Di kata mereka itu bahawasanya syukur itu atas tiga bahagi iaitu;
- Syukur pada hati dan;
- Syukur pada lisan dan;
- Syukur pada segala anggota.
Maka syukur pada hati itu iaitu diketahui bahawasanya segala ni'mat itu daripada Allah Taala dan; Syukur pada lisan itu iaitu membanyak puji atas Allah Taala dengan lisannya dan masuk dalamnya itu menyebut-nyebut pada segala ni'mat dan menzahirkannya . Syukur pada segala anggota adalah dengan melaksanakan segala syariatNya yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad saw.
Biasanya kita takrifkan nikmat sebagai harta benda atau sesuatu yang menyenangkan. Kejadian dan keadaan yang selesa juga dianggap sebagai nikmat. Harta yang banyak adalah nikmat. Tubuh badan yang sihat adalah nikmat. Rupa yang cantik adalah nikmat. Suara yang merdu adalah nikmat. Betulkah semua itu nikmat? Jika harta menjadi nikmat tentu sahaja orang yang mempunyai harta yang banyak akan lebih tenteram jiwanya. Jika kesihatan adalah nikmat tentu orang yang sihat tubuh badannya akan berasa bahagia. Jika wajah yang cantik dan suara yang merdu adalah nikmat tentu mereka yang memilikinya mendapat kepuasan. Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Orang yang berharta masih juga berasa miskin hingga mereka berasa perlu melakukan rasuah. Orang yang memiliki tubuh badan yang sihat masih tidak senang dengan tubuh badannya. Orang yang memiliki wajah yang cantik dan suara yang merdu masih tidak berasa senang dengan kecantikan wajah dan kemerduan suara yang dimiliki oleh orang lain. Anehnya pula orang yang tidak berharta, tubuh sering dihinggapi penyakit, wajah tidak cantik dan suara tidak merdu, boleh hidup dengan aman, bahagia dan tenteram. Golongan yang memiliki segala-galanya tidak merasakan kenikmatan sedangkan golongan yang tidak memiliki apa-apa pula yang merasakan kenikmatan hidup ini. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah nikmat?
Jika kita mahu memahami maksud nikmat, kita perlu memahami perjalanan hukum sebab musabab yang sampai kepada kita. Kita melihat beberapa orang menerima benda yang serupa dan menghadapi keadaan yang serupa tetapi keadaan jiwa mereka tidak serupa. Ada orang yang terus menerus merungut walau sebanyak mana harta yang diterimanya. Ada orang yang terus menerus berkeluh-kesah walaupun keadaan yang menguntungkan mendatanginya. Ada pula orang yang sentiasa tenteram walaupun tidak didatangi harta. Namun, dia tetap tenteram walaupun didatangi keadaan cemas atau kesusahan. Jika kita renungkan dengan mendalam kita dapat merasakan bahawa apa yang mendatangi kita adalah alat, sementara sesuatu yang datang bersama-sama alat itulah yang menimbulkan nikmat ataupun sebaliknya. Alat yang datang mungkin serupa tetapi sesuatu yang ikut serta itu tidak serupa. Mata benda dan kejadian hanyalah kenderaan yang membawa utusan, dan utusan inilah yang mencetuskan kebahagiaan atau keresahan. Utusan inilah yang perlu disingkap untuk mengenali nikmat atau celaka.
Firman Allah bermaksud "Dan Allah mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), tetapi sedikit antara manusia yang bersyukur." -As-Sajadah: 9
Firman Allah bermaksud "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah ni'mat kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih”. -Ibrahim: 7
Secara umumnya sebab musabab turun mengenai manusia melalui tiga saluran. Saluran pertama dinamakan saluran dosa. Apa sahaja yang turun melalui saluran ini menjadi hukuman terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan, semuanya memberi tekanan kepada jiwa. Pemilikan harta yang banyak tidak memberi kepuasan kepadanya. Pemilikan isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Tidak ada nikmat yang turun melalui saluran ini. Semuanya membawa tekanan kepada jiwa sebagai balasan kepada dosa-dosa yang telah dilakukan. Jika perkara-perkara yang seharusnya menyenangkan seperti memiliki harta yang banyak dan isteri yang cantik masih memberi tekanan kepada jiwa, apa lagi pada perkara-perkara yang dipanggil bala bencana, tentu sahaja lebih menekan jiwa orang berkenaan. Juru iring atau utusan yang bertindak pada saluran ini adalah syaitan. Syaitan adalah sahabat kepada orang yang berdosa. Syaitan adalah utusan yang buruk, busuk dan keji. Walau apa pun yang turun melalui saluran ini bau busuk syaitan itulah yang diterima oleh hati. Oleh sebab itu hati tidak dapat merasakan kenikmatan, ketenteraman dan kepuasan.
