Photobucket

Friday, 22 February 2013

GOLONGAN JAHAT

8 GOLONGAN JAHAT YANG TERMAKTUB DALAM AL QURAN.


1- Golongan yang tidak mendapat sedikit pun kebaikan di Akhirat, surah Al-Baqarah ayat : 200.

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

2-Manusia yang suka berbantah-bantah, surah Luqman ayat : 20.

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran

3-Golongan yang mengaku beriman kepada Allah SWT sedangkan mereka sebenarnya tidak beriman kepada Allah SWT, surah Al-Baqarah ayat : 8.

Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

4-Golongan yang sentiasa bersahabat karib selain daripada Allah SWT, surah Al-Baqarah ayat : 165.

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).

5-Golongan yang mempergunakan Firman Allah SWT dan Hadis Rasulullah SAW untuk memperdayakan orang lain, surah Al-Baqarah ayat : 204-205.

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

6-Menyembah Allah SWT tanpa disertai dengan keyakinan yang penuh, surah Al-Haj ayat 11.

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.

7-Beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW tetapi tidak sanggup menghadapi ujian dan dugaan Allah SWT, surah Al-Angkabut ayat : 10.

Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: “Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu”. (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk?

8-Golongan yang menggunakan ayat Allah SWT dan Hadis Rasulullah SAW untuk menyesatkan orang lain, surah Luqman ayat : 6.

Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

Tuesday, 19 February 2013

Hati Oh Hati

Hati Oh Hati...

Hati itu berlapis-lapis . Itu sebab setiap pandangan mempunyai maksud yang berbeza. Hati itu adalah Al Qalb . Bukan hati yang kita boleh lihat dengan mata kasar tetapi sesuatu yang sgt tersembunyi. Tempat terkumpulnya sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat mazmumah.

Setiap pandangan itu benar pada tahap kefahaman masing-masing. Yang selalu berlaku apabila kita mempertikaikan kefahaman orang lain atau memandang kefahaman orang lain itu salah. Tapi memang benarnya pandangan kita itu salah kalau tiada sandaran dalil naqli atau aqli. Lebih teruk lagi apabila kita melontarkan pandangan mengikut akal semata-mata bagi kepuasan nafsu.

Telah dijelaskan oleh Allah Swt dalam hadis qudsi, Allah Azza wa Jalla berfirman:
’Telah Ku cipta seorang malaikat di dalam tubuh setiap anak keturunan Adam. Di dalam malaikat itu ada shadr. Di dalam shadr itu ada qalb. Di dalam qalb itu ada fu`aad. Di dalam fu`aad itu ada syagf. Di dalam syagf itu ada lubb. Di dalam lubb itu ada sirr. Dan di dalam sirr itu ada Aku.’

Sabda Nabi Muhammad Saw.,
“Allah menciptakan qalb-qalb empat ribu tahun lebih dahulu daripda jasad. Setelah itu, Dia meletakannya di tempat yang dekat dengan-Nya. Sementara itu, arwah diciptakan oleh Allah Swt. Tujuh puluh ribu tahun lebih dahulu daripada hati. Setelah itu, ia diletakan di taman kelembutannya (rawdlah al-uns). Sebelumnya, Allah telah terlebih dahulu menciptakan sirr (rahasia) daripada ruh dan menempatkan sirr tersebut di taman keintiman-Nya (rawdlah al-wishl).”

Dan juga firman-Nya yang ditujukan kepada Nabi Daud a.s.,
‘Wahai Daud! Kosongkan untuk-Ku sebuah rumah, agar Aku bisa tinggal di dalamnya!’ Mendengar perintah tersebut Nabi Daud a.s. tidak mengerti dan lantas bertanya, ‘Bagaimana caranya wahai Tuhanku?’ Lantas Allah berfirman, ‘Kosongkan hatimu hanya untuk-Ku!’

Menurut Imam Ali r.a. QALB mempunyai lima nama :

Pertama, disebut SHADR, karena ia merupakan tempat terbitnya cahaya Islam (nuuru-l-islam)

Hal ini sebagaimana firman Allah Swt.,
‘Adakah sama dengan mereka yang dibukakan shadrnya untuk Islam…. (QS 39:22)’.

Kedua, disebut QALB, karena ia merupakan tempat terbitnya keimanan.

Hal ini sebagaiamana firman-Nya,
‘Mereka itulah yang ditulis dalam hatinya terdapat keimanan. (QS 58:22)’

Ketiga disebut FU'AD karena ia merupakan tempat terbitnya ma’rifah.

Hal ini sebagaimana Firman Allah Swt,
‘Fu’ad tidak pernah mendustai apa-apa yang dilihatnya’ (QS 53:11).

Keempat disebut LUBB, karena ia merupakan tempat terbitnya tauhid.

Hal ini sebagaimana firman-Nya,
‘Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang adalah ayat-ayat bagi ulil albaab (sang pemilik lubb)’ (QS 3:190).

Kelima, disebut SYAGF, karena it merupakan tempat terbitnya rasa saling menyayangi dan mencintai sesama makhluk.

