Firman Allah swt bermaksud :-
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (Kebesaran Allah) bagi orang yang berAKAL (ulu'I-albab) (iaitu) Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) "Ya Tuhan Kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.
Surah Ali 'Imran:190-191
PANDANGAN MATA selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah. Pandangan nafsu selalu melulu tapi pandangan HATI itu yang hakiki, kalau hati itu bersih.
Sudah menjadi lumrah kehidupan di dunia, cabaran dan dugaan mendewasakan usia. Pelbagai rintangan dilalui dan bayangan ujian yang tidak bertepi namun tiada kesudahan dunia yang di cari. Keseronokan dan kebahagian yang kita cari di dunia ini sekiranya tidak berdasarkan akidah yang mantap umpama minum air laut. Air laut mempunyai implikasi gangguan pemikiran yang meracau-racau seperti kemabukan sekiranya minum terlalu banyak. Dan sekiranya seseorang minum air laut akan bertambah dahaga, namun kedahagaan tidak hilang.
Islam tidak menghalang umatnya mencari keuntungan dunia, namun Islam juga telah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh setiap manusia yang beriman supaya tidak berlaku kerosakan atau permusuhan dimuka bumi ini. Carilah seberapa banyak keuntungan perniagaan yang mampu kita terokai, namun JANGAN SESEKALI LUPA PADA MAHA PEMBERI NIKMAT dengan mengikut garis panduan syariat. Pakailah apa sahaja yang cantik lagi indah, namun JANGAN LUPA bahawa pakaian terakhir kita adalah kain kafan 3 helai. Gunakalah kenderaan yang mewah dan canggih mengikut kemampuan kita, namun JANGAN LUPA kenderaan terakhir kita adalah van jenazah. Janganlah kita mencemburi kalau ada yang mampu mengupah driver membawa kita ke sana sini, kerana kita juga akan ada driver yang akan membawa kita ke kawasan tanah perkuburan.
Dari buka mata, kita bangun bersiap-siap ke tempat kerja. Dalam perjalanan kita singgah bersarapan di gerai-gerai atau ada yang bersarapan di rumah kemudian terus ke tempat kerja. Masuk pejabat selepas punch card atau tumb finger terus mengadap kerja-kerja yang tertangguh atau mungkin tugasan baru. Tengahari perut berbunyi menandakan keperluan zahir perlu diselesaikan kemudian selepas kenyang dan berehat melayan sebatang dua rokok, fuhhhhh nikmat sungguh. Jam 2 petang masuk kembali ke pejabat hingga jam 5 petang. Selepas punch card atau tumb finger kita bergegas kembali ke rumah dalam keadaan stress dengan kerja yang tidak siap atau mungkin baru dimarahi oleh majikan ataupun kembali dengan muka ceria kerana mendapat imbuhan daripada majikan. Selepas membersihkan diri, makan malam bersama keluarga. Selepas perut kenyang menikmati menu masakan isteri tersayang, mata mula mengantuk dan terus tido. Begitulah rutin kebanyakan hidup manusia di dunia ini. Adakah itu tujuan hidup manusia di dunia ini?
ANDAI KATA HARI INI ADALAH HARI TERAKHIR KITA, BERSEDIAKAH KITA KEMBALI KEPADA ALLAH SWT ZAT WAJIBAL WUJUD?
TAHUKAH KITA BAHAWA SOALAN PERTAMA YANG DITANYA DI DALAM KUBUR ADAKAH – MA RABBUKA? (SIAPA TUHAN KAMU? )
TAHUKAH KITA BAHAWA AMALAN PERTAMA YANG DITIMBANG DI PADANG MASYHAR ADALAH SOLAT?
ANTARA soalan pertama di dalam kubur dan amalan pertama yang akan ditimbang mempunyai perkaitan yang sangat rapat dan tidak boleh dipisahkan. Soalan pertama itu adalah berkaitan dengan HAKIKAT INSAN dan amalan pertama ditimbang itu adalah amalan SYARIAT yang berdiri pada HAKIKAT itu sendiri.
Soalan ini telah diceritakan oleh Rasulullah saw semenjak 1400 tahun dahulu dan jawapannya cukup mudah – ALLAH Tuhan ku. Adakah semudah kita menghafal sifir atau menghafal huruf kemudian kita yakin boleh menjawab soalan-soalan dari Malaikat Zabaniyah? Menghafal dan menyakini adalah 2 perkara yang sangat berbeza. Kita mampu menjawab di dunia ini sebab kita menggunakan JASAD, anggota yang bernama MULUT menjawab soalan ini, namun bila di alam kubur JASAD sudah tidak ada lagi. Maka SIAPA YANG AKAN BERCAKAP MENJAWAB SOALAN-SOALAN INI? .... Jawapanya adalah ROH kita.
Pada suatu hari Saidana Usman bin Affan ra ketika berhenti di atas kubur dia menangis, maka ditegur oleh seorang sahabat ”Wahai Amirul Mukminin! Engkau jika menyebut syurga dan neraka tidak menangis tetapi menangis kerana kubur?” Jawab Saina Usman bin Affan ra ” Rasulullah saw bersabda – Kubur itu pertama tempat ysng menuju akhirat, bila selamat dalam kubur maka yang dibelakangnya lebih ringan. Dan jika tidak selamat dalam kubur maka yang di belakangnya lebih berat daripadanya” .
Kekayaan yang banyak, perniagaan yang maju, kenderaan yang canggih dan anak-anak yang ramai bukan jaminan kebahagian hidup di dunia. Berapa ramai orang kaya di mata manusia tapi hati tidak pernah tenang dan tenteram kerana asyik memikirkan bagaimana nak majukan lagi perniagaan, bagaimana nak menghalangi persaing dan memenangi kontrak, bagaimana dan bagaimana sahaja yang bermain di minda dan hati. Mensyukuri yang sedikit itu adalah lebih baik dan lebih selamat di dunia dan akhirat. Kita sibuk dengan perkara-perkara keperluan yang zahir (JASAD) hingga kita lupa keperluan yang batin (ROH) sedangkan yang akan berada di alam kubur adalah ROH. Kita mencari harta dunia bkn untuk kita sebenarnya tetapi untuk diwarisi orang-orang yang akan kita tinggalkan, maka jauhlah kita dari rahmat Allah swt.
Firman Allah swt bermaksud :-
” Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu hanya main-main ? dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
Surah Al Mu’minun : 115
Firman Allah swt bermaksud :-
” Dialah yang telah mentakdirkan adanya hidup dan mati kamu, untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya . dan Dia Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun.
Surah Al Mulk : 2
Firman Allah swt bermaksud :-
” Dan siapa yang mengabaikan peringatan-Ku (ajaran-Ku) maka dia akan merasakan kehidupan yang sukar, kehidupan sukar ketika menghadapi pertanyaan dalam kubur”
Surah Taha : 124
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...

