Manusia merupakan sebaik-baik kejadian yang di ciptakan oleh Allah swt. Setiap manusia melalui perjalanan hidup masing-masing yang penuh dengan ranjau onak duri, suka duka, gembira, sengsara dan bermacam-macam lagi. Ada yang menjadi presiden sebuah negara, ada yang memiliki harta terkaya didunia, ada yang mempunyai rauh wajah bak bidadari, ada yang menjadi guru, menjadi kerani, menjadi nelayan hatta ada yang menjadi pemindah sedekah dan bermacam-macam tugasan tanggungjawab di dunia ini. Ada yang mempunyai kekayaan yang hebat tapi Hati tidak tenang. Ada yang bekerja menjadi pemandu teksi, tetapi kebahagian sentiasa terpancar di rauh wajah. AMATLAH SUKAR UNTUK KITA MEMAHAMI TINGKAH LAKU MANUSIA MALAHAN KITA SENDIRI KEBANYAKANNYA TIDAK MEMAHAMI DIRI SENDIRI. Ini adalah kerana kita gagal memahami SIAPA DIRI KITA, malahan kita langsung tidak ambil peduli untuk mencari jawapan kerana tiada keuntungan duniawi.
Ilmu Hakikat Insan ini amat jarang dibincangkan secara terbuka kerana ianya memerlukan perbincangan khusus. Malahan ada diantara guru tasauf mengatakan Rahsia Ilmu. Ini kerana apabila seseorang memahami siapa diri yang sebenar maka dengan sendirinya telah kenal Allah swt Zat Wajibal Wujud. Dengan syarat penjelasan guru mursyik atau murabi itu berlandaskan Al Quran dan Hadis, bukan huraian berdasarkan nafsu atau bisikan iblis laknatullah. Dengan ilmu hakikat insan, kita dapat memahami dengan jelas syariat. Dengan ilmu hakikat insan, kita dapat memahami apa itu Iman, Islam dan Ihsan yang sebenar-benarnya. Bila kenal diri maka kenal Allah swt. Bila kenal Allah swt maka kenal kasih sayang-Nya ( tegahan, larangan, panduan, hukuman, iktibar dan etc ) . Bila kenal Allah swt maka kita kenal Nabi Muhammad saw PesuruhNya KekasihNya. Bila kenal Allah swt maka kita tidak akan berasa sombong seperti iblis. Bila kenal Allah swt maka kita akhirnya akan mengakui bahawa diri kita ini adalah ADAM ( Tiada ) dan yang ada hanyalah Allah swt Zat Wajibal Wujud.
Semua manusia berasal daripada diri yang satu iaitu Nabi Adam a.s. Sekalian yang lahir daripada Adam a.s dinamakan bangsa manusia. Tidak ada keturunan Adam a.s yang berbangsa haiwan, tumbuh-tumbuhan atau gali-galian. Adam a.s dan keturunan beliau a.s menjadi manusia kerana mereka semua memiliki kemanusiaan. Tidak ada manusia yang tidak memiliki kemanusiaan. Benih kemanusiaan yang pertama disemaikan pada kejadian Adam a.s dan kemudian benih tersebut ‘berjalan’ kepada Siti Hawa, ibu yang mulia dan diberkati dengan keturunan yang amat ramai. Ketika Adam a.s dan Ibu Hawa berada di dalam syurga benih kemanusiaan itu hanya aktif pada mereka berdua sahaja., tidak ‘membiak’. Setelah mereka dikeluarkan daripada syurga dan ditempatkan di bumi, di dalam dunia, baharulah benih kemanusiaan itu menampakkan keupayaannya melahirkan generasi manusia. Benih kemanusiaan akan terus bekerja melahirkan manusia hingga ke hari kiamat. Apabila berlaku kiamat baharulah benih kemanusiaan itu berhenti melahirkan manusia.
Firman Allah swt bermaksud :-
”Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah . Kemudian menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang. Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya roh ciptaan-Nya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (supaya kamu bersyukur) amatlah sedikit kamu yang bersyukur”
Surah Al Sajadah : 7,8&9
Firman Allah swt bermaksud :-
”Katakanlah lagi ” Dialah ysng mengembangkan kamu di bumi dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”
Surah Al Mulk : 24
Bermula daripada Adam a.s sampailah kepada manusia terakhir pada hari kiamat, benih kemanusiaan ‘berjalan’ terus, melahirkan keturunan manusia yang berpecah-pecah kepada berbagai-bagai bangsa, suku dan keluarga. Perjalanan benih tersebut sangat sempurna sehingga tidak berlaku kesilapan pada pekerjaannya. Jika benih kemanusiaan melakukan kesilapan nescaya ada ibu-ibu manusia yang melahirkan ikan, beruang, rambutan dan lain-lain. Kesempurnaan benih kemanusiaan menyebabkan manusia akan terus melahirkan manusia sahaja tidak bangsa lain.