Hal ini sebagaimana firman-Nya,
’Sungguh ia (Zulaikha) telah dikuasai oleh rasa cinta yang membara….’ (QS 12:30)

Sesungguhnya kita sendiri tidak tahu pada tahap mana kedudukan QALB yang ada dalam jasad kita. Apa yang perlu kita sentiasa membersihkan QALB dari tembok-tembok NAFS yang mengelilingi AL QALB.

Hubungan antara Al Qalb dengan An Nafs amat berkait rapat. An NAFS perlu didik dan tidak mungkin boleh dimusnahkan.

Man jadda wajada.

Friday, 1 February 2013

Dari Allah kita datang...kepada Allah kita akan kembali...

Apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku ……
( Ayat 72 : Surah Saad )

Roh diumpamakan sebagai tubuh. Keupayaan yang menghidupkan roh dipanggil nyawa. Apabila ia hidup ia mempunyai keupayaan untuk melahirkan berbagai-bagai bakat. Keupayaan yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Keupayaan untuk melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Roh yang satu boleh dilihat melalui empat aspek. Aspek roh yang melahirkan bakat-bakat seperti mendengar, melihat dan lain-lain dinamakan roh juga. Aspek roh yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Aspek roh yang melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Aspek roh yang melahirkan kehidupan dinamakan nyawa.
Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui sifat atau nilai yang ada dengan manusia sendiri walaupun sifat manusia bukan sifat Tuhan. Dalam persoalan roh, aspek roh yang menghasilkan bakat-bakat dikaitkan dengan sifat Kudrat. Nafsu pula dikaitkan dengan sifat Iradat. Akal dikaitkan dengan sifat Ilmu. Nyawa dikaitkan dengan sifat Hayat.
 
Kudrat Allah s.w.t yang memberikan keupayaan kepada roh. Roh berperanan membekalkan bakat-bakat, keupayaan serta tenaga. Kebolehan mendengar, melihat, berkata-kata, bergerak dan lain-lain adalah merupakan pekerjaan roh. Roh mempastikan setiap bakat itu pergi kepada alat atau pancaindera yang sesuai dengannya. Roh menghantarkan bakat melihat kepada mata, mendengar kepada telinga, berkata-kata kepada lidah dan bakat-bakat lain dihantar kepada pancaindera yang sesuai untuk masing-masingnya. Roh dikaitkan dengan urusan Allah s.w.t. Sebab itu  pekerjaan roh adalah tepat dan sempurna. Roh tidak membuat silap, seperti meletakkan bakat melihat kepada kaki atau bakat mendengar kepada lutut. Dalam syariat roh diistilahkan sebagai malaikat. Malaikat yang menjaga matahari, bulan, bintang dan planet-planet lainnya akan mengheret masing-masing itu pada falak yang telah ditentukan oleh Tuhan dan maklumatnya telah dibekalkan kepada malaikat atau roh masing-masing. Malaikat menjalankan perintah Tuhan dengan tepat, tanpa kegoncangan yang datang daripada nafsu dan akal. Roh atau malaikat secara semulajadinya mempunyai sifat hanya mentaati perintah Allah s.w.t tanpa berfikir atau memilih. Malaikat angin yang diperintahkan Allah s.w.t supaya membinasakan sesebuah negeri akan berbuat demikian tanpa kasihan belas walaupun anak dipisahkan daripada ibu bapa, isteri dipisahkan daripada suami dan banyak nyawa terkorban serta harta benda yang rosak. Malaikat atau roh yang menghantar bakat melihat kepada mata akan terus berbuat demikian walaupun mata itu digunakan untuk melihat sesuatu yang dimurkai Allah s.w.t, melainkan jika Allah s.w.t memerintahkannya memberhentikan penghantaran bakat tersebut. Jadi, roh pada aspek bakat-bakat adalah serupa dengan malaikat yang menjalankan tugas tanpa rangsangan nafsu dan pertimbangan akal.

Pada roh yang ditentukan untuk manusia ada aspek yang dipanggil nafsu. Nafsu menjadi faktor yang membezakan manusia dengan malaikat. Nafsu melahirkan kemahuan, perasaan, timbang rasa dan seumpamanya. Nilai-nilai yang ada pada nafsu mempengaruhi haluan roh menggunakan bakat-bakatnya. Jika tidak ada pengaruh nafsu, roh akan hanya menggunakan bakat-bakatnya untuk perkara-perkara kebaikan yang diredai Allah s.w.t. Peranan nafsu menyebabkan bakat roh boleh digunakan untuk kebaikan atau kejahatan berdasarkan nilai-nilai yang menguasai nafsu. Tabiat nafsu yang berbagai-bagai menyebabkan ia dikenali dengan berbagai-bagai nama, berdasarkan kadar kebaikan atau kejahatan yang menjadi tabiat nafsu itu. Pada tahap nafsu bertabiat paling buruk ia dikenali sebagai nafsu ammarah. Pada tahap ia berkemampuan membezakan yang baik daripada yang buruk ia dinamakan nafsu lawwamah. Pada peringkat nafsu lawwamah, mengenali dan mengakui keburukan tidak menghilangkan sepenuhnya tabiat buruk itu daripada nafsu. Apabila tabiat buruk itu sudah hilang sepenuhnya daripada nafsu ia dinamakan nafsu mulhamah. Nafsu mulhamah, walaupun sudah tidak memiliki tabiat buruk tetapi ia masih belum menetap dan boleh kembali dipengaruhi oleh tabiat buruk. Jika ia sudah menetap, teguh dan tabiat buruk tidak sampai kepadanya lagi, ia dinamakan nafsu muthmainnah. Nafsu yang berada dalam suasana muthmainnah merupakan nafsu yang diredai Allah s.w.t dan dijamin syurga untuknya. Nafsu yang bertaraf ahli syurga ini akan mengarahkan bakat-bakat roh kepada perkara-perkara kebaikan sahaja.
 