Saluran kedua dinamakan saluran pembersihan. Apa sahaja yang turun melalui saluran ini berperanan untuk menyucikan hati. Utusan-utusan yang turun melalui saluran ini berganti-ganti antara yang baik dengan yang buruk. Utusan yang buruk berfungsi sebagai menghukum hati akibat sisa-sisa dosa yang masih melekat pada dindingnya. Utusan yang baik pula berperanan menyucikan dinding hati yang telah ditinggalkan oleh kekotoran dosa. Sebab musabab yang turun melalui saluran ini pada peringkat permulaannya bercampur-campur di antara yang menggembirakan dengan yang menekankan. Tekanan dan kelapangan yang berganti-ganti itu melahirkan kesabaran pada hati orang berkenaan. Bila hati sudah bersih sepenuhnya daripada dosa, maka hanya proses pembersihan yang berlaku, tidak ada lagi hukuman. Pada peringkat ini hanya utusan yang baik-baik membawa sebab musabab kepadanya. Utusan yang baik-baik itu adalah para malaikat yang membawa perintah Allah s.w.t. Bila tidak ada lagi gangguan dari utusan yang kotor hati dapat memperteguhkan kesabarannya.
Saluran ke tiga dinamakan saluran peningkatan darjat. Hati yang sudah menerima hukuman dosa dan telah pula menjalani proses penyucian, layak untuk dibawa naik kepada Allah s.w.t. Sebab musabab yang turun melalui saluran ini berperanan membawa hamba hampir dengan Tuhannya. Semua perkara yang datang dibawa oleh utusan yang baik-baik, dipelihara agar tidak diganggu oleh golongan kotor dan ditapis terlebih dahulu supaya yang dibawa itu tidak memudaratkan penerimanya. Oleh itu tidak ada sebarang tekanan dan kekeliruan pada hati yang berada di dalam saluran ini. Hati sudah melepasi peringkat sabar dan masuk ke dalam reda. Walau bala bencana yang besar turun melalui saluran ini namun, hati tidak sedikit pun terusik, keredaan sejati terhadap ketentuan Allah s.w.t menguasainya. Bala bencana itu dirasakan oleh hati sebagai nikmat.
Begitulah tiga saluran turunnya hukum sebab musabab yang menentukan nikmat atau celaka kepada hati yang menerimanya. Ada satu lagi saluran yang khusus bagi orang yang dipilih khusus oleh Allah s.w.t. Orang yang pada peringkat ini sudah selamat dari waham sebab musabab dan tidak lagi melihat kepada sebab musabab. Penglihatan mata hatinya berpindah dari melihat kepada perjalanan sebab musabab kepada memerhatikan perbuatan Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak tunduk kepada hukum sebab musabab di dalam menentukan keputusan-Nya dan Dia tidak memerlukan sebab untuk berbuat sesuatu yang dikehendaki-Nya. Penglihatan orang pada peringkat ini hanya tertumpu kepada Allah s.w.t, baik dalam kenikmatan mahu pun dalam menghadapi malapetaka. Bila Allah s.w.t menjadi terang benderang, nescaya putuslah segala hukum sebab musabab, dan apabila Allah s.w.t dapat dilihat dengan penyaksian hakiki mata hati nescaya putuslah segala nisbah.
Firman Allah bermaksud - ”Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri”.- Al-Kahfi : 82
Begitulah ucapan Nabi Khaidir a.s menceritakan kepada Nabi Musa a.s tentang perbuatannya menebuk perahu, membunuh kanak-kanak dan mendirikan pagar tanpa alasan yang terang. Inilah makam yang dinyatakan oleh ayat dalam firman Allah bermaksud -
”Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir). - Al-Anfaal: 17
”Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir). - Al-Anfaal: 17
Seorang murid yang masih dalam peringkat pembersihan masih lagi melihat kepada sebab musabab dan perjalanan hukum sebab musabab yang sampai kepadanya adalah melalui saluran yang kedua. Dia masih dalam perjuangan, sabar menghadapi bencana dan sabar dalam kesenangan. Dalam menghadapi bencana dia bersabar agar tidak bergoncang imannya dan dalam menghadapi kesenangan dia bersabar agar tidak terjatuh ke dalam kelalaian. Sabar begini menunjukkan dia bersyukur lantaran Allah s.w.t meletakkannya di dalam saluran yang mempunyai utusan yang baik-baik yang membawa nikmat. Dia melihat bahawa sabar itu sendiri adalah nikmat yang mesti disyukuri. Jika dia tidak bersyukur dengan kesabaran yang dikurniakan kepadanya itu dia akan jatuh ke dalam saluran yang pertama di mana apa jua yang sampai kepadanya menjadi bala yang mencengkam jiwa.
