AR RAHMAN
(Yang
Maha Pengasih)
Yang dimaksudkan dengan Maha Pengasih adalah Maha Pemberi yang
memberikan sesuatu kepada setiap makhluk-Nya yang diciptakan di seluruh alam
maya ini, sebesar-besar dan sebanyak-banyak pemberian tanpa mengurangi kekayaan-Nya.
Pemberian yang diberikan-Nya kepada manusia sangat intimewa dari pemberian
kepada makhluk yang lain seperti firman-Nya bermaksud:
“ Yang Maha Pengasih, yang
mengajarkan Al Quran, yang menciptakan manusia, yang mengajarkan kepadanya
berkata-kata” – Ar Rahman : 1-4
Pada perkongsian ini, mari kita cuba menghuraikan beberapa isu
antaranya :-
1.
Kerahiman Allah Taala terhadap manusia.
2.
Al Quran sebagai petunjuk.
3.
Manusia makhluk yang paling mulia.
4.
Keistimewaan manusia dalam bahasa.
5.
Manusia sebagai makhluk sosial.
KERAHIMAN ALLAH TAALA
TERHADAP MANUSIA
Firman Allah Taala bermaksud – “ Yang
Maha Pengasih ” – Ar Rahman : 1
Maksud dari perkataan Ar Rahman adalah amat luas, kalimat dalam
pengambilannya adalah rahmat yang bermaksud kasih, sayang, cinta dan pemurah.
Ar Rahman meliputi dari segi kehidupan manusia dan terbentang di dalam segala
makhluk yang wujud dalam dunia ini.
Di dalam ayat-ayat Al Quran kita akan bertemu dengan ayat-ayat yang
menyebutkan rahmat Allah Taala, tidak kurang dari enam puluh kali (60) dan
“rahim” sebanyak seratus kali (100) dan dengan jelas pula Allah Taala berfirman
yang bermaksud –
“ Dia telah memastikan pada
diri-Nya sendiri supaya memberi rahmat” – Al An’am : 12
“ Dan Rabb engkau itu adalah
Kaya, Dia mempunyai rahmat”- Al An’am
: 133
Maka di dalam ayat yang tercantum di atas ini dengan sifatnya yang
paling meminta perhatian kita iaitu Ar-Rahman, maka sayugianyalah kita sebagai
insan akan mengikuti sifat Ar Rahman itu sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah
Hadis Nabi SAW bermaksud :
“ Kasihanilah olehmu orang yang berada di muka bumi, agar kasih pula
kepada engkau Rabb yang di langit” – Riwayat Sunan Tirmizi.
AL QURAN SEBAGAI PETUNJUK
Firman Allah Taala bermaksud – “Yang mengajarkan Al Quran” – Ar Rahman
: 2
Salah satu Rahman dan kasih sayang-Nya kepada manusia dengan
diajarkan-Nya Al Quran iaitu wahyu Ilahi yang diturunkan melalui Nabi Muhammad
SAW yang dengan sebab Al Quran itu manusia mendapat petunjuk ke jalan yang
lurus. Hanya kepada manusialah diberikan Al Quran yang membawanya dari alam
gelap kepada cahaya.
Firman Allah Taala bermaksud – “Dan tidaklah Kami utuskan engkau
(Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam” – Al Ambiya’ : 107.
Rahmat Ilahi yang utama adalah ilmu pengetahuan yang dianugerahkan
Allah Taala kepada manusia dengan isyarat-isyarat di dalam Al Quran sebagai
sumber yang hak.
MANUSIA MAKHLUK YANG PALING
MULIA
Firman Allah Taala bermaksud – “Yang
menciptakan manusia” – Ar Rahman :3
Penciptaan manusia adalah salah satu di antara Rahman Allah Taala
kepada alam ini, kerana sebegitu banyak makhluk-Nya di alam ini , manusialah
satu-satunya yang paling mulia.
Sebagaimana firman Allah Taala bermaksud :
“Dan sesungguhnya Kami telah
memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai
kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka
dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan
selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” –Al Isra’ : 70
Dengan akal fikiran yang diberikan Allah Taala kepada manusia,
menjadikan manusia dapat menyesuaikan dirinya dengan alam, mengolahnya dan
menfaatkannya. Dengan ilmu manusia telah dapat menikmati rezeki yang baik.
Dengan ilmu manusia telah mampu menjelajahi darat, laut dan udara dengan
bermacam-macam alatan yang memberi kemudahan. Dengan ilmu juga manusia telah
dapat memanfaatkan isi perut bumi sebesar-besar manfaat yang mana semuanya itu
datangnya dari Allah Taala. Demikianlah Rahman Allah Taala yang hanya dapat
dirasakan bagi orang-orang yang berfikir.
KEISTIMEWAAN MANUSIA DALAM
BAHASA
Firman Allah Taala – “ Yang
mengajarkan kepadanya berkata-kata” – Ar
Rahman : 4
Ungkapan yang terasa dalam hati manusia hanya boleh disampaikan dalam
bentuk bahasa. Satu kelebihan lagi yang diberikan kepada manusia oleh Allah
Taala dengan Rahman-Nya iaitu mengenai bahasa. Inilah yang disebut dalam bahasa
Arab ‘Al Bayaan’ . Tidak satu makhluk pun di dunia ini yang diberikan kepadanya
bahasa seperti yang dianugerahkan Allah Taala kepada manusia. Kepada makhluk
hidup seperti haiwan , bahasanya sangat terbatas.
Seluruh haiwan di atas muka bumi ini mempunyai bahasanya masing-masing
sesuai dengan jenisnya, tetapi dengan ragam bahasa yang sama. Buktinya, bila
ayam berkokok di kampung halaman kita, maka kokonya akan sama di mana sahaja
dalam dunia ini. Bila kuda meringkik di
Timur Tengah, sama saja bunyi ringkiknya dengan kuda di Eropah dan di mana
sahaja.
Tetapi lain halnya dengan manusia sebagai makhluk sosial yang
dianugerahkan bahasa sebagai alat komunikasi anatara sesama manusia di atas
muka bumi ini.
Siapakah yang menciptakan dan mengatur segalanya ini? Maka jawabnya “ Allah Taala dengan Rahman-Nya sebagai Maha
Pemberi” .
MANUSIA SEBAGAI MAKHLUK SOSIAL
Sedikit mengenai manusia sebagai makhluk sosial, bahawa manusia itu
tidak boleh hidup bersendirian tanpa dengan bantuan manusia yang lain. Seorang
hartawan yang serba kaya tidak boleh hidup tanpa bantuan petani yang
kehidupannya bercucuk tanam dan hasil tanaman menjadi makanan semua manusia.
Begitu juga petani tadi memerlukan kain untuk dijadikan pakaian maka adanya
manusia yang terlibat dalam bidang fabrik untuk menghasilkan kain. Begitulah
kehidupan manusia sebagai makhluk sosial yang saling memerlukan antara satu
sama lain.
Firman Allah Taala bermaksud :
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami
menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenali.
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah yang
paling taqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Halus” – Al Hujurat : 13
Pada ayat diatas Allah Taala menyeru kepada seluruh umat manusia secara
umum tanpa membezakan suku bangsa dan agama masing-masing supaya saling kenal
mengenali, menjelmakan dan membudayakan kasih sayang agar dapat tolong menolong
sesuai dengan sifatnya ‘Ar Rahman’ Yang Maha Pengasih. Saling kenal mengenali
dan saling bantu membantu , hanya dapat dihubungkan dengan bahasa atau ‘Al
Bayaan’ .
----------------------------------------------------------------------------------------
----------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