Aspek roh yang berkait rapat dengan keupayaan membuat pilihan, selain nafsu, adalah akal. Jika nafsu menjadi pembeza di antara manusia dengan malaikat, akal pula menjadi pembeza di antara manusia dengan haiwan. Akal memiliki keupayaan untuk berfikir, mengingat, menimbang, berangan-angan dan seumpamanya. Bakat akal yang demikian berpusat pada otak. Ia berguna bagi menguruskan perkara-perkara lahiriah seperti bidang sains dan teknologi, sosial dan lain-lain bidang kehidupan. Akal jenis ini mampu bergerak dalam sekop fitrah kemanusiaan tetapi tidak berupaya melonjak kepada fitrah Muslim kerana ia lemah dalam perkara yang berkaitan dengan ketuhanan. Akal yang berpusat pada otak disempadani oleh logik sedangkan Tuhan tidak ada sempadan.
 
Bakat-bakat roh, nafsu dan akal boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama adalah kemanusiaan dan yang keduanya kehambaan kepada Tuhan. Bakat-bakat roh, nafsu dan akal yang berfungsi memenuhi keperluan hidup manusia secara lahiriah dinamakan kemanusiaan. Bakat yang digunakan untuk beribadat kepada Allah s.w.t dan berbuat bakti kepada makhluk Allah s.w.t kerana-Nya dinamakan kehambaan (ubudiah). Akal yang berpusat pada otak adalah akal kemanusiaan. Ia tidak mampu menghayati kebesaran, keagungan dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Akal yang berguna bagi pengajian tentang ketuhanan adalah akal yang berhubung dengan hati nurani, yang bersuluhkan cahaya petunjuk Tuhan

Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu roh dari urusan Kami. Padahal (jika tidak demikian) tidaklah engkau tahu apa itu kitab dan apa itu iman. Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk kepada barangsiapa yang Kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami.
( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )


Aspek bakat-bakat roh, nafsu dan akal yang ada perkaitan dengan roh urusan Tuhan itulah yang mampu menyatakan kehambaan kepada Tuhan. Nur atau cahaya roh urusan Tuhan menjadikan alam ghaib terang benderang sehingga bakat-bakat roh boleh melakukan ibadat kepada Allah s.w.t, nafsu boleh mengasihi Allah s.w.t dan akal pula dapat merenungi bidang ghaib sehingga mendapat pengetahuan tentang Tuhan.
 
Roh dengan bakat-bakatnya, nafsunya dan akalnya tidak boleh berfungsi jika tidak ada penghidupan atau nyawa. Allah Yang Maha Hidup mengurniakan penghidupan kepada roh urusan-Nya dan roh urusan Tuhan menggerakkan Roh Insan untuk hidup. Penghidupan atau nyawa roh itu, yang juga diistilah sebagai roh, bukanlah Hayat Allah s.w.t. Allah s.w.t memiliki Hayat yang Mutlak sebab itu Dia berkuasa menciptakan penghidupan atau nyawa yang tidak Mutlak untuk makhluk-Nya. Nyawa Insan (roh) hanyalah makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan sifat Hayat Allah s.w.t. Walaupun begitu kejadian roh (nyawa) ini mengatasi segala kejadian yang lain kerana apa juga bentuk kewujudan hanya boleh berfungsi setelah digerakkan oleh nyawa. Nyawa (roh) yang istimewa ini adalah nyawa bagi roh, bukan nyawa bagi jasad. 


Ciptaan roh bernyawa (hidup) dikaitkan dengan tiupan Roh Allah s.w.t. Sebelum ada roh, tidak ada bakat-bakat, tidak ada malaikat. Sebelum ada nyawa tidak ada penghidupan. Dalam suasana tidak ada malaikat sebagai pemangkin atau penghijab dan tidak ada penghidupan sebagai penggerak, Tuhan menciptakan roh yang bernyawa. Roh itu menjadi bernyawa kerana tiupan Roh Allah s.w.t. Ciptaan roh bernyawa ini merupakan ciptaan secara langsung tanpa perantaraan malaikat. Pada ciptaan yang paling istimewa ini perantaraan hanyalah hijab ketuhanan atau sifat Tuhan. Roh bernyawa yang berhijabkan sifat Tuhan inilah yang diistilahkan sebagai tiupan Roh Allah s.w.t.


