Kisah seorang pendita dalam usahanya mencari ilmu mengenal diri dan dalam mencari ilmu mengenal tuhan sebagai penyerahan mutlak dalam kehidupan.
Pada suatu hari sedang dia mencatat sepotong ayat di atas sehelai kertas berwarna putih. Lalu berkata-katalah KERTAS PUTIH tersebut ” Wahai dakwat yang pandai bijak lagi bistari, mengapakah engkau mencoretkan permukaan aku yang putih bersih ini dengan dakwat hitam mu? ” Mendengar pertanyaan kertas itu tersentaklah pendita buat seketika.
Memandangkan pertanyaan itu diajukan oleh kertas kepada dakwat. Lalu dijawab oleh DAKWAT ”Ampun maaflah duhai sahabat ku, sesungguhnya bukan kehendak aku, bukan kemahuan aku, bukan juga niat aku, bukan tujuan aku hendak mencoretkan kotoran hitam ke atas permukaan mu yang putih bersih itu.” Jawab dakwat lagi .”Aku hanyalah setitis air yang diwarnakan hitam dan disemadikan ke dalam botol. Aku tidak mungkin keluar dari tempat persemadian dan kediaman aku jika tidak disedut oleh KALAM. Sesungguhnya kalamlah yang empunya angkara, yang mengejutkan aku dari tidur supaya keluar dari tempat persemadian dan peraduanku untuk menari-nari di permukaan mu. Kalamlah yang memaksa aku keluar dari tempat persembunyianku lalu mencontengkannya ke permukaan mu.”
Lalu diajukan lagi pertanyaan ini kepada tangan, kenapa sampai tergamak tangan menconteng kekotoran ke permukaan kertas. Lalu menjawablah tangan. ”Wahai sahabatku kertas, janganlah engkau mempersalahkan aku, aku adalah benda yang merupakan seketul tulang yang bersalut daging, manakan mungkin dapat melakukan sedemikian. Cuba kamu ambil tulang dan daging, masakan ia dapat bergerak kalu tidak disertakan dengan kuasa lain yang menggerakkannya. Wahai kertas putih bersih, kau ajukanlah pertanyaan itu kepada AKAL, mungkin dia ada jawapan untuk menjelaskkan kepada mu”.
Mendengar penjelasan itu, kertas putih berpendapat ada betulnya juga jawapan dari tangan itu. Masakan tulang dan daging dapat bergerak kalau tidak dengan ada yang menggerakkannya. Bertambah binggung dan bertambah hairan serta pelik bagi kertas putih memikirkan perkara itu. Tanya kepada DAKWAT, dakwat kata tanya KALAM, tanya kalam menyalahkan TANGAN, tangan pula menyalahkan hal ini kepada AKAL. Jadi manakah jawapan, jalan penyelesaian dan manakah jalan penyudahnya. Bertambah binggung lagi hati kertas dibuatnya, walau bagaimanapun begitu kertas suatu benda yang tabah, cekal hati serta sabar walau apa pun dia tetap akan mencari jawapannya, akan tetap mencari jalan penyelesaianya, walau sampai ke hujung nyawa. Diajukan lagi pertanyaan kepada akal. ” Wahai AKAL sahabat yang aku kasihi, kenalan yang ku ingati. Aku sebagai kertas putih pada asalnya, kini sudah tercoret dengan kekotoran. Setelah aku ajukan pertanyaan ini kepda semua, mereka hanya mempersalahkan mu kerana kamulah yang menyebabkan KALAM dan TANGAN mendatangkan kekotoran terhadap diri ku. Jadi kenapakah demikian kamu wahai AKAL , sampai tergamak kau mempergunakan anggota lain untuk kepentingan mu bagi menghitamkan permukaan ku. Wahai akal, engkaulah satu-satunya kejadian Allah swt yang sangat pintar dan amat pandai lagi cerdik kalau dibandingkan dengan anggota-anggota yang lain. Anggota yang lain adalah diibaratkan sebagai benda mati yang kaku lagi beku. Mereka tidak pandai berfikir sebagaimana kamu, yang tahu mana baik dan mana buruknya sesuatu perbuatan. Kenapakah engkau tergamak menconteng kotoran ke permukaan ku?” ”Aku juga sedar yang engkaulah satu-satunya kejadian Allah yang ajaib, keajaiban engkau tidak dimiliki oleh mahluk lain selain mu. Mahluk lain tidak dikurniakan Allah dengan akal seperti mu, kepintaran seperti mu, kenapakah tergamak kau perlakukan sedemikian rupa terhadap diriku dan kawan-kawan mu yang lainnya, yang lemah lagi tidak berdaya?” .
Ujar kertas lagi kepada AKAL. ” Sejak dari asal kejadian mu, Allah telah mengajarmu, Allah telah mendidik mu tentang yang mana baik dan yang mana buruk. Semuanya segala-galanya keseluruhan anggota lain hanya kan mendengar perintah dari mu dengan penuh setia. Anggota lain tidak berani dan tidak berkuasa untuk membantah perintah mu. Anggota lain adalah anggota yang hanya melakukan perintah dari mu. Anggota lain adalah anggota yang hanya melakukan apa saja yang digerakkan oleh mu”. Dengan pertanyaan yang panjang lebar itu membuatkan AKAL tersentak.
