Photobucket

Thursday, 17 November 2011

Aku Lupa...



SETIAP MANUSIA DIBERKAN OLEH  ALLAH  SWT 24 JAM SEHARI. Allah SWT telah memberikan modal yang sama rata sama adil kepada setiap manusia sama ada yang kafir atau muslim. Modal ini adalah mengikut “Masa-Nya” dan untuk kita menggunakan sebaik mungkin sepanjang hidup di dunia ini.  Intipati  keimanan ( percayaan wujudnya Tuhan @ suatu kuasa yg Maha Hebat ) ada pada setiap diri mahluk yg bernama manusia. Yang membezakan manusia ini sama ada kafir atau muslim adalah “Menerima Nabi SAW sebagai Pesuruh-Nya serta mengikuti Syariat-Nya secara mutlak”  atau tidak.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“ Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka, “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” nescaya mereka menjawab, “Allah”.  – Az Zumar : 38
Setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini dibekalkan dengan akal ( untuk berfikir dan memproses maklumat ) , telinga ( untuk mendengar pandangan daripada sumber yang berlainan ) serta mata ( untuk melihat dan membuat perbandingan) . Mungkin kebanyakkan manusia mengatakan akal terletak di kepala dalam otak kerana sudah sekian lama sebati  dengan sumber kajian barat tetapi bagi golongan arifillah akal itu terletak di hati berdasarkan quran dan hadis-hadis shahih yang mentakwilkan pengertian hati, akal dan nafsu.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“ Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihtan serta hati ( supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”- As Sajdah : 9
“ Katakanlah (wahai Muhammad) : Allah yang menciptakan kamu ( dari tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati ( untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur” – Al Mulk : 23
 Bagi golongan arifillah, mahluk manusia berbeza dengan mahluk haiwan adalah dari segi “Sifat”.  Kita kenal kera kerana kita tahu sifat kera dan tidak sama seperti monyet. Kita kenal lembu kerana kita kenal sifat lembu dan tidak mungkin sama dengan kerbau kerana berlainan sifat. Bahkan perbezaan jauh lebih ketara diantara sifat manusia dengan haiwan. Sifat-sifat ini banyak perbezaannya pada sifat fizikal tetapi pada sifat spiritual adalah sama. Kadang kala manusia juga ber”sifat” seperti haiwan.
Ada yang mengatakan haiwan tiada akal dan manusia ada akal. Betul ke?...Kalau haiwan tiada akal, masakan tupai lebih cerdik daripada manusia mengambil isi buah durian tanpa menggunakan peralatan. Kalau haiwan tiada akal, masakan ketua semut memerintahkan semua masyarakatnya untuk berlindung daripada rombongan Nabi Sulaiman dan tercatit dalam Al-Quran. Kalau haiwan tiada akal, masakan burung hud-hud membuat laporan kepada Nabi Sulaiman mengenai Ratu Balqis dan juga tercatat didalam Al Quran. Dan kalau haiwan tiada akal, masakan burung gagak menanam bangkai temannya di dalam tanah dan disaksikan oleh Qabil kemudian digunakan cara tersebut untuk menanam mayat Habil.
Manusia dengan haiwan tiada beza. Haiwan bangun pagi keluar dari sarang untuk mencari rezeki kemudian bila hari sudah senja atau lewat petang, haiwan-haiwan ini kembali ke sarang masing-masing. Haiwan hidup berkeluarga dan ada kasih saying sesama ahli kumpulan mereka. Haiwan juga bersifat mempertahankan ahli kumpulan mereka atau kediaman mereka daripada serangan musuh. Haiwan juga beranak pinak dan mengusai kawasan-kawasan tertentu. Haiwan juga berlajar sesuatu perkara melalui AnugerahNya yang cukup unik kalau dilihat dengan mata hati.  Begitulah juga dengan manusia.Tabiat kehidupan manusia dengan haiwan tiada banyak perbezaannya. Bahkan haiwan dan sekalian alam ini lebih taat kepada Yang Maha Pencipta Yang Maha Berkuasa Yang Maha Segala2nya.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“ Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian mahluk yang ada padanya senantiasa mengucapkan tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar lagi Maha Pengampun”Al Israa : 44
”Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.- Surah al-Hadiid : 1&2
Kejadian manusia begitu unik dan indah. Boleh berfikir, boleh menyuarakan pendapat dan boleh berkongsi ilmu. Manusia adalah sebaik-baik kejadian sekiranya berTauhid keimanan kepada Allah SWT dan berSyariatkan ajaran Nabi SAW.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“ Demi MASA sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh”
Apabila kita melihat dengan mata hati bahawa telinga, mata dan hati ini tiada maknanya pada manusia kalau tidak berpandukan kepada Al Quran dan Hadis . Lalu tidak mustahil kita boleh melihat ramai manusia yang “sesat di siang hari” , “kabur dalam cahaya” ,”keliru dalam waham” dan macam-macam lagi kerana tidak menggunakan Cahaya-Nya.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengtahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati , semua anggota itu tetap akan  dipertanggungjawabkan”Al Israa : 36