Roh yang berhijabkan hijab ketuhanan itu merupakan ciptaan Tuhan yang paling murni, paling istimewa dan paling mulia. Setelah roh yang paling murni itu diciptakan ia berfungsi pula sebagai pemangkin atau penghijab kepada ciptaan-ciptaan Tuhan yang lain. Jadi, roh yang paling murni itu adalah ciptaan kelas pertama dan kejadian yang lain adalah ciptaan kelas kedua. Roh yang paling murni atau latif itu lebih murni daripada cahaya malaikat. Malaikat tidak berupaya menyaksikannya. Kedudukan roh yang paling latif itu satu tingkat lebih tinggi daripada tingkat terakhir yang dipijak oleh Jibrail pada malam Israk dan Mikraj. Walaupun Jibrail merupakan salah satu makhluk bangsa nur yang latif tetapi kelatifan nur Jibrail lebih rendah daripada kelatifan roh yang paling latif itu. Sebab itu Jibrail tidak dapat memasuki medan nur roh yang paling latif itu. 


Roh yang paling latif itu adalah roh Nabi Muhammad s.a.w atau biasanya di kalangan ahli tasauf dipanggil Roh Muhammad. Kelatifan roh baginda s.a.w itulah yang menjadi hijab melindungi baginda s.a.w melalui pergeseran alam ghaib, sehingga baginda s.a.w sampai kepada Arasy iaitu medan nur roh yang paling latif itu. Nabi Muhammad s.a.w kembali ke tempat asal roh baginda s.a.w, tempat yang tidak ada makhluk lain kecuali nur yang latif itu.
Tuhan berkehendak mengadakan kenyataan kepada roh yang paling latif itu dan untuk itu Dia ciptakan jasad Adam a.s. Setelah jasad Adam a.s sempurna diciptakan, Tuhan ‘hubungkan’ roh yang paling latif itu dengan jasad tersebut. Hubungan itu menyebabkan Adam a.s menjadi hidup dengan mempunyai rohnya sendiri, yang ‘menumpang’ bakat kehidupan kepada roh yang latif. Walaupun jasad Adam a.s dijadikan daripada tanah tetapi rohnya berkait dengan roh yang paling latif, malah roh Adam a.s atau Roh Insan adalah bakat roh yang paling latif itu. Tidak putus hubungan roh individu dengan roh yang menjadi sumber kepada kewujudan roh-roh.
 
Roh yang paling latif, roh Nabi Muhammad s.a.w, sumber kepada Roh-roh Insan, berkedudukan sebagai khalifah Allah s.w.t, utusan-Nya atau urusan-Nya yang melaksanakan perintah Allah s.w.t. Ia menyimpan segala maklumat mengenai segala yang Tuhan mahu ciptakan. Roh urusan Tuhan itulah yang bertugas dengan tepat memastikan apa yang Tuhan kehendaki itu terlaksana dengan tepat.

Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.
( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’ )


Bakat kekhalifahan roh yang paling latif itu hanya menjadi kenyataan setelah Adam a.s diciptakan. Adam a.s dan keturunan beliau a.s menjadi bekas menterjemahkan bakat-bakat khalifah Allah s.w.t yang menjadi urusan Allah s.w.t. Roh Insan yang diterangi oleh roh yang paling latif, yang hanya dihijabkan oleh hijab ketuhanan, dibekalkan dengan kebolehan untuk mengalami suasana Hadrat Ilahi, merasai kehadiran Tuhan serta mengenali Tuhan dalam aspek yang ada hubungan dengan makhluk dan Tuhan dalam aspek yang melampaui segala bentuk perhubungan dengan makhluk. Roh Insan yang diterangi oleh roh yang paling latif mengenali Allah s.w.t secara tasybih dan tanzih. Hadrat Ilahi atau hakikat yang dialami oleh Roh Insan diistilahkan sebagai Rahsia-rahsia Allah s.w.t. Rahsia-rahsia Allah s.w.t yang dikurniakan kepada Roh Insan tidak diketahui oleh makhluk yang lain. Oleh yang demikian makhluk yang lain mesti akur dengan kedudukan insan sebagai khalifah Allah s.w.t. Oleh kerana Adam a.s yang menyatakan kekhalifahan itu maka sekalian makhluk mesti akur dengan kedudukan Adam a.s sebagai ciptaan Tuhan yang menanggung Rahsia Allah s.w.t yang paling mulia. Sekalian makhluk mesti tunjukkan bukti penerimaan tersebut dengan cara sujud menghormati Adam a.s.
 
Intipati kepada roh adalah aspeknya yang melahirkan penghidupan, yang diistilahkan sebagai nyawa, seumpama air yang mengalir kepada seluruh tubuh, menggerakkan semua bakat-bakat. Atas dasar perkaitan roh dengan jasad, aspek nyawa itu dinamakan Nyawa Insan. Ada juga yang menamakannya Insan Batin. Ada juga yang memanggilnya Insan Rahsia Allah s.w.t, bagi menggambarkan hubungannya dengan Hadrat Ilahi (Rahsia Allah s.w.t). Selain itu ada pula yang memanggilnya diri yang sebenarnya. Oleh kerana kedudukan hubungannya dengan Hadrat Tuhan maka dialah yang benar-benar bertaraf hamba Tuhan, yang tahu melakukan kehambaan kepada Tuhan sebagaimana yang Tuhan kehendaki. Jika dia berhenti bekerja maka semua bakat-bakat akan berhenti berfungsi. Jika dia menyembah Allah s.w.t maka semua bakat-bakat menyembah Allah s.w.t.