Keturunan Adam a.s membiak melalui proses percantuman benih lelaki dengan benih perempuan. Walaupun pada zahirnya percantuman benih menjadi proses pembiakan keturunan manusia tetapi bukanlah benih lelaki dan benih perempuan itu yang mengawal kewujudan dan kesinambungan bangsa manusia. Adam a.s diciptakan bukan daripada benih lelaki atau benih perempuan namun, Adam a.s tetap memiliki kemanusiaan. Nabi Isa a.s diciptakan tanpa melalui proses percantuman benih lelaki dengan benih perempuan namun, Isa a.s tetap memiliki kemanusiaan. Setiap manusia tidak terlepas daripada kemanusiaan yang tidak dimengerti hakikatnya. Jika semua manusia bermula dari Adam a.s hinggalah kepada manusia terakhir yang ada pada hari kiamat, dibedah untuk dikaji perihal kemanusiaan itu tentu sekali perbuatan tersebut hanya sia-sia sahaja. Tidak mungkin dijumpai hakikat kemanusiaan pada mana-mana manusia tetapi peranan dan pengaruhnya pada setiap manusia tidak dapat dipertikaikan.
Firman Allah swt bermaksud :-
” Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati perubahan bagi “Sunnatullah” itu ”.
Surah al-Ahzaab : 62
”Tidak ada (sebarang) perubahan pada kalimat (janji-janji) Allah”.
Surah Yunus: 64)
”Tiada suatupun dari makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.”
Surah Hud : 56
Hakikat adalah suasana pentadbiran Tuhan. Suasana pentadbiran Tuhan bukan makhluk. Oleh itu ia tidak boleh ditemui pada makhluk tetapi kehadirannya menguasai dan mengawal kewujudan dan kesinambungan kewujudan makhluk boleh dirasai. Akal yang sihat juga boleh mengakui kebenaran ini. Tanpa kawalan daripada alam hakikat nescaya berlaku huru-hara pada kejadian makhluk. Tentu sekali semua haiwan mahu menjadi buraq. Manusia dan jin mahu menjadi malaikat. Semua orang mahu lahir sebagai putera raja. Tetapi semua itu tidak berlaku kerana benteng hakikat sangat teguh, tidak dapat dirobohkan oleh makhluk. Pada Hakikat Insan sudah ada maklumat yang jelas dan muktamad tentang kejadian semua manusia termasuklah giliran masing-masing masuk ke alam dunia ini.
Di antara semua hakikat-hakikat, hakikat yang menguasai manusia merupakan hakikat yang paling utama kerana ia mengadakan hubungan yang istimewa di antara insan dengan Tuhannya
”(Ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia - Adam - dari tanah. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya”.
Surah Saad : 71 & 72
Adam a.s ditempa daripada tanah. Bahagian Adam a.s yang ditempa daripada tanah ini dinamakan jasad, tubuh badan atau diri yang zahir. Jasad yang dari tanah itu walaupun sudah sempurna kejadiannya, cukup lengkap dengan sekalian anggota namun, ia tetap kaku, tidak dapat bergerak, tidak merasakan apa-apa dan tidak dapat berkata-kata. Ia sudah mempunyai otak tetapi otaknya tidak dapat berfikir. Ia sudah mempunyai mata tetapi matanya tidak dapat melihat. Ia sudah mempunyai telinga tetapi telinganya tidak dapat mendengar. Ia hanyalah satu lembaga yang kaku. Tetapi sebaik sahaja ia menerima tiupan dari Roh Allah s.w.t segala-galanya berubah dengan serta merta. Otaknya mula berfungsi. Mata, telinga dan semua anggotanya juga mula berfungsi. Ia juga boleh merasa. Ia bukan lagi satu lembaga yang kaku tetapi ia sudah menjadi insan yang hidup, boleh berfikir, boleh berkata-kata, boleh bergerak dan boleh merasa. Keajaiban itu berlaku semata-mata kerana tiupan dari Roh Allah s.w.t. Bahagian Adam a.s yang menerima tiupan daripada Roh Allah s.w.t itu dinamakan Diri Batin atau rohani.
