Photobucket

Friday, 10 February 2012

Kuasa Siapakah Ini?....


KUASA SIAPAKAH YANG BERKEHENDAK DI ATAS SEGALA GERAK AF’AL ?...

Firman Allah bermaksud ” Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu kecuali dengan cara yang diatur oleh  Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan  semesta alam” – At Ta’wir : 29

Bermaknanya disini bahawa, berkehendaknya kita itu adlah terlebih dahulu berkehendaknya Allah taala. Bermakna berkehendaknya kita itu adlah berkehendakmya Allah. Allah menetapkan kehendak kita itu lebih awal dari apa yang kita hendak kerjakan.  Maksudnya kehendak Allah itu mengatasi kehendak diri. Kehendak kita itu sudah termasuk dan mengikuti  dalam kehendak Allah sejak azali. Manusia tiada kehendak, tidak berkemahuan diri kita ini kalau tidak terlebih dahulu yang dikehendaki oleh Allah.

Setiap gerak daripada niat kita , setiap kerja yang diatur, setiap perilaku yang kita laksanakan sampailah kepada perjalanan darah di dalam tubuh, pengaliran peluh dan air liur serta termasuk perkara yang kita telah atur mahupun perkara yang tidak kita sedar semuanya dari gerak yang telah dikehendaki oleh Allah, yang direstui oleh Allah dan yang telah diredhai oleh Allah sebelumnya.

Firman Allah bermaksud ” Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engaku (wahai Muhammad) yang melimpar ketika engaku melimpar akan tetapi Allah jualah yang melempar , dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” – Al Anfal : 17

Ini menunjukkan bahawa segala perbuatan dan segala gerak adalah perbuatan dan gerak Allah. Bukannya perbuatan dan gerak dari kemahuan diri sendiri. Kita sebagai hamba tidak punya kuasa , tidak punya kudrat untuk menggerakkan sesuatu tanpa gerak dari Allah. Sebelum bergerak, sebelum sesuatu terjadi dan sebelum sesuatu berlaku, gerak itu sebenarnya telah tersedia di dalam ilmu Allah taala.

Firman Allah swt bermaksud ” Tidak ada sesuatu kesusahan ( atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi , dan tidak juga yang menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada di dalam Kitab ( pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikinan itu adalah mudah bagi Allah” – Al Hadid : 22

Sebelum sesuatu itu berlaku ianya telah sedia tercatat yang tidak akan ada perubahan lagi walau sepatah dan kitab asalnya tidak akan terpadam. Catatan dakwat Allah tidak lagi ada yang basah melainkan semuanya sudah kering sedari ditulis. Tiada lagi catitan baru atau perubahan. Allah bukan pembohong dan Allah bukan pendusta. Setiap yang dicatat itu adalah pasti, setiap yang ditulis itu adalah benar. Ianya pasti dan benar mengikut apa yang dicatat, yang tidak berubah dan tidak akan ada yang boleh menukar ketetapan itu.

Firman Allah bermaksud ” Tidak ada yang dapat mengubah kalimat Allah” – Al An’am : 34

Dalam penyerahan perbuatan, jangan kita lupa untuk menyerahkan sifat-sifat anggota yang lain seumpamanya sifat, nama dan zat. Semua sifat-sifat itu hendaklah juga dikembalikan kepada tuannya. Pemulangan segala sifat perbuatan bukan sahaja tertanggung atau terletak pada bahu manusia sahaja malah tertanggung juga kepada semua mahluk Allah. Termasuklah gunung-ganang, tunbuhan melata dan tumbuhan menjalar, ikan di lautan, burung dihutan, ulat dan cacing di dalam tanah juga tidak terkecuali melainkan semuanya akan kembali kepada Allah yang satu.

Firman Allah bermaksud ” Disisinya segala anak kunci yang ghaib, tiadalah yang mengetahuinya kecuali dia sendiri. Dia mengetahui apa-apa yang di daratan dan di lautan. Tiadalah yang gugur sehelai daun kayu pun melainkan Dia mengetahuinya dan tiada sebutir biji benih di dalam gelap gelita bumi dan tiada pula yang basah dan yang kering, melainkan semua itu tercatat di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang benar terang lagi nyata” – Al An’am : 59

Perhati dan perhatikanlah diatas dengan cermat. Ayat-ayat Allah yang terang lagi nyata itu sebagai kayu pengukur, kayu pengimbang untuk kita mematikan sifat keAKUan. Pulangkanlah harta Allah, kembalikanlah kepunyaan Allah itu kepada yang berhak. Pulangkanlah perbuatan diri kita, kembalikanlah kelakuan diri kita kepada tuan yang empunya.

