Apabila Aku sempurnakan
kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku ……
( Ayat 72
: Surah Saad )
Roh diumpamakan sebagai tubuh. Keupayaan
yang menghidupkan roh dipanggil nyawa. Apabila ia hidup ia mempunyai keupayaan
untuk melahirkan berbagai-bagai bakat. Keupayaan yang melahirkan kehendak
dinamakan nafsu. Keupayaan untuk melahirkan pengetahuan dinamakan akal.
Roh yang satu boleh dilihat melalui empat aspek. Aspek roh yang melahirkan
bakat-bakat seperti mendengar, melihat dan lain-lain dinamakan roh juga.
Aspek roh yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Aspek roh yang melahirkan
pengetahuan dinamakan akal. Aspek roh yang melahirkan kehidupan dinamakan
nyawa.
Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya
melalui sifat atau nilai yang ada dengan manusia sendiri walaupun sifat
manusia bukan sifat Tuhan. Dalam persoalan roh, aspek roh yang menghasilkan
bakat-bakat dikaitkan dengan sifat Kudrat. Nafsu pula dikaitkan dengan
sifat Iradat. Akal dikaitkan dengan sifat Ilmu. Nyawa dikaitkan dengan
sifat Hayat.
Kudrat Allah s.w.t yang memberikan
keupayaan kepada roh. Roh berperanan membekalkan bakat-bakat, keupayaan
serta tenaga. Kebolehan mendengar, melihat, berkata-kata, bergerak dan
lain-lain adalah merupakan pekerjaan roh. Roh mempastikan setiap bakat
itu pergi kepada alat atau pancaindera yang sesuai dengannya. Roh menghantarkan
bakat melihat kepada mata, mendengar kepada telinga, berkata-kata kepada
lidah dan bakat-bakat lain dihantar kepada pancaindera yang sesuai untuk
masing-masingnya. Roh dikaitkan dengan urusan Allah s.w.t. Sebab itu
pekerjaan roh adalah tepat dan sempurna. Roh tidak membuat silap, seperti
meletakkan bakat melihat kepada kaki atau bakat mendengar kepada lutut.
Dalam syariat roh diistilahkan sebagai malaikat. Malaikat yang menjaga
matahari, bulan, bintang dan planet-planet lainnya akan mengheret masing-masing
itu pada falak yang telah ditentukan oleh Tuhan dan maklumatnya telah dibekalkan
kepada malaikat atau roh masing-masing. Malaikat menjalankan perintah Tuhan
dengan tepat, tanpa kegoncangan yang datang daripada nafsu dan akal. Roh
atau malaikat secara semulajadinya mempunyai sifat hanya mentaati perintah
Allah s.w.t tanpa berfikir atau memilih. Malaikat angin yang diperintahkan
Allah s.w.t supaya membinasakan sesebuah negeri akan berbuat demikian tanpa
kasihan belas walaupun anak dipisahkan daripada ibu bapa, isteri dipisahkan
daripada suami dan banyak nyawa terkorban serta harta benda yang rosak.
Malaikat atau roh yang menghantar bakat melihat kepada mata akan terus
berbuat demikian walaupun mata itu digunakan untuk melihat sesuatu yang
dimurkai Allah s.w.t, melainkan jika Allah s.w.t memerintahkannya memberhentikan
penghantaran bakat tersebut. Jadi, roh pada aspek bakat-bakat adalah serupa
dengan malaikat yang menjalankan tugas tanpa rangsangan nafsu dan pertimbangan
akal.
Pada roh yang ditentukan untuk manusia
ada aspek yang dipanggil nafsu. Nafsu menjadi faktor yang membezakan manusia
dengan malaikat. Nafsu melahirkan kemahuan, perasaan, timbang rasa dan
seumpamanya. Nilai-nilai yang ada pada nafsu mempengaruhi haluan roh menggunakan
bakat-bakatnya. Jika tidak ada pengaruh nafsu, roh akan hanya menggunakan
bakat-bakatnya untuk perkara-perkara kebaikan yang diredai Allah s.w.t.