Roh mempunyai keupayaan untuk menghidupkan jasad dan menggerakkan bakat-bakat yang ada pada jasad. Kesan daripada tindakan roh, jasad menjadi hidup dan keupayaan yang menghidupkan jasad itu dinamakan nyawa bagi jasad. Nyawa yang menghidupkan jasad ini biasanya dipanggil Roh Haiwani. Roh yang menggerakkan Roh Haiwani itu dinamakan Roh Insani. Roh Haiwani menghidupkan jasad. Roh Insani pula memperolehi kehidupan daripada Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Apabila Roh Insani berhenti ‘membekalkan’ Roh Haiwani, jasad akan mengalami kematian, tetapi Roh Insan tidak mati walaupun jasad sudah mati. Oleh sebab itu kematian jasad tidak menyelamatkan manusia daripada soal-jawab di dalam alam kubur. Alam kubur merupakan salah satu daripada pintu syurga atau pun pintu neraka. Insan yang hidup di dalam kubur akan memandang kepada salah satu tempat kesudahannya, sama ada syurga atau neraka. Wap bahagia atau celaka sudah dapat dirasakan oleh ahli syurga sekalipun kiamat belum berlaku.  

Roh Haiwani atau nyawa kepada jasad bekerja melalui pernafasan, iaitu udara yang keluar masuk melalui hidung dan mulut dan juga aktiviti turun naik di dalam jantung yang mengalirkan darah ke seluruh tubuh. Roh Haiwani dan aktiviti jasad berkait rapat. Jika pengaliran udara ke dalam jasad ditahan atau aktiviti jantung diberhentikan, Roh Haiwani tidak berupaya lagi menghidupkan jasad. Jadi, nyawa jasad dan jasad saling bergantungan, saling perlu memerlukan. Tubuh yang sihat dengan jangka hayat nyawa jasad ada kaitan.

Kesatuan bakat-bakat roh, nafsu, akal dan nyawa dinamakan rohani atau hati nurani yang bertaraf hamba Tuhan yang sebenarnya. Dalam keadaan yang asli, tanpa pengaruh alam jasad dan alam benda, rohani berkedudukan sebagai insan yang sempurna. Rohani dikuasai oleh sifat Wahdaniah, iaitu rohani menyaksikan keesaan Allah s.w.t, tidak menyengutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Kecenderungan rohani hanya satu iaitu melakukan ubudiah atau kehambaan kepada Allah s.w.t.

Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau mengambil dari anak-cucu Adam dari tulang-tulang punggung mereka, dan Dia jadikan mereka saksi atas diri mereka sendiri: “Bukankah Aku Tuhan engkau?” Semua menjawab: “Memang, kami menyaksikan”. Supaya jangan kamu berkata di hari kiamat: “Sesungguhnya kami lalai dari ini”. Atau supaya tidak kamu katakan: “Yang musyrik itu hanyalah bapa-bapa kami yang dahulu sedangkan kami ini hanyalah keturunan sesudah mereka. Maka apakah Engkau akan membinasakan kami lantaran apa yang dikerjakan oleh orang-orang yang berbuat salah?” Dan demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat itu supaya mereka kembali. ( Ayat 172 – 174 : Surah al-A’raaf )

  
  
 

Monday, 10 December 2012

Ar Rahim




AR RAHIM
( Maha Penyayang )

Yang dimaksudkan dengan penyayangnya Allah sangat berbeza dengan penyayangnya manusia. Kebanyakkan sayangnya manusia akan sesuatu mempunyai latar belakang, yang mana disebalik kesayangan terselit sesuatu yang diharapkan. Tetapi Allah tidaklah demikian halnya. Manusia yang soleh dan taat beribadat bukanlah ibadahnya untuk kepentingan Allah tetapi untuk kepentingan peribadinya masing-masing. Allah tidak akan berkurang kemuliaanNya dan kekayaanNya apabila semua penduduk bumi tiada seorang pun menyembah kepada-Nya. Jadi persembahan seseorang terhadap Allah adalah untuk kepentingan dirinya. Dunia dijadikan oleh Allah untuk memberi kesempatan berbuat kebaikan serta mengabdikan diri kepada-Nya sebagai bekalan yang akan di bawa ke akhirat.

Firman Allah Taala bermaksud ;
“Bukankah telah Kami jadikan bumi itu hamparan dan gunung-ganang sebagai pasak, dan telah Kami jadikan kamu berpasang-pasang dan Kami jadikan tidur kamu untuk berlepas lelah dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan telah Kami jadikan siang untuk penghidupan”- An Naba’ : 6-11.

