Firman Allah swt bermaksud :-
“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap akan menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu” – Surah Muhammad : 31
Kehidupan manusia di alam maya ini tidak akan terlepas dengan ujian Allah swt walau sesaat pun sejak lahir hinggalah ke saat sakaratulmaut. Sejak keluar dari rahim ibu hinggalah seseorang itu mencapai akil baligh atau mumaiz, sedikit pun Allah swt tidak minta dipulangkan atau dibayar semula setiap apa yang kita gunakan termasuklah udara yang kita gunakan, makanan yang kita pakai, pakaian yang kita pakai hatta serba serbinya diberikan oleh Allah swt kepada manusia secara ”Free Of Charge” .
Apabila manusia mencapai akil baligh atau mumaiz, maka barulah Allah swt meminta dipulangkan atau dibayar setiap apa yang kita gunakan. Maksud dipulangkan atau dibayar semula ini bukanlah seperti memulangkan barang atau membayar dengan duit, tetapi memulangkan dan membayar semula dengan ”ingat kepada Allah swt dalam keadaan syukur, ikhlas, redha dan sabar sama ada di dalam keadaan senang atau susah” .
Perjalanan hidup setiap insan di muka bumi ini telah ditetapkan dan tercatat di Luh Mahfuz. Dan tidak mungkin perbuatan manusia di dunia ini mampu mengubah ketetapan yang telah tertulis. Mengapa Allah swt rahsiakan setiap perjalanan hidup insan? .....Semata-mata untuk menguji dan menzahirkan kebenaran yang telah tertulis di Luh Mahfuz.
Firman Allah swt bermaksud :-
”Dan ada diantara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau dia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu dan kalau pula dia di timpa fitnah kesusahan, berbaliklah dia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah dia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata” – Surah Al Hajj : 11
Manusia merancang dan memilih, Allah swt juga merancang dan memilih tetapi perancangn dan pilihan Allah swt yang terbaik. Perancangan dan pilihan Allah swt mendahuli perancangan dan pilihan manusia itu sendiri. Allah swt tidak melarang manusia untuk membuat perancangan dan membuat pilihan, tetapi natijah daripada perancangan dan pilihan yang manusia buat itu telah terdahulu berada di dalam IlmuNya dan telah terdahulu berada di dalam Kudrat dan Iradah Allah swt.
Di sini kita memerlukan pemahaman yang cukup jelas supaya kita dapat merasai ”Kemanisan Musibah” . Mari kita sama-sama fahami beberapa kupasan yang serba ringkas ini. Manusia membuat perancangan dan pilihan di dalam setiap perkara sepanjang perjalanan hidup di dunia ini. Manusia normal akan merancang untuk menyediakan yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga. Malahan manusia merancang untuk membina sesuatu yang terbaik untuk masyarakatnya. Dalam merancang sesuatu manusia akan membuat pilihan ini kerana dalam satu-satu masa manusia hanya berpeluang memilih satu di antara dua. Pilih kanan atau kiri. Pilih depan atau belakang. Pilih atas atau bawah. Pilih hitam atau putih. Pilih ya atau tidak. Pilih kegelapan atau nur . Serba serbinya manusia membuat pilihan dan perancangan. Kesungguhan dan kesibukan manusia merancang dan membuat pilihan ini membuatkan manusia selalu lupa tujuan Allah swt menciptakan manusia dan jin di atas muka bumi ini. Tidak salah merancang dan memilih tetapi bila kita meletakkan Allah swt diluar perancangan dan pilihan kita maka disini timbulnya ruang-ruang untuk Iblis dan bala tenteranya menyerang hati-hati manusia. Maka mana mungkin kita boleh merasai kemanisan musibah.
Bagi yang dianugerahkan mata hati, dapat melihat dengan jelas bahawa semuanya adalah perancangan dan pilihan Allah swt. Perancangan dan pilihan kita tidak akan mampu mengatasi ”kota takdir Allah swt” . Biar sehebat mana kita sekali pun, biar setebal mana iman kita sekali pun kota takdir Allah swt pasti tidak akan rosak dengan perbuatan dan perancangan manusia.
Bagaimana dengan Firman Allah swt bermaksud :-
”Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu berusaha untuk mengubahnya” – Surah Ar Raddu : 11 .
Perlu difahami bahawa di dalam Al Quran terdapat ayat-ayat sebagai ”motivasi” kepada manusia untuk berusaha seperti yang Nabi saw ajarkan kepada umatnya. Ini adalah sebagai tarikan kepada manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah swt secara sedikit demi sedikit bagi membina kembali hakikat kebenaran Kekuasaan-Nya kepada sekalian mahluk yang ada di dunia ini. Allah swt Maha Mengetahui tahap keimanan seseorang dan Dia juga yang memiliki ”pintu hidayah” untuk dikurnikan kepada sesiapa yang dikehendaki.
Begitulah juga dengan Firman Allah bermaksud :-
”Masuklah syurga dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan di dunia dahulu” – Surah Nahl : 32
Ini merupakan ayat motivasi kepada manusia semata-mata untuk mengajak manusia kembali kepada Allah swt. Seperti mana kita melatih anak-anak kecil berpuasa di bulan ramadhan tentunya kita sebagai ayah atau ibu akan memberikan ganjaran sebagai motivasi untuk dijadikan tarikan kepada mereka. Setelah mereka sudah biasa berpuasa di bulan ramadhan lama kelamaan akan timbul dengan sendirinya di dalam hati untuk mencari rahsia berpuasa yang sebenar dan hakikat yang ada pada syariat Nabi saw itu.
