-Nya bertahun-tahun lamanya. Keberanian adalah sabar untuk seketika.
Firman Allah swt bermaksud “ Sesungguhnya
Allah bersama orang-orang yang sabar” – Al Baqarah : 153
Dengan pertolongan dan harapan , bersabarlah bersama-Nya.
Ingatlah kepada-Nya dan janganlah kita lalai daripada mengingati-Nya. Janganlah
kita sedar setelah mati kerana kesedaran itu sudah tiada manfaat lagi bagi
kita. Tetapi ingatlah kepada-Nya sebelum datangnya kematian. Ingatlah kita
sebelum kita diberikan peringatan bahawa sudah tiada lagi perintah bagi kita
sehingga kita menyesal disaat penyesalan tiada berguna lagi bagi kita.
Perbaikilah hati, kerana apabila itu sudah baik maka akan baik pula seluruh
keadaan kita. Sabda baginda Nabi saw bermaksud “ Sesungguhnya di dalam jasad anak Adam itu ada segumpal daging.
Apabila daging itu baik maka akan baiklah seluruh jasadnya. Apabila daging itu
rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah! Dia itu adalah hati!” .
Memperbaiki hati itu hanya dapat dilakukan dengan takwa dan
tawakal kepada-Nya, mengesakan-Nya dan berlaku dalam setiap amalan yang
dilakukan semata-mata kerana-Nya. Tanpa sikap-sikap yang disebutkan ini maka
hati akan rosak. Hati adalah bagaikan burung di dalam sangkar atau bagaikan
berlian didalam ikatannya atau bagaikan harta yang tersimpan dengan sempurna di
dalam almari. Adapun yang diperhitungkan disini adalah burungnya bukan
sangkarnya. Berliannya bukan pengikatnya. Hartanya bukan almarinya. Bayangkanlah
seekor burung tanpa sangkar, sebentuk berlian tanpa ikatan atau selonggok harta
tanpa tempat menyimpannya.
Ya Allah!... Sibukkanlah anggota tubuh kami dengan ketaatan
kepada-Mu dan hati kami dengan makrifat kepada-Mu. Sibukkanlah sepanjang hayat
kami, siang dan malam kami , pertemukanlah kami dengan orang-orang soleh yang
sudah mendahului kami. Berilah kami rezeki sebagaimana rezeki yang Engkau
kurniakan kepada mereka. Datangkanlah kepada kami sebagaimana yang Engkau
datangkan kepada mereka. Aamiin…!
----------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