Peranan nafsu menyebabkan bakat roh boleh digunakan untuk kebaikan atau
kejahatan berdasarkan nilai-nilai yang menguasai nafsu. Tabiat nafsu yang
berbagai-bagai menyebabkan ia dikenali dengan berbagai-bagai nama, berdasarkan
kadar kebaikan atau kejahatan yang menjadi tabiat nafsu itu. Pada tahap
nafsu bertabiat paling buruk ia dikenali sebagai nafsu ammarah. Pada tahap
ia berkemampuan membezakan yang baik daripada yang buruk ia dinamakan nafsu
lawwamah. Pada peringkat nafsu lawwamah, mengenali dan mengakui keburukan
tidak menghilangkan sepenuhnya tabiat buruk itu daripada nafsu. Apabila
tabiat buruk itu sudah hilang sepenuhnya daripada nafsu ia dinamakan nafsu
mulhamah. Nafsu mulhamah, walaupun sudah tidak memiliki tabiat buruk tetapi
ia masih belum menetap dan boleh kembali dipengaruhi oleh tabiat buruk.
Jika ia sudah menetap, teguh dan tabiat buruk tidak sampai kepadanya lagi,
ia dinamakan nafsu muthmainnah. Nafsu yang berada dalam suasana muthmainnah
merupakan nafsu yang diredai Allah s.w.t dan dijamin syurga untuknya. Nafsu
yang bertaraf ahli syurga ini akan mengarahkan bakat-bakat roh kepada perkara-perkara
kebaikan sahaja.
Aspek roh yang berkait rapat dengan
keupayaan membuat pilihan, selain nafsu, adalah akal. Jika nafsu menjadi
pembeza di antara manusia dengan malaikat, akal pula menjadi pembeza di
antara manusia dengan haiwan. Akal memiliki keupayaan untuk berfikir, mengingat,
menimbang, berangan-angan dan seumpamanya. Bakat akal yang demikian berpusat
pada otak. Ia berguna bagi menguruskan perkara-perkara lahiriah seperti
bidang sains dan teknologi, sosial dan lain-lain bidang kehidupan. Akal
jenis ini mampu bergerak dalam sekop fitrah kemanusiaan tetapi tidak berupaya
melonjak kepada fitrah Muslim kerana ia lemah dalam perkara yang berkaitan
dengan ketuhanan. Akal yang berpusat pada otak disempadani oleh logik sedangkan
Tuhan tidak ada sempadan.
Bakat-bakat roh, nafsu dan akal boleh
dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama adalah kemanusiaan dan
yang keduanya kehambaan kepada Tuhan. Bakat-bakat roh, nafsu dan akal yang
berfungsi memenuhi keperluan hidup manusia secara lahiriah dinamakan kemanusiaan.
Bakat yang digunakan untuk beribadat kepada Allah s.w.t dan berbuat bakti
kepada makhluk Allah s.w.t kerana-Nya dinamakan kehambaan (ubudiah). Akal
yang berpusat pada otak adalah akal kemanusiaan. Ia tidak mampu menghayati
kebesaran, keagungan dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Akal yang berguna bagi
pengajian tentang ketuhanan adalah akal yang berhubung dengan hati nurani,
yang bersuluhkan cahaya petunjuk Tuhan
Dan demikianlah Kami
wahyukan kepada engkau satu roh dari urusan Kami. Padahal (jika tidak demikian)
tidaklah engkau tahu apa itu kitab dan apa itu iman. Kami jadikan ia nur
yang Kami beri petunjuk kepada barangsiapa yang Kami kehendaki daripada
hamba-hamba Kami.