Sekali lagi dijelaskan bahawa mati tabie atau mati perangai atau mati sebelum mati itu adalah bermaksud menghilangkan segala pendengaran, melenyapkan segala penglihatan, membinasakan segala daya usaha yang ada pada tubuh badan. Mengaku bahawa tiada sezarah pun yang lekat dan yang ada pada jasad kita ini melainkan kepunyaan Allah dan milik Allah swt.

Di dalam hati kecil kita, mungkin ada orang yang tertanya-tanya bahawa mana mungkin meletakkan Allah sebagai punca dari segala punca dan mana mungkin menuduh Allah menjadi sebab atas segala sebab dari perbuatan hambanya!...Allah Maha Suci dari yang keji, mana boleh menyalahkan Allah dalam kelakuan jahat mahlukNya.

Jika semua perbuatan baik dan perbuatan jahat mahluk datangnya dari Allah, kenapa Allah menghukum sesiapa yang melakukan kejahatan? . Kenape Allah menghukum sesiapa yang melakukan kejahatan? .
Sedangkan segala kejahatan dan kebaikan datangnya juga dari ketetapan Allah sendiri! Tentunya hati kecil kita mengatakan yang Allah itu tidak adil. Orang lain diberinya kaya manakala kenapa kita dijadikan miskin.

Masakan Allah yang membuat, merancang dan menetapkan segala punca kejahatan dan segala punca kebaikan, bila tiba di akhirat , kita pula yang dipersalahkan dan kita pula yang menanggung hukuman balasan azab dan seksa api neraka. Apakah ini yang dikatakan Allah itu adil?. Dia yang menentukan buruk baik kelakuan kita, sedangkan kita semua tidak minta dilahirkan dalam kejahatan , semua orang jahat berhajat kepada kebaikan. Sedangkan segala baik dan buruk telah Allah tetapkan sejak azali. Untuk menangkis tuduhan yang mengatakan Allah itu tidak adil, untuk menolak dakwaan yang mengatakan Allah itu zalim (Nauzubillah) maka ikuti kisah berikut ;

IKTIBAR : Kisah peniaga dengan buah kelapa dan buah tembikai.

Pada suatu hari yang panas terik, berjalanlah seorang peniaga kesuatu tempat untuk berniaga. Dalam perjalanan dia merasa penat kerana berjalan ditegah-tengah panas terik matahari. Badannya mula terasa letih. Di dalam kepenatan itu, datanglah sangka buruk terhadap Allah yang menghantui akal fikirannya. Lalu berkatalah terhadap Allah ”Aku telah bekerja keras siang dan malam, mengembara ke sana ke mari di dalam usaha mencari rezeki tetapi samapi kini hidup ku masih melarat dan tidak kunjung senang” . Setelah penat berjalan merentasi perjalanan jauh berhentilah peniaga ini buat seketika, berteduhlah dia di bawah bayang-bayang sepohon pokok kelapa, lalu terlena kerana kepenatan. Tiba-tiba dalam tidurnya (bermimpi) sebiji buah kelapa yang besar menimpa ke atas kepalanya, lalu pecah dan berdarahlah kepalanya. Terasa sakit yang tidak terhingga dan boleh membawa maut.



 Diraba kepalanya yang berdarah tadi, dengan harapan darah yang mengalir dapat dibendung  tapi ternyata darah tidak juga berhenti mengalir. Sekian lama darah mengalir dengan tidak berhenti-henti , disangkanya ketika itu sudah sampai ajalnya. Tidak ada lain difikirannya ketika itu melainkan akan mati. Disitu timbul difikirannya bahawa Allah itu zalim dan tidak adil. Kenapa buah kelapa yang tinggi itu menimpa kepalanya, sedangkan buah kelapa itu boleh jatuh ketempat lain dan ke arah yang lain selain atas kepalanya?. Kenapa kepalanya yang Allah takdirkan?. Baginya Allah memang zalim dan tidak adil. Dengan tidak semena-mena, bergoleklah sebiji tembikai terkena kepalanya lalu terjagalah dia dari tidurnya. Diraba-raba kepalanya disangkakan kepalanya itu betul-betul berdarah ditimpa buah kelapa. Ternyata itu sekdar mimpi. Dengan secara tidak disedari, terkeluar dari mulutnya ” Ya Allah Ya Tuhan ku, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Adil dan Yang Maha Penyayang” . Apabila kepalanya tidak luka dan hanya ditimpa nuah tembikai yang bergolek, dia berkata Allah itu adil dan penyayang. Adil Allah itu baginya apabila didapati yang menimpa kepalanya adalah sebiji buah tembikai bergolek dan bukannya buah kelapa yang tinggi. Adilnya Allah itu bila yang menimpa kepalanya adalah hanya sebiji buah tembikai yang menjalar dibumi dan bukannya buah kelapa yang tinggi melangit. CUBA KALAU BETUL-BETUL KELAPA DARI POKOK YANG TINGGI MENIMPANNYA, SUDAH TENTU DIA AKAN MENGATAKAN BAHAWA ALLAH ITU ZALIM DAN TIDAK ADIL.