Bagi manusia yang mengikut Nabi SAW pasti selamat kerana tanpa Nabi SAW tidak mungkin kita kenal  Allah SWT Zat Wajibal Wujud. Tanpa Nabi SAW pasti manusia ini lebih hina daripada haiwan bahkan lebih teruk daripada Iblis laknatullah. Perjalanan hidup manusia ini sungguh unik. Bagi yang dikurniakan mata basyrah pasti melihat Kehebatan-Nya dari permulaan penciptaan manusia hingga ke akhir penghidupan manusia. Dari ALLAH kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“ Allah bertanya lagi ”Berapa tahun lamanya kamu tinggal dibumi?” . Mereka menjawab “ kami tinggal selama 1 hari atau sebahagian dari sehari . Maka bertanyalah kepada malaikat yang menjaga urusan umur” . Allah berfirman “ kamu tidak tinggal di dunia melainkan sedikit sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini ”Al Mu’minuun : 112-114
“ Dan sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta ( mata hatinya) maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya” – Al Israa : 72
Kita sebenarnya berada di dunia ini adalah sebahagian “ Permainan Allah SWT”  . Sama ada kita mampu melihat dan memahami permainan ini atau tidak bergantung kepada sejauh mana kita melihat dengan mata basyrah (mata hati) . Kasih Sayang-Nya ( ujian, tegahan, larangan, hukuman dan ganjaran ) berada di hadapan mata zahir kita.
Firman Allah SWT bermaksud :-
“Maka apakah kamu mengira bahwa sesungguhnya Kami menciptaakan kamu secara main-main, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” – Al Mu’minuun :115
“Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya” – Al Mulk : 2
“Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami akan menguji kamu dengan kesusahan  dan kesengan sebagai percubaan dan kepada Kami lah kamu semua akan dikembalikan” Al Anbiyaa : 35
“Dan sesiapa yang diberi hidayah pertunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar ) maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Berkuasa lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah) ?” – Az Zumar : 37
“Dan dihiaskan kepada kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nasfu; perempuan-perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)” –Ali Imran : 14
“ Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan ( dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanamannya, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabra” – Al Baqarah : 155

Sesungguhnya perjalanan hidup kita di dunia ini penuh dengan Rahsia-Nya. Kita hanya mampu membuka rahsia kehidupan ini melalui Quran dan Hadis. Hakikat kehidupan manusia mesti seiring dengan pelaksanaan Syariat sepanjang manusia berjalan di atas muka bumi ini. ‘Alakulihal manusia akan terus sesat didalam terang atau terus sesat sekiranya memisahkan Hakikat daripada Syariat.
“ Allah itu cahaya langit dan bumi” – An Nur : 35

Jesteru itu cuba kita fikirkan sejenak sepanjang masa dalam kiraan 24 jam, berapakah masa kita dikembalikan kepada Yang Empunya Masa? … Renung-renungkanlah….
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

HTML Comment Box is loading comments...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...