Betapa indahnya susunan ayat-ayat yang tersebut di atas yang menyatakan Allah Ar Rahim ( Allah Maha Penyayang) ke atas makhlun-Nya yang bernama manusia dengan beberapa perbincangan seperti berikut;
1.       Bumi Sebagai Tempat Tinggal
2.       Faedah Pergunungan
3.       Sifat Dan Setiap Yang Hidup Berpasangan
4.       Tidur Untuk Istirehat
5.       Malam Sebagai Selimut
6.       Siang sebagai Pakaian


BUMI SEBAGAI TEMPAT TINGGAL
Firman Allah Taala bermaksud “Bukankah telah Kami jadikan bumi itu sebagai hamparan? ”- An Naba’:6

Allah dengan Rahim-Nya menciptakan bumi sebagai hamparan untuk kehidupan manusia guna menjadi tempat tinggal, tempat hidup dan tempat berkehidupan, di mana manusia bertebaran di muka bumi mencari rezeki di mana-mana ia sukai.

Firman Allah Taala bermaksud “Dan sesungguhnya telah Kami tempatkan di bumi ini dan telah Kami jadikan untuk kamu di dalamnya beberapa penghidupan. Sedikitlah kamu yang bersyukur”- Al ‘Araf : 10

Demikianlah Allah dengan Rahim-Nya telah menghidupkan manusia di muka bumi yang dilengkapi dengan segala keperluannya berupa tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang merupakan keperluan hidup. Sayang sekali hanya sedikit manusia yang tahu bersyukur.

FAEDAH PERGUNUNGAN
Firman Allah Taala bermaksud “ Dan gunung-ganang sebagai pasak” – An Naba’ : 7

Dengan adanya gunung-ganang sebagai pasak untuk mengukuhkan hamparan bumi. Dengan ada gunung –ganang dan jurang-jurang yang ditumbuhi oleh pepohonan yang hijau rendang, mengalirlah dari celah-celahnya sungai-sungai, yang mana sungai-sungai berasal dari endapan air yang diserap oleh humus-humus dari hutan-hutan yang menghasilkan sungai-sungai.

Jadi nyatalah bahawa tanpa gunung-ganang dan pepohonan yang hidup diatasnya, tidak akan terjadi sungai-sungai yang mengalir sepanjang masa selama tidak dirosakkan oleh tangan manusia. Apabila bumi ini hanya merupakan hamparan yang datar dan rata tentu saja curahan hujan dari langit tidak dapat bertahan pada suatu tempat, maka terjadilah malapetaka di muka bumi ini kerana banjir atau kekeringan. Inilah faedahnya gunung dan lembah yang menghasilkan sungai yang menahan dan mengalirkan air sepanjang masa.


SIFAT DAN SETIAP YANG HIDUP BERPASANG-PASANGAN
Firman Allah Taala bermaksud “ Dan telah Kami jadikan kamu berpasang-pasangan” – An Naba’ : 8

Bila diteliti lebih dalam lagi, memang Allah menjadikan alam ini sungguh lengkap. Dengan adanya pasangan jantan dan betina, lelaki dan perempuan. Dengan demikian itulah Allah menciptakan alam seluruhnya, adanya langit dan bumi, adanya awal dan akhir, lahir dan batin, dunia dan akhirat yang kalau digali tidak terhitung jumlah pasangannya.

Dengan Firman Allah dijelaskan :-
“Amat Sucilah Penguasa yang menciptakan semuanya berpasang-pasangan , dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan diri mereka sendiri dan dari apa yang belum pernah mereka ketahui” – Yassin : 36

Begitu dalam rahsia yang tersimpan dalam ayat ini, semakin banyak manusia mengetahui pasangan-pasangan sesuatunya di bumi ini semakin tahulah manusia itu, bahawa lebih banyak lagi yang belum diketahuinya, yang mana dengan pasangan-pasangan ini, manusia semakin lama semakin berkembang dan turut juga isi alam ini bertambah untuk kepentingan manusia sejagat.

Begitulah juga pasangan-pasangan dari sifat-sifat yang ada umpamanya buruk dan baik, senang dan susuah, malang dan mujur, semunya dijadikan oleh Allah Taala agar manusia diberikan kebebasan untuk menempuh jalan hidupnya masing-masing dan diberi pula bimbingan yang lengkap.


TIDUR UNTUK ISTIREHAT.
Firman Allah Taala bermaksud “Dan telah Kami jadikan tidur kamu untuk istirehat” – An Naba’ : 9

Manusia yang hidup memerlukan bangun dan tidur. Tiada seorang pun yang sanggup bangun tanpa tidur atau tidur tanpa bangun dalam kehidupan normal, kecuali seseorang itu mengalami penyakit. Manusia tidak akan boleh hidup tanpa tidur. Siapakah Tuhan selain dari Allah Taala yang sanggup membuat seseorang tidur, membuatkan seseorang mengantuk serta menjadikan bangun (terjaga) ?... Apabila ada para ahli sihir atau hipnotis membuat orang menjadi tidur, bolehkah dia menidurkan ramai orang sekaligus, atau menidurkan dirinya sendiri? Sandiwara mereka sangat terbatas tetapi ramai yang mempercayainya. Siapa yang sanggup menidurkan bumi yang mengalami malam? Dan membangunkan di bumi yang mengalami siang?. Jawabnya, hanya Allah Taala Yang Maha Pengasih yang sanggup melaksanakannya. Betapa kecilnya manusia disisi Allah yang hanya dapat dirasakan bagi orang yang mahu berfikir. Sebagaimana firman-Nya bermaksud “ Diantara tanda-tanda (kebesaran-Nya) , menidurkan kamu pada malam dan siang memenuhi keperluanmu dari kurniaan-Nya. Hal yang demikian itu menjadi tanda bagi orang yang mahu mendengar” Ar Rum : 23.