Janji ini dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud- “Orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang yang dilimpahi berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.” - Al Baqarah : 156 -157
Pembahagian syukur kepada tiga jenis seperti yang tersebut di atas adalah sebagai satu usaha untuk memperincikan lagi bahagian-bahagian syukur yang perlu diamalkan oleh seorang yang benar-benar "tahu" bersyukur dengan ni'mat pemberian Allah.
Demikianlah apa yang telah berlaku kepada mereka yang diberikan cahaya makrifat setelah lama berada dalam gelap kejahilan. Dengan cahaya makrifat ini, mereka terlepas dari belenggu kejahilan, persekutuan dan pensyirikan kepada Allah serta dapat meletakkan sesuatu perkara itu pada tempat yang hak dan hakikatnya. Dengan cahaya makrifat yang sentiasa menerangi jiwa mereka, maka sentiasalah mereka bersyukur kepada Allah yakni dengan sentiasa memandang limpah kurnia Allah yang tidak putus-putus ke atasnya. Inilah perincian berkenaan dengan syukur pada hati iaitu sentiasa ingat, sentiasa sedar, sentiasa memahami, sentiasa mengerti dan sentiasa memandang kepada Yang Memberi Ni'mat.
Berkenaan dengan syukur pada lisan pula, ianya adalah hasil atau natijah kepada hati yang punya kesedaran akan kebaikan Allah terhadapnya, yang merubahkan hal qalbunya lantas menjalar kepada anggota badan terutamanya mulutnya yang sentiasa basah dengan puji-pujian terhadap Allah yang terjelma melalui pelbagai wirid dan zikir seperti tahmid, takbir, tasbih dan pelbagai bentuk puji-pujian yang lain terhadap Allah.
Termasuk dalam jelmaan syukur pada lisan ini ialah seorang yang sentiasa memuji-muji di hadapan manusia-manusia lain; membilang-bilang ni'mat Allah dengan tiada kehinggaan; mengajak manusia untuk sama-sama bersyukur dan menzahirkan kesyukuran itu melalui ibadat dan majlis-majlis ilmu yang bertujuan untuk mengajak manusia supaya taat dan patuh kepada Allah Taala.
Pelbagai nikmat telah Allah kurniakan seperti nikmat disayangi, dirindui dan dicintai. Kurnian nikmat-nikmat ini adalah anugerahNya untuk kita menilai sama ada ianya membawa kebaikan atau keburukan kepada hidup kita. Seringkali kita tertipu kerana dorongan hawa nafsu, lantaran itu Allah melepaskan urusan perasaan itu kepada diri kita sendiri. Bila perasaan itu disandarkan kepadaNya maka Dia pasti akan membimbing perasaan itu untuk sampai kepadaNya. Maka ada juga yang menafikan perasaan itu lantaran takut dengan pengalaman lampau. Jesteru itu sesuatu yang telah ”terlepas” disebabkan kita tidak mengikat nikmat kurniaanNya , maka amatlah sukar untuk dimiliki kembali. Kita meminta dan memohon kemudian Allah swt mengurniakan kepada kita apa yang kita pohon tetapi amatlah sedikit diantara kita menghargai dan mensyukuri kurniaanNya. Maka bila sudah ”terlepas” pasti jiwa kita sendiri yang merana dek kealpaan diri sendiri.
BARANGSIAPA TIDAK MENSYUKURI NIKMAT BERMAKNA MEMBUKA JALAN UNTUK KEHILANGAN NIKMAT ITU. DAN BARANGSIAPA BERSYUKUR MAKA SESUNGGUHNYA DIA MENGADAKAN PENGIKAT BAGI NIKMAT YANG DIPEROLEHINYA
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...




