AR RAHIM
( Maha Penyayang )
Yang dimaksudkan dengan penyayangnya Allah sangat berbeza dengan
penyayangnya manusia. Kebanyakkan sayangnya manusia akan sesuatu mempunyai
latar belakang, yang mana disebalik kesayangan terselit sesuatu yang
diharapkan. Tetapi Allah tidaklah demikian halnya. Manusia yang soleh dan taat
beribadat bukanlah ibadahnya untuk kepentingan Allah tetapi untuk kepentingan
peribadinya masing-masing. Allah tidak akan berkurang kemuliaanNya dan
kekayaanNya apabila semua penduduk bumi tiada seorang pun menyembah kepada-Nya.
Jadi persembahan seseorang terhadap Allah adalah untuk kepentingan dirinya.
Dunia dijadikan oleh Allah untuk memberi kesempatan berbuat kebaikan serta
mengabdikan diri kepada-Nya sebagai bekalan yang akan di bawa ke akhirat.
Firman Allah Taala bermaksud ;
“Bukankah telah Kami jadikan bumi
itu hamparan dan gunung-ganang sebagai pasak, dan telah Kami jadikan kamu
berpasang-pasang dan Kami jadikan tidur kamu untuk berlepas lelah dan Kami
jadikan malam sebagai pakaian, dan telah Kami jadikan siang untuk penghidupan”-
An Naba’ : 6-11.
Betapa indahnya susunan ayat-ayat yang tersebut di atas yang menyatakan
Allah Ar Rahim ( Allah Maha Penyayang) ke atas makhlun-Nya yang bernama manusia
dengan beberapa perbincangan seperti berikut;
1.
Bumi Sebagai Tempat Tinggal
2.
Faedah Pergunungan
3.
Sifat Dan Setiap Yang Hidup Berpasangan
4.
Tidur Untuk Istirehat
5.
Malam Sebagai Selimut
6.
Siang sebagai Pakaian
BUMI SEBAGAI TEMPAT TINGGAL
Firman Allah Taala bermaksud “Bukankah
telah Kami jadikan bumi itu sebagai hamparan? ”- An Naba’:6
Allah dengan Rahim-Nya menciptakan bumi sebagai hamparan untuk
kehidupan manusia guna menjadi tempat tinggal, tempat hidup dan tempat
berkehidupan, di mana manusia bertebaran di muka bumi mencari rezeki di
mana-mana ia sukai.
Firman Allah Taala bermaksud “Dan sesungguhnya telah Kami tempatkan di
bumi ini dan telah Kami jadikan untuk kamu di dalamnya beberapa penghidupan.
Sedikitlah kamu yang bersyukur”- Al ‘Araf : 10
Demikianlah Allah dengan Rahim-Nya telah menghidupkan manusia di muka
bumi yang dilengkapi dengan segala keperluannya berupa tumbuh-tumbuhan dan
haiwan yang merupakan keperluan hidup. Sayang sekali hanya sedikit manusia yang
tahu bersyukur.
FAEDAH PERGUNUNGAN
Firman Allah Taala bermaksud “
Dan gunung-ganang sebagai pasak” – An
Naba’ : 7
Dengan adanya gunung-ganang sebagai pasak untuk mengukuhkan hamparan
bumi. Dengan ada gunung –ganang dan jurang-jurang yang ditumbuhi oleh pepohonan
yang hijau rendang, mengalirlah dari celah-celahnya sungai-sungai, yang mana
sungai-sungai berasal dari endapan air yang diserap oleh humus-humus dari
hutan-hutan yang menghasilkan sungai-sungai.
Jadi nyatalah bahawa tanpa gunung-ganang dan pepohonan yang hidup
diatasnya, tidak akan terjadi sungai-sungai yang mengalir sepanjang masa selama
tidak dirosakkan oleh tangan manusia. Apabila bumi ini hanya merupakan hamparan
yang datar dan rata tentu saja curahan hujan dari langit tidak dapat bertahan
pada suatu tempat, maka terjadilah malapetaka di muka bumi ini kerana banjir
atau kekeringan. Inilah faedahnya gunung dan lembah yang menghasilkan sungai
yang menahan dan mengalirkan air sepanjang masa.
SIFAT DAN SETIAP YANG HIDUP
BERPASANG-PASANGAN
Firman Allah Taala bermaksud “ Dan
telah Kami jadikan kamu berpasang-pasangan” – An Naba’ : 8
Bila diteliti lebih dalam lagi, memang Allah menjadikan alam ini
sungguh lengkap. Dengan adanya pasangan jantan dan betina, lelaki dan
perempuan. Dengan demikian itulah Allah menciptakan alam seluruhnya, adanya
langit dan bumi, adanya awal dan akhir, lahir dan batin, dunia dan akhirat yang
kalau digali tidak terhitung jumlah pasangannya.