Demikianlah hadis Nabis saw bermaksud :-
”Seseorang itu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dengan sebab amalannya” – Riwayat Bukhari 10/109 . Riwayat Muslim 2816. Riwayat Ibnu Majah 4201. Riwayat Imam Ahmad 2/235.
Inilah yang dinamakan hakikat. Rahsia yang tersirat pada yang tersurat ada dihadapan mata kita. Namun hanya mereka yang benar-benar mencari kebenaran pasti akan menjumpai ”cahaya di dalam cahaya” .
Firman Allah swt bermaksud :-
”Mereka yang bersungguh-sungguh datang menuju Kami, pastilah Kami akan menunjuki mereka jalan-jalan Kami”- Surah Al Ankabut : 69
Firman Allah swt bermaksud :-
”Hai manusia sesungguhnya kamu telah berjuang dengan bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, pasti kamu akan menemuiNya”- Surah Al Insyiqaad : 6
Maka apa yang penting disini bukanlah persoalan manusia boleh membuat pilihan atau tidak tetapi apa yang lebih penting adalah adakah kita mengambil ikhtibar dengan natijah yang berlaku. Apa yang kita rancangan dan pilih itu berjaya dan betul itu adalah kerana telah tertulis di Luh Mahfuz. Yang tersirat dari itu adalah adakah kita mengembalikannya kepada Allah swt atau tidak? Adakah kita bersyukur atau tidak? Inilah ujianNya yang sebenar. Kalau pun apa yang kita rancang dan pilih itu tidak berhasil, ianya juga telah tertulis di Luh Mahfuz. Yang tersirat dari itu adalah adakah kita sabar dan redha dengan ketetapanNya atau tidak? Inilah juga ujianNya yang sebenar.
Firman Allah swt bermaksud :-
”Mereka mengatakan dengan mulutnya sesuatu yang tiada di dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui dari apa yang mereka sembunyikan”- Surah Ali Imran : 116
Inilah yang dikatakan hakikat yang ingin dikongsikan bersama. Walaupun ada diantara kita yang tidak boleh menerima kenyataan ini, ianya tidak bermakna mereka itu salah mentafsir kebenaran hakikat. Mungkin mereka ada alasan-alasan yang membuatkan mereka menolak penjelasan yang Musafir Faqir kongsikan ini. Alakulihal semuanya terpulang pada Istihaj dan kemahuan masing-masing. Man jadda wa jada.
Dimana sahaja kita berada dan dalam wadah apa perjuangan yang kita sertai, jangan sesekali kita melupai Hakikat yang tersirat. Perjuangan menegakkan agama Allah swt itu wajib tetapi menegakkan Hakikat dalam diri itu lebih wajib dan lebih utama. Kekuatan Islam itu bukan terletak pada jumlah penganutnya. Kekuatan Islam itu bukan terletak pada manhaj semata-mata. Tetapi rahsia kekuatan Islam itu sendiri adalah terletak pada TAUHID yang benar-benar kukuh lagi jelas tentang kebenaran Hakikat tempat berdirinya Syariat. Maka sudah pasti manusia akan berjalan pada jalan Tarekat dengan penglihatan Makrifat.
Inilah kebenaran dari ikhtibar sirah, tentera yang sedikit mampu mengalahkan tentera yang ramai. Malahan terbukti kekuatan TAUHID yang sebenar-benarnya didalam hati setiap tentera Islam, maka tentera Muhammad Al Fateh berjaya menawan Constatinopal.
Firman Allah swt bermaksud :-
” Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya, sesungguhnya Allah telah mengadakan ketenttuan bagi setiap sesuatu” – Surah At Thalaq : 2 & 3
Firman Allah swt bermaksud :-
”Wahai jiwa yang telah tenang, pulang kembalilah kepada Tuhan mu , dalam keadaan redha dan diredhai, Maka masuklah dalam golongan hambaKu dan masuklah ke syurgaKu”- Surah Al Fajr : 27 – 30 .
Kalau kita REDHA Allah swt sebagai tuhan kita nescaya kita tidak akan sesekali meragui ketetapanNya. Maka pasti kita akan mengatakan ”Yang baik dan buruk itu semuanya dari Allah swt sebagai ujianNya kepada hamba-hambaNya” . Maka pasti Allah akan meREDHAi kita sebagai hambaNya.
Firman Allah swt bermaksud :-
” Ingatlah! Sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Mereka orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa”- Surah Yunus : 62 & 63
Daripada Abu Hurairah r.a berkata ; Rasulullah saw bersabda bahawa Allah swt berfirman bermaksud :-
” Sesiapa memusuhi wali-Ku , maka Ku izinkan dia diperangi. Tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu amal yang lebih Ku sukai daripada jika dia mengerjakan amal yang Ku wajibkan kepadanya. Hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri kepada Ku dengan amalan-amalan sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, jadilah Aku sebagai telinganya untuk mendengar dan sebagai matanya untuk melihat dan sebagai kakinya untuk berjalan dan jika dia meminta kepada Ku pasti Ku beri dan jika dia minta perlindungan kepada Ku pasti Ku lindungi” – Riwayat Bukhari no 6137 . Al Baghawi jilid 7 halaman 204 dalam Syarhus Sunnah.
Semuanya Milik Allah swt dan daripada Allah swt dan akan kembali kepada Allah swt. Maka apabila kita sudah menyedari semuanya ketetapan dari Allah swt sebagai ujianNya kepada manusia maka sudah pasti kita akan rasa tenang untuk menghadapi ujian tersebut. Kemanisan Musibah ada pada yang tersirat dalam yang tersurat. Renung-renungkanlah......
HTML Comment Box is loading comments...



