Photobucket

Tuesday, 4 October 2011

INDAHNYA SYARIAT...MANISNYA HAKIKAT.

 


Firman Allah swt bermaksud :-

“ DAN TIDAK AKU CIPTAKAN JIN DAN MANUSIA MELAINKAN UNTUK MENGABDIKAN DIRI KEPADA KU”

                                                                                                                Surah Az Zariyaat  : 56


Ayat ini JELAS menegaskan bahawa terciptanya manusia ini, HAKIKATnya adalah semata-mata untuk MENGABDIKAN ( Beribadat )  kepada Allah swt Zat Wajibal Wujud. Persoalan timbul adakah ibadat yang dimaksudkan itu hanya SOLAT FARDHU 5x Sehari, PUASA di bulan Ramadhan, mengeluarkan ZAKAT, mengerjakan HAJI ?....

Kalau jawapannya adalah YA, maka kita masih belum kenal diri kita dan kita sebenarnya masih kabur, belum jelas mengenai tujuan hidup kita di dunia ini. Malahan kita juga dikatakan sesat dalam terang  di siang hari yang mana cahaya matahari menyinari setiap inci muka bumi.

AMALAN terbahagi kepada 2 bahagian iaitu syariat dan hakikat. Syariat berdiri diatas hakikat. Hakikat pula tempat berdirinya syariat. Tanpa ROH , jasad tidak ubah seperti patung . Begitulah juga hubungan diantara syariat dengan hakikat. Tanpa HAKIKAT maka syariat tidak sempurna.

Apabila dikatakan perkataan Hakikat maka dengan sendirinya minda kita mengaitkan dengan Ilmu Hakikat atau Ilmu Tasawuf. Malahan bila disebut mengenai ilmu tasawuf, ramai yang mengaitkan bahawa ilmu ini boleh menjerumuskan kepada ”sesat akidah” kerana memerlukan tahap pemahaman yang tinggi. Tetapi ramai juga yang tidak sedar bahawa bersyariat tanpa hakikat , LEBIH SESAT dan LEBIH ZINDIK.  Tidak dinafikan bahawa ilmu tasawuf memerlukan pemahaman yang tinggi dan PASTI TIDAK AKAN SESAT sekiranya BETUL-BETUL IKHLAS berlajar mencari KEBENARAN.

Firman Allah swt bermaksud :-

” Dan barangsiapa yang Allah mengkehendaki , akan diberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia membuka dadanya untuk  kebenaran ( Islam). Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah jadikan dadanya sesak lagi sempit”

                                                                                                                Surah Al An’am : 125


INDAHNYA SYARIAT  bila  benar-benar memahaminya. Ilmu syariat adalah ilmu hukum yang berhubung dengan peraturan hidup yang ditetapkan oleh Allah Taala. Peraturan ini telah diturunkan oleh Allah melalui perantaraan malaikat kepada Nabi Muhammad saw. Ilmu syariat lebih merupakan ilmu undang-undang untuk diamalkan dan dipatuhi oleh manusia demi kesejahteraan dunia keseluruhannya.Peraturan-peraturan ini adalah berlaku dalam semua bidang kehidupan manusia, baik dalam soal akidah, soal ibadah, soal muamalah dan lain-lain lagi. Tujuan peraturan ini diturunkan ialah untuk mengamankan dunia dan untuk kesejahteraan kehidupan manusia. Peraturan syariat juga untuk membolehkan manusia berhubung dengan Tuhannya melalui amalan ibadah fardhu ain. Amalan-amalan fardhu kifayah juga termasuk di dalam ilmu syariat.

ILMU ALLAH SWT amat luas dan ilmu yang dikurniakan pada manusia di alam maya ini terdiri daripada Ilmu Syariat, Ilmu Hakikat, Ilmu Makrifat. Ada sesetengah ulamak memasukkan juga Ilmu Tarekat di dalam kelompok ilmu ini. Yang pasti apabila Syariat berdiri diatas Hakikat, dengan sendirinya manusia berjalan di landasan Tarekat dengan pandangan Makrifat.

Seperti Ilmu Syariat yang wajib kita pelajari, begitu juga untuk memahami Ilmu Hakikat. Kita perlu mencari guru yang mursyik supaya dapat menghuraikan setiap inci kekaburan persoalan yang bermain di dalam hati kita. Guru Mursyik dengan izinNya  mampu menghurai setiap persoalan yang timbul berdasarkan Al Quran dan Hadis.

Firman Allah swt bermaksud :-

” Dan jangan kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati kamu pasti akan dipertanggungjawabkan”

                                                                                                                Surah Al Isra : 36


Carilah Allah swt dengan ILMU kerana dengan ilmu itu Dia akan merahmati dan memberkati hidup kita di dunia dan akhirat. KEREDHAAN ALLAH SWT MENDAHULUI KEMURKAAN-NYA .
-------------------------------------------------------------------------------------------------

HTML Comment Box is loading comments...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...