Lalu berkata-katalah AKAL. ” Wahai sahabatku yang dikasihi, sungguh pun aku adalah kejadian Allah yang amat cerdik, yang amat pintar yang mana kepintaranku ini tidak dimiliki oleh mahluk lain tetapi tahukah engaku yang aku juga dikuasai dan digerakkan oleh kuasa lain. Aku juga seperti kamu wahai kertas. Aku hanya hamba yang patuh, yang tidak sama sekali berani membantah seperti kamu. Aku juga menerima perintah, aku juga menerima gerak dan menerima kuasa dari anggota lain. Tanpa kuasa itu siapalah aku ini. Kalau dihitung-hitung, kedudukan kamu lebih bertuah dan lebih beruntung berbanding kedudukan aku, kerana kamu masih dapat mengenali di antara satu sama lain, masih boleh tuduh menuduh. Sesungguhnya aku sebagai mahluk yang terpintar lagi cerdik di alam maya ini, namun aku tidak kenal dan tidak tahu dari manakah datangnya kuasa yang mengerakkan aku. Aku juga tidak kenal tuan yang mendatangkan kudrat dan yang memberi daya upaya kepada aku. Aku tidak tahu dan aku juga tidak kenal siapa mereka. Aku juga tidak dapat bergerak kalau tidak digerakkan olehnya, yang aku sendiri pun tidak tahu dan tidak kenal mahluk ghaib itu. Jika pun aku kenal atau tahu mahluk gahib itu, kenal dan tahu aku sekadar samar-samar, sekadar mendengar namanya, sekadar melihat bayang-bayangnya, sekadar mengetahui bekas-bekasnya sahaja. Baik lagi kamu sekelian, masih boleh bersoal jawab antara satu sama lain. Tapi aku, kepada siapa hendak aku ajukan pertanyaanku. Kepada siapa hendak aku ajukan permasalahan ini, kerana aku sendiri pun tidak pernah kenal tuan yang menggerakkan aku”.
Ujar AKAL lagi. ” Walau pun dengan kesamaran tetapi dengan kelenihan, kepandaian akal yang Allah kurniakan kepada ke dan segala kepintaran yang aku miliki, aku boleh mengagak, aku masih boleh meneka siapakah yang empunya angkara. Walaupun ianya di dalam keadaan yang samar-samar, aku masih dapat menduga siapakah mahluk itu. Inilah kelebihan yang ada pada aku dan inilah keistimewaan aku yang engkau semua tidak miliki. Dengan kesamaran itu, janganlah hendaknya engkau wahai kertas menyalahkan aku. Kerana aku juga mahluk yang apatuh seperti kamu. Jika tidak salah dan tidak silap dari pertimbangan diriku, punca yang menyebabkan semua angkara ini adalah datangnya daripada ROH. Engkau ajukan persoalan dan pertanyaan ini kepada roh, dialah yang empunya angkara dan dialah juga segala punca dari segala punca dan sebab dari segala sebab”.
Walaupun berbekal dengan kesamaran, kertas masih mahu mengajukan pertanyaan itu kepada ROH. Semoga setidak-tidaknya dapat juga ia berkenalan dengan lebih dekat, lebih rapat dengan roh yang sakti lagi ghaib. Sebagimana pertanyaan yang lepas-lepas, sebegitu jugalah diajukan persoalan itu kepada ROH.
Menjawab ROH dengan kata keramatnya lagi sakti. ” Wahai hambaku yang ku kasihi lagi ku sayangi. Janganlah kalian menyalahkan aku dalam perkara ini, aku sebenarnya tidak seburuk yang kalian sangkakan. Kalian semua pun tahu yang aku telah wujud (ada) didalam diri kamu sebelum kewujudan kamu. Sebelum terbentuknya jasad kamu, aku sudah ada dan aku sudah sedia hidup. Aku ada sebelum adanya jasad kamu, bagaimana kalian boleh mempersalahkan aku? Kalau aku hendak menghitamkan permukaan mu, sudah sedari dulu pun aku boleh mencontengkannya. Kenapa baru sekarang engkau hendak timbulkan pertanyaan ini, sedangkan sebelum kamu zahir kepermukaan bumi, aku sudah wujud. Fikirkanlah baik-baik , wahai kertas sebelum membuat pertuduhan. Namun demikian, aku tidak menyalahkan kamu dalam soal ini kerana engkau sendiri dalam kebinggungan kepada siapa harus diajukan persoalan ini. Kepada siapa harus dipersalahkan! Aku tidak mempersalahkan kamu dalam hal ini kerana aku tahu yang engkau sendiri pun sedang mencari-cari, sedang bertanya-tanya siapakah gerangan yang empunya kuasa? Siapa yang empunya gerak? Siapa yang empunya daya? Malah aku cukup bangga dan cukup kagum dengan sifat keberanian mu untuk terus bertanya. Kesalahan dalam mencari adalah terlebih baik dari kebenaran yang samar-samar. Aku bersifat pengasih lagi penyayang, aku juga amat kasihan melihat kamu bersungguh-sungguh mencari jawapan walaupun dalam kebinggungan. Fahamilah bahawasanya segala kelakuan, segala perbuatan, segala tingkah laku, segala usaha, kuasa dan kudrat adalah datang dari Allah SWT. Allah SWT yang empunya punca segala punca. Allah SWT yang empunya sebab dari segala sebab. Allah SWT disebalik setiap apa yang telah berlaku, yang sedang berlaku dan yang akan berlaku. Allah SWT Yang Maha Berkuasa keatas segala sesuatu”.
MORAL :
Ambillah ikhtibar dari cerita di atas. Harus diingat di sini bahawa , Allah SWT bukan usul dan Allah SWT bukan ain (benda) yang boleh dijadikan sebab atau penyebab. Allah SWT Maha Suci dari sebarang sebab dan penyebab. Cerita diatas hanya sebagai perumpamaan untuk memudahkan kita melihat sesuatu dengan MATA HATI supaya menjadi penyuluh bagi menyuluh diri kita sendiri....InsyaAllah.
----------------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...






