Photobucket

Monday, 10 December 2012

Ar Rahim




AR RAHIM
( Maha Penyayang )

Yang dimaksudkan dengan penyayangnya Allah sangat berbeza dengan penyayangnya manusia. Kebanyakkan sayangnya manusia akan sesuatu mempunyai latar belakang, yang mana disebalik kesayangan terselit sesuatu yang diharapkan. Tetapi Allah tidaklah demikian halnya. Manusia yang soleh dan taat beribadat bukanlah ibadahnya untuk kepentingan Allah tetapi untuk kepentingan peribadinya masing-masing. Allah tidak akan berkurang kemuliaanNya dan kekayaanNya apabila semua penduduk bumi tiada seorang pun menyembah kepada-Nya. Jadi persembahan seseorang terhadap Allah adalah untuk kepentingan dirinya. Dunia dijadikan oleh Allah untuk memberi kesempatan berbuat kebaikan serta mengabdikan diri kepada-Nya sebagai bekalan yang akan di bawa ke akhirat.

Firman Allah Taala bermaksud ;
“Bukankah telah Kami jadikan bumi itu hamparan dan gunung-ganang sebagai pasak, dan telah Kami jadikan kamu berpasang-pasang dan Kami jadikan tidur kamu untuk berlepas lelah dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan telah Kami jadikan siang untuk penghidupan”- An Naba’ : 6-11.

Betapa indahnya susunan ayat-ayat yang tersebut di atas yang menyatakan Allah Ar Rahim ( Allah Maha Penyayang) ke atas makhlun-Nya yang bernama manusia dengan beberapa perbincangan seperti berikut;
1.       Bumi Sebagai Tempat Tinggal
2.       Faedah Pergunungan
3.       Sifat Dan Setiap Yang Hidup Berpasangan
4.       Tidur Untuk Istirehat
5.       Malam Sebagai Selimut
6.       Siang sebagai Pakaian


BUMI SEBAGAI TEMPAT TINGGAL
Firman Allah Taala bermaksud “Bukankah telah Kami jadikan bumi itu sebagai hamparan? ”- An Naba’:6

Allah dengan Rahim-Nya menciptakan bumi sebagai hamparan untuk kehidupan manusia guna menjadi tempat tinggal, tempat hidup dan tempat berkehidupan, di mana manusia bertebaran di muka bumi mencari rezeki di mana-mana ia sukai.

Firman Allah Taala bermaksud “Dan sesungguhnya telah Kami tempatkan di bumi ini dan telah Kami jadikan untuk kamu di dalamnya beberapa penghidupan. Sedikitlah kamu yang bersyukur”- Al ‘Araf : 10

Demikianlah Allah dengan Rahim-Nya telah menghidupkan manusia di muka bumi yang dilengkapi dengan segala keperluannya berupa tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang merupakan keperluan hidup. Sayang sekali hanya sedikit manusia yang tahu bersyukur.

FAEDAH PERGUNUNGAN
Firman Allah Taala bermaksud “ Dan gunung-ganang sebagai pasak” – An Naba’ : 7

Dengan adanya gunung-ganang sebagai pasak untuk mengukuhkan hamparan bumi. Dengan ada gunung –ganang dan jurang-jurang yang ditumbuhi oleh pepohonan yang hijau rendang, mengalirlah dari celah-celahnya sungai-sungai, yang mana sungai-sungai berasal dari endapan air yang diserap oleh humus-humus dari hutan-hutan yang menghasilkan sungai-sungai.

Jadi nyatalah bahawa tanpa gunung-ganang dan pepohonan yang hidup diatasnya, tidak akan terjadi sungai-sungai yang mengalir sepanjang masa selama tidak dirosakkan oleh tangan manusia. Apabila bumi ini hanya merupakan hamparan yang datar dan rata tentu saja curahan hujan dari langit tidak dapat bertahan pada suatu tempat, maka terjadilah malapetaka di muka bumi ini kerana banjir atau kekeringan. Inilah faedahnya gunung dan lembah yang menghasilkan sungai yang menahan dan mengalirkan air sepanjang masa.


SIFAT DAN SETIAP YANG HIDUP BERPASANG-PASANGAN
Firman Allah Taala bermaksud “ Dan telah Kami jadikan kamu berpasang-pasangan” – An Naba’ : 8

Bila diteliti lebih dalam lagi, memang Allah menjadikan alam ini sungguh lengkap. Dengan adanya pasangan jantan dan betina, lelaki dan perempuan. Dengan demikian itulah Allah menciptakan alam seluruhnya, adanya langit dan bumi, adanya awal dan akhir, lahir dan batin, dunia dan akhirat yang kalau digali tidak terhitung jumlah pasangannya.