( Ayat 52
& 53 : Surah asy-Syura )
Aspek bakat-bakat roh, nafsu dan
akal yang ada perkaitan dengan roh urusan Tuhan itulah yang mampu menyatakan
kehambaan kepada Tuhan. Nur atau cahaya roh urusan Tuhan menjadikan alam
ghaib terang benderang sehingga bakat-bakat roh boleh melakukan ibadat
kepada Allah s.w.t, nafsu boleh mengasihi Allah s.w.t dan akal pula dapat
merenungi bidang ghaib sehingga mendapat pengetahuan tentang Tuhan.
Roh dengan bakat-bakatnya, nafsunya
dan akalnya tidak boleh berfungsi jika tidak ada penghidupan atau nyawa.
Allah Yang Maha Hidup mengurniakan penghidupan kepada roh urusan-Nya dan
roh urusan Tuhan menggerakkan Roh Insan untuk hidup. Penghidupan atau nyawa
roh itu, yang juga diistilah sebagai roh, bukanlah Hayat Allah s.w.t. Allah
s.w.t memiliki Hayat yang Mutlak sebab itu Dia berkuasa menciptakan penghidupan
atau nyawa yang tidak Mutlak untuk makhluk-Nya. Nyawa Insan (roh) hanyalah
makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan sifat Hayat Allah s.w.t. Walaupun begitu
kejadian roh (nyawa) ini mengatasi segala kejadian yang lain kerana apa
juga bentuk kewujudan hanya boleh berfungsi setelah digerakkan oleh nyawa.
Nyawa (roh) yang istimewa ini adalah nyawa bagi roh, bukan nyawa bagi jasad.
Ciptaan roh bernyawa (hidup) dikaitkan dengan tiupan Roh Allah s.w.t. Sebelum
ada roh, tidak ada bakat-bakat, tidak ada malaikat. Sebelum ada nyawa tidak
ada penghidupan. Dalam suasana tidak ada malaikat sebagai pemangkin atau
penghijab dan tidak ada penghidupan sebagai penggerak, Tuhan menciptakan
roh yang bernyawa. Roh itu menjadi bernyawa kerana tiupan Roh Allah s.w.t.
Ciptaan roh bernyawa ini merupakan ciptaan secara langsung tanpa perantaraan
malaikat. Pada ciptaan yang paling istimewa ini perantaraan hanyalah hijab
ketuhanan atau sifat Tuhan. Roh bernyawa yang berhijabkan sifat Tuhan inilah
yang diistilahkan sebagai tiupan Roh Allah s.w.t.
Roh yang berhijabkan hijab ketuhanan
itu merupakan ciptaan Tuhan yang paling murni, paling istimewa dan paling
mulia. Setelah roh yang paling murni itu diciptakan ia berfungsi pula sebagai
pemangkin atau penghijab kepada ciptaan-ciptaan Tuhan yang lain. Jadi,
roh yang paling murni itu adalah ciptaan kelas pertama dan kejadian yang
lain adalah ciptaan kelas kedua. Roh yang paling murni atau latif itu lebih
murni daripada cahaya malaikat. Malaikat tidak berupaya menyaksikannya.
Kedudukan roh yang paling latif itu satu tingkat lebih tinggi daripada
tingkat terakhir yang dipijak oleh Jibrail pada malam Israk dan Mikraj.
Walaupun Jibrail merupakan salah satu makhluk bangsa nur yang latif tetapi
kelatifan nur Jibrail lebih rendah daripada kelatifan roh yang paling latif
itu. Sebab itu Jibrail tidak dapat memasuki medan nur roh yang paling latif
itu.
Roh yang paling latif itu adalah roh Nabi Muhammad s.a.w atau biasanya
di kalangan ahli tasauf dipanggil Roh Muhammad. Kelatifan roh baginda s.a.w
itulah yang menjadi hijab melindungi baginda s.a.w melalui pergeseran alam
ghaib, sehingga baginda s.a.w sampai kepada Arasy iaitu medan nur roh yang
paling latif itu. Nabi Muhammad s.a.w kembali ke tempat asal roh baginda
s.a.w, tempat yang tidak ada makhluk lain kecuali nur yang latif itu.
