Photobucket

Sunday, 27 November 2011

Hijrah oh Hijrah...


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah, Umar bin al Khatab r.a berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud :-
“Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahninya, dia akan mendapat apa yang diniatkannya”
Riwayat Bukhari no1,54,2529,3898,5070,6689,6953. Muslim no 1907. Abu Daud no. 2201. Tirmizi no 1646. Nasa’i no. 1/59-60VI/158. Ibn Majah no 4227. Ahmad no 1/25,43.

Salam Maal Hijrah 1433H….

Apabila tiba bulan Muharam, maka sebagai seorang muslim/muslimat pasti akan terdetik didalam hati perkataan HIJRAH. Macam-macam eksperitasi dan huraian mengenai hijrah didalam kepala kita. Rata-rata pasti mengatakan ”Hijrah dari kota Mekah ke kota Madinah” atau ”Hijrah daripada kegelapan kepada cahaya”. Walau apa pun yang bermain dikepala kita selagi membawa maksud yang sama atau hampir sama iaitu  ”dari keburukan kepada kebaikan” maka itulah hijrah. Cuma yang membezakan setiap dari kita adalah tahap pemahaman dan penghayatan ”rahsia hijrah” itu sendiri.

Musafir Faqir terpanggil untuk membuka catitan-catitan lama sepanjang perjalanan mencari cahayaNya untuk dikongsikan kepada pembaca. Maksud Hijrah ini terlalu luas dan bermacam-macam huraian boleh dinukilkan. Dalam tulisan blog kali ini elok rasanya kita melihat erti hijrah dari satu sudut yang agak jarang diperkatakan iaitu hijrah dari ”ilmu yakin kepada haqqul yakin” . Perbincangan tentang maksud ini memang panjang tetapi dengan keizinanNya Musafir Faqir akan cuba meringkaskan seringkas yang boleh dengan jelas tanpa menjejaskan maksudnya.

Ibadat tanpa ilmu itu sesat manakala ada ilmu tetapi tidak melaksanakan ibadat itu sia-sia. Allah SWT dalam al quran meningkatkan darjat orang-orang yang berilmu lebih daripada orang yang tidak berilmu. Maka amat rugilah kalau tidak beramal dengan ilmu yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT itu.

Firman Allah SWT bermaksud :-
”Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat”Surah Al Mujadalah :11.

Firman Allah SWT bermaksud :-
”Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah dikalangan hambaNya yang berilmu dan bijaksana”- Surah Az Zumar : 9.

Namun ukuran tingginya ilmu yang dimiliki seseorang bukan bererti seseorang itu beriman atau teguh imannya. Ilmu mungkin boleh diukur dengan pencapaian akedemik dalam apa jua bidang tetapi iman itu terlalu halus lagi bersifat subjektif.  Dengan ilmu jugalah dapat membezakan taraf setiap manusia di mata Allah SWT.

Dalam melaksanakan amal perbuatan syariat, kita memerlukan ilmu supaya setiap perbuatan itu mengikut rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Malahan dalam mengharungi kehidupan didunia ini kita wajib mempunyai ilmu. Bahkan barangsiapa mahukan dunia dan akhirat , maka wajib menuntu ilmu.
Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud :-
”Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan”Riwayat Ibn ’Adiyy, Al Baihaqi dan Al Tabrani.

Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.  Satu peringatan keras daripada Rasulullah mengenai ilmu;

Baginda bersabda bermaksud :-
”Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah , tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat”- Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah.

Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah lagi di akhirat. Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata: Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya”.

Seharusnya ketika ini kita sudah bersedia untuk memecahkan gumpalan pemikiran lama yang menjadikan tesis dan bahan kajian sekadar menjadi simbol kebanggaan yang langsung tidak dimanfaatkan.

Alangkah baiknya jika semua analisis dan kajian dibuat dapat diterjemahkan untuk tujuan pelaksanaan demi kepentingan dan pembangunan ummah. Tidak bolehkah kajian itu diwakafkan demi kepentingan tamadun ummah.

Memecahkan gumpalan pemikiran yang sudah berabad itu memang tidak mudah. Tetapi itulah agenda besar yang harus dilaksanakan jika ingin mengembalikan dinamik Islam ke arah berdaya saing.

Sudah lama kita dilihat lemah dan tidak berkeupayaan untuk membuktikan Islam adalah pelopor serta menjadi paksi kemajuan dunia. Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW ada memberitahu kepada Abu Dzar:
Wahai Abu Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik bagimu dari solat seratus rakaat. Dan, pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan, dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari solat seribu rakaat”- Riwayat Ibnu Majah.

Persoalan yang kita SELALU TERLEPAS PANDANG  adalah yang tersirat dalam tersurat, adakah kita benar-benar melihat perkara disebalik ilmu yang kita pelajari itu?... kita belajar ilmu solat, memahami rukun serta syarat-syaratnya, adakah kita benar-benar ”melihat rahsia”  disebalik solat?...kita belajar ilmu puasa, memahami rukun serta syarat-syaratnya, adakah kita benar-benar ”melihat rahsia” disebalik puasa itu?..Inilah yang cuba Musafir Faqir kongsikan dalam blog kali ini iatitu ”Hijrah dari ilmu yakin kepada haqqul yakin”....sebelum ini kita telah belajar dan memahami solat, puasa, zakat dan apa jua ibadat wajib dan sunat malahan telah belajar pelbagai ilmu dunia dan akhirat, maka marilah berhijrah ”MELIHAT” apa yang ada didalam setiap ilmu ibadat wajib dan sunat itu. Marilah kita ”MELIHAT” kepada siapa setiap amalan itu dipersembahkan. Belajar dan memahami sesuatu ilmu itu sememangnya baik tetapi dapat ”MELIHAT KEPADA YANG HAK” ketika mempersembahkan amal perbuatan itu lebih baik dan lebih memberikan ketenangan dihati.

Semoga perjalanan kita dalam tahun ini lebih bermakna dan lebih jelas tujuannya. InsyaAllah amin...

MAN JADDA WA JADA...
------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...