Dengan Firman Allah dijelaskan :-
“Amat Sucilah Penguasa yang menciptakan semuanya berpasang-pasangan ,
dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan diri mereka sendiri dan dari apa yang
belum pernah mereka ketahui” – Yassin : 36
Begitu dalam rahsia yang tersimpan dalam ayat ini, semakin banyak
manusia mengetahui pasangan-pasangan sesuatunya di bumi ini semakin tahulah
manusia itu, bahawa lebih banyak lagi yang belum diketahuinya, yang mana dengan
pasangan-pasangan ini, manusia semakin lama semakin berkembang dan turut juga
isi alam ini bertambah untuk kepentingan manusia sejagat.
Begitulah juga pasangan-pasangan dari sifat-sifat yang ada umpamanya buruk
dan baik, senang dan susuah, malang dan mujur, semunya dijadikan oleh Allah
Taala agar manusia diberikan kebebasan untuk menempuh jalan hidupnya masing-masing
dan diberi pula bimbingan yang lengkap.
TIDUR UNTUK ISTIREHAT.
Firman Allah Taala bermaksud “Dan
telah Kami jadikan tidur kamu untuk istirehat” – An Naba’ : 9
Manusia yang hidup memerlukan bangun dan tidur. Tiada seorang pun yang
sanggup bangun tanpa tidur atau tidur tanpa bangun dalam kehidupan normal,
kecuali seseorang itu mengalami penyakit. Manusia tidak akan boleh hidup tanpa
tidur. Siapakah Tuhan selain dari Allah Taala yang sanggup membuat seseorang
tidur, membuatkan seseorang mengantuk serta menjadikan bangun (terjaga) ?...
Apabila ada para ahli sihir atau hipnotis membuat orang menjadi tidur, bolehkah
dia menidurkan ramai orang sekaligus, atau menidurkan dirinya sendiri? Sandiwara
mereka sangat terbatas tetapi ramai yang mempercayainya. Siapa yang sanggup
menidurkan bumi yang mengalami malam? Dan membangunkan di bumi yang mengalami
siang?. Jawabnya, hanya Allah Taala Yang Maha Pengasih yang sanggup melaksanakannya.
Betapa kecilnya manusia disisi Allah yang hanya dapat dirasakan bagi orang yang
mahu berfikir. Sebagaimana firman-Nya bermaksud “ Diantara tanda-tanda (kebesaran-Nya) , menidurkan kamu pada malam dan
siang memenuhi keperluanmu dari kurniaan-Nya. Hal yang demikian itu menjadi
tanda bagi orang yang mahu mendengar” – Ar Rum : 23.
Hanya bagi orang yang mahu menerima kebenaran saja yang dapat merasakan
kebenaran ayat ini. Hidup manusia sudah
diatur sedemikian rupa, siangnya dibangunkan untuk mencari sara hidup dan
malamnya ditidurkan sebagai istirehat dari kepenatan disiang hari. Alangkah
RahimNya Allah Taala kepada makhlukNya yang bernama manusia yang diberikan akal
fikiran untuk mengatur dan menyelamatkan dirinya.
MALAM SEBAGAI SELIMUT
Firman Allah Taala bermaksud “Dan
telah Kami jadikan malam sebagai selimut” – An Naba’ : 10
Menurut Ibnu Jarir At Thabiri “ Gelap malam itu meliputi seluruh diri
kamu bagaikan pakainan yang menutupi dirimua”. Dan menurut tafsiran Ibnu Jubair
dan As Suddy “ Ketenangan doa kerana nyenyak tidur untuk membangkitkan tenaga
baru untuk hari esok”. Jadi kalau kita renungkan lebih halus, kita kembali
kepada apa yang tercantum dalam ayat ini bahawa malam sebagai pakaian memmang
tepat sekali kerana pakaian menyelimuti tubnuh dari panas dan dinginya udara
serta gangguan-gangguan lainnya yang datang dari luar yang pada hakikatnya
gelap malam telah memberikan kesenangan dan kenyamanan dalam tidur sebagai
keperluan rohani dan jasmani yang mutlak , memang sangat diperlukan.
SIANG SEBAGAI PAKAIAN
Firman Allah Taala bermaksud “Dan
telah Kami jadikan siang sebagai penghidupan” – An Naba’ : 11.
Alangkah berbahagianya manusia yang dapat menyesuaikan hidupnya dengan
tuntutan ayat-ayat ini, hal mana dia dapat mencari keperluan hidup di siang
hari dan malamnya untuk istirehat sambil menanti hari esoknya lagi. Siang hari
berusaha seperti Nabi SAW dan para sahabat, dan malam harinya beristirehat
serta bermunajat kepada Allah Taala sbg hambaNya yang bersyukur.
Sayang Allah Taala sangat berbeza dengan sayangnya manusia. Manusia
berbuat-buat sayang kerana mengharapkan sesuatu kepada yang disayangi tetapi
Allah berbuat sayang tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari makhlukNya. Hanya
Allah mahukan makhlukNya tidak sesekali menyekutukan DiriNya dengan sesuatu
yang lain.
***************
Setelah kita berkongsi huraian Allah, Ar Rahman & Ar Rahim secara ringkas, insyaAllah dalam perkongsian akan datang Musafir Fakir akan cuba berkongsi tentang Rahsia Bismillah.... Bizinillah.