Tuhan berkehendak mengadakan kenyataan
kepada roh yang paling latif itu dan untuk itu Dia ciptakan jasad Adam
a.s. Setelah jasad Adam a.s sempurna diciptakan, Tuhan ‘hubungkan’ roh
yang paling latif itu dengan jasad tersebut. Hubungan itu menyebabkan Adam
a.s menjadi hidup dengan mempunyai rohnya sendiri, yang ‘menumpang’ bakat
kehidupan kepada roh yang latif. Walaupun jasad Adam a.s dijadikan daripada
tanah tetapi rohnya berkait dengan roh yang paling latif, malah roh Adam
a.s atau Roh Insan adalah bakat roh yang paling latif itu. Tidak putus
hubungan roh individu dengan roh yang menjadi sumber kepada kewujudan roh-roh.
Roh yang paling latif, roh Nabi Muhammad
s.a.w, sumber kepada Roh-roh Insan, berkedudukan sebagai khalifah Allah
s.w.t, utusan-Nya atau urusan-Nya yang melaksanakan perintah Allah s.w.t.
Ia menyimpan segala maklumat mengenai segala yang Tuhan mahu ciptakan.
Roh urusan Tuhan itulah yang bertugas dengan tepat memastikan apa yang
Tuhan kehendaki itu terlaksana dengan tepat.
Dan tidak Kami utuskan
engkau
(Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.
( Ayat 107
: Surah al-Anbiyaa’ )
Bakat kekhalifahan roh yang paling
latif itu hanya menjadi kenyataan setelah Adam a.s diciptakan. Adam a.s
dan keturunan beliau a.s menjadi bekas menterjemahkan bakat-bakat khalifah
Allah s.w.t yang menjadi urusan Allah s.w.t. Roh Insan yang diterangi oleh
roh yang paling latif, yang hanya dihijabkan oleh hijab ketuhanan, dibekalkan
dengan kebolehan untuk mengalami suasana Hadrat Ilahi, merasai kehadiran
Tuhan serta mengenali Tuhan dalam aspek yang ada hubungan dengan makhluk
dan Tuhan dalam aspek yang melampaui segala bentuk perhubungan dengan makhluk.
Roh Insan yang diterangi oleh roh yang paling latif mengenali Allah s.w.t
secara tasybih dan tanzih. Hadrat Ilahi atau hakikat yang dialami oleh
Roh Insan diistilahkan sebagai Rahsia-rahsia Allah s.w.t. Rahsia-rahsia
Allah s.w.t yang dikurniakan kepada Roh Insan tidak diketahui oleh makhluk
yang lain. Oleh yang demikian makhluk yang lain mesti akur dengan kedudukan
insan sebagai khalifah Allah s.w.t. Oleh kerana Adam a.s yang menyatakan
kekhalifahan itu maka sekalian makhluk mesti akur dengan kedudukan Adam
a.s sebagai ciptaan Tuhan yang menanggung Rahsia Allah s.w.t yang paling
mulia. Sekalian makhluk mesti tunjukkan bukti penerimaan tersebut dengan
cara sujud menghormati Adam a.s.
Intipati kepada roh adalah aspeknya
yang melahirkan penghidupan, yang diistilahkan sebagai nyawa, seumpama
air yang mengalir kepada seluruh tubuh, menggerakkan semua bakat-bakat.