Hanya bagi orang yang mahu menerima kebenaran saja yang dapat merasakan kebenaran ayat ini. Hidup  manusia sudah diatur sedemikian rupa, siangnya dibangunkan untuk mencari sara hidup dan malamnya ditidurkan sebagai istirehat dari kepenatan disiang hari. Alangkah RahimNya Allah Taala kepada makhlukNya yang bernama manusia yang diberikan akal fikiran untuk mengatur dan menyelamatkan dirinya.


MALAM SEBAGAI SELIMUT

Firman Allah Taala bermaksud “Dan telah Kami jadikan malam sebagai selimut” – An Naba’ : 10

Menurut Ibnu Jarir At Thabiri “ Gelap malam itu meliputi seluruh diri kamu bagaikan pakainan yang menutupi dirimua”. Dan menurut tafsiran Ibnu Jubair dan As Suddy “ Ketenangan doa kerana nyenyak tidur untuk membangkitkan tenaga baru untuk hari esok”. Jadi kalau kita renungkan lebih halus, kita kembali kepada apa yang tercantum dalam ayat ini bahawa malam sebagai pakaian memmang tepat sekali kerana pakaian menyelimuti tubnuh dari panas dan dinginya udara serta gangguan-gangguan lainnya yang datang dari luar yang pada hakikatnya gelap malam telah memberikan kesenangan dan kenyamanan dalam tidur sebagai keperluan rohani dan jasmani yang mutlak , memang sangat diperlukan.


SIANG SEBAGAI PAKAIAN
Firman Allah Taala bermaksud “Dan telah Kami jadikan siang sebagai penghidupan” – An Naba’ : 11.

Alangkah berbahagianya manusia yang dapat menyesuaikan hidupnya dengan tuntutan ayat-ayat ini, hal mana dia dapat mencari keperluan hidup di siang hari dan malamnya untuk istirehat sambil menanti hari esoknya lagi. Siang hari berusaha seperti Nabi SAW dan para sahabat, dan malam harinya beristirehat serta bermunajat kepada Allah Taala sbg hambaNya yang bersyukur.

Sayang Allah Taala sangat berbeza dengan sayangnya manusia. Manusia berbuat-buat sayang kerana mengharapkan sesuatu kepada yang disayangi tetapi Allah berbuat sayang tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari makhlukNya. Hanya Allah mahukan makhlukNya tidak sesekali menyekutukan DiriNya dengan sesuatu yang lain.


***************
Setelah kita berkongsi huraian Allah, Ar Rahman & Ar Rahim secara ringkas, insyaAllah dalam perkongsian akan datang Musafir Fakir akan cuba berkongsi tentang Rahsia Bismillah.... Bizinillah.


Monday, 5 November 2012

Ar Rahman


AR RAHMAN
(Yang Maha Pengasih)

Yang dimaksudkan dengan Maha Pengasih adalah Maha Pemberi yang memberikan sesuatu kepada setiap makhluk-Nya yang diciptakan di seluruh alam maya ini, sebesar-besar dan sebanyak-banyak pemberian tanpa mengurangi kekayaan-Nya. Pemberian yang diberikan-Nya kepada manusia sangat intimewa dari pemberian kepada makhluk yang lain seperti firman-Nya bermaksud:
Yang Maha Pengasih, yang mengajarkan Al Quran, yang menciptakan manusia, yang mengajarkan kepadanya berkata-kata” – Ar Rahman : 1-4

Pada perkongsian ini, mari kita cuba menghuraikan beberapa isu antaranya :-
1.       Kerahiman Allah Taala terhadap manusia.
2.       Al Quran sebagai petunjuk.
3.       Manusia makhluk yang paling mulia.
4.       Keistimewaan manusia dalam bahasa.
5.       Manusia sebagai makhluk sosial.

KERAHIMAN ALLAH TAALA TERHADAP MANUSIA
Firman Allah Taala bermaksud – “ Yang Maha Pengasih ” – Ar Rahman : 1

Maksud dari perkataan Ar Rahman adalah amat luas, kalimat dalam pengambilannya adalah rahmat yang bermaksud kasih, sayang, cinta dan pemurah. Ar Rahman meliputi dari segi kehidupan manusia dan terbentang di dalam segala makhluk yang wujud dalam dunia ini.

Di dalam ayat-ayat Al Quran kita akan bertemu dengan ayat-ayat yang menyebutkan rahmat Allah Taala, tidak kurang dari enam puluh kali (60) dan “rahim” sebanyak seratus kali (100) dan dengan jelas pula Allah Taala berfirman yang bermaksud –

Dia telah memastikan pada diri-Nya sendiri supaya memberi rahmat” – Al An’am : 12

Dan Rabb engkau itu adalah Kaya, Dia mempunyai rahmat”- Al An’am : 133

Maka di dalam ayat yang tercantum di atas ini dengan sifatnya yang paling meminta perhatian kita iaitu Ar-Rahman, maka sayugianyalah kita sebagai insan akan mengikuti sifat Ar Rahman itu sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah Hadis Nabi SAW bermaksud :
“ Kasihanilah olehmu orang yang berada di muka bumi, agar kasih pula kepada engkau Rabb yang di langit” – Riwayat Sunan Tirmizi.

