Photobucket

Thursday, 4 October 2012

Tundukkan Nafsu


Berpaling daripada Allah swt ketika diturunkan hukum-hakamNya bererti matinya agama, binasanya tauhid, musnahnya keredhaan dan keikhlasan. Sedangakn hati mukmin tidak mengetahui mengapa dan bagaimana hendak melayan dorongan nafsunya. Bahkan ia berkata “Benar! Semua nafsu itu mesti dilawan, ditentang dan dimusuhi”. Oleh yang demikian , barangsiapa yang ingin memperbaiki dirinya maka hendaklah dia berlatih untuk memerangi nafsunya, sehingga dirinya bebas daripada cengkaman kejahatan dan pengaruh nafsu kerana seluruh nafsu itu mengajak kepada kejahatan.

Apabila mampu mengembleng dan menundukkan nafsu maka seluruh nafsu itu akan menjadi baik, yakni kebaikan yang berada di dalam kebaikan. Sehingga jadilah ia menurut semua ketaatan dan meninggalkan semua kejahatan dan kederhakaan. Dalam keadaan yang demikian maka seperti diucapkan baginya firman Allah swt bermaksud “ Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku” – Al Fajr : 27-30

Dengan demikian, maka sudah pastilah ketakwaannya dan hilang daripadanya segala keburukan serta tiada kebergantungan kepada makhluk. Hal ini telah berlaku kepada Nabi Ibrahim Khalilullah. Baginda telah terlepas daripada kongkongan nafsunya dan baginda hidup dengan tenang bebas daripada pengaruh nafsu yang sentiasa mendorong manusia kepada melakukan kejahatan.
Ketika jiwanya telah tenang, datanglah kepadanya berbagai jenis makhluk yang menawarkan bantuan dan pertolongan. Ketika itu baginda menjawab “Aku tidak memerlukan pertolongan kamu sekalian. Dia (Allah) mengetahui keadaanku dan memenuhi segala permohonanku”.

Kerana penyerahan dan ketakwaan baginda yang tidak berbelah bagi itu, maka Allah berfirman kepada api bermaksud “ Berkata Kami, wahai api! Menjadi dinginlah engkau dan selamatlah engkau terhadap Ibrahim!” – Al Anbiya : 69

Allah memberi pertolongan kepada orang yang sabar bersama-Nya di dunia tanpa batas sementara di akhirat pula ia akan dianugerahkan dengan kenikmatan tanpa batasan sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud “ Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang diganjarkan dengan pahala mereka tanpa batasan” – Al Zumar : 10

Tiadalah samar bagi Allah, segala sesuatu yang ditanggung oleh orang-orang yang menanggung kerana-Nya. Bersabarlah seketika bersama-Nya sementara kita telah melihat kelembutan-Nya dan Dia telah memberikan kenikmatan-Nya bertahun-tahun lamanya. Keberanian adalah sabar untuk seketika. Firman Allah swt bermaksud “ Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” – Al Baqarah : 153

Dengan pertolongan dan harapan , bersabarlah bersama-Nya. Ingatlah kepada-Nya dan janganlah kita lalai daripada mengingati-Nya. Janganlah kita sedar setelah mati kerana kesedaran itu sudah tiada manfaat lagi bagi kita. Tetapi ingatlah kepada-Nya sebelum datangnya kematian. Ingatlah kita sebelum kita diberikan peringatan bahawa sudah tiada lagi perintah bagi kita sehingga kita menyesal disaat penyesalan tiada berguna lagi bagi kita. Perbaikilah hati, kerana apabila itu sudah baik maka akan baik pula seluruh keadaan kita. Sabda baginda Nabi saw bermaksud “ Sesungguhnya di dalam jasad anak Adam itu ada segumpal daging. Apabila daging itu baik maka akan baiklah seluruh jasadnya. Apabila daging itu rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah! Dia itu adalah hati!” .

Memperbaiki hati itu hanya dapat dilakukan dengan takwa dan tawakal kepada-Nya, mengesakan-Nya dan berlaku dalam setiap amalan yang dilakukan semata-mata kerana-Nya. Tanpa sikap-sikap yang disebutkan ini maka hati akan rosak. Hati adalah bagaikan burung di dalam sangkar atau bagaikan berlian didalam ikatannya atau bagaikan harta yang tersimpan dengan sempurna di dalam almari. Adapun yang diperhitungkan disini adalah burungnya bukan sangkarnya. Berliannya bukan pengikatnya. Hartanya bukan almarinya. Bayangkanlah seekor burung tanpa sangkar, sebentuk berlian tanpa ikatan atau selonggok harta tanpa tempat menyimpannya.

Ya Allah!... Sibukkanlah anggota tubuh kami dengan ketaatan kepada-Mu dan hati kami dengan makrifat kepada-Mu. Sibukkanlah sepanjang hayat kami, siang dan malam kami , pertemukanlah kami dengan orang-orang soleh yang sudah mendahului kami. Berilah kami rezeki sebagaimana rezeki yang Engkau kurniakan kepada mereka. Datangkanlah kepada kami sebagaimana yang Engkau datangkan kepada mereka. Aamiin…!
----------------------------------------------------------------------------------------

HTML Comment Box is loading comments...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...