Atas dasar perkaitan roh dengan jasad, aspek nyawa itu dinamakan Nyawa
Insan. Ada juga yang menamakannya Insan Batin. Ada juga yang memanggilnya
Insan Rahsia Allah s.w.t, bagi menggambarkan hubungannya dengan Hadrat
Ilahi (Rahsia Allah s.w.t). Selain itu ada pula yang memanggilnya diri
yang sebenarnya. Oleh kerana kedudukan hubungannya dengan Hadrat Tuhan
maka dialah yang benar-benar bertaraf hamba Tuhan, yang tahu melakukan
kehambaan kepada Tuhan sebagaimana yang Tuhan kehendaki. Jika dia berhenti
bekerja maka semua bakat-bakat akan berhenti berfungsi. Jika dia menyembah
Allah s.w.t maka semua bakat-bakat menyembah Allah s.w.t.
Roh mempunyai keupayaan untuk menghidupkan
jasad dan menggerakkan bakat-bakat yang ada pada jasad. Kesan daripada
tindakan roh, jasad menjadi hidup dan keupayaan yang menghidupkan jasad
itu dinamakan nyawa bagi jasad. Nyawa yang menghidupkan jasad ini biasanya
dipanggil Roh Haiwani. Roh yang menggerakkan Roh Haiwani itu dinamakan
Roh Insani. Roh Haiwani menghidupkan jasad. Roh Insani pula memperolehi
kehidupan daripada Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Apabila Roh
Insani berhenti ‘membekalkan’ Roh Haiwani, jasad akan mengalami kematian,
tetapi Roh Insan tidak mati walaupun jasad sudah mati. Oleh sebab itu kematian
jasad tidak menyelamatkan manusia daripada soal-jawab di dalam alam kubur.
Alam kubur merupakan salah satu daripada pintu syurga atau pun pintu neraka.
Insan yang hidup di dalam kubur akan memandang kepada salah satu tempat
kesudahannya, sama ada syurga atau neraka. Wap bahagia atau celaka sudah
dapat dirasakan oleh ahli syurga sekalipun kiamat belum berlaku.
Roh Haiwani atau nyawa kepada jasad
bekerja melalui pernafasan, iaitu udara yang keluar masuk melalui hidung
dan mulut dan juga aktiviti turun naik di dalam jantung yang mengalirkan
darah ke seluruh tubuh. Roh Haiwani dan aktiviti jasad berkait rapat. Jika
pengaliran udara ke dalam jasad ditahan atau aktiviti jantung diberhentikan,
Roh Haiwani tidak berupaya lagi menghidupkan jasad. Jadi, nyawa jasad dan
jasad saling bergantungan, saling perlu memerlukan. Tubuh yang sihat dengan
jangka hayat nyawa jasad ada kaitan.
Kesatuan bakat-bakat roh, nafsu,
akal dan nyawa dinamakan rohani atau hati nurani yang bertaraf hamba Tuhan
yang sebenarnya. Dalam keadaan yang asli, tanpa pengaruh alam jasad dan
alam benda, rohani berkedudukan sebagai insan yang sempurna. Rohani dikuasai
oleh sifat Wahdaniah, iaitu rohani menyaksikan keesaan Allah s.w.t, tidak
menyengutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Kecenderungan rohani hanya satu
iaitu melakukan ubudiah atau kehambaan kepada Allah s.w.t.
Dan (ingatlah) tatkala
Tuhan engkau mengambil dari anak-cucu Adam dari tulang-tulang punggung
mereka, dan Dia jadikan mereka saksi atas diri mereka sendiri: “Bukankah
Aku Tuhan engkau?” Semua menjawab: “Memang, kami menyaksikan”. Supaya jangan
kamu berkata di hari kiamat: “Sesungguhnya kami lalai dari ini”. Atau supaya
tidak kamu katakan: “Yang musyrik itu hanyalah bapa-bapa kami yang dahulu
sedangkan kami ini hanyalah keturunan sesudah mereka. Maka apakah Engkau
akan membinasakan kami lantaran apa yang dikerjakan oleh orang-orang yang
berbuat salah?” Dan demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat itu supaya mereka
kembali. ( Ayat 172 – 174 : Surah al-A’raaf )