Roh Allah s.w.t bukanlah Allah s.w.t dan juga bukan nyawa yang menghidupkan Allah s.w.t. Allah s.w.t hidup dengan Zat-Nya, bukan dengan nyawa atau roh dan bukan juga dengan sifat hidup. Sifat hidup bergantung kepada Allah s.w.t tetapi Allah s.w.t tidak bergantung kepada sifat hidup. Roh Allah s.w.t sama halnya seperti Tangan Allah s.w.t, Kalam Allah s.w.t, Pendengaran Allah s.w.t dan lain-lain yang dinisbahkan kepada-Nya. Semuanya bukanlah Allah s.w.t tetapi adalah keadaan atau sifat atau misal atau ibarat yang memperkenalkan Diri-Nya sekadar layak Dia dikenali oleh makhluk-Nya. Hakikat Diri-Nya yang sebenar tidak mampu disifatkan, diibaratkan atau dimisalkan kerana Dia adalah:
”Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, Sifat-Nya dan Af’al-Nya)-Nya.”
Surah asy-Syura :11
Sekalipun Dia tidak boleh disifatkan tetapi Dia adalah:
”Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat ”
Surah asy-Syura :11
Allah s.w.t sendiri mengatakan Dia Mendengar dan Melihat. Dia mengadakan penyifatan setelah terlebih dahulu Dia menafikan segala bentuk penyifatan. Dia tidak serupa dengan apa sahaja yang terlintas di dalam fikiran, cita-cita dan khayalan manusia. Dia tidak serupa dengan apa juga yang nyata dan yang ghaib, yang zahir dan yang batin. Bila Dia mengatakan Dia Mendengar dan Melihat maka Mendengar dan Melihat-Nya tidak serupa dengan apa juga keadaan mendengar dan melihat yang diketahui atau tidak diketahui oleh manusia. Bila Dia mengatakan Dia Berkata-kata maka Kalam-Nya tidak serupa dengan apa juga bentuk percakapan baik yang boleh difikirkan oleh manusia mahu pun yang tidak boleh difikirkan oleh manusia. Perkataan Allah s.w.t tidak serupa dengan apa juga bentuk perkataan. Kalam-Nya tidak berhuruf dan tidak bersuara. Apabila Dia tujukan firman-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w yang berbangsa Arab, digubah-Nya Kalam-Nya dalam bahasa Arab yang berhuruf dan bersuara dan Dia masih menisbahkan Kalam-Nya yang berhuruf dan bersuara dalam bahasa Arab itu sebagai Kalam-Nya. Oleh kerana Dia sendiri memperakui yang demikian adalah Kalam-Nya sesiapa menafikannya adalah kufur, tetapi sesiapa mengatakan Allah s.w.t bercakap dalam bahasa Arab maka terlebih kufur lagi keadaannya. Konsep nafi dan isbat tidak boleh dipisahkan apabila memperkatakan tentang Allah s.w.t pada aspek yang disifatkan. Apabila Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya kepada manusia maka Dia wujudkan penyifatan yang mampu diterima oleh manusia, sesuai dengan keupayaan mengenal yang ada dengan manusia, tetapi Yang Haq itu melampaui apa yang disifatkan. Aspek Allah s.w.t yang disifatkan merupakan pintu atau perantaraan yang menghubungkan hamba dengan Allah s.w.t yang tidak mampu disifatkan. Sekalipun Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat yang diketahui oleh manusia tetapi mengadakan lembaga bagi Allah s.w.t adalah sesat yang nyata. Sesiapa yang menjadi jelas kepadanya konsep NAFI dan ISBAT sesungguhnya dia telah memperolehi nikmat yang tidak terhingga nilainya.
Kepada yang benar-benar mahu mencari jawapan SIAPA DIRI kita ini yang sebenarnya, carilah guru-guru mursyik atau murabi yang mampu menghuraikan penjelasan ini berdasarkan Al Quran dan Hadis. Ramai diluar sana yang terperangkap di dalam konsep-konsep seperti Wahdatul Wujud, Wahdatul Madbu dan Wahdatul Syuhud, padahal konsep-konsep ini adalah sebahagian daripada Hakikat Insan itu sendiri. Mereka ini mampu menghuraikan suasana hakikat pada tahap tinggi disebabkan mazjub dan zauk namun GAGAL turun ke bawah berpijak di bumi yang nyata bergerak di atas Jalan Kenabian ( syariat ). Malahan juga ada yang memisahkan hakikat dengan syariat kerana mazjub dengan hakikat itu sendiri. Jadilah mereka ini seolah-olah berpusing-pusing didalam bulatan, walhal pintu untuk ke jalan kenabian berada di depan mata.
Wallahu'alam
-----------------------------------------------------------------------------------------------
-----------------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