AL QURAN SEBAGAI PETUNJUK
Firman Allah Taala bermaksud – “Yang mengajarkan Al Quran” – Ar Rahman : 2

Salah satu Rahman dan kasih sayang-Nya kepada manusia dengan diajarkan-Nya Al Quran iaitu wahyu Ilahi yang diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW yang dengan sebab Al Quran itu manusia mendapat petunjuk ke jalan yang lurus. Hanya kepada manusialah diberikan Al Quran yang membawanya dari alam gelap kepada cahaya.

Firman Allah Taala bermaksud – “Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam” – Al Ambiya’ : 107.

Rahmat Ilahi yang utama adalah ilmu pengetahuan yang dianugerahkan Allah Taala kepada manusia dengan isyarat-isyarat di dalam Al Quran sebagai sumber yang hak.

MANUSIA MAKHLUK YANG PALING MULIA
Firman Allah Taala bermaksud – “Yang menciptakan manusia” – Ar Rahman :3

Penciptaan manusia adalah salah satu di antara Rahman Allah Taala kepada alam ini, kerana sebegitu banyak makhluk-Nya di alam ini , manusialah satu-satunya yang paling mulia.

Sebagaimana firman Allah Taala bermaksud :
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” –Al Isra’ : 70

Dengan akal fikiran yang diberikan Allah Taala kepada manusia, menjadikan manusia dapat menyesuaikan dirinya dengan alam, mengolahnya dan menfaatkannya. Dengan ilmu manusia telah dapat menikmati rezeki yang baik. Dengan ilmu manusia telah mampu menjelajahi darat, laut dan udara dengan bermacam-macam alatan yang memberi kemudahan. Dengan ilmu juga manusia telah dapat memanfaatkan isi perut bumi sebesar-besar manfaat yang mana semuanya itu datangnya dari Allah Taala. Demikianlah Rahman Allah Taala yang hanya dapat dirasakan bagi orang-orang yang berfikir.

KEISTIMEWAAN MANUSIA DALAM BAHASA
Firman Allah Taala – “ Yang mengajarkan kepadanya berkata-kata” – Ar Rahman : 4

Ungkapan yang terasa dalam hati manusia hanya boleh disampaikan dalam bentuk bahasa. Satu kelebihan lagi yang diberikan kepada manusia oleh Allah Taala dengan Rahman-Nya iaitu mengenai bahasa. Inilah yang disebut dalam bahasa Arab ‘Al Bayaan’ . Tidak satu makhluk pun di dunia ini yang diberikan kepadanya bahasa seperti yang dianugerahkan Allah Taala kepada manusia. Kepada makhluk hidup seperti haiwan , bahasanya sangat terbatas.

Seluruh haiwan di atas muka bumi ini mempunyai bahasanya masing-masing sesuai dengan jenisnya, tetapi dengan ragam bahasa yang sama. Buktinya, bila ayam berkokok di kampung halaman kita, maka kokonya akan sama di mana sahaja dalam dunia ini.  Bila kuda meringkik di Timur Tengah, sama saja bunyi ringkiknya dengan kuda di Eropah dan di mana sahaja.

Tetapi lain halnya dengan manusia sebagai makhluk sosial yang dianugerahkan bahasa sebagai alat komunikasi anatara sesama manusia di atas muka bumi ini.

Siapakah yang menciptakan dan mengatur segalanya ini? Maka jawabnya “ Allah Taala dengan Rahman-Nya sebagai Maha Pemberi” .

MANUSIA SEBAGAI MAKHLUK SOSIAL
Sedikit mengenai manusia sebagai makhluk sosial, bahawa manusia itu tidak boleh hidup bersendirian tanpa dengan bantuan manusia yang lain. Seorang hartawan yang serba kaya tidak boleh hidup tanpa bantuan petani yang kehidupannya bercucuk tanam dan hasil tanaman menjadi makanan semua manusia. Begitu juga petani tadi memerlukan kain untuk dijadikan pakaian maka adanya manusia yang terlibat dalam bidang fabrik untuk menghasilkan kain. Begitulah kehidupan manusia sebagai makhluk sosial yang saling memerlukan antara satu sama lain.

Firman Allah Taala bermaksud :
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah yang paling taqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Halus” – Al Hujurat : 13

Pada ayat diatas Allah Taala menyeru kepada seluruh umat manusia secara umum tanpa membezakan suku bangsa dan agama masing-masing supaya saling kenal mengenali, menjelmakan dan membudayakan kasih sayang agar dapat tolong menolong sesuai dengan sifatnya ‘Ar Rahman’ Yang Maha Pengasih. Saling kenal mengenali dan saling bantu membantu , hanya dapat dihubungkan dengan bahasa atau ‘Al Bayaan’ .
----------------------------------------------------------------------------------------
HTML Comment Box is loading comments...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...