Dengan Firman Allah dijelaskan :-
“Amat Sucilah Penguasa yang menciptakan semuanya berpasang-pasangan , dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan diri mereka sendiri dan dari apa yang belum pernah mereka ketahui” – Yassin : 36

Begitu dalam rahsia yang tersimpan dalam ayat ini, semakin banyak manusia mengetahui pasangan-pasangan sesuatunya di bumi ini semakin tahulah manusia itu, bahawa lebih banyak lagi yang belum diketahuinya, yang mana dengan pasangan-pasangan ini, manusia semakin lama semakin berkembang dan turut juga isi alam ini bertambah untuk kepentingan manusia sejagat.

Begitulah juga pasangan-pasangan dari sifat-sifat yang ada umpamanya buruk dan baik, senang dan susuah, malang dan mujur, semunya dijadikan oleh Allah Taala agar manusia diberikan kebebasan untuk menempuh jalan hidupnya masing-masing dan diberi pula bimbingan yang lengkap.


TIDUR UNTUK ISTIREHAT.
Firman Allah Taala bermaksud “Dan telah Kami jadikan tidur kamu untuk istirehat” – An Naba’ : 9

Manusia yang hidup memerlukan bangun dan tidur. Tiada seorang pun yang sanggup bangun tanpa tidur atau tidur tanpa bangun dalam kehidupan normal, kecuali seseorang itu mengalami penyakit. Manusia tidak akan boleh hidup tanpa tidur. Siapakah Tuhan selain dari Allah Taala yang sanggup membuat seseorang tidur, membuatkan seseorang mengantuk serta menjadikan bangun (terjaga) ?... Apabila ada para ahli sihir atau hipnotis membuat orang menjadi tidur, bolehkah dia menidurkan ramai orang sekaligus, atau menidurkan dirinya sendiri? Sandiwara mereka sangat terbatas tetapi ramai yang mempercayainya. Siapa yang sanggup menidurkan bumi yang mengalami malam? Dan membangunkan di bumi yang mengalami siang?. Jawabnya, hanya Allah Taala Yang Maha Pengasih yang sanggup melaksanakannya. Betapa kecilnya manusia disisi Allah yang hanya dapat dirasakan bagi orang yang mahu berfikir. Sebagaimana firman-Nya bermaksud “ Diantara tanda-tanda (kebesaran-Nya) , menidurkan kamu pada malam dan siang memenuhi keperluanmu dari kurniaan-Nya. Hal yang demikian itu menjadi tanda bagi orang yang mahu mendengar” Ar Rum : 23.

Hanya bagi orang yang mahu menerima kebenaran saja yang dapat merasakan kebenaran ayat ini. Hidup  manusia sudah diatur sedemikian rupa, siangnya dibangunkan untuk mencari sara hidup dan malamnya ditidurkan sebagai istirehat dari kepenatan disiang hari. Alangkah RahimNya Allah Taala kepada makhlukNya yang bernama manusia yang diberikan akal fikiran untuk mengatur dan menyelamatkan dirinya.


MALAM SEBAGAI SELIMUT

Firman Allah Taala bermaksud “Dan telah Kami jadikan malam sebagai selimut” – An Naba’ : 10

Menurut Ibnu Jarir At Thabiri “ Gelap malam itu meliputi seluruh diri kamu bagaikan pakainan yang menutupi dirimua”. Dan menurut tafsiran Ibnu Jubair dan As Suddy “ Ketenangan doa kerana nyenyak tidur untuk membangkitkan tenaga baru untuk hari esok”. Jadi kalau kita renungkan lebih halus, kita kembali kepada apa yang tercantum dalam ayat ini bahawa malam sebagai pakaian memmang tepat sekali kerana pakaian menyelimuti tubnuh dari panas dan dinginya udara serta gangguan-gangguan lainnya yang datang dari luar yang pada hakikatnya gelap malam telah memberikan kesenangan dan kenyamanan dalam tidur sebagai keperluan rohani dan jasmani yang mutlak , memang sangat diperlukan.


SIANG SEBAGAI PAKAIAN
Firman Allah Taala bermaksud “Dan telah Kami jadikan siang sebagai penghidupan” – An Naba’ : 11.

Alangkah berbahagianya manusia yang dapat menyesuaikan hidupnya dengan tuntutan ayat-ayat ini, hal mana dia dapat mencari keperluan hidup di siang hari dan malamnya untuk istirehat sambil menanti hari esoknya lagi. Siang hari berusaha seperti Nabi SAW dan para sahabat, dan malam harinya beristirehat serta bermunajat kepada Allah Taala sbg hambaNya yang bersyukur.

Sayang Allah Taala sangat berbeza dengan sayangnya manusia. Manusia berbuat-buat sayang kerana mengharapkan sesuatu kepada yang disayangi tetapi Allah berbuat sayang tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari makhlukNya. Hanya Allah mahukan makhlukNya tidak sesekali menyekutukan DiriNya dengan sesuatu yang lain.


***************
Setelah kita berkongsi huraian Allah, Ar Rahman & Ar Rahim secara ringkas, insyaAllah dalam perkongsian akan datang Musafir Fakir akan cuba berkongsi tentang Rahsia Bismillah.... Bizinillah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...