Konsep ADIL bagi mereka, apabila bala yang menimpa itu bukan pada dirinya. Adil bagi mereka, bila bala itu terkena pada orang lain bukan dirinya. Jika perkara baik dan perkara untung mendatangi mereka, mereka akan kata Allah itu adil dan penyayang. Jika kecelakaan yang datang, mereka akan menuduh Allah itu zalim dan tidak adil. INILAH MANUSIA, MANUSIA ITU TIDAK AKAN PERNAH TAHU BERTERIMA KASIH DAN TIDAK AKAN TAHU BERSERAH DIRI.

Ini menggambarkan kepada kita bahawa, adil dan tidak adilnya Allah itu hanya bergantung kepada persepsi atau tanggapan kita sahaja. Bila berlaku yang baik, kita katakan Allah itu adil. Manakala bila berlaku yang buruk, kita katakan yang Allah itu zalim dan tidak adil, sedangkan keadilan Allah itu bukan hanya pada yang baik sahaja. ADILNYA ALLAH ITU MELIPUTI KEPADA SEMUA SAMA ADA YANG BAIK MAHUPUN YANG BURUK.

Adil Allah itu meliputi semua orang dan setiap detik setiap masa. Bagi mereka yang berilmu makrifat , mereka melihat kecelakaan itu sebagai nikmat, bukannya dipandang sebagai bala. Bagi mereka kelakuan baik dan kelakuan buruk itu dari Allah. KetetapanAllah itu Maha Adil dan Maha Sempurna. Bila bala dipandang nikmat, akan hilanglah perasaan bala. Manakalbila nikmat dipandang bala, akan hilanglah pula nikmat. Seandainya Allah itu hanya pandai membeuat sifat pendek dan tidak pandai untuk membuat sifat panjang, bermakna Allah tidak sempurna. Bagi menandakan Allah itu sempurna dibuatnya panjang, pendek, gemuk, kurus, kaya, miskin, sakit , sihat dan begitulah seterusnya.

Bagi menggambarkan Allah sempurna , Dia boleh buat segala-galanya. Tidak kira kaum , tidak kira bangsa dan tidak kira keturunan. Semua umat mahluk adalah hamba Allah. Baik Islam mahupun kafir, nikmat dan rahmat Allah itu meliputi kepada semua. Baik mahupun buruk yang Allah takdirkan atas diri kita itu adalah adil dan sempurna.

Seandainya Allah memberi sakit kepada orang Islam, Allah juga boleh memberi sihat kepada orang kafir. Kalau Allah memberi sakit kepada orang Islam, Allah juga boleh memberi sakit kepada orang kafir dan seterusnya. Tetapi sayangny abila ditimpa bala, kita kata Allah tidak adil, manakala bila mengecapi bahagia dikatakan Allah itu adil. Sebenarnya Allah itu adilNya meliputi untuk semuanya berjalan di atas kehendak dan keizinan Allah Taala belaka.



Hadis Nabis saw bermaksud ” Tidak bergerak wala sezarah pun kalau tidak dengan keizinan Allah ” .

Adapun cerita dari kisah peniaga dengan buah kelapa dan buah tembikai itu hanya sebagai halwa ditelinga tetapi bagi yang melihat dengan mata hati pasti terpancar jelas perkara yang tersirat disebalik yang tersurat. Dan ada juga yang tidak mampu melihat ”keberadaan Allah swt” dalam semua perkara yang berlaku.

Yang paling jelas tetapi ramai yang tidak mensyukuri adalah nikmat dikurniakan Iman dan Islam. Boleh sahaja Allah melahirkan kita dari rahim orang kafir, boleh sahaja  hari ini Allah jadikan kita bukan menganut agama Islam, boleh sahaja Allah menjadikan kita ini wujud dalam rupa haiwan. Tetapi sayang terlalu ramai manusia yang tidak nampak dengan sejelas-jelas hakikat kebenaran ini. Bila tidak nampak maka tidak hadir syukur dalam hati. Bila tiada syukur maka seringkali mempersalahkan Allah. Maka tidak mustahil mampu melihat ”perkara-perkara” yang lebih halus kerana yang jelas lagi terang dihadapan mata pun tidak pernah diterokai.

Ingatlah setiap perbuatan kita itu adalah IBADAT...setiap usaha itu adalah WAJIB... dan bukan hak kita mempersoalkan natijahnya.

Firman Allah bermaksud ” Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa-apa yang diperbuatNya sedang merekalah yang ditanyai-Nya” – Al Anbiya : 23

Firman Allah bermaksud ” Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu (dari tidur) padanya untuk disempurnakan ajal ( masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNya tempat kamu kembali, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan” – Al An’am